Audi lancar Q7 S Line pemasangan tempatan di Malaysia
- Anna Chong
- 7 hours ago
- 5 min read

PHS Automotive Malaysia (PHSAM) hari ini mencipta sejarah apabila melancarkan SUV Audi pemasangan tempatan yang pertama, Q7 S line.
Ditawarkan pada harga bermula RM 459,990, SUV Audi Q7 S line 7-tempat duduk mengukuhkan lagi kehadiran Audi dalam segmen mewah premium di Malaysia dan di rantau ini. SUV CKD (pemasangan tempatan) pertama Audi di Asia Tenggara tersebut dilancarkan hari ini pada acara Malaysia AutoShow 2025 yang berlangsung di MAEPS Serdang.
SUV flagship ini menampilkan reka bentuk atletik menerusi garis-garis badan yang berani serta trim S line yang menyerlahkan lagi penampilan luaran dan dalamannya. Turut didatangkan secara standard ialah Black Styling Package Plus yang memberi sentuhan garang pada gaya luaran Audi Q7.

“Ini adalah permulaan kepada satu lembaran baharu yang berani – lahir daripada ketepatan kejuruteraan Jerman, dibina dengan jiwa Malaysia dan dipacu oleh visi yang sama. Audi Q7 S Line ialah gabungan kemewahan dan prestasi yang dipakejkan ke dalam sebuah SUV yang sangat sofistikated bersama teknologi kejuruteraan terbaik,” kata Pengarah Urusan PHSAM, Denyu Bostandzhiev.
“Pasukan kami, dengan sokongan rakan-rakan di Jerman dan Volkswagen Group Malaysia telah bekerja keras untuk menjadikan impian ini satu realiti demi menawarkan nilai dan harga yang lebih kompetitif kepada pelanggan di rantau ini. Pada masa yang sama mengekalkan kualiti premium dan prestasi yang menjadi identiti Audi,” tambah Denyu.
Bahagian Luaran yang Sofistikated, Elegan
Reka bentuk luaran Q7 tampil bergaya melalui gayaan S line, melibatkan bampar hadapan dan belakang unik bersama skirting sisi yang menyerlahkan karakternya yang sporty. Dengan Black Styling Package Plus, penampilan atletik Q7 dipertingkatkan melalui rekaan gril Audi Singleframe berwarna hitam dan lencana model Q7. Manakala logo Audi di hadapan dan belakang hadir dalam warna kelabu anthracite. Spoiler bumbung dan rim 22-inci Audi Sports 5-V-spoke star melengkapkan lagi penampilan berani SUV ini.
Ada empat pilihan warna luaran ditawarkan – Glacier White (putih), Waitomo Blue (biru) dan Mythos Black (hitam) sebagai warna metalik, serta Daytona Grey (krlabu) dengan efek mutiara.

Prestasi Pemanduan Berkuasa
Untuk prestasi pemanduan yang mengujakan, Q7 dikuasakan oleh enjin petrol 3.0-liter TFSI V6 yang mampu menjana 250kW/340PS dan tork setinggi 500Nm. Sistem mild-hybrid 48V pula meningkatkan kecekapan dan mengurangkan pelepasan emisi sambil memberikan permulaan perjalanan yang lebih lancar dan pantas, di samping pemanduan meluncur tanpa gangguan sehingga 160km/j. Tiada keperluan untuk mengecas, hanya prestasi sebenar dengan kuasa yang lebih pintar. Dari keadaan pegun, Q7 mampu memecut ke 100km/j dalam masa hanya 5.6 saat dan mencapai kelajuan maksimum 250km/j.
Kuasa disalurkan melalui transmisi Tiptronic 8-kelajuan dengan pengagihan pintar ke keempat-empat roda menerusi sistem pacuan semua roda sepanjang masa quattro. Setiap selekoh menawarkan cengkaman lebih mantap, setiap pergerakan lebih tajam — memberikan pemandu kuasa, kawalan dan keyakinan dalam setiap pemanduan.
Menerusi ciri Audi Drive Select, pemandu boleh memilih sehingga tujuh mod pemanduan berbeza untuk disesuaikan kepada pelbagai jenis permukaan jalan dan keadaan pemanduan secara optimum. Bergantung kepada mod yang dipilih (melalui skrin sentuh MMI), Drive Select akan mengubah suai pelbagai aspek seperti maklum balas pendikit, tahap redaman suspensi dan stereng. Suspensi Udara Adaptif Sport Audi pula akan ditala atau diubah suai secara pintar mengikut gaya pemanduan. Ini sekaligus dapat memberi pengalaman pemanduan yang lancar, stabil dan cukup dinamik bersama keseimbangan sempurna di antara keselesaan dan kawalan dalam apa jua tetapan.
Di laluan tidak rata, ketinggian kenderaan boleh dinaikkan sehingga 60mm (daripada tahap ketinggian biasa), manakala untuk pemanduan di lebuh raya, ia boleh direndahkan sebanyak 30 mm bagi meningkatkan aerodinamik dan kestabilan.
Sistem stereng semua roda meningkatkan tahap kelincahan dan kestabilan ke tahap yang lebih tinggi. Pada kelajuan rendah, ia mengurangkan usaha untuk memulas stereng dan memperkemaskan sudut pusingan bagi memudahkan pergerakan. Semasa kelajuan tinggi pula, ia meningkatkan ketepatan dan kestabilan, menjadikan setiap pemanduan lebih tajam dan responsif.

Tersendiri dan Mengagumkan
Lampu hadapan utama HD Matrix LED dengan ciri Audi Laser Light telah dipasang buat pertama kali pada Q7 ini. Ia merangkumi lampu nyalaan siang digital dengan pencahayaan yang boleh dipilih. Lampu hadapan HD Matrix LED yang canggih itu juga boleh mengoptimumkan bentuk suluhan cahaya dengan lebih meluas, Audi Laser Light (yang boleh dikenali melalui kemasan biru di dalam reflektor) itu mampu meningkatkan jarak pencahayaan hampir dua kali ganda berbanding lampu utama biasa.
Teknologi dan Sofistikasi
Audi Virtual Cockpit Plus menghidupkan pengalaman pemanduan dengan paparan yang boleh diubah suai seperti mod dynamic, sport dan classic. Nikmati sistem navigasi, media dan maklumat pemanduan dengan lancar menerusi skrin bersaiz 12.3 inci yang menawan, bersama kawalan intuitif di hujung jari anda.
Q7 turut hadir dengan paparan head-up (HUD) sebagai ciri standard yang memaparkan maklumat penting (seperti kelajuan, mod bantuan pemandu dan arah navigasi) terus pada cermin utama di hadapan pemandu.
Sistem Bunyi Premium 3D Bang & Olufsen yang mengagumkan itu menjanjikan pengalaman audio 3D sebenar yang tiada tandingan melalui 19-unit pembesar suara yang ditempatkan secara strategik di seluruh kabin. Output audio dipertingkatkan dengan unit amplifier 16 saluran berkuasa 730 watt.
Dengan Audi Connect, Q7 anda sentiasa berada dalam jangkauan. Cari lokasi kenderaan, kunci atau buka kunci, menyemak status dan terima amaran kecurian — semuanya melalui telefon pintar anda. Nikmati laluan yang lebih pintar dengan trafik masa sebenar dan peta satelit GoogleTM, jika berlaku kemalangan serius, kenderaan akan terus menghubungi Audi Emergency Call secara automatik untuk mendapatkan bantuan.
Q7 memastikan anda sentiasa terhubung dengan ciri pengecasan tanpa wayar serta sokongan Apple CarPlay dan Android Auto yang lancar — tanpa kabel, hanya akses pantas kepada muzik, peta serta aplikasi anda untuk pengalaman pemanduan yang lebih pintar dan lancar.

Luas dan aspek ergonomik yang telah dipertingkatkan
Dengan panjang keseluruhan yang terbaik dalam kelasnya, Audi Q7 menawarkan ruang kabin yang boleh memuatkan sehingga 7 orang penumpang dengan selesa. Ruang atas kepala dan siku yang luas memastikan semua penumpang boleh menikmati perjalanan seperti dalam penerbangan kelas pertama.
Sentuhan S line di bahagian dalaman Q7 melibatkan tempat duduk Sports Seat Plus yang dibalut kulit Valcona bersama lencana S timbul pada dua tempat duduk hadapan, selain stereng kulit yang dilengkapi ciri paddle shifters.
Akses ke tempat duduk baris ketiga untuk dua orang penumpang tambahan boleh dilaras secara elektronik dan dilipat rata. Untuk kapasiti kargo yang maksimum, barisan kedua juga boleh dilipat, sekaligus menambah ruang kargo menjadi sangat luas sehingga 1,908 liter.
Urusan mengangkut barang menjadi mudah dengan pintu belakang berkuasa yang boleh diaktif menggunakan sensor pergerakan kaki di bahagian bawah bampar. Bagi memudahkan tugas mengangkut barang yang berat, SUV ini boleh direndahkan sebanyak 40mm dengan hanya menekan butang di ruang kargo.
Dengan ciri pintu jenis Power Latching, hanya satu tolakan lembut diperlukan — Q7 akan tertutup dengan senyap dan lancar, menambah sentuhan mewah pada setiap pemanduan.
Sistem Keselamatan yang Komprehensif
Audi Q7 dilengkapi rangkaian teknologi canggih untuk membantu pemandu sentiasa peka terhadap keadaan lalu lintas. Ini termasuklah ciri Audi Pre Sense Front dan Rear, Side Assist dengan Exit Warning serta Rear Cross Traffic Assist.
Ciri-ciri tambahan bagi meningkatkan kemudahan pemanduan termasuklah Kamera Pandangan Sekeliling 360 darjah dan Kawalan Jelajah Adaptif.
Bagi mereka yang perlu memasang beberapa tempat duduk kanak-kanak, Q7 hadir dengan enam poin ISOFIX – satu pada setiap lima tempat duduk belakang dan satu lagi di tempat duduk penumpang hadapan, bagi memastikan tempat duduk kanak-kanak dapat dipasang dengan selamat.
Waranti dan Pakej Jaminan Audi
Setiap Audi Q7 baharu didatangkan dengan jaminan pengeluar selama 2 tahun tanpa had perbatuan. Dengan bayaran tambahan sebanyak RM20,000, pelanggan boleh memilih Pakej Jaminan Audi (Audi Assurance Package, AAP) yang menambah perlindungan jaminan pengeluar selama 3 tahun lagi (jumlah keseluruhan 5 tahun) atau sehingga 150,000km (mana-mana tiba dahulu). AAP turut merangkumi servis penyelenggaraan selama 5 tahun/75,000 km (mana-mana tiba dahulu) serta bantuan tepi jalan percuma selama 5 tahun.
Audi Q7 S line akan membuat penampilan pertama pada acara Malaysia Autoshow 2025 yang berlangsung dari 9 hingga 15 Mei di MAEPS Serdang.
Comments