GWM WEY G9 Hi4 HEV Baharu Dilancarkan, Harga RM249,800

GWM Malaysia memperkenalkan GWM WEY G9 Hi4 HEV baharu, sekali gus menambah pilihan dalam rangkaian MPV mewahnya bagi memenuhi keperluan perjalanan dan gaya hidup pelanggan di Malaysia.
Pengenalan model baharu ini menyusuli kejayaan penyerahan sebanyak 2,000 unit GWM WEY G9 Hi4 PHEV di seluruh negara, sekali gus menjadi satu lagi pencapaian penting dalam perkembangan barisan GWM WEY G9.
Dengan kehadiran pilihan rangkaian kuasa hibrid baharu, pelanggan kini mempunyai lebih banyak kebebasan untuk memilih teknologi pemanduan yang bersesuaian dengan keperluan masing-masing, sambil menikmati tahap kemewahan, keselesaan, prestasi dan keselamatan yang menjadi kelebihan GWM WEY G9, antara MPV mewah paling laris di Malaysia**.
GWM WEY G9 Hi4 PHEV menawarkan kelebihan pemanduan elektrik untuk kegunaan harian serta fleksibiliti bagi perjalanan jarak jauh. Sementara itu, GWM WEY G9 Hi4 HEV baharu menggabungkan teknologi hibrid pengecasan kendiri dengan sistem pacuan semua roda untuk pengalaman pemanduan yang lebih praktikal. Walaupun menggunakan teknologi rangkaian kuasa yang berbeza, kedua-dua model tetap mengekalkan pengalaman perjalanan Kelas Pertama (First Class).
Lebih Banyak Pilihan untuk Menikmati Pengalaman Kelas Pertama
Kehadiran GWM WEY G9 Hi4 HEV baharu memperlihatkan usaha berterusan GWM Malaysia dalam memperluas akses kepada mobiliti premium berelektrik yang sesuai dengan pelbagai gaya hidup dan keperluan perjalanan rakyat Malaysia.
Sama ada untuk perjalanan harian, urusan perniagaan, aktiviti bersama keluarga atau percutian hujung minggu, setiap pelanggan mempunyai keperluan pemanduan tersendiri. Dengan penambahan model ini, GWM Malaysia memberikan lebih banyak pilihan kepada pelanggan untuk menikmati kelebihan teknologi hibrid pintar dan keselesaan perjalanan bertaraf Kelas Pertama.
"Pencapaian penyerahan 2,000 unit GWM WEY G9 Hi4 PHEV merupakan satu kejayaan penting buat kami dan mencerminkan kepercayaan pelanggan di Malaysia terhadap jenama GWM," kata Stan Li Hao, Pengarah Urusan, Operasi Komersial, GWM Malaysia.
"Pelancaran GWM WEY G9 Hi4 HEV hari ini meneruskan momentum tersebut dengan menawarkan satu lagi pilihan kepada pelanggan. Sama ada mereka memilih kelebihan pemanduan elektrik menerusi PHEV atau kemudahan penggunaan harian yang ditawarkan oleh HEV, pelanggan tetap dapat menikmati ruang kabin yang luas, keselesaan premium dan pemanduan yang lancar, selaras dengan identiti GWM WEY G9. Teknologi rangkaian kuasanya mungkin berbeza, namun pengalaman Kelas Pertama yang ditawarkan kekal sama," tambah beliau.
Prestasi Kelas Pertama dengan Teknologi Hibrid Pintar
GWM WEY G9 Hi4 HEV baharu menggabungkan kuasa yang mengagumkan, sistem pacuan semua roda pintar dan kecekapan teknologi hibrid untuk memberikan prestasi yang responsif serta pengalaman pemanduan yang meyakinkan.
Dilengkapi enjin hibrid turbo 2.0 liter yang dipadankan dengan sistem pacuan semua roda pintar Hi4kawalan elektronik keluaran GWM, model ini menghasilkan kuasa gabungan 358 PS (263 kW) dan tork 782 Nm. Kombinasi tersebut membolehkan pecutan yang responsif serta prestasi yang stabil dalam pelbagai situasi, termasuk ketika memandu di kawasan bandar, lebuh raya dan perjalanan jarak jauh.
Dengan kadar penggunaan bahan api 6.5 liter/100 km berdasarkan kitaran ujian NEDC, serta jarak pemanduan gabungan sehingga 845 km, GWM WEY G9 Hi4 HEV menawarkan gabungan prestasi dan penjimatan bahan api untuk perjalanan yang lebih efisien.
Sistem hibrid pintar pada model ini mengawal pengagihan kuasa antara enjin pembakaran dan motor elektrik secara automatik, selain menyesuaikan operasi sistem mengikut keadaan pemanduan. Oleh sebab tidak memerlukan pengecasan luaran, pengguna dapat menikmati kelebihan teknologi pemanduan berelektrik tanpa perlu mengubah rutin mengisi bahan api.
Gabungan ini menjadikan GWM WEY G9 Hi4 HEV sebuah MPV mewah yang menitikberatkan keseimbangan antara prestasi, kecekapan dan kemudahan penggunaan harian, di samping menawarkan pemanduan yang lancar dan selesa.
Keselesaan Kelas Pertama untuk Setiap Penumpang
Selain keupayaan prestasinya, GWM WEY G9 Hi4 HEV turut mengekalkan ciri keselesaan yang menjadi identiti model GWM WEY G9, dengan pengalaman premium yang direka untuk semua penumpang di ketiga-tiga barisan tempat duduk.
Susun atur tujuh tempat duduk dalam konfigurasi 2+2+3 menyediakan ruang yang luas untuk perjalanan bersama keluarga, rakan sekerja atau rakan perniagaan.
Tempat duduk barisan pertama dan kedua menggunakan kemasan kulit Nappa premium serta dilengkapi fungsi pengudaraan untuk meningkatkan keselesaan pemandu dan penumpang.
Fungsi urutan 10 titik pada tempat duduk pemandu dan penumpang barisan kedua membantu memberikan keselesaan tambahan, khususnya ketika menempuh perjalanan yang panjang.
Penumpang barisan kedua turut menikmati tempat duduk kapten Zero Gravity dengan perehat kaki elektrik dan pelarasan enam hala, memberikan sokongan serta keselesaan yang lebih baik sepanjang perjalanan.
Dari segi praktikaliti, model ini turut dilengkapi pelbagai ciri yang memudahkan penggunaan harian.
Sistem rel tempat duduk yang fleksibel, tempat duduk barisan ketiga yang boleh dilipat ke hadapan (tip-up) serta laluan tengah yang luas memudahkan pergerakan penumpang dan penyimpanan barangan.
Ruang bagasi berkapasiti antara 233 liter hingga 1,725 liter memberikan fleksibiliti untuk membawa barangan keperluan harian, kelengkapan kerja atau bagasi ketika bercuti bersama keluarga.
Sistem pembatalan hingar aktif HALOSonic, bersama cermin hadapan akustik dan kaca akustik pada pintu barisan pertama serta kedua, membantu mengurangkan bunyi luar bagi mewujudkan suasana kabin yang lebih tenang.
Sistem penyaman udara automatik tiga zon, penapis kabin CN95 dan sistem pemantauan kualiti udara dengan fungsi penulenan plasma melengkapkan ciri keselesaan di dalam kabin.
Setiap perincian direka untuk memastikan pemandu dan penumpang dapat menikmati perjalanan yang lebih menyenangkan, daripada barisan hadapan sehingga ke tempat duduk paling belakang.
Teknologi Pintar Kelas Pertama untuk Perjalanan Lebih Mudah
GWM WEY G9 Hi4 HEV turut menggabungkan ciri ketersambungan pintar, sistem hiburan premium dan pelbagai kemudahan moden bagi memberikan pengalaman penggunaan yang lebih lancar kepada pemandu serta penumpang.
Sistem infotainmen dengan skrin 14.6 inci, panel instrumen digital 12.3 inci dan paparan maklumat pemanduan di cermin hadapan (head-up display) membolehkan maklumat serta kawalan kenderaan diakses dengan lebih mudah.
Sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, pengecas tanpa wayar 50 watt serta sistem pengecaman suara enam zon meningkatkan kemudahan sepanjang perjalanan. Sistem audio premium dengan 21 pembesar suara pula menyediakan pengalaman hiburan yang lebih menyeluruh di dalam kabin.
Ciri kemudahan luaran merangkumi pintu gelangsar berkuasa pada kedua-dua sisi, pintu but automatik dengan sensor, sistem kemasukan tanpa kunci untuk keseluruhan kenderaan, fungsi active access dan sistem penguncian automatik apabila pengguna meninggalkan kenderaan (walk-away locking). Pengguna juga boleh mengawal fungsi kenderaan tertentu dari jauh melalui aplikasi mudah alih GWM.
Bagi memudahkan pemanduan dan parkir, model ini dilengkapi cermin pandang belakang digital, kamera pandangan sekeliling 360 darjah dengan paparan casis lutsinar serta sistem parkir automatik sepenuhnya.
Keseluruhan teknologi ini bukan sahaja meningkatkan keselesaan, malah membantu menjadikan pengalaman pemanduan lebih praktikal, mudah diakses dan menyeronokkan untuk semua pengguna.
Keyakinan Kelas Pertama dengan Ciri Keselamatan Menyeluruh
GWM WEY G9 Hi4 HEV turut dilengkapi pelbagai ciri keselamatan dan sistem bantuan pemandu pintar bagi membantu meningkatkan keyakinan ketika memandu dalam pelbagai keadaan.
Kelengkapan keselamatan merangkumi enam beg udara SRS, termasuk beg udara tirai sisi sepanjang 3,107 mm, serta rangkaian sistem bantuan pemandu pintar yang komprehensif.
Antara ciri yang disediakan ialah Kawalan Jelajah Adaptif Pintar dengan fungsi Kawalan Selekoh Pintar (Intelligent Adaptive Cruise Control with Intelligent Cornering), Bantuan Pemanduan dalam Kesesakan Trafik (Traffic Jam Assist), Bantuan Mengekalkan Kedudukan di Tengah Lorong (Lane Centre Keeping), Bantuan Penukaran Lorong (Lane Change Assistance), Pengesan Titik Buta, Amaran Trafik Lintas Belakang dan Brek Automatik, Amaran Pembukaan Pintu serta Sistem Mitigasi Pelanggaran Sekunder.
Rangkaian ciri ini direka untuk membantu pemandu menghadapi pelbagai situasi pemanduan, termasuk kesesakan di kawasan bandar, pergerakan di lebuh raya dan perjalanan jarak jauh dengan lebih yakin.
Pengalaman Kelas Pertama Mengikut Gaya Anda
GWM WEY G9 Hi4 HEV ditawarkan dengan pilihan warna luaran dan kemasan dalaman yang direka untuk memenuhi cita rasa pelanggan, selain disertakan pakej pemilikan yang komprehensif.
Pilihan warna luaran:
Aurora White: Penampilan bersih dan elegan yang kekal menawan.
Wisdom Grey: Gaya moden dengan sentuhan sofistikated.
Nebula Black: Reka bentuk berkarakter yang menyerlahkan imej eksklusif.
Tema dalaman:
Hitam dengan bumbung kelabu: Gabungan kemasan yang elegan dan kontemporari.
"Takrif kemewahan terus berubah mengikut keperluan pengguna. Kemewahan pada hari ini bukan hanya tentang bahan premium atau ciri yang mengagumkan, tetapi juga bagaimana sesebuah kenderaan mampu memberikan pengalaman yang bermakna dan memenuhi keperluan kehidupan seharian," kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Operasi, GWM Malaysia.
"Melalui GWM WEY G9 Hi4 HEV baharu, kami menggabungkan prestasi hibrid pintar, keselesaan premium dan teknologi canggih untuk menjadikan setiap perjalanan lebih istimewa. Ketika kami memperluas rangkaian GWM WEY G9, matlamat kami kekal sama, iaitu menawarkan pengalaman Kelas Pertama yang mengutamakan keselesaan dan keperluan setiap individu, sama ada sebagai pemandu atau penumpang," tambah beliau.
Harga dan Pakej Pemilikan
GWM WEY G9 Hi4 HEV baharu kini ditawarkan di pasaran Malaysia pada harga runcit RM249,800.00*, bersama promosi pengenalan serta pakej manfaat pemilikan yang merangkumi:
Waranti kenderaan selama enam tahun tanpa had perbatuan.
Waranti bateri voltan tinggi, motor pacuan elektrik dan unit kawalan motor elektrik selama lapan tahun atau 180,000 km, mengikut mana-mana yang terdahulu.
Perkhidmatan telematik kenderaan percuma selama lima tahun.
RFID GWM Touch 'n Go.
*Tertakluk pada terma dan syarat.
Dua Pilihan, Satu Pengalaman Kelas Pertama
Pengenalan GWM WEY G9 Hi4 HEV baharu menambah satu lagi pilihan dalam rangkaian mobiliti premium berelektrik GWM Malaysia. Sama ada memilih varian PHEV atau HEV, pelanggan tetap dapat menikmati gabungan prestasi pintar, keselesaan premium, teknologi moden dan ciri keselamatan yang direka untuk memenuhi keperluan perjalanan mereka.




















Komen