TQ WULING Porta EV Dilancarkan, Harga Bermula RM99,800

TQ WULING secara rasmi melancarkan TQ WULING Porta EV, sebuah van komersial elektrik sepenuhnya yang dibangunkan untuk memenuhi keperluan perniagaan di Malaysia yang memerlukan pengangkutan harian yang praktikal, menjimatkan kos dan menghasilkan pelepasan emisi yang rendah.

Hadir dalam dua pilihan jarak perjalanan, iaitu 300km dan 400km berdasarkan penarafan CLTC, Porta EV memperluaskan penawaran kenderaan elektrik (EV) TQ WULING ke dalam segmen pengangkutan komersial. Model ini menyasarkan pengendali armada besar, syarikat multinasional, penyedia perkhidmatan logistik serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh Malaysia.

Porta EV menggabungkan ruang kargo yang luas, kapasiti muatan yang kompetitif, sokongan pengecasan pantas dan sistem rangkaian kuasa elektrik yang direka khusus. Gabungan ini turut bertujuan membantu perniagaan mengurangkan perbelanjaan operasi serta kos penyelenggaraan sepanjang tempoh pemilikan.

Porta EV ditawarkan dalam dua varian berikut:
Varian | Semenanjung Malaysia | Malaysia Timur |
400km* | RM105,800 | RM108,800 |
300km* | RM99,800 (anggaran) | RM102,800 (anggaran) |
Harga atas jalan bagi pendaftaran kenderaan komersial atas nama syarikat, tidak termasuk insurans. *Jarak perjalanan berdasarkan penarafan CLTC.

“Bagi sesebuah perniagaan, kenderaan komersial memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran operasi harian. Kenderaan ini perlu menawarkan prestasi yang baik, kebolehpercayaan serta keupayaan untuk beroperasi setiap hari dengan cekap dan menjimatkan kos. Pendekatan inilah yang menjadi asas pembangunan Porta EV.
“Daripada aspek ruang kargo dan kapasiti muatan hinggalah kepada keupayaan pengecasan serta kos penyelenggaraan, kami memberi keutamaan kepada keperluan sebenar pengendali kenderaan komersial,” kata Wan Wei Sun, Ketua Perniagaan TQ Manufacturing Sdn. Bhd.
Beliau turut menjelaskan bahawa Porta EV dibangunkan bagi menjadikan peralihan kepada mobiliti komersial elektrik lebih praktikal dan berdaya maju dari sudut perniagaan.

“Dibangun untuk menjana pendapatan, direka untuk menjimatkan kos” bukan sekadar slogan, sebaliknya mencerminkan matlamat kami untuk menawarkan penyelesaian yang memenuhi keperluan perniagaan di Malaysia,” tambah beliau.
Dibangunkan untuk operasi perniagaan harian
Sebagai sebuah van panel bersaiz penuh, Porta EV mempunyai ukuran panjang 5,010 mm, lebar 1,800 mm dan tinggi 1,975 mm bagi varian 400km. Varian 300km pula mempunyai ketinggian 1,960 mm. Kedua-dua varian berkongsi jarak roda sepanjang 3,050 mm.

Ruang kargonya berukuran 2,830 mm panjang, 1,680 mm lebar dan 1,365 mm tinggi, dengan kapasiti sehingga 6.5 meter padu. Ruang ini sesuai untuk pelbagai keperluan pengangkutan barangan, penghantaran, logistik dan kegunaan komersial.

Bagi memudahkan urusan pemunggahan serta meningkatkan kecekapan pengendalian barangan, Porta EV dilengkapi beberapa ciri utama seperti berikut:
Kapasiti muatan maksimum sehingga 1,105 kg bagi varian 400km
Dua pintu gelangsar sisi dengan lebar bukaan 777 mm
Pintu belakang jenis barn door yang boleh dibuka sehingga 270 darjah
Ketinggian pemuatan serendah 595 mm
Struktur badan monokok yang menggunakan 83% keluli berkekuatan ultra tinggi
Pintu belakang yang boleh dibuka luas membolehkan forklift memasuki ruang kargo secara terus. Dengan lebar bukaan pintu belakang 1,366 mm, Porta EV turut mampu memuatkan palet standard berukuran 1,100 x 1,100 mm.

Pada masa sama, ketinggian pemuatan 595 mm membantu memudahkan proses mengangkat, memuatkan dan menurunkan barangan, sekali gus mengurangkan tenaga yang diperlukan dalam operasi harian.
Rangkaian kuasa elektrik yang canggih dan cekap
Porta EV menggunakan motor berkecekapan tinggi berasaskan teknologi silikon karbida (silicon carbide atau SiC) yang menghasilkan kuasa 75 kW dan tork 180 Nm.

Sistem ini memberikan tindak balas kuasa segera serta tork yang baik pada kelajuan rendah, menjadikannya sesuai untuk kegunaan komersial di kawasan bandar yang melibatkan pemanduan kerap berhenti dan bergerak.
Bagi sistem bateri, Porta EV menggunakan teknologi MAGIC EV WULING yang direka dengan penekanan terhadap ketahanan, perlindungan haba dan integriti struktur.

Bateri MAGIC EV WULING telah melalui pelbagai ujian keselamatan, termasuk ujian suhu tinggi, tusukan, hentaman, getaran dan banjir. Reka bentuk struktur bersepadu pelbagai fungsi dikatakan meningkatkan kekuatan struktur elektromagnet sebanyak lebih 60%.
Selain itu, pembinaan modular membolehkan sel bateri tertentu dibaiki atau diganti apabila diperlukan. Pendekatan ini berpotensi mengurangkan kos pembaikan dan penyelenggaraan bateri sepanjang hayat kenderaan sehingga 90%.

Menurut TQ WULING, teknologi bateri MAGIC EV WULING telah digunakan dalam lebih daripada 3 juta kenderaan tenaga baharu di seluruh dunia, tanpa kejadian kebakaran atau letupan bateri dilaporkan dalam armadanya.
Dari segi pengecasan, Porta EV menyokong pengecasan arus terus (DC) untuk pengecasan pantas ketika waktu operasi, selain pengecasan arus ulang-alik (AC) yang sesuai untuk kegunaan semalaman di premis perniagaan atau depoh kenderaan.
Varian | Pengecasan pantas DC (30%–80%) | Pengecasan AC (20%–80%) |
400km* | 20 minit | 6.75 jam |
300km* | 30 minit | 5.15 jam |
*Jarak perjalanan berdasarkan penarafan CLTC.
Gabungan pengecasan DC dan AC membolehkan pengendali memilih kaedah pengecasan mengikut keperluan operasi masing-masing. Ini termasuk pengecasan semalaman di premis perniagaan, depoh armada atau penggunaan kemudahan pengecasan pantas ketika kenderaan perlu kembali beroperasi dalam tempoh singkat.

Ciri keselamatan dan kemudahan untuk pemandu
Memandangkan kenderaan komersial lazimnya menghabiskan banyak masa di jalan raya, Porta EV dilengkapi struktur perlindungan serta pelbagai ciri keselamatan aktif dan pasif, antaranya:
Dua beg udara hadapan
Sistem Brek Anti-Kunci (ABS)
Sistem Agihan Daya Brek Elektronik (EBD)
Sistem Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC)
Sistem Kawalan Cengkaman
Sistem Bantuan Mula Mendaki (Hill Start Assist)
Sistem Amaran Pejalan Kaki pada Kelajuan Rendah
Kamera undur dan sensor undur
Sistem antikecurian
Bagi meningkatkan keselesaan pemandu sepanjang perjalanan, kabin Porta EV dilengkapi paparan instrumen TFT bersaiz 3.5 inci, tempat duduk dengan pelarasan empat arah dan sistem penyaman udara dengan kawalan elektronik.

Van ini turut menampilkan unit infotainmen bersaiz 8 inci yang menyokong sambungan Bluetooth, MP3 dan USB.
Kos operasi lebih rendah, kecekapan armada lebih tinggi
Bagi perniagaan yang mengendalikan kenderaan komersial, kos pemilikan bukan hanya bergantung pada harga pembelian. Perbelanjaan penyelenggaraan dan operasi sepanjang tempoh penggunaan turut menjadi pertimbangan penting.
Porta EV dibangunkan dengan matlamat mengurangkan perbelanjaan penyelenggaraan berterusan. Servis berkala ditetapkan setiap enam bulan atau 10,000 km, mengikut mana-mana yang terdahulu, dengan jumlah kos penyelenggaraan dianggarkan kurang daripada RM2,000 dalam tempoh lima tahun.

Menurut TQ WULING, angka tersebut mewakili penjimatan hampir 65% berbanding van komersial diesel konvensional dari segi kos penyelenggaraan. Penjimatan ini berpotensi membantu perniagaan menguruskan perbelanjaan armada untuk jangka panjang dengan lebih berkesan.
Bagi pengendali yang mempunyai beberapa kenderaan, kos penyelenggaraan yang lebih rendah serta jadual servis yang teratur juga dapat membantu perancangan bajet dan pengurusan penggunaan armada.

Jaminan menyeluruh dan sokongan selepas jualan di seluruh negara
Untuk menyokong penggunaan jangka panjang, TQ WULING Porta EV ditawarkan dengan beberapa perlindungan jaminan seperti berikut:
Kenderaan: 5 tahun atau 120,000 km
Motor pacuan, bateri EV dan sistem pengurusan bateri (BMS): 5 tahun atau 200,000 km
Sel bateri EV: 6 tahun atau 300,000 km
Semua perlindungan jaminan tertakluk pada tempoh atau jarak perjalanan yang dicapai terlebih dahulu.
Bagi urusan penyelenggaraan dan selepas jualan, pemilik boleh mendapatkan perkhidmatan menerusi rangkaian Tan Chong Ekspress Auto Servis (TCEAS). Sebanyak 28 pusat servis di seluruh negara telah menerima latihan berkaitan penyelenggaraan kenderaan TQ WULING.
Rangkaian pusat servis ini merangkumi lokasi utama di zon Tengah, Utara, Selatan dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia, selain Malaysia Timur. Liputan tersebut bertujuan memudahkan akses kepada perkhidmatan penyelenggaraan serta membantu memastikan kenderaan dapat terus digunakan untuk operasi perniagaan.
Pakej early-bird untuk pelanggan terawal
Tempahan bagi kedua-dua varian Porta EV kini dibuka. Pelanggan boleh membuat tempahan melalui laman web rasmi TQ WULING di tqwuling.my dengan bayaran RM500 atau mengunjungi bilik pameran TQ WULING di seluruh negara.

Sempena pelancaran model ini, TQ WULING turut menawarkan pakej early-bird eksklusif kepada pelanggan yang membuat tempahan sepanjang tempoh promosi, merangkumi:
Pengecas EV wallbox 7 kW percuma bernilai RM3,500
Pengecas EV mudah alih dengan palam tiga pin percuma
Penyelenggaraan berkala percuma sehingga 60,000 km atau tiga tahun
Pakej ini bertujuan membantu mengurangkan kos permulaan bagi perniagaan yang ingin beralih kepada kenderaan komersial elektrik. Kemudahan pengecasan dan penyelenggaraan yang disertakan juga dapat menyokong keperluan pemilik pada peringkat awal penggunaan.
Porta EV dipamerkan di bilik pameran TQ WULING terpilih
Pelanggan dan pemilik perniagaan berpeluang melihat sendiri TQ WULING Porta EV di bilik pameran terpilih pada 17 hingga 18 Oktober 2026.
Maklumat mengenai lokasi bilik pameran yang mengambil bahagian boleh didapati menerusi laman web rasmi tqwuling.my.
Dengan jarak perjalanan sehingga 400 km CLTC, kapasiti muatan maksimum 1,105 kg, ruang kargo 6.5 meter padu serta kos penyelenggaraan yang rendah, TQ WULING Porta EV menawarkan satu lagi pilihan kenderaan elektrik untuk sektor komersial.
Model ini menyasarkan perniagaan yang ingin meningkatkan kecekapan operasi armada sambil meneroka peralihan secara berperingkat daripada van konvensional kepada mobiliti komersial elektrik.
Dicipta untuk menjana pendapatan, direka untuk menjimatkan kos.




















Komen