PROTON X50 Sport Edition Serba Baharu Dibuka Untuk Tempahan, Tampil Lebih Sporty

Jenama automotif nasional PROTON kini membuka tempahan bagi PROTON X50 Sport Edition (SE) Serba Baharu, yang diperkenalkan bersempena ulang tahun keenam SUV terlaris di Malaysia itu. Berasaskan varian Flagship, SE menerima 15 penambahbaikan eksklusif pada bahagian luaran dan dalaman, memberikan penampilannya imej yang lebih berani dan sporty.

PROTON X50 pertama kali diperkenalkan pada 27 Oktober 2020 dan sehingga kini telah merekodkan jualan terkumpul melebihi 177,000 unit di pasaran domestik serta eksport. Pencapaian ini mengukuhkan kedudukannya sebagai SUV PROTON paling berjaya dan SUV segmen-B terlaris di negara ini selama lima tahun berturut-turut. Sepanjang enam tahun berada di pasaran, model ini terus menerima penambahbaikan dari aspek reka bentuk, prestasi, teknologi dan keselamatan, sekali gus mengekalkan tarikannya dalam kalangan pemandu Malaysia.

“PROTON X50 telah melalui perkembangan yang ketara sepanjang enam tahun lalu, dengan perjalanannya mencerminkan usaha PROTON dalam memenuhi perubahan keperluan dan jangkaan pelanggan. PROTON X50 Sport Edition Serba Baharu menjadi perkembangan terbaharu bagi model ini, menampilkan karakter yang lebih tersendiri dan sporty tanpa mengetepikan prestasi, teknologi serta keselamatan yang telah menjadi pilihan pelanggan. Menerusi penambahbaikan eksklusif ini, kami memberikan pelanggan satu lagi pilihan untuk menikmati PROTON X50 sambil menampilkan personaliti mereka sendiri,” kata Dato’ Abdul Rashid Musa, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, PROTON.
LEBIH SPORTY DENGAN REKA BENTUK LUARAN DAN DALAMAN
PROTON X50 SE Serba Baharu hadir dengan 15 penambahbaikan eksklusif pada bahagian luaran dan dalaman, membentuk identiti visual yang lebih tersendiri serta menyerlahkan karakter SUV ini yang lebih berani dan sporty.

Pada bahagian luaran, kemasan serba hitam menjadi tema utama, dengan aksen merah kontras yang menambahkan sentuhan sporty. Antara perubahan utama termasuk Black Front Upper Garnish, Black Front Side Port Trim Garnish, Black Lower Bumper Garnish dan Black Rear Side Port Trim Garnish, selain rim aloi 18-inci berwarna hitam.
PROTON X50 SE Serba Baharu turut menerima skirting khusus pada bahagian hadapan, sisi dan belakang untuk memberikan profil yang lebih dinamik. Identiti luarannya kemudian dilengkapkan dengan lencana eksklusif Sport Edition.

Tema sporty diteruskan ke ruang kabin menerusi kemasan dalaman berwarna hitam bersama jahitan merah pada stereng dan tempat duduk. Tempat duduk hadapan turut dihiasi sulaman Sport Edition, manakala bahagian lantai menerima kemasan Sport Edition serta tikar lantai TPE untuk melengkapkan penampilan dalaman.
Tikar lantai TPE tersebut direka dengan mengambil kira penggunaan harian dalam cuaca Malaysia. Ia ringan, fleksibel dan cepat kering, menjadikannya praktikal untuk keadaan hujan serta kelembapan tinggi yang biasa dialami di Malaysia.
DIREKA UNTUK TAHAN LASAK
Selain menampilkan rupa yang lebih menyerlah, penambahbaikan pada PROTON X50 SE Serba Baharu turut dibangunkan bagi memenuhi keperluan penggunaan harian di Malaysia. Semua komponen SE melalui proses pengesahan yang ketat bagi memastikan tahap ketahanan serta kesesuaiannya dengan keadaan pemanduan tempatan.

PROTON X50 SE Serba Baharu telah melalui lebih 13,700 jam ujian yang merangkumi aspek ketahanan, rintangan kakisan, sinaran UV serta kesesuaian terhadap iklim Malaysia. Ujian tersebut dijalankan bagi menilai keupayaan komponen untuk menghadapi pendedahan berpanjangan kepada keadaan pemanduan harian dan cuaca tropika negara.
Rangkaian ujian ini menunjukkan komitmen PROTON dalam memastikan penambahbaikan yang diberikan pada PROTON X50 SE Serba Baharu bukan sekadar meningkatkan penampilannya, tetapi turut memenuhi tahap ketahanan yang diperlukan bagi sebuah kenderaan yang dibangunkan untuk pemandu Malaysia.
BERASASKAN ASAS X50 YANG TERBUKTI
Dengan menggunakan varian Flagship sebagai asas, PROTON X50 SE Serba Baharu terus mengekalkan ciri teras yang telah menjadi sebahagian daripada identiti model ini sejak awal diperkenalkan. Kuasa datang daripada enjin i-GT 1.5-litre empat silinder turbo yang dipadankan dengan DCT 7-kelajuan, menghasilkan 181 PS dan 290 Nm. PROTON X50 mampu memecut dari 0–100 km/j dalam hanya 7.6 saat, selain menawarkan penggunaan bahan api sebanyak 6.1L/100 km untuk menggabungkan prestasi responsif dengan kecekapan ketika pemanduan bandar atau perjalanan jarak jauh.
Bagi pengalaman pemanduan yang lebih berhubung, PROTON X50 SE Serba Baharu dilengkapi Unit Kepala Infotainmen 14.6-inci dengan sokongan Apple CarPlay® dan Android Auto™ tanpa wayar, PROTON Link 2.0 serta Arahan Suara ‘Hi PROTON’ dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
Aspek keselamatan turut dikekalkan sebagai antara keutamaan PROTON X50, dengan 15 ciri Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS). Antaranya termasuk Auto Park Assist (APA), Kamera HD 360° dengan Paparan Telus 180° serta pelbagai fungsi keselamatan pintar yang membantu memberikan keyakinan lebih tinggi ketika memandu di jalan raya.
Secara keseluruhan, PROTON X50 SE Serba Baharu tampil dengan identiti yang lebih berani dan ekspresif, sambil mengekalkan prestasi, teknologi serta keselamatan yang telah mengukuhkan kedudukannya sebagai King of SUVs PROTON. Dengan karakter sporty dan identiti baharu yang lebih tersendiri, King of SUVs ini memasuki fasa seterusnya dengan nafas baharu, bersedia untuk terus menarik perhatian dalam segmen B-SUV Malaysia yang kompetitif.
TEMPAHAN KINI DIBUKA
PROTON X50 SE Serba Baharu diperkenalkan bagi menandakan enam tahun sejak PROTON X50 mula berada di pasaran Malaysia, menggabungkan kelebihan varian Flagship dengan penambahbaikan gaya eksklusif serta karakter yang lebih sporty.
PROTON X50 SE Serba Baharu menawarkan pelanggan satu pilihan eksklusif untuk menjadikan X50 lebih dekat dengan personaliti mereka, sambil mengekalkan ciri-ciri utama yang telah membentuk identiti model ini sejak diperkenalkan.




















Komen