top of page

Audi Q5 Baharu Dilancarkan di Malaysia

  • Writer: Anna Chong
    Anna Chong
  • 1 hari lalu
  • 6 min membaca

Audi Q5 Advanced
Audi Q5 Advanced

PHS Automotive Malaysia (PHSAM) hari ini telah mengumumkan pelancaran Audi Q5 Advanced dan Audi Q5 Sportback S line baharu. Audi Q5 generasi ketiga ini ditawarkan pada harga jualan disyorkan RM352,990 bagi Q5 Advanced dan RM421,990 bagi Q5 Sportback S line.


Audi Q5 Advanced
Audi Q5 Advanced

“Inilah kemajuan yang boleh anda lihat dan rasa. Dua varian berbeza, dengan satu janji yang sama: untuk tampil mengagumkan dalam setiap detik,” kata Renate Noessler, Pengarah Urusan PHSAM.

“Ia mencerminkan visi kami terhadap kemajuan, serta komitmen kami dalam menawarkan yang terbaik dari segi reka bentuk, prestasi dan teknologi. Kami yakin keluarga Q5 baharu ini akan menetapkan penanda aras baharu dalam segmen SUV premium di Malaysia,” tambah beliau.


Audi Q5 Sportback S line
Audi Q5 Sportback S line

Penampilan Penuh Keyakinan, Disempurnakan

Audi Q5 terus meneruskan warisannya sebagai SUV serba boleh yang sporty untuk kegunaan harian. Antara perintis dalam segmennya, varian Audi Q5 ini menggabungkan teknologi canggih dengan pengalaman pemanduan yang dinamik. Reka bentuk luaran keluarga Audi Q5 yang serba baharu mencerminkan komitmen Audi untuk memperkukuh reka bentuk progresif dengan bahasa reka bentuk baharu.


Audi Q5 Sportback S line
Audi Q5 Sportback S line

Dibina berasaskan seni bina Premium Platform Combustion (PPC) yang dikhususkan untuk enjin pembakaran dalaman, Audi Q5 direka untuk menawarkan kenikmatan pemanduan yang tinggi serta rangkaian kuasa yang lebih maju. Platform ini turut mencerminkan pendekatan Audi terhadap mobiliti mampan, dengan integrasi teknologi yang bukan sahaja meningkatkan prestasi kenderaan, malah membantu mengurangkan impak terhadap alam sekitar.


Bagi Q5 Advanced, siluetnya dibentuk menerusi garis badan yang kemas dan seimbang, diserlahkan lagi dengan rim 19 inci rekaan 10-Arm Aero, kemasan gril Advanced dan bampar khusus yang memberi imej elegan, namun berkuasa. SUV serba boleh ini tampil yakin tanpa keterlaluan, dan elegan tanpa perlu mencuba.



Q5 Sportback S line pula membawa siluet coupé yang lebih dinamik dan dramatik. Garis bumbung yang melandai, kemasan gril S line, emblem S line pada bahagian sisi serta tempat duduk, dan bampar S line memberikan penampilan yang lebih agresif walaupun sebelum ia mula bergerak. Pendirian badan yang atletik tersebut diperkukuh dengan rim Audi Sport 20 inci rekaan 5-twin-spoke twist serta angkup brek merah.


Kedua-dua varian ditawarkan dalam pilihan warna metalik yang menyerlah iaitu Grenadine Red, Mythos Black dan Glacier White. Q5 Sportback S line turut ditawarkan dalam warna Daytona Grey Pearl dan District Green Metallic, manakala Q5 Advanced pula boleh didapati dalam pilihan Navarra Blue dan Tambora Grey.



Pencahayaan Menyerlah, Setiap Hari

Keluarga Q5 baharu dilengkapi teknologi pencahayaan terkini yang bukan sekadar menerangi jalan, tetapi turut memberi elemen persembahan visual tersendiri. Lampu utama Matrix LED menawarkan pencahayaan jalan yang lebih tepat dan adaptif tanpa menyilaukan pengguna jalan raya lain. Sistem ini mampu memadamkan LED tertentu secara selektif bagi membentuk laluan cahaya yang optimum, sekali gus memastikan tahap penglihatan terbaik dalam pelbagai keadaan. Lampu utama ini juga hadir dengan Digital Light Signatures serta pertunjukan cahaya Coming/Leaving Home untuk pengalaman yang lebih eksklusif.


Selain itu, kedua-dua varian turut dilengkapi LED Rear Lights Pro. Bagi Q5 Sportback S line, ia ditambah dengan Next Generation Projection Brake Light, yang memancarkan isyarat amaran pada cermin belakang ketika membrek bagi memberi amaran kepada pemandu di belakang dan meningkatkan keselamatan jalan raya.


Audi Q5

Prestasi Mantap, Disampaikan Dengan Ketepatan

Audi Q5 direka untuk menawarkan prestasi pemanduan yang bertenaga dan cekap, menggunakan teknologi enjin terkini Audi. Kuasa disalurkan menerusi transmisi klac berkembar 7-kelajuan S tronic, yang memberikan penukaran gear lancar, responsif dan mengujakan. Sistem Audi Drive Select pula membolehkan pemandu melaraskan karakter kenderaan mengikut gaya pemanduan, termasuk respons pendikit, berat stereng dan tetapan suspensi. Sama ada untuk pemanduan santai atau pengalaman yang lebih dinamik, semuanya boleh disesuaikan ketika bergerak.


Di bawah bonet, Q5 Advanced dikuasakan enjin 2.0 liter TFSI yang menghasilkan 199PS, menawarkan pemanduan yang lancar, responsif dan yakin. Q5 Sportback S line pula menggunakan enjin 2.0 liter TFSI yang sama, namun outputnya dipertingkat kepada 272PS untuk prestasi yang lebih bertenaga.


Audi Q5

Tetapan suspensi lebih sporty pada Q5 Sportback S line meningkatkan ketangkasan dan keterlibatan pemandu. Sistem pacuan semua roda kekal quattro legenda Audi pula memastikan cengkaman serta pengendalian optimum dalam pelbagai keadaan jalan, memberikan keyakinan dan kawalan yang lebih tinggi kepada pemandu.


Dalaman Mewah Yang Direka Khas untuk Anda

Melangkah ke dalam kabin, Q5 menampilkan ruang dalaman yang direka khusus untuk pemandu, berteraskan manusia dan digital yang mudah digunakan. Kabin yang luas dan pelbagai fungsi ini dibina dengan bahan premium, menjadikannya sentiasa selesa dan mengundang untuk pemandu serta penumpang.



Tempat duduk hadapan direka secara ergonomik, manakala tempat duduk belakang menawarkan ruang kaki dan ruang kepala yang lapang. Kedua-dua varian turut dilengkapi cermin penebat haba, sementara Q5 Sportback S line menerima fungsi ventilasi tempat duduk yang memberi keselesaan tambahan dalam cuaca Malaysia.


Q5 Advanced menampilkan suasana dalaman elegan dengan kemasan Lime Sediment Natural, sesuai untuk keluarga moden yang mengutamakan ketenangan dan keselesaan, terutama menerusi tempat duduk hadapan dan belakang yang lebih selesa.


Sementara itu, Q5 Sportback S line tampil dengan suasana kabin lebih sporty menerusi kemasan Carbon Micro Twill dan stereng S line sport beralas rata. Tempat duduk sport di bahagian hadapan menawarkan posisi pemanduan yang lebih tepat serta sokongan sisi lebih jelas, tanpa mengorbankan fungsi dan kemewahan yang sinonim dengan setiap model Audi.


Audi Q5 Advanced

Pentas Digital, Diberi Nafas Baharu

Audi Q5 dilengkapi paparan panorama OLED MMI bersaiz 14.5 inci berbentuk melengkung, menjadi titik tumpu utama kokpit yang direka dengan penuh ketelitian. Sistem Audi Virtual Cockpit Plus pula menyediakan kluster instrumen digital sepenuhnya bersaiz 11.9 inci, dengan paparan yang boleh disesuaikan mengikut kehendak pemandu. Antara pilihan paparan termasuk mod dinamik yang meletakkan takometer dan meter kelajuan sebagai elemen utama. Skrin sentuh MMI membolehkan kawalan intuitif terhadap navigasi, media dan tetapan kenderaan, lengkap dengan maklum balas haptik untuk rasa penggunaan yang lebih nyata. Dengan maklumat trafik masa nyata dan peta satelit Google, panduan laluan dapat disarankan dengan lebih pintar.


Audi Assistant baharu yang dikuasakan oleh ChatGPT pula meningkatkan pengalaman setiap pemanduan melalui kawalan suara yang semula jadi dan mudah digunakan. Sistem ini memahami arahan harian, menyampaikan maklumat masa nyata, serta melaraskan ciri keselesaan dengan mudah. Melalui cadangan proaktif dan rutin yang diperibadikan, ia mampu menjangka keperluan pemandu, menjadikan setiap perjalanan lebih pintar, lancar dan premium.



Dengan Audi Connect, Q5 sentiasa berada dalam capaian pemilik. Pengguna boleh mengesan lokasi kenderaan, mengunci atau membuka kunci, menyemak status kenderaan dan menerima amaran kecurian menerusi telefon pintar. Sekiranya berlaku kemalangan serius, kenderaan boleh menghubungi pusat Audi Emergency Call untuk mendapatkan bantuan secara automatik.


Kedua-dua varian juga menyokong fungsi Digital Key baharu dan inovatif, yang membolehkan pengguna utama mengunci, membuka kunci dan menghidupkan kenderaan menggunakan telefon pintar tanpa perlu menggunakan kunci fizikal. Pengecas tanpa wayar pantas dengan sistem penyejukan adaptif turut disediakan, selain sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar untuk sambungan lebih lancar.


Audi Q5 Sportback S line

Q5 turut dilengkapi empat port pengecasan pantas Type-C di bahagian hadapan dan belakang. Bagi Q5 Sportback S line, kapasiti pengecasan menyokong sehingga 60 watt di hadapan dan sehingga 100 watt di belakang, membolehkan peranti lebih besar seperti komputer riba dicas dengan selamat ketika dalam perjalanan.


Selain itu, Q5 Sportback S line turut mempunyai Head-up Display, yang memaparkan maklumat penting kenderaan dan navigasi pada cermin hadapan, tepat dalam pandangan pemandu, bagi menjadikan setiap pemanduan lebih lancar. Sistem Bunyi Premium Bang & Olufsen 3D, yang dikuasakan oleh teknologi Symphoria daripada Fraunhofer, menghadirkan pengalaman bunyi keliling yang luar biasa untuk suasana yang benar-benar mengasyikkan, menjadikan setiap pemanduan menyeronokkan tanpa mengira cuaca atau keadaan jalan raya.


Audi Q5 Sportback S line

Keselesaan yang Memberi Kebebasan

Q5 membuktikan bahawa karakter atletik masih boleh hadir bersama kepraktisan seharian. Ruang bagasinya menawarkan kapasiti yang luas, menjadikannya teman sempurna untuk urusan harian mahupun perjalanan jarak jauh. Dengan sistem pembukaan but tanpa sentuhan, pengguna hanya perlu melakukan gerakan kaki ringkas ke dalam dan keluar di bawah bahagian tengah bampar belakang untuk membuka but, berpandukan lampu unjuran di bahagian bawah kiri.


Audi Q5 Sportback S line

Q5 Advanced menawarkan kapasiti bagasi sebanyak 520 liter, yang boleh diperluas sehingga 1,473 liter apabila tempat duduk belakang dilipat. Ia kekal sebagai SUV serba boleh, direka untuk perjalanan menghantar anak ke sekolah, perjalanan jarak jauh bagi tujuan perniagaan, dan juga percutian spontan, lengkap dengan kawalan penyaman udara Deluxe 3-zon menerusi panel sentuh.


Audi Q5 Sportback S line

Bagi Q5 Sportback S line pula, dengan profil coupé yang dramatik, menawarkan ruang bagasi sehingga 515 liter, yang boleh diperluas kepada 1,415 liter apabila dikonfigurasi semula, memberikan karakter dinamik tanpa mengorbankan kegunaan harian.


Kepintaran Yang Melindungi

Kedua-dua varian dilengkapi dengan pakej keselamatan komprehensif yang merangkumi sistem bantuan pemandu termaju (ADAS). Teknologi pintar ini membantu meningkatkan kesedaran pemandu dan mencegah kemalangan, bagi memastikan setiap perjalanan lebih selamat dan terjamin.


Audi Q5 Sportback S line

Sebagai standard, kedua-dua model dimuatkan dengan Audi Pre Sense, yang menyediakan perlindungan proaktif kepada penumpang serta menjangka situasi kritikal. Turut disertakan ialah Adaptive Cruise Control, Blind Spot Monitoring dengan Exit Warning, Lane Departure Warning dan kamera Surround View 360° yang memberikan kesedaran situasi dari setiap sudut.


Ciri Rear Occupant Detection juga tersedia, direka untuk memberi amaran kepada pemandu sekiranya penumpang di tempat duduk belakang, seperti kanak-kanak kecil, masih berada di dalam kenderaan selepas pemandu keluar.



Ownership, Redefined.

Setiap Audi Q5 baharu didatangkan dengan waranti pengeluar selama 2 tahun tanpa had perbatuan, dilengkapi 5 tahun penyelenggaraan percuma dan 5 tahun bantuan tepi jalan.


Pakej Audi Assurance Package (AAP) pula menawarkan tambahan perlindungan waranti pengeluar selama 3 tahun, menjadikan jumlah keseluruhan waranti kepada 5 tahun atau sehingga 150,000 km, mana-mana yang terdahulu. Pakej AAP turut merangkumi servis penyelenggaraan selama 5 tahun/75,000 km, mana-mana yang terdahulu, serta bantuan tepi jalan percuma selama 5 tahun.

Komen


KERETA TERKINI

ADVERTISEMENT

ADVERTISEMENT

PP-Icon-Light-Blue-Rounded-1200px.png
Pandu Pandu ialah platform automotif & gaya hidup yang lebih daripada sekadar info kereta dan acara automotif.
PP-Tagline.png
  • Facebook
  • Instagram
  • TikTok
  • Youtube

Maklumat di laman ini disediakan untuk tujuan maklumat dan umum sahaja. Pandu Pandu tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian yang timbul daripada penggunaan kandungan ini. Lihat Penafian Penuh untuk maklumat lanjut.

© 2026 Pandu Pandu, Spacerae Sdn. Bhd. 202001029234 (1385554-M). All rights reserved.

bottom of page