Auto Bavaria dan Kumpulan AFFIN Ganding Bahu untuk Perluas Infrastruktur Pengecasan EV bagi Pengangkutan Elektrik
- Panduman
- 18 Dis 2024
- 2 min membaca

Dalam satu langkah penting ke arah usaha meluaskan penggunaan pengangkutan elektrik di Malaysia, Auto Bavaria, pemimpin penyelesaian automotif premium, telah mengumumkan kerjasama strategik dengan Kumpulan AFFIN (“AFFIN” atau “Kumpulan”) untuk menambah infrastruktur pengecasan (EV) kenderaan elektrik negara. Kerjasama ini sejajar dengan matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) kedua-dua organisasi, yang bertujuan menggalakkan penyelesaian pengangkutan yang lebih bertanggungjawab.
Auto Bavaria, pengedar sah terbesar bagi pengeluar kenderaan premium, BMW Group di Malaysia, memang terkenal kerana komitmennya kepada inovasi dan kecemerlangan. Syarikat konglomerat automotif ini telah secara konsisten menyokong peralihan Malaysia kepada pengangkutan yang cekap dan pintar. Menerusi kerjasama dengan AFFIN, sebuah institusi kewangan yang berkongsi komitmen kukuh terhadap pemuliharaan dan kelestarian alam sekitar, Auto Bavaria bersedia untuk mempercepatkan penyediaan dan meluaskan capaian kepada kemudahan pengecasan EV di seluruh rantau ini.
Vi Thim Juan, Pengarah Urusan Auto Bavaria berkata, “Di Auto Bavaria, kami percaya bahawa kenderaan elektrik akan menjadi nadi penggerak pengangkutan masa depan. Kerjasama ini dengan AFFIN sesungguhnya memperlihatkan dedikasi kami mengukuhkan pembangunan infrastruktur EV dan menyokong peralihan Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon. Bersama-sama, kami memperkasakan para pemandu untuk membuat keputusan pengangkutan yang lebih bertanggungjawab dan mengurangkan jejak karbon dalam keperluan pemilikan kenderaan masing-masing.”
Datuk Wan Razly Abdullah, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank Berhad, amat teruja dengan kemudahan pengecasan EV yang bakal disediakan, sambil menekankan kerjasama jangka panjang dengan Auto Bavaria dan komitmennya ke arah kelestarian. “Kerjasama kami memaparkan komitmen tidak berbelah bagi AFFIN kepada agenda ESG, yang membawa kesan positif bagi masa depan sambil menyediakan pengalaman yang menyenangkan dan memuaskan pelanggan. Inisiatif ini sejajar dengan tunggak Pelan Strategi AX28, iaitu ‘Perkhidmatan Pelanggan Tiada Tandingan’ dan ‘Perbankan Bertanggungjawab yang Menghasilkan Kesan Bermakna’.”
Beliau menambah, “Memanfaatkan kepakaran kami dalam bidang pembiayaan kenderaan, kami bertekad untuk menjadikan EV lebih mudah dimiliki. Pelanggan boleh meneroka rangkaian pembiayaan EV kami, termasuk pilihan pembiayaan yang dirangka untuk memudahkan proses pembelian dan meningkatkan ketermampuan. Kami percaya ini akan memudahkan proses pemilikan EV, dan seterusnya memainkan peranan penting dalam peralihan kepada kaedah pergerakan lestari.”
Kerjasama ini membabitkan pemasangan tujuh unit Pengecas AC dan satu unit Pengecas DC di stesen pengecas EV Menara AFFIN, Tun Razak Exchange, yang merupakan Pusat Kewangan Antarabangsa Malaysia. Dengan memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur mesra alam, kedua-dua organisasi mengambil langkah proaktif untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan lestari dan kehidupan pintar dalam kalangan rakyat Malaysia.
Comments