top of page

BMW Group Malaysia mempersembahkan ‘Flame of the Forest’ – Projek Terbaharu Tajaan BMW Shorties oleh Krityishaa A/P Karunagaran.

  • Writer: Anna Chong
    Anna Chong
  • 7 hari lalu
  • 2 min membaca

Flame of the Forest

BMW Group Malaysia baru-baru ini menganjurkan tayangan perdana ‘Flame of the Forest’, sebuah karya tajaan BMW Shorties oleh Krityishaa A/P Karunagaran, Pemenang Hadiah Utama pertandingan BMW Shorties 2024, di Festival BMW Shorties 2025.

 

Flame of the Forest

BMW Shorties, inisiatif seni dan budaya untuk penciptaan kandungan digital yang paling lama di Malaysia anjuran BMW Group Malaysia, selama 19 tahun, terus mengetengahkan pengkarya baharu negara yang mencabar batas kreativiti dan penceritaan sosial.

 

‘Flame of the Forest’ mengisahkan seorang jururawat muda yang, ketika sepatutnya beliau menjaga neneknya, menyelinap keluar bagi merasai secebis kebebasan. Namun, kepulangannya disambut dengan satu kehilangan yang meruntuhkan keseimbangan halus keluarganya serta keyakinan dirinya sendiri. Berlatarbelakangkan akar komuniti India Malaysia di pekan kecil Kuala Terla, Cameron Highlands, kisah ini menyelami harapan antara generasi, kebanggaan budaya, serta kerinduan dalam diam terhadap kebebasan di sebalik struktur keluarga konservatif.



Menerusi projek ini, Krityishaa merakam ketegangan emosi seorang wanita muda yang berusaha mengimbangi kehendak peribadi dan harapan keluarga. Secara keseluruhannya, ‘Flame of the Forest’ menyingkap perjuangan yang mendalam dalam mencari identiti diri di bawah bayang tradisi.


“Flame of the Forest bermula dengan jalan cerita yang sama sekali berbeza, namun semakin saya dan penulis bersama, Gogu, berbincang mengenai projek ini, semakin jelas arah kisah yang ingin kami bawakan, sehingga akhirnya terbentuk seperti yang anda tonton hari ini. Kami yakin inilah kisah yang perlu disampaikan, pada waktu dan ruang yang tepat. Proses penghasilannya memberikan kepuasan, kekeliruan, keletihan, kelegaan, semuanya serentak. Projek ini bukan sahaja mewakili kisah para wanita di sekeliling kita, tetapi juga para lelaki, insan yang hidup bersama kita, serta kekusutan yang sering berputar dalam benak fikiran kita sendiri,” kata Krityishaa. “Melihat kisah ini dihidupkan melalui platform BMW Shorties merupakan pengalaman yang benar-benar merendahkan hati dan menguatkan semangat. Karya ini mengingatkan kita tentang apa yang mampu dilakukan oleh sesebuah penceritaan – membantu kita melihat dan dilihat, dalam segala kompleksiti yang kita harungi.”


Flame of the Forest

Dengan lebih tujuh tahun pengalaman sebagai pengarah, penulis dan penerbit, Krityishaa yang berasal dari Ipoh telah membentuk identiti tersendiri sebagai seorang pengkarya Malaysia. Setelah menamatkan pengajian dalam jurusan Bioteknologi, beliau beralih arah untuk mengejar minatnya dalam penceritaan kreatif dan memperoleh ijazah dalam Filem dan Televisyen Digital dari Universiti Lim Kok Wing.


Karya beliau telah meraih pengiktirafan di peringkat tempatan dan antarabangsa, dengan ‘Tomorrow is Spring’ (வருங்காலம் வசந்தகாலம்) memenangi Hadiah Utama BMW Shorties 2024 serta Pertandingan Terbuka Malaysia di SeaShorts Film Festival 2025, selain ditayangkan di beberapa festival di Vietnam, Indonesia, Brunei, dan Thailand.

 


Dalam pada beliau terus mengasah kemahiran sebagai pengarah dan penulis, Krityishaa paling tertarik kepada karya yang berasaskan realiti serta menyentuh emosi, sama ada dalam filem mahupun iklan, yang diilhamkan daripada pengalaman pelbagai lapisan masyarakat Malaysia.


Sashi Ambihaipahan, Pengarah Komunikasi Korporat dan Kemampanan di BMW Group Malaysia, berkata, “Krityishaa telah membawakan kedalaman dan nuansa yang luar biasa kepada kisah-kisah yang lahir daripada komuniti di Malaysia, dengan berani mengetengahkan ketegangan antara tradisi dan penemuan diri, serta antara struktur dan nilai keluarga tradisional berbanding ekspresi yang lebih moden mengikut kehendak masyarakat masa kini. Kejujuran dan kesediaannya meneroka kompleksiti ini menjadikan ‘Flame of the Forest’ begitu berkuasa, menampilkan kematangan penceritaan yang melangkaui teknik semata-mata. Di BMW Group Malaysia, melalui platform BMW Shorties, kami komited menyokong bakat tempatan yang memiliki keberanian kreatif dan suara tersendiri, mewujudkan ruang bagi kisah-kisah yang mencabar perspektif serta mencerminkan perubahan masyarakat dalam budaya yang sedang berkembang.”

Komen


KERETA TERKINI

ADVERTISEMENT

ADVERTISEMENT

Pandu Pandu Icon
PanduBabes Logo
Pandu Pandu ialah platform automotif & gaya hidup yang lebih daripada sekadar info kereta. Bersama PanduBabes, kami membawa cerita, inspirasi dan acara untuk komuniti peminat automotif Malaysia.
  • Facebook
  • Instagram
  • TikTok
  • Youtube

Maklumat di laman ini disediakan untuk tujuan maklumat dan umum sahaja. Pandu Pandu tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian yang timbul daripada penggunaan kandungan ini. Lihat Penafian Penuh untuk maklumat lanjut.

© 2025 Pandu Pandu, Spacerae Sdn. Bhd. 202001029234 (1385554-M). All rights reserved.

bottom of page