top of page

BMW Group Malaysia Raikan ‘Heritage in Motion’ dengan Empat Model Pemasangan Tempatan yang Baharu di MY BMW World 2025

  • Writer: Anna Chong
    Anna Chong
  • 12 Jun
  • 13 min membaca

Updated: 13 Jun


BMW Series

BMW Group Malaysia dengan bangganya mempersembahkan MY BMW World 2025, sebuah pameran bertema ‘Driven by Legacy, Defined by Progress’, yang menandakan satu lagi pencapaian penting dalam menyampaikan pengalaman Sheer Driving Pleasure kepada rakyat Malaysia. Dalam acara ini, BMW Group Malaysia turut memperkenalkan empat model baharu dalam rangkaian keretanya. Kesemua model – BMW 330i M Sport, BMW 320i Sport, BMW 218i Gran Coupé Sport dan BMW X3 xDrive20i M Sport – merupakan model pemasangan tempatan yang menyerlahkan warisan jenama serta hala tuju masa depannya yang progresif.


Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Benjamin Nagel berkata, “Kali terakhir kami menganjurkan MY BMW World di Malaysia adalah sedekad lalu. Dalam tempoh itu, pelbagai perubahan telah berlaku – bukan hanya dalam industri automotif, malah dalam cara pelanggan kami berinteraksi dengan mobiliti. Namun, satu perkara kekal konsisten: visi kami terhadap mobiliti premium sebagai satu pengalaman menyeluruh yang berfokuskan pelanggan. Di sinilah inisiatif seperti ‘Relax. We Care.’ memainkan peranan penting – dengan perkhidmatan yang direka bagi memenuhi keperluan, menyelesaikan isu secara proaktif, dan memberikan keyakinan kepada setiap pemandu bahawa BMW sentiasa bersama mereka. Segala usaha ini disatukan di bawah payung ‘Heritage in Motion’ – di mana warisan kami terus mencorakkan masa hadapan dengan matlamat yang jelas.


Tambah beliau lagi, “‘Heritage in Motion’ bukan sekadar tema; tetapi satu komitmen yang dihayati oleh BMW Group Malaysia. Setiap model yang kami lancarkan adalah kesinambungan kepada asas yang telah kami bina di Malaysia sejak 1970-an – satu perjalanan yang ‘Driven by Legacy, Defined by Progress’. Di MY BMW World, kami meraikan semangat ini dengan memperkenalkan model-model baharu yang mencerminkan asal-usul dan hala tuju kami, dengan menyatukan prestasi, inovasi dan reka bentuk yang terus menetapkan piawaian baharu. Semua model yang kami lancarkan hari ini membuktikan komitmen kami dalam menyediakan pengalaman premium yang sejajar dengan kepelbagaian dan kedinamikan pelanggan kami.”


Kesemua model yang diperkenalkan di MY BMW World melambangkan evolusi pendekatan BMW Group Malaysia terhadap mobiliti premium. Daripada keanggunan sporty BMW 3 Series, versatiliti BMW X3, sehinggalah gaya individualistik BMW 2 Series Gran Coupé – kesemua model ini menzahirkan komitmen terhadap reka bentuk dan prestasi yang berpaksikan masa hadapan. Didorong oleh prinsip ‘Keterbukaan Teknologi’ dan ‘Kuasa Pilihan’, ia mencerminkan kepelbagaian citarasa serta gaya hidup pemandu masa kini. Dalam pameran terbesar yang pernah dianjurkan oleh BMW Group Malaysia setakat ini, model-model ini mentakrifkan maksud sebenar ‘Driven by Legacy, Defined by Progress’.


BMW 330i M Sport dan BMW 320i Sport Baharu

Untuk meraikan ulang tahun ke-50 BMW 3 Series, kemas kini menyeluruh untuk BMW 3 Series 2025 kini dilihat dalam lebih banyak varian model yang diperkenalkan di Malaysia, selepas pengenalan BMW 330Li M Sport sebelum ini – dengan BMW 330i M Sport dan BMW 320i Sport kini ditambah ke dalam rangkaian.


Bermula dengan reka bentuk luaran yang menyumbang kepada kejayaan model ini, BMW 330i M Sport mengekalkan imej atletiknya menerusi elemen rekaan M Sport yang garang serta profil aerodinamik yang bergaya. Sementara itu, BMW 320i Sport tampil dengan gaya lebih elegan, bersih dan sofistikated – serasi dengan profesional moden yang berkeyakinan tinggi dan berwibawa. Gril ‘ginjal’ pada BMW 330i M Sport diwarnai hitam pekat bagi menyerlahkan lagi penampilan sporty-nya, manakala gril BMW 320i Sport menampilkan warna Pearl Chrome yang dipadankan dengan aluminium satin pada bahagian luaran. Kedua dua model dilengkapi lampu hadapan LED bersama pembantu lampu tinggi. Ciri pencahayaan ambien turut disertakan bagi menerangi kawasan sekitar pintu – dibangunkan khas untuk BMW 3 Series baharu. Pembukaan automatik pintu but belakang turut disediakan sebagai ciri standard demi kemudahan pengguna.


BMW 330i M Sport Baharu hadir dengan rim aloi ringan M bersaiz 19 inci dalam gaya jejari berkembar 996 M Bicolour, dipadankan bersama tayar jenis run-flat. Sementara itu, BMW 320i Sport menggunakan rim aloi ringan 18 inci gaya V-spoke 780 Bicolour, juga dilengkapi tayar run-flat. Eksklusif untuk BMW 330i M Sport ialah pakej M Aerodynamics, spoiler belakang M, serta M High- Gloss Shadowline dengan elemen lanjutan; manakala BMW 320i Sport Baharu menampilkan garis luaran aluminium satin.


Ruang dalaman kedua-dua model menampilkan kabin moden dengan fokus utama terhadap rekaan yang kemas dan selesa. Panel instrumen baharu yang lebih langsing telah diintegrasikan dengan lubang udara tirus yang menonjolkan seni bina dalaman kontemporari. Butang kawalan bergalvani yang moden memberikan kawalan yang intuitif, terutamanya untuk sistem pengudaraan. Tarikan utama dalam kabin ialah BMW Curved Display yang mengintegrasikan kluster instrumen digital 12.3 inci dan paparan kawalan pusat bersaiz 14.9 inci. Ia dikuasakan oleh BMW Operating System 8.5 dengan fungsi QuickSelect yang membolehkan akses pantas kepada fungsi utama seperti navigasi, hiburan, dan tetapan kereta. BMW Live Cockpit Professional juga ditawarkan sebagai ciri standard, lengkap dengan BMW Head-Up Display berwarna penuh dan navigasi Augmented View bagi meningkatkan keselamatan sewaktu pemanduan.


BMW 330i M Sport Baharu dilengkapi stereng sukan variable sports untuk ketepatan dan tindak balas pemanduan yang lebih baik – hasil daripada kejuruteraan M Sport. BMW 320i Sport Baharu pula tersedia dengan stereng sukan yang serasi dengan reka bentuk dalamannya yang sofistikated. Kedua-dua model menawarkan sistem akses yang selesa, pakej cermin dalam dan luar, cermin pandang belakang dalaman dengan sistem anti-silau automatik, sistem lipatan kerusi ‘through- loading’, sports seat untuk pemandu dan penumpang hadapan, pakej ruang storan, pencahayaan ambien, dan sistem penyaman udara automatik. Secara eksklusif, BMW 330i M Sport menampilkan trim dalaman Aluminium Rhombicle Anthracite M, panel instrumen mewah, butang kawalan bergalvani, sistem pembesar suara HiFi, stereng kulit M dan pelapik bumbung M anthracite berwarna gelap. Sementara itu, BMW 320i Sport tampil unik dengan kemasan dalaman Dark Graphite matt dan stereng sukan.


BMW 330i M Sport Baharu dikuasakan oleh enjin BMW TwinPower Turbo 2.0 liter empat silinder yang menghasilkan kuasa 190 kW (258 hp) dan tork 400 Nm. Digandingkan bersama transmisi automatik 8-speed Steptronic Sport dan sistem pacuan roda belakang, sedan ini mampu memecut dari 0 ke 100 km/j dalam hanya 5.8 saat, dengan kelajuan maksimum 250 km/j. Sementara itu, BMW 320i Sport menggunakan enjin yang sama tetapi ditala untuk menjana 135 kW (184 hp) dan tork 300 Nm, dengan pecutan 0 ke 100 km/j dalam masa 7.4 saat dan kelajuan tertinggi 235 km/j. Dari segi sistem sokongan pemandu, kedua-dua model BMW 330i M Sport Baharu dan BMW 320i Sport Baharu dilengkapi Active Cruise Control bersama fungsi Stop&Go dan Driving Assistant – yang merangkumi Lane Change Warning, Speed Limit Info, Rear Crossing Traffic Alert dengan intervensi brek, dan Exit Warning. Parking Assistant Plus turut hadir sebagai ciri standard, dengan sistem berasaskan kamera dan ultrabunyi – termasuk Park Assist, Reversing Assistant, Active Park Distance Control, Surround View System, Remote 3D View, BMW Drive Recorder, Anti-Theft Recorder serta rangkaian lengkap fungsi Parking Assistant.


BMW 330i M Sport Baharu dan BMW 320i Sport Baharu didatangkan dalam pelbagai warna menarik seperti Alpine White, Black Sapphire dan Arctic Race Blue. Eksklusif untuk setiap model, BMW 330i M Sport juga boleh didapati dalam warna M Brooklyn Grey, manakala BMW 320i Sport tersedia dalam Skyscraper Grey. Untuk bahagian dalaman, kedua-dua model menggunakan upholsteri Sensatec yang berliang dan berwarna hitam.


BMW 218 Gran Coupé Sport Baharu

BMW 218 Gran Coupé Sport Baharu

BMW 218 Gran Coupé Sport Baharu memperbaharui harapan pengguna dalam segmen kompak premium. Ia melambangkan evolusi berani model ini yang buat julung kalinya diperkenalkan pada 2020. Kini, model ini telah melangkah ke generasi baharu, dengan menyatukan prestasi dinamik, rekaan ekspresif serta teknologi digital canggih yang menjiwai semangat ekspresi diri. Reka bentuk luarannya menyerlahkan keyakinan tinggi, manakala kokpit digital sepenuhnya, sambungan pintar intuitif dan casis yang diperbaharui sepenuhnya, menawarkan pemanduan yang benar-benar mengasyikkan. Direka khas untuk generasi yang mementingkan ekspresi diri, BMW 218 Gran Coupé Sport Baharu merupakan pilihan terunggul dalam kelas kompak premium – dengan gaya berani, ketangkasan dan integrasi digital yang lancar.


BMW 218 Gran Coupé Sport Baharu

Di bahagian hadapan, gril ‘ginjal’ BMW kini direka semula dengan palang menegak dan menyerong, disempurnakan dengan lampu hadapan LED Adaptif yang menampilkan lampu siang yang menegak serta lampu tinggi anti-silau dengan fungsi membelok. Wajah baharu ini memberi interpretasi moden kepada reka bentuk ‘empat mata’ BMW yang ikonik. Penampilan lebih lebar dan berani pada model Gran Coupé ini turut diserlahkan menerusi liang udara sisi menegak dan liang udara bawah berbelah tengah yang diinspirasikan daripada elemen reka bentuk BMW M. Siluet Gran Coupé kekal atletik dan anggun, dengan penghormatan kepada warisan reka bentuknya menerusi lengkungan Hofmeister yang diperhalusi serta diukir dengan nombor “2”. Di bahagian belakang, lampu belakang LED menegak yang lebih menonjol dan diffuser sukan yang dibentuk semula menampilkan postur lebih lebar dan kukuh. Penampilan luarnya yang dinamik telah dilengkapkan dengan trim Exterior Line Satin Aluminium, rim aloi ringan dwitona 18 inci dan penutup cermin sisi berkilat hitam – semuanya menyerlahkan keyakinan dan garis Gran Coupé dari pandangan sisi.


BMW 218 Gran Coupé Sport Baharu
BMW 218 Gran Coupé Sport Baharu

Ruang dalaman BMW 218 Gran Coupé Sport Baharu mempamerkan gabungan harmoni antara perincian moden dan ciri sporty. Di tengah-tengahnya terletak stereng sukan tiga jejari (three-spoke) dengan kawalan multifungsi, manakala papan pemuka menampilkan BMW Curved Display yang digital sepenuhnya – integrasi lancar antara paparan instrumen 10.25 inci dan paparan kawalan 10.7 inci. Elemen trim aluminium bercahaya yang disusun secara menyerong di sisi kokpit menambahkan elemen pergerakan dan simetri, disempurnakan lagi dengan pencahayaan ambien di tengah panel instrumen. Dikuasakan oleh BMW Operating System 9 dengan fungsi QuickSelect, sistem ini membolehkan kawalan mudah menerusi sentuhan dan arahan suara semula jadi. Ciri premium seperti trim Aluminium Graphite “Illuminated” terbaharu, pencahayaan ambien serta upholsteri Veganza yang berliang meningkatkan lagi sofistikasi kabin. Konsol tengah yang direka semula kini menampilkan pemegang cawan, dulang pengecasan tanpa wayar dan ruang storan, sekali gus melengkapkan bahagian dalaman untuk pemanduan yang moden dan terhubung. Di samping itu, penumpang belakang juga boleh menikmati keanggunan yang sama dengan upholsteri yang serasi. Ruang bagasi berkapasiti 430 liter pula kekal seperti versi dahulu, yang menawarkan keseimbangan antara versatiliti dan kemewahan. Ciri standard lain termasuk pakej cermin dalaman dan luaran, cermin pandang belakang dengan fungsi anti-silau automatik, sports seat untuk pemandu dan penumpang hadapan, pelarasan tempat duduk elektrik dengan fungsi memori, serta penyaman udara automatik.


BMW 218 Gran Coupé Sport Baharu
BMW 218 Gran Coupé Sport Baharu

BMW 218 Gran Coupé Sport Baharu dikuasakan oleh enjin petrol tiga silinder 1.5 liter pengecas turbo baharu yang beroperasi mengikut kitaran Miller, dengan penekanan pada kecekapan termodinamik. Enjin ini menghasilkan kuasa 115 kW (156 hp) dan tork 230 Nm, memberikan prestasi bertenaga sambil mengoptimumkan penggunaan bahan api dan emisi. Dipadankan dengan transmisi Steptronic klac berkembar tujuh kelajuan yang menukar gear dengan lancar, model ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 8.6 saat, dengan kelajuan maksimum 230 km/j.



Prestasi dinamik BMW 218 Gran Coupé Sport dipertingkatkan menerusi casis yang direka semula sepenuhnya, lengkap dengan pelbagai komponen baharu bagi meningkatkan ketangkasan dan kawalan. Sistem gantungan hadapan menggunakan single-joint MacPherson strut, manakala gandar belakang dilengkapi three-link axle — kini disepadukan dengan high preload anti-roll bar dan kinematik gandar yang telah dioptimumkan. Hasilnya ialah peningkatan ketara dalam ketepatan stereng, kestabilan sewaktu membelok dan keselesaan pemanduan secara keseluruhan. Salah satu ciri standardnya — sistem ARB (penggerak had gelinciran roda bersebelahan) yang meningkatkan daya cengkaman dengan tindak balas sepantas milisaat — menjamin keyakinan kawalan walaupun dalam keadaan mencabar. Sistem gantungan standard pula menawarkan pemanduan yang stabil dan seimbang merentasi pelbagai permukaan jalan, sekali gus mengekalkan identiti dinamik BMW. Setiap elemen casis ditala dengan teliti demi mengekalkan sensasi pemanduan unik yang mendefinisikan pengalaman BMW, sambil mengekalkan penampilan bertenaga yang membezakan BMW 2 Series Gran Coupé dalam segmen kompak premium.



BMW 218 Gran Coupé Sport Baharu turut dilengkapi pelbagai sistem sokongan pemandu sebagai ciri standard. Ciri Driving Assistant merangkumi Lane Change Warning, Speed Limit Info, Rear Crossing Traffic Alert dengan intervensi brek, serta Exit Warning. Selain itu, fungsi Reverse Emergency Braking dan Predictive Forward Collision Warning meningkatkan lagi keyakinan dan keselamatan. Parking Assistant pula memudahkan pergerakan pada kelajuan rendah — dilengkapi Reversing Assistant sehingga 50 meter serta Reversing Assist Camera yang amat berguna dalam ruang sempit.


BMW 218 Gran Coupé Sport Baharu

Pengalaman digital imersif menjadi teras utama BMW 218i Gran Coupé Sport baharu, yang menawarkan keterhubungan lancar untuk pemandu moden. Di tengah-tengah pengalaman ini ialah BMW Live Cockpit Plus dengan BMW Operating System 9, yang menampilkan antaramuka bergaya telefon pintar, widgets masa nyata, navigasi intuitif serta kawalan suara yang dipertingkat melalui BMW Intelligent Personal Assistant. Dengan BMW Digital Premium, kereta ini menjadi ‘pusat hiburan bergerak’ yang menawarkan penstriman video beresolusi tinggi dan perkhidmatan muzik. BMW Remote Software Update pula memastikan kereta sentiasa dikemas kini dengan ciri terkini, manakala BMW Digital Key Plus menjadikan telefon pintar anda sebagai kunci digital. Semua ini membentuk gaya hidup terhubung bersama BMW.


BMW 218 Gran Coupé Sport Baharu didatangkan dalam rangkaian warna yang menarik perhatian, termasuk Alpine White, Black Sapphire dan Cape York Green. Manakala bagi ruang dalaman, kesemua varian ditawarkan dengan upholsteri Veganza yang berliang dalam warna hitam.


BMW X3 20 xDrive M Sport Baharu

Sejak pengenalannya pada tahun 2003, BMW X3 telah menyatukan pengalaman sporty untuk pemanduan harian dengan keselesaan luar biasa bagi perjalanan jarak jauh. Kini, BMW X3 20 xDrive M Sport baharu terus berevolusi dengan memperkenalkan reka bentuk yang lebih berani, bersama permukaan yang luas serta garis kontur tajam. Reka bentuk luaran yang moden ini menampilkan garis kemas dan jelas yang menonjolkan gaya monolitik serta kedinamikan Kenderaan Aktiviti Sukan (SAV) ini. Di bahagian dalam, tumpuan diberikan kepada teknologi terkini, dengan paparan BMW Curved Display dan BMW Interaction Bar sebagai elemen utama. Dikuasakan oleh BMW Operating System 9 baharu bersama QuickSelect, pemandu kini boleh mengakses pelbagai pilihan hiburan termasuk video, muzik dan permainan digital dengan mudah – sama ada melalui skrin sentuh, kawalan suara, atau BMW Controller.


BMW X3 20 xDrive M Sport Baharu

Dari segi luaran, terutamanya di bahagian hadapan, BMW X3 20 xDrive M Sport Baharu menampilkan bonet tinggi yang menjadi ciri reka bentuk SAV, diserlahkan dengan gril ‘ginjal’ Pearl Chrome terdiri daripada dua elemen berasingan, memberikan impak visual yang mengagumkan – lebih-lebih lagi apabila digandingkan dengan pencahayaan BMW Iconic Glow. Lampu hadapan LED baharu dengan elemen pencahayaan berbentuk-L di sisi gril menyerlahkan lagi gaya moden reka bentuk ini. Profil sisi pula menonjolkan karakter sporty menerusi bonet yang memanjang, jarak roda yang panjang dan overhang pendek. Gaya ini disempurnakan dengan butiran seperti grafik tingkap yang melengkung naik dari tengah pintu sisi belakang, serta interpretasi semula lengkungan Hofmeister yang ikonik. Roda aloi M bersaiz 19 inci dalam gaya Y-spoke dengan kemasan dwitona 1035 M turut memperkukuh penampilan dinamik, disertai bingkai gerbang tayar besar yang menyerlahkan gaya atletik. Rekaan gerbang tayar kini tampil lebih kemas tanpa lapisan plastik hitam seperti model terdahulu, malah direka dengan sudut condong ke hadapan untuk penampilan lebih sofistikated. Di bahagian belakang, lampu belakang berkembar yang direka semula menyuntik nafas baharu pada gaya pencahayaan tradisional BMW X3 – kini dengan bentuk L berkembar unik dan isyarat membelok yang terintegrasi kemas di antara kedua-dua elemen. Ciri-ciri luaran standard lain termasuk exterior line Satin Aluminium, penutup cermin sisi sewarna badan, pangkal dan bilah cermin dalam Satin Aluminium, segitiga cermin dalam high-gloss black, bingkai tingkap sisi gabungan high-gloss black dan Satin Aluminium, trim B-pillar dalam high-gloss black aluminium, muncung ekzos, serta pakej cermin yang dipertingkatkan.


BMW X3 20 xDrive M Sport Baharu
BMW X3 20 xDrive M Sport Baharu

Pada bahagian dalam, BMW X3 20 xDrive M Sport Baharu menampilkan rekaan dalaman yang minimalis namun ekspresif, dengan penampilan yang bersih dan moden, dengan penggunaan bahan berkualiti. Paparan BMW Curved Display tanpa bingkai menggabungkan kluster instrumen 12.3-inci dan paparan kawalan 14.9 inci yang sedikit condong ke arah pemandu. Gabungan ini turut diperkukuh dengan BMW Head-Up Display yang memaparkan maklumat penting sewaktu pemanduan. Di bawah BMW Curved Display, BMW Interaction Bar yang bercahaya menyediakan kawalan sentuhan dinamik untuk pelbagai fungsi, selain turut berfungsi sebagai pencahayaan ambien dengan 15 pilihan warna. Dua elemen trim berbentuk segitiga yang memanjang dari panel instrumen ke bahagian pintu pula mewujudkan kesan yang harmoni. Stereng kulit M tiga jejari yang boleh dilaras dilengkapi dengan bahagian bawah yang rata bagi memudahkan keluar masuk. Sports seat untuk pemandu dan penumpang turut disertakan sebagai ciri standard, lengkap dengan pelarasan elektrik dan fungsi memori. Konsol tengah yang direka semula kini menempatkan dulang pengecas tanpa wayar dengan output kuasa sehingga 15W serta pencahayaan LED untuk kemudahan tambahan. Keselesaan ruang dalaman diserlahkan dengan upholsteri Veganza yang berliang dalam pilihan warna Espresso Brown atau Hitam, digandingkan bersama trim Fine-Brushed Aluminium yang melengkapkan kabin yang kelihatan mewah. Ciri dalaman standard lain termasuk sistem akses keselesaan (comfort access system), sistem travel & comfort, kamera dalaman, penyaman udara automatik 3 zon, pelapik bumbung M berwarna anthracite serta permaidani velour. Ruang bagasi pula menawarkan kapasiti 570 liter, yang boleh diperluas hingga 1,700 liter apabila tempat duduk belakang dilipat.


BMW X3 20 xDrive M Sport Baharu
BMW X3 20 xDrive M Sport Baharu

BMW X3 20 xDrive M Sport Baharu dikuasakan oleh enjin petrol 2.0 liter empat silinder dengan teknologi 48-volt mild hybrid, menghasilkan output gabungan 140 kW (190 hp) dan tork 310 Nm. Digandingkan dengan transmisi Steptronic lapan kelajuan, sistem xDrive pacuan semua roda kini ditawarkan sebagai ciri standard, menggantikan pacuan roda belakang pada model terdahulu. Ini meningkatkan cengkaman dan kestabilan di pelbagai permukaan jalan. Gabungan teknologi ini menjadikan BMW X3 20 xDrive M Sport Baharu lebih lincah di laluan mencabar, serta lebih boleh diharap untuk pemanduan harian. Sebagai sebuah SAV, ia mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 8.5 saat, dengan kelajuan maksimum 215 km/j.


BMW X3 20 xDrive M Sport Baharu terus menetapkan piawaian baharu dalam segmennya untuk pemanduan sporty dan keselesaan jarak jauh. Suspensi standard yang dioptimumkan menawarkan pengendalian dan kualiti pemanduan yang lebih baik. Penambahbaikan pada casis merangkumi galas gandar belakang yang lebih kukuh serta pemasangan penstabil yang dipertingkat secara menyeluruh. Lebar trek belakang turut ditambah sebanyak 45 milimeter bagi meningkatkan kestabilan, manakala nisbah stereng yang diperhalusi menghasilkan tindak balas yang lebih pantas dan tepat. Sama ada di jalan berliku mahupun di permukaan tidak rata, suspensi yang ditala rapi menjamin perjalanan yang seimbang dan selesa.


BMW X3 20 xDrive M Sport Baharu

BMW X3 20 xDrive M Sport Baharu dilengkapi rangkaian sistem sokongan pemandu terkini bagi meningkatkan keselamatan, kemudahan dan ketenangan fikiran sepanjang perjalanan. Antara ciri standard termasuk Driving Assistant Plus – yang merangkumi Lane Change Warning dengan intervensi stereng aktif, Front Collision Warning dengan intervensi brek, Evasion Assistant untuk mengelakkan kenderaan, penunggang basikal dan pejalan kaki, Left Turn Warning dengan fungsi brek, Speed Limit Display dengan indikator larangan memotong serta amaran, Attentiveness Assistant, Rear Crossing Traffic Warning dengan intervensi brek, Exit Warning, dan Rear Collision Prevention. Selain itu, ia turut merangkumi Active Cruise Control dengan fungsi Stop & Go serta Steering and Lane Control Assistant – yang memberikan sokongan intuitif dalam pemanduan harian. Untuk kemudahan parkir, Parking Assistant Plus menawarkan sistem berasaskan kamera dan ultrabunyi yang merangkumi Park Assist, Reversing Assistant, Active Park Distance Control, Surround View System, Remote 3D View, BMW Drive Recorder, Anti-Theft Recorder serta rangkaian lengkap fungsi Parking Assistant.



Digitalisasi menjadi teras kepada BMW X3 20 xDrive M Sport Baharu, dengan BMW Operating System 9 serta QuickSelect yang dioptimumkan untuk kawalan intuitif melalui skrin sentuh, arahan suara atau BMW Controller. Paparan BMW Curved Display yang sepenuhnya digital menyokong interaksi lancar, dengan integrasi Android Auto dan Apple CarPlay dalam mod skrin penuh, live widget, serta akses langsung kepada hiburan, navigasi dan tetapan kenderaan. Di samping itu, BMW Digital Premium meningkatkan keterhubungan dengan akses kepada penstriman, muzik, berita dan aplikasi permainan menerusi BMW ConnectedDrive Store. BMW Intelligent Personal Assistant menyokong arahan suara semula jadi dan serasi dengan Apple Siri serta Google Assistant. BMW Digital Key dan Digital Key Plus pula menambah keselesaan dan kemudahan dengan akses melalui telefon pintar atau jam tangan pintar.


Bahagian luaran BMW X3 20 xDrive M Sport baharu didatangkan dalam pelbagai warna termasuk Alpine White, Black Sapphire, Dune Grey dan Tanzanite Blue. Untuk bahagian dalaman, upholsteri Veganza yang berliang dalam warna Hitam dan Espresso Brown tersedia untuk semua warna luaran kereta.



Relax. We Care.

BMW Group Malaysia menetapkan piawaian baharu dalam pengalaman pemilikan kenderaan premium, dengan mentakrifkan semula erti pemanduan penuh keyakinan dan ketenangan. Inisiatif Relax. We Care. mencerminkan komitmen teguh BMW terhadap janji Sheer Driving Pleasure – satu janji bahawa dalam apa jua keadaan, kami sentiasa di sisi pelanggan.


Menerusi Relax. We Care., pendekatan paling komprehensif terhadap pemilikan BMW disampaikan melalui rangkaian perkhidmatan yang bersepadu. Bermula dengan BMW Service Promise, yang menawarkan penjagaan pakar, ketelusan dan ketepatan dalam setiap janji temu melalui Perkhidmatan & Sokongan Pelanggan BMW, pelanggan turut dilindungi oleh BMW Proactive Care. Perkhidmatan ini menggunakan data sensor masa nyata untuk mengesan potensi kerosakan sebelum ia berlaku, serta memaklumkan pemandu melalui aplikasi My BMW atau sistem iDrive. Ia turut diperkukuh dengan BMW ConnectedDrive yang mengintegrasikan keterhubungan digital canggih dalam setiap kenderaan BMW, bagi membolehkan kemas kini perisian tanpa wayar serta pengurusan kenderaan masa nyata melalui satu antara muka berpusat.


Selain itu, program BMW Service & Repair Inclusive (BSRI) menjamin ketenangan fikiran menerusi jaminan 5 tahun tanpa had perbatuan, serta perlindungan servis selama lima tahun / 100,000 km. Bagi Kenderaan Elektrik Bateri (BEV), perlindungan servis dilanjutkan kepada 6 tahun tanpa had perbatuan, manakala jaminan untuk bateri voltan tinggi adalah selama 8 tahun. Dengan BMW Roadside Assistance, pelanggan boleh menikmati sokongan kecemasan 24/7 – termasuk perkhidmatan tunda, kereta gantian dan penginapan hotel sekiranya berlaku kecemasan luar jangka.


Kempen Kenderaan Baharu BMW menyatukan semua tawaran ini demi memberikan pengalaman pemilikan kenderaan yang bebas kebimbangan sejak hari pertama – membolehkan pelanggan kekal yakin, terhubung dan dijaga, walau apa jua yang berlaku.


Komen


KERETA TERKINI

ADVERTISEMENT

ADVERTISEMENT

Pandu Pandu Icon
PanduBabes Logo
Pandu Pandu ialah platform automotif & gaya hidup yang lebih daripada sekadar info kereta. Bersama PanduBabes, kami membawa cerita, inspirasi dan acara untuk komuniti peminat automotif Malaysia.
  • Facebook
  • Instagram
  • TikTok
  • Youtube

Maklumat di laman ini disediakan untuk tujuan maklumat dan umum sahaja. Pandu Pandu tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian yang timbul daripada penggunaan kandungan ini. Lihat Penafian Penuh untuk maklumat lanjut.

© 2025 Pandu Pandu, Spacerae Sdn. Bhd. 202001029234 (1385554-M). All rights reserved.

bottom of page