top of page

BMW Group Malaysia & STDC Selangor Berganding Bahu Majukan Pendidikan Teknikal Automotif dalam Era EV

  • Writer: Anna Chong
    Anna Chong
  • 17 Nov
  • 4 min membaca
BMW Group Malaysia & STDC Selangor
Duduk dari Kiri : Dr. Harizal bin Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor, Benjamin Nagel, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia; Berdiri dari Kiri: YAB Dato' Seri Amirudin Bin Shari, Dato' Menteri Besar Selangor,YAB Dato' Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri, YBhg. Dato' Ts. Saipolyazan M. Yusop, Ketua Pegawai Eksekutif, Menteri Besar Selangor (Incorporated)

BMW Group Malaysia hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC), sekali gus mengumumkan kerjasama untuk memajukan ekosistem pendidikan teknikal dan vokasional Malaysia melalui program BMW NextGT.

 

Kerjasama ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam komitmen berterusan BMW Group Malaysia untuk membangunkan bakat tempatan dan membina ekosistem automotif yang mampan serta bersedia menghadapi masa hadapan. Langkah ini bertujuan untuk melengkapkan generasi baharu juruteknik automotif dengan kemahiran dan kepakaran bertaraf dunia bagi memenuhi keperluan industri automotif yang sentiasa berkembang – khususnya dalam bidang teknologi Kenderaan Elektrik (EV) yang sedang pesat membangun. Melalui inisiatif ini, BMW Group Malaysia dan STDC membentuk bakat masa hadapan yang bersedia untuk memimpin peralihan Malaysia ke arah masa hadapan automotif yang lebih inovatif dan berasaskan teknologi tenaga elektrik.

 

Sebagai sebahagian daripada kerjasama ini, tenaga pengajar teknikal automotif daripada STDC akan menjalani latihan praktikal yang intensif berlandaskan Kerangka Kelayakan Juruteknik BMW. Program ini memberi pendedahan menyeluruh kepada mereka tentang pengetahuan teknikal, termasuk modul khas mengenai teknologi dan konsep automotif moden semasa.


BMW Group Malaysia & STDC Selangor
Hadapan: Dr. Harizal bin Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor, Benjamin Nagel, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia; Belakang: YAB Dato' Seri Amirudin Bin Shari, Dato' Menteri Besar Selangor,YAB Dato' Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri, YBhg. Dato' Ts. Saipolyazan M. Yusop, Ketua Pegawai Eksekutif, Menteri Besar Selangor (Incorporated)

Setelah tamat latihan, para tenaga pengajar ini akan berkongsi kepakaran tersebut kepada pelajar vokasional terpilih yang menyertai program BMW NextGT, bagi membolehkan mereka menamatkan pengajian dengan pengetahuan serta kemahiran terkini yang menepati standard industri termasuk teknologi kenderaan konvensional dan juga elektrik.

 

Benjamin Nagel, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, menyatakan, “Pada masa kini, industri automotif sedang melalui era transformasi yang paling besar, dan perkembangan ini memerlukan tenaga kerja yang mampu memacu inovasi ini ke hadapan. Kerjasama kami dengan STDC melalui program BMW NextGT dibina berasaskan keyakinan bahawa pelaburan dalam pendidikan dan pembangunan teknikal adalah kunci dalam membentuk Masa Hadapan Mobiliti di Malaysia. Dengan memperkasakan tenaga pengajar dan pelajar menerusi kemahiran serta pengetahuan yang selaras dengan standard global BMW, kami sedang melahirkan generasi baharu bakat Malaysia yang berkeupayaan untuk memimpin peralihan ke arah mobiliti mampan dan berteknologi elektrik.”

 

Sementara itu, Dato’ Seri Amirudin Bin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor berkata, “Kami berasa amat berbesar hati atas kepercayaan dan keyakinan yang diberikan oleh BMW Group Malaysia kepada Kerajaan Negeri Selangor melalui kerjasama ini bersama Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC). Program BMW NextGT mencerminkan komitmen Selangor dalam melahirkan bakat generasi baharu Malaysia yang mampu memimpin peralihan ke arah mobiliti masa hadapan yang mampan. Kami amat menghargai keyakinan BMW Group Malaysia dalam usaha membangunkan bakat tempatan. Inisiatif ini membuktikan kekuatan kerjasama antara kerajaan dan industri dalam memperkukuh kecemerlangan teknikal serta vokasional, di samping memperkasakan golongan belia dengan kemahiran dan pengetahuan bertaraf dunia bagi menjadikan Selangor sebagai hab utama teknologi automotif yang canggih serta inovasi mampan di rantau ini.”


BMW Group Malaysia & STDC Selangor
Dari kiri ke kanan: Joanne Goh, Pengarah Pusat Latihan Serantau, BMW Group Malaysia; Sashi Ambihaipahan, Pengarah Komunikasi Korporat & Kelestarian, BMW Group Malaysia; Markus Lang, Pengarah Kewangan, BMW Group Malaysia; Dr. Harizal bin Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor; YAB Dato' Seri Amirudin Bin Shari, Dato' Menteri Besar Selangor; YAB Dato' Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri; YBhg. Dato' Ts. Saipolyazan M. Yusop, Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Incorporated); Benjamin Nagel, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia; YBhg. Dato' Johary bin Anuar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Selangor (Pembangunan) merangkap Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri; dan YBhg. Tuan Haji Mohd Nazri bin Noh, Pengerusi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor.

Program BMW NextGT akan dilaksanakan pada tahun 2026, bermula dengan kerjasama bersama rakan pengedar Auto Bavaria, Millennium Welt, dan Quill Automobiles. Terdapat juga perancangan untuk meluaskan inisiatif ini kepada pengedar BMW yang lain mulai tahun 2027 dan seterusnya.

 

Inisiatif BMW NextGT mencerminkan komitmen BMW Group Malaysia untuk membangunkan tenaga kerja teknikal berkemahiran tinggi yang bersedia menghadapi perkembangan industri automotif, berlandaskan asas kukuh yang dibina melalui Program Latihan Teknikal BMW (BTTP) dan program pensijilan Pakar Voltan Tinggi BMW (HVE) di Malaysia.

 

Dikendalikan oleh Pusat Latihan Serantau BMW Group, program pensijilan Pakar Voltan Tinggi BMW (HVE) yang diiktiraf di peringkat antarabangsa telah memainkan peranan penting dalam membangunkan tenaga kerja EV di Malaysia, melengkapkan juruteknik dengan kepakaran untuk menyelenggara dan membaiki kenderaan BMW i paling canggih di dunia.

 

Komitmen jangka panjang terhadap pembangunan bakat ini juga tertanam dalam falsafah Heritage in Motion BMW Group Malaysia, yang mana pengeluar kenderaan premium ini terus memacu kemajuan sambil mengekalkan nilai inovasi yang telah membimbing syarikat sejak tahun 1970-an, memastikan Malaysia kekal di barisan hadapan dalam pembangunan industri automotif.

Komen


KERETA TERKINI

ADVERTISEMENT

ADVERTISEMENT

Pandu Pandu Icon
PanduBabes Logo
Pandu Pandu ialah platform automotif & gaya hidup yang lebih daripada sekadar info kereta. Bersama PanduBabes, kami membawa cerita, inspirasi dan acara untuk komuniti peminat automotif Malaysia.
  • Facebook
  • Instagram
  • TikTok
  • Youtube

Maklumat di laman ini disediakan untuk tujuan maklumat dan umum sahaja. Pandu Pandu tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian yang timbul daripada penggunaan kandungan ini. Lihat Penafian Penuh untuk maklumat lanjut.

© 2025 Pandu Pandu, Spacerae Sdn. Bhd. 202001029234 (1385554-M). All rights reserved.

bottom of page