top of page

BMW Malaysia memperkenalkan BMW 218 Gran Coupé M Sport Baharu Pemasangan Tempatan di BMW Clubhouse

  • Writer: Anna Chong
    Anna Chong
  • 16 Jul
  • 8 min membaca
BMW 218 Gran Coupé M Sport Baharu

BMW Group Malaysia hari ini memperkenalkan BMW 218 Gran Coupé M Sport Baharu Pemasangan Tempatan, menggantikan BMW 218 Gran Coupé Sport yang diperkenalkan pada Jun 2025. Terhad kepada 50 unit sahaja dalam peruntukan pertamanya, varian M Sport baharu ini menawarkan pelanggan penampilan yang lebih dinamik, sistem bantuan pemanduan yang lebih canggih serta pengalaman pemanduan yang dipertingkatkan menerusi sistem Adaptive M Suspension. Pelancaran ini berlangsung di BMW Clubhouse dan akan dibuka kepada orang ramai dari 17 hingga 19 Julai 2026 di Factory 19 PJ. Acara ini menawarkan peluang kepada para peminat dan pelanggan untuk meneroka portfolio terkini serta inovasi terbaharu daripada BMW Group Malaysia secara lebih dekat.

 

BMW 218 Gran Coupé M Sport Baharu

Benjamin Nagel, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, berkata, “BMW 2 Series Gran Coupé sentiasa merupakan model pengenalan kepada dunia BMW. Ia adalah sebuah kenderaan yang menzahirkan semangat Sheer Driving Pleasure dalam bentuk yang direka untuk generasi baharu pemandu urban. Dengan BMW 218 Gran Coupé M Sport Baharu, kami memenuhi permintaan pelanggan yang menginginkan karakter pemanduan dinamik yang sama, kini dengan tambahan elemen sporty daripada M Sport. Inilah manifestasi sebenar konsep Power of Choice. Kami memberikan kebebasan kepada pelanggan untuk menentukan pengalaman pemanduan mereka sendiri, sama ada melalui fleksibiliti untuk kegunaan harian atau ketepatan pemanduan berinspirasikan litar.”

 


BMW 218 Gran Coupé M Sport Baharu menyerlah menerusi pelbagai peningkatan khusus, termasuk pakej M Sport. Sistem Adaptive M Suspension memberikan pengendalian yang lebih tajam, manakala sistem bantuan pemanduan yang dinaik taraf menyediakan sokongan lebih menyeluruh ketika berada di jalan raya. Di dalam kabin, pengalaman pemanduan dipertingkatkan menerusi ciri seperti BMW Live Cockpit Professional, stereng kulit M, pelapik bumbung dalaman M Anthracite, paparan Head-Up Display, serta sistem audio Harman Kardon HiFi. Daripada aspek luaran pula, model ini tampil dengan elemen reka bentuk baharu termasuk roda aloi ringan M 18 inci Style 975M Bicolour, kemasan Individual High-Gloss Shadowline dengan elemen tambahan, serta peresap udara belakang M Sport yang lebih agresif. Dikuasakan oleh enjin tiga silinder pengecas turbo 1.5 liter yang sama seperti BMW 218 Gran Coupé Sport, varian M Sport ini menyalurkan kuasa menerusi transmisi Steptronic tujuh kelajuan dengan padel penukar gear, memberikan tindak balas pantas untuk pengalaman pemanduan yang mengujakan serta praktikal bagi kegunaan harian.

 

BMW 218 Gran Coupé M Sport Baharu

BMW 218 Gran Coupé M Sport Baharu: Reka Bentuk dan Pengalaman Pemanduan yang Dipertingkatkan

BMW 218 Gran Coupé M Sport Baharu tampil dengan reka bentuk bahagian hadapan yang lebih dinamik, menerusi gril BMW Kidney Iconic Glow yang menampilkan bar gril menegak dan diagonal. Lampu hadapan adaptif LED yang ditempatkan di kedua-dua sisi gril tersebut memancarkan lampu nyalaan siang menegak dengan grafik cahaya ikonik BMW empat lampu, menyerlahkan identiti model ini pada waktu siang mahupun malam. Kenderaan ini turut dilengkapi fungsi lampu pancaran tinggi tanpa silau dengan fungsi membelok bersepadu. Reka bentuk kidney grille yang rendah dan lebar memperkukuhkan penampilan kenderaan yang lebih tegap dan stabil di atas jalan. Manakala, reka bentuk pengambilan udara bawah yang berpecah di bahagian tengah menambahkan lagi karakter agresif model ini. Pengambilan udara sisi berbentuk menegak pula menyerlahkan kelebaran badan kenderaan, di samping membantu mengoptimumkan aliran udara untuk kecekapan aerodinamik yang lebih baik.


BMW 218 Gran Coupé M Sport Baharu

 

Daripada pandangan sisi, BMW 218 Gran Coupé M Sport Baharu mengekalkan siluet Gran Coupé yang atletik dan kini dipertingkatkan dengan elemen baharu daripada pakej M Sport. Ini termasuk kemasan Individual High-Gloss Shadowline dengan kemasan tambahan di sekeliling tingkap serta roda aloi ringan M 18 inci Style 975M Bicolour berbentuk jejari-Y, yang menyerlahkan lagi penampilan dinamiknya. Cermin sisi berwarna hitam berkilat dengan penutup cermin dalam warna badan kenderaan, bersama kemasan Exterior Line Satin Aluminium, melengkapkan profil sisi model ini. Reka bentuk tingkap yang mengunjur ke bahagian belakang diserikan dengan ciri ikonik Hofmeister kink yang menampilkan ukiran nombor “2” — satu ciri ikonik dalam legasi BMW 2 Series Gran Coupé. Di bahagian belakang, lampu belakang LED menegak menonjolkan kelebaran badan kenderaan serta mengukuhkan perkadaran dinamiknya. Penambahan baharu peresap udara belakang M Sport dengan reka bentuk lebih agresif memberikan sentuhan akhir yang menyerlahkan karakter prestasi model ini. BMW 218 Gran Coupé M Sport Baharu mempunyai panjang keseluruhan 4.55 meter, dengan jarak roda yang kekal sama seperti model terdahulu, bagi memastikan keseimbangan perkadaran dan kestabilan keseluruhan kenderaan. 

 


Bahagian dalam BMW 218 Gran Coupé M Sport Baharu menampilkan ruang kabin yang berorientasikan pemandu, dengan reka bentuk yang jelas, moden dan berfungsi. Kini, ia dipertingkatkan menerusi pakej M Sport serta kemasan dalaman Aluminium Graphite “Illuminated”. Tumpuan utama kokpit adalah paparan melengkung BMW Curved Display, yang menggabungkan paparan instrumen berukuran 10.25 inci dengan paparan kawalan 10.7 inci dalam satu unit paparan digital bersepadu. Sistem ini dipacu oleh BMW Live Cockpit Professional bersama BMW Operating System 9 dan fungsi QuickSelect, menawarkan kawalan intuitif menerusi skrin sentuh dan arahan suara, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap kawalan suis fizikal.


BMW 218 Gran Coupé M Sport Baharu

 

Sebagai sebahagian daripada pakej M Sport, stereng kulit M tiga jejari dengan kawalan pelbagai fungsi memastikan fungsi utama mudah dicapai oleh pemandu. Pencahayaan ambien yang disepadukan pada bahagian tengah panel instrumen menghasilkan kesan visual yang berubah mengikut tetapan My Modes yang dipilih. Jalur kemasan aluminium bercahaya belakang memaparkan warna ikonik M, manakala elemen hiasan aluminium bercahaya pada kedua-dua hujung papan pemuka mewujudkan keseimbangan visual dalam kokpit, dalam kemasan dalaman Aluminium Graphite. Konsol tengah yang direka semula menawarkan susun atur lebih kemas dengan ruang penyimpanan, pemegang cawan, ruang pengecasan tanpa wayar serta panel kawalan yang memberikan pengalaman penggunaan lebih tersusun dan mudah. Sentuhan akhir diperkemaskan menerusi jahitan hiasan dalam warna M.


BMW 218 Gran Coupé M Sport Baharu

Tempat duduk sport hadapan untuk pemandu dan penumpang hadapan dilengkapi pelarasan elektrik dengan fungsi memori, manakala tempat duduk belakang mengekalkan corak jahitan berkuil yang konsisten pada kemasan upholsteri. Ruang kabin hadir dengan kemasan upholsteri standard Veganza berlubang halus. Ciri tambahan termasuk pakej cermin dalaman dan luaran, cermin pandang belakang dalaman dengan fungsi anti-silau automatik, sistem Comfort Access, serta penyaman udara automatik. Dengan kapasiti ruang bagasi sebanyak 430 liter, BMW 218 Gran Coupé M Sport Baharu terus menawarkan tahap kepraktisan yang sesuai untuk kegunaan harian. Ciri baharu yang diperkenalkan pada BMW 218 Gran Coupé M Sport Baharu termasuk paparan Head-Up Display, pelapik bumbung dalaman M Anthracite, serta sistem audio HiFi Loudspeaker Harman Kardon dengan 12 pembesar suara berkuasa 205 watt, memberikan kualiti bunyi lebih premium untuk melengkapkan pengalaman kabin secara keseluruhan.

 

BMW 218 Gran Coupé M Sport Baharu

Di sebalik prestasinya, BMW 218 Gran Coupé M Sport Baharu dikuasakan oleh enjin petrol tiga silinder pengecas turbo 1.5 liter yang sama seperti BMW 218 Gran Coupé Sport, dengan penggunaan kitaran Miller bagi meningkatkan kecekapan termodinamik. Enjin ini menghasilkan kuasa maksimum 115 kW (156 hp) dan tork maksimum 230 Nm, dipadankan dengan transmisi Steptronic tujuh kelajuan dengan klac berkembar, yang kini dilengkapi padel penukar gear bagi memberikan kawalan langsung kepada pemandu. Kuasa disalurkan menerusi sistem pacuan roda hadapan. BMW 218 Gran Coupé M Sport Baharu mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 8.6 saat, dengan kelajuan maksimum mencapai 230 km/j.

 

Casis model ini berasaskan sistem suspensi hadapan MacPherson strut satu sambungan dan sistem suspensi gandar belakang tiga pautan, dengan hampir keseluruhan komponennya direka semula secara menyeluruh berbanding generasi terdahulu. Sistem penstabil prategasan tinggi yang digabungkan bersama geometri gandar yang dioptimumkan, memberikan kawalan stereng yang lebih tepat serta meningkatkan ketangkasan pemanduan. Sistem kawalan gelinciran roda secara langsung (ARB) pula membantu meningkatkan cengkaman dalam masa beberapa milisaat, manakala penambahbaikan menyeluruh pada casis menyumbang kepada kestabilan arah, keupayaan mengambil selekoh yang lebih baik serta keselesaan pemanduan yang lebih seimbang. Dinamik pemanduan BMW 218 Gran Coupé M Sport Baharu turut dipertingkatkan menerusi sistem Adaptive M Suspension, yang menjadi ciri pembeza utama bagi varian M Sport ini. Sistem ini menggabungkan pengendalian yang responsif dengan tahap keselesaan yang lebih terkawal, menyesuaikan ciri pemanduan mengikut pilihan pemandu serta keadaan permukaan jalan, sambil mengekalkan ciri pemanduan sporty yang menjadi identiti BMW 2 Series Gran Coupé.



Daripada aspek sistem bantuan pemanduan, BMW 218 Gran Coupé M Sport Baharu dilengkapi dengan sistem Driving Assistant Plus, yang menawarkan peningkatan berbanding sistem Driving Assistant standard pada BMW 218 Gran Coupé Sport. Sistem ini merangkumi fungsi Active Cruise Control dengan Stop & Go, yang mengekalkan kelajuan ditetapkan sambil melaraskan kelajuan secara automatik mengikut aliran trafik, serta berhenti sepenuhnya apabila diperlukan. Fungsi Steering and Lane Control Assistant pula membantu pemandu ketika perjalanan jarak jauh dengan mengekalkan kedudukan kenderaan di tengah lorong. Sistem ini turut melengkapi ciri standard Driving Assistant, termasuk Amaran Pertukaran Lorong dengan intervensi stereng aktif, amaran ketika membelok ke persimpangan atau jalan sisi pada kelajuan hingga 20 km/j, Fungsi Brek Kecemasan Semasa Mengundur, Fungsi Brek Kecemasan dengan amaran pelanggaran hadapan dan pejalan kaki, Amaran Keluar Kenderaan (Safe Exit), Amaran Trafik Melintas Belakang dan Perlanggaran dengan intervensi brek, serta Paparan Maklumat Had Kelajuan dengan fungsi pemanduan ramalan, penunjuk larangan memotong dan Bantuan Had Kelajuan Manual.

 

BMW 218 Gran Coupé M Sport Baharu

Sementara itu, ciri Parking Assistant Plus yang eksklusif untuk BMW 218 Gran Coupé M Sport Baharu menawarkan sokongan menyeluruh bagi pemanduan berkelajuan rendah serta ketika parkir. Menggunakan gabungan kamera dan sensor ultrabunyi, sistem ini merangkumi Park Assist Professional dengan pengesanan garisan parkir dan pembahagi jalan, Active Park Distance Control dengan pengesanan pejalan kaki ketika mengundur, Surround View, Front Panorama View, Remote 3D View, BMW Drive Recorder, serta Anti-theft Recorder. Sistem ini melengkapkan fungsi Parking Assistant standard termasuk Reversing Assistant, yang mampu mengundurkan semula kenderaan sehingga 50 meter berdasarkan laluan yang telah dilalui sebelum ini. Turut tersedia adakah fungsi Parking and Drive-off Monitoring, Trailer Assistant, Reversing Assist Camera, Park Distance Control, serta Active PDC bagi memberikan keyakinan tambahan ketika pemanduan dalam persekitaran bandar yang lebih mencabar.

 

BMW 218 Gran Coupé M Sport Baharu turut menawarkan rangkaian ciri digital yang direka untuk meningkatkan keterhubungan serta pengalaman interaksi dalam kenderaan. Sistem BMW Live Cockpit Professional dilengkapi dengan BMW Intelligent Personal Assistant bersama integrasi Amazon Alexa, membolehkan pemandu mengawal fungsi terpilih menerusi arahan suara. Melalui BMW Digital Premium, pelanggan boleh menikmati akses kepada pelbagai pilihan hiburan dalam kenderaan termasuk video, audio dan permainan, dengan sokongan penstriman resolusi tinggi serta penggunaan telefon pintar sebagai alat kawalan. Penggunaan ciri Personal eSIM memastikan sambungan yang lebih lancar, manakala BMW Remote Software Upgrades membolehkan sistem kenderaan menerima kemas kini perisian secara berkala. Selain itu, BMW Digital Key Plus membolehkan telefon pintar yang serasi digunakan sebagai kunci kenderaan, sekali gus meningkatkan lagi kemudahan kepada pemilik.


BMW 218 Gran Coupé M Sport Baharu

 

BMW 218 Gran Coupé M Sport Baharu ditawarkan dalam pilihan warna luaran Alpine White, Black Sapphire, Brooklyn Grey, dan Portimao Blue. Kemasan upholsteri dalaman ditawarkan dalam kemasan Veganza Perforated berwarna hitam untuk semua pilihan warna luaran, manakala kemasan Veganza Perforated Coral Red tersedia secara eksklusif bersama warna luaran Black Sapphire.

 

Relax. We Care.

BMW Group Malaysia membawakan makna baharu dalam pengalaman pemilikan automotif premium menerusi keyakinan dan ketenangan fikiran yang tiada tandingan. Relax. We Care. merupakan janji perkhidmatan kami untuk memberikan sokongan yang teguh dalam setiap situasi.

 

BMW Proactive Care berfungsi dengan memantau keadaan kenderaan secara berterusan menggunakan data sensor masa nyata. Sensor ini menjejaki pelbagai sistem dan komponen untuk mengesan potensi masalah sebelum ia menjadi lebih serius. Apabila sistem mengenal pasti kemungkinan kerosakan atau keperluan penyelenggaraan, ia akan menghantar notifikasi secara automatik kepada pemilik melalui aplikasi My BMW atau sistem iDrive kenderaan. Amaran awal ini membolehkan tindakan segera diambil, sekali gus membantu mencegah kerosakan serta memastikan BMW sentiasa berada dalam keadaan optimum.


BMW 218 Gran Coupé M Sport Baharu

 

Selain itu, bagi Model Baharu BMW 218 Gran Coupé M Sport, program BMW Service & Repair Inclusive (BSRI) memberikan ketenangan fikiran menerusi jaminan selama empat tahun tanpa had perbatuan, bersama perlindungan servis selama empat tahun atau 80,000 km. Bagi Kenderaan Elektrik Bateri (BEV), perlindungan servis dilanjutkan hingga enam tahun tanpa had perbatuan, manakala bateri voltan tinggi dijamin selama lapan tahun. Menerusi BMW Roadside Assistance, pemilik turut menerima sokongan kecemasan 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, termasuk perkhidmatan tunda, kenderaan ganti serta penginapan hotel sekiranya berlaku kecemasan luar jangka.

 

Kempen BMW New Car menggabungkan keseluruhan rangkaian tawaran ini untuk memberikan pengalaman pemilikan yang lancar dan tanpa kebimbangan sejak hari pertama — membolehkan pelanggan kekal yakin, sentiasa terhubung dan dilindungi, walau apa jua keadaan.

 

Komen


ADVERTISEMENT

KERETA TERKINI

ADVERTISEMENT

PP-Icon-Light-Blue-Rounded-1200px.png
Pandu Pandu ialah platform automotif & gaya hidup yang lebih daripada sekadar info kereta dan acara automotif.
PP-Tagline.png
  • Facebook
  • Instagram
  • TikTok
  • Youtube

Maklumat di laman ini disediakan untuk tujuan maklumat dan umum sahaja. Pandu Pandu tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian yang timbul daripada penggunaan kandungan ini. Lihat Penafian Penuh untuk maklumat lanjut.

© 2026 Pandu Pandu, Spacerae Sdn. Bhd. 202001029234 (1385554-M). All rights reserved.

bottom of page