top of page

BMW Malaysia Memperkenalkan BMW M2 CS Baharu dan BMW M3 Touring Competition M xDrive Serba Baharu di BMW Clubhouse

  • Writer: Anna Chong
    Anna Chong
  • 16 Jul
  • 10 min membaca

BMW M2 CS Baharu

BMW Group Malaysia hari ini memperkenalkan BMW M2 CS Baharu dan BMW M3 Touring Competition M xDrive Serba Baharu ke pasaran tempatan, membawakan dua model BMW M yang mempunyai karakter mengagumkan dan keistimewaan tersendiri buat pertama kalinya kepada peminat automotif Malaysia. Diperkenalkan di BMW Clubhouse yang berlangsung di Factory 19 PJ, orang awam dijemput untuk menyaksikan kedua-dua model ini secara dekat dari 17 hingga 19 Julai 2026. Acara ini turut menampilkan rangkaian terkini BMW Group Malaysia serta inovasi terbaharu jenama BMW.

 

BMW M2 CS Baharu

Benjamin Nagel, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, berkata: “Terdapat sebab mengapa BMW M dikenali sebagai The Most Powerful Letter in the World. Ia bukan sekadar mengenai angka kuasa atau catatan masa di litar, tetapi merupakan hasil daripada komitmen tanpa kompromi selama berdekad lamanya untuk memberikan pengalaman Sheer Driving Pleasure dalam setiap aspek. Hari ini, kami berbesar hati membawakan dua model BMW M paling mengagumkan ke Malaysia. Setiap model mencerminkan dimensi berbeza tentang kemampuan BMW M. Namun, kedua-duanya memperlihatkan komitmen berterusan kami terhadap peminat automotif di Malaysia.”


BMW

 

Beliau menambah, “BMW M2 CS Baharu merupakan sebuah model yang amat istimewa. Model ini merupakan model pengeluaran terhad yang dibangunkan berinspirasikan litar perlumbaan. Ia direka untuk mereka yang mahukan pengalaman kejuruteraan BMW M paling autentik dalam sebuah kenderaan jalan raya masa kini. Sementara itu, BMW M3 meraikan ulang tahun ke-40 pada tahun ini. Justeru, tiada cara yang lebih bermakna untuk meraikan pencapaian tersebut bersama peminat Malaysia selain dengan memperkenalkan BMW M3 Touring Competition M xDrive Serba Baharu. Model ini turut mencatat sejarah penting buat negara apabila menjadi BMW M3 pertama yang ditawarkan dalam bentuk badan Touring di Malaysia. BMW M2 CS Baharu dan BMW M3 Touring Competition M xDrive Serba Baharu mencerminkan BMW M pada prestasi tertinggi. Masing-masing mempunyai keistimewaan tersendiri yang luar biasa dan bersama-sama membuktikan bahawa semangat BMW M terus berkembang di Malaysia seiring dengan seluruh dunia.”


BMW M2 CS Baharu

BMW M2 CS Baharu hadir ke pasaran Malaysia sebagai BMW M2 paling ringan dan paling berkuasa pernah dihasilkan. Model istimewa dengan pengeluaran terhad ini dibangunkan berinspirasikan perlumbaan litar dan telah mencipta nama di peringkat global selepas memenangi anugerah 2025 AUTO BILD Sportscars of the Year dalam kategori “Compact Sports Cars over €50,000”. Genap 40 tahun selepas BMW M3 pertama kali menetapkan penanda aras baharu bagi sedan berprestasi tinggi pada tahun 1986, BMW M3 Touring Competition M xDrive Serba Baharu membuat kemunculan sulungnya di Malaysia sebagai BMW M3 Touring pertama yang ditawarkan di negara ini. Model ini turut menerima pengiktirafan global selepas dinobatkan sebagai What Car? Performance Car of the Year 2025 buat tahun kedua berturut-turut. Ia menggabungkan karakter ikonik BMW M3 dengan bentuk badan Touring yang menawarkan tahap kepraktisan dan kepelbagaian baharu dalam keluarga BMW M di Malaysia.


BMW M2 CS Baharu

BMW M2 CS Baharu: BMW M2 Paling Ringan dan Paling Berkuasa Pernah Dihasilkan

BMW M2 CS Baharu menyerlahkan karakter eksklusifnya sejak pandangan pertama. Kidney grille khas model ini dengan bukaan udara yang lebih lebar serta logo M2 CS memberikan identiti visual hadapan yang tersendiri. Manakala, spoiler hadapan di bahagian bawah bampar dengan kemasan hitam matte pula memperkukuhkan penampilan atletiknya. Lampu hadapan adaptif LED dengan bantuan pancaran tinggi serta elemen M Lights Shadowline melengkapkan reka bentuk hadapan yang agresif. Selain itu, lambang BMW M2 CS dengan kemasan garisan merah pada bahagian hadapan dan belakang menyerlahkan lagi keunikan model ini. Kemasan M High-gloss Shadowline melengkapkan penampilan luaran dengan sentuhan reka bentuk yang tajam dan penuh ketelitian.

 

BMW M2 CS Baharu

Elemen aerodinamik utama yang menjadi ciri tersendiri BMW M2 CS Baharu adalah penutup but belakang M Carbon yang dibangunkan khusus untuk model ini. Spoiler belakang bersepadu berbentuk “ducktail” menghasilkan daya mendapan tambahan serta meningkatkan kestabilan pemanduan pada kelajuan tinggi. Penggunaan karbon sepenuhnya pada penutup but belakang turut menyumbang secara langsung kepada pengurangan berat keseluruhan kenderaan sebanyak kira-kira 30 kilogram, menjadikan BMW M2 CS Baharu model paling ringan dalam keseluruhan rangkaian BMW M2. Difuser belakang M Carbon turut memperkukuhkan lagi fokus terhadap pembinaan ringan dengan menggabungkan kejuruteraan berorientasikan pengurangan berat dengan penampilan berfungsi yang menyerlahkan paip ekzos berkembar berwarna hitam. Bumbung M Carbon juga membantu mengurangkan berat pada bahagian paling tinggi kenderaan. BMW M2 CS Baharu dipadankan dengan rim aloi ringan M 19 inci di hadapan dan 20 inci di belakang dalam rekaan jejari bintang Style 827 M, dengan kemasan Gold Bronze, serta dilengkapi tayar khusus untuk kegunaan litar.

 


Setiap elemen direka berdasarkan fungsi, dan prinsip ini paling jelas diterapkan pada ruang dalaman BMW M2 CS Baharu, yang mana setiap perincian mencerminkan elemen sukan permotorannya. Stereng M Alcantara menampilkan sokongan ibu jari, jejari dan padel karbon, jahitan dalam warna M, serta penanda merah pada posisi jam 12 untuk memberikan sentuhan berinspirasikan perlumbaan. Konsol tengah karbon pula menggabungkan pengurangan berat dengan daya tarikan visual, menampilkan kemasan anyaman gentian karbon berkilat tinggi serta logo CS berwarna merah. Panel kemasan pintu dengan rekaan baharu yang menampilkan tulisan CS yang bercahaya dalam pilihan warna tertentu memberikan penampilan eksklusif, diserikan lagi dengan aksen reka bentuk pada tempat duduk, kemasan ambang pintu dan konsol tengah. Tali pinggang keledar M, kemasan dalaman M Carbon Fibre, serta kemasan siling dalaman M Anthracite melengkapkan karakter perlumbaan dalam kabin, manakala pencahayaan ambien menambahkan sentuhan premium di seluruh ruang dalaman.

 


Tempat duduk standard M Carbon Bucket menawarkan sokongan sisi yang optimum dalam kemasan kulit Merino, tulisan CS yang bercahaya, serta permukaan karbon yang jelas kelihatan. Selain memberikan pengurangan berat yang ketara berbanding tempat duduk sukan konvensional, tempat duduk jenis bucket ini turut serasi dengan abah-abah keselamatan dengan beberapa titik pemasangan. Kusyen kepala boleh tanggal pula direka untuk memberikan ruang penggunaan topi keledar — satu perincian yang menyerlahkan DNA perlumbaan litar dalam BMW M2 CS Baharu. Bagi keselesaan harian, BMW M2 CS Baharu dilengkapi dengan pelarasan tempat duduk elektrik bersama fungsi memori, penghawa dingin automatik, pakej ruang penyimpanan, sistem pemuatan terus, serta pelapik kaki velour sebagai ciri standard. Sementara itu, pakej cermin dalaman dan luaran termasuk cermin pandang belakang dengan fungsi anti-silau automatik, meningkatkan tahap keselamatan terutama dalam keadaan pencahayaan rendah. Sistem bunyi sekeliling Harman Kardon, yang terdiri daripada 14 pembesar suara dan amplifier digital sembilan saluran berkuasa 464 watt, memberikan pengalaman audio premium di seluruh ruang kabin.

 

BMW M2 CS Baharu

Komponen utama BMW M2 CS Baharu adalah enjin petrol S58 M TwinPower Turbo enam silinder sebaris yang berkait rapat dengan enjin perlumbaan P58 GT3. Enjin ini menghasilkan kuasa maksimum 390 kW (530 hp) pada 6,250 rpm serta tork maksimum 650 Nm antara 2,750 hingga 5,730 rpm. Kuasa disalurkan secara eksklusif ke roda belakang melalui transmisi 8-kelajuan Steptronic Sport, membolehkan BMW M2 CS Baharu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 3.8 saat. Dengan M Driver’s Package sebagai ciri standard, BMW M2 CS Baharu mampu mencapai kelajuan maksimum 302 km/j selepas melengkapkan tempoh pemadanan enjin (running-in) sejauh 2,000 km serta pemeriksaan selepas tempoh tersebut selesai. Selain itu, setiap pembelian BMW M2 CS Baharu turut disertakan baucar penyertaan ke program M Intensive Training oleh BMW Driving Experience. Program ini bertujuan memastikan pemandu dapat memanfaatkan sepenuhnya kemampuan kenderaan dengan teknik pemanduan yang tepat. Penggunaan bahan api direkodkan pada kadar 10.0 liter/100 km (WLTP), dengan pelepasan karbon dioksida sebanyak 226 g/km.

Pakej dinamik pemanduan khusus CS berpusat pada sistem Adaptive M Suspension yang direndahkan sebanyak 8 mm, dengan talaan spring dan penyerap hentakan yang dibangunkan khusus untuk model ini. Tetapan ini membolehkan BMW M2 CS Baharu mencengkam permukaan jalan dengan lebih baik serta memberikan keseimbangan pengendalian yang optimum ketika mengambil selekoh di litar. M Sport Differential pula mengoptimumkan daya cengkaman dan keseimbangan pengendalian, manakala sistem brek M Compound dengan angkup brek merah berkilat tinggi memberikan prestasi membrek yang meyakinkan dalam pelbagai keadaan pemanduan.

 

BMW M2 CS Baharu

BMW M2 CS Baharu dilengkapi dengan sistem M Drive Professional, yang membolehkan tetapan dinamik pemanduan disesuaikan mengikut kehendak pemandu melalui sistem M Traction Control 10 tahap. Mod M Mode TRACK menyahaktifkan sistem bantuan tertentu dan mengehadkan paparan kepada maklumat pemanduan penting sahaja untuk memberikan pengalaman pemanduan yang lebih tulen dan tanpa gangguan. Sementara itu, M Drift Analyser merekod serta menganalisis sudut gelinciran dan tempoh gelinciran, memberikan pemandu gambaran lebih mendalam mengenai prestasi pemanduan mereka. Ciri keselamatan dan bantuan pemanduan standard termasuk Driving Assistant, Parking Assistant, sistem perlindungan pejalan kaki aktif, serta kawalan pemanduan dengan fungsi brek.


BMW M2 CS Baharu

 

BMW Live Cockpit Professional berfungsi sebagai tulang belakang digital bagi BMW M2 CS Baharu. Pakej Connected Package Professional mengintegrasikan perkhidmatan ConnectedDrive, integrasi telefon pintar, ruang pengecasan tanpa wayar serta ciri Personal eSIM untuk memastikan sambungan yang lancar pada setiap masa. Ciri Intelligent Emergency Call dan Teleservices menyediakan sokongan berterusan ketika di jalan raya, manakala Comfort Access dan BMW Digital Key menawarkan kemudahan akses tanpa kunci serta integrasi lancar ke dalam rutin harian pelanggan.

 

BMW M2 CS Baharu boleh didapati dalam pilihan warna Black Sapphire, Brooklyn Grey dan Velvet Blue. Kemasan upholsteri dalaman ditawarkan secara eksklusif dalam kulit Merino Black dengan aksen M.

 

BMW M3 Touring

BMW M3 Touring Serba Baharu: Prestasi M, Kepraktisan Touring, Tanpa Kompromi

BMW M3 Touring Competition M xDrive Serba Baharu mencatat detik bersejarah buat BMW M di Malaysia apabila menjadi model ikonik BMW M3 pertama yang ditawarkan dalam bentuk badan Touring di pasaran tempatan.

 

Lampu hadapan adaptif LED yang direka semula dengan teknologi Matrix serta bantuan pancaran tinggi hadir sebagai ciri standard dan menyerlahkan bahagian hadapan dengan grafik pencahayaan baharu yang tersendiri serta lampu siang yang dikemas kini. Sistem ini mampu menyesuaikan pencahayaan secara automatik mengikut situasi pemanduan, memastikan permukaan jalan di hadapan sentiasa diterangi secara optimum. Elemen M Lights Shadowline serta M High-gloss Shadowline dengan kemasan tambahan melengkapkan karakter dinamik bahagian luaran, manakala rim tempa M berukuran 19 inci di hadapan dan 20 inci di belakang dalam rekaan jejari berkembar Style 825 M Bicolour Black menyerlahkan penampilan atletik model ini. Selaras dengan ciri sebuah model Touring, BMW M3 Touring Competition M xDrive Serba Baharu menawarkan ruang bagasi berkapasiti 500 liter yang boleh diperluaskan hingga 1,510 liter. Operasi automatik pintu but belakang turut ditawarkan sebagai ciri standard — menggabungkan prestasi luar biasa BMW M dengan ruang praktikal untuk pelbagai keperluan harian.


BMW M3 Touring

 

Ruang dalaman BMW M3 Touring Competition M xDrive Serba Baharu menampilkan kokpit berorientasikan pemandu yang mengimbangi elemen perlumbaan dengan kemewahan untuk kegunaan harian. Stereng M Alcantara dengan jahitan kontras dalam warna ikonik BMW M kini menampilkan bahagian bawah yang diratakan, rekaan tiga jejari serta penanda merah pada posisi jam 12, memberikan sentuhan berinspirasikan sukan permotoran. Paparan melengkung BMW Curved Display yang berorientasikan pemandu menggabungkan paparan instrumen 12.3 inci dan skrin kawalan 14.9 inci, menampilkan rekaan antara muka khusus M untuk akses pantas kepada maklumat pemanduan yang penting. Reka bentuk semula ventilasi udara serta jalur kemasan baharu menyerlahkan suasana kokpit yang kontemporari dan berteknologi tinggi, dilengkapi kemasan dalaman M Carbon Fibre, panel instrumen mewah, kemasan galvanik pada kawalan serta pencahayaan ambien. Butang penghidup merah M dan tuil gear dengan logo M berkemasan timbul pada konsol tengah melengkapkan perincian kabin yang berorientasikan sukan permotoran.


BMW M3 Touring

Tempat duduk M Carbon Bucket sebagai ciri standard menawarkan sokongan sisi yang unggul dalam pelbagai keadaan pemanduan, dengan kemasan kulit Merino, tali pinggang keledar M serta kemasan siling dalaman M Anthracite yang menambahkan lagi sentuhan eksklusif pada ruang kabin. Untuk kegunaan harian, BMW M3 Touring Competition M xDrive Serba Baharu dilengkapi dengan pelarasan tempat duduk elektrik bersama fungsi memori, penghawa dingin automatik, pakej ruang penyimpanan, sistem pemuatan terus serta Comfort Access sebagai ciri standard. Pakej cermin dalaman dan luaran, termasuk cermin pandang belakang dengan fungsi anti-silau automatik, memastikan tahap penglihatan yang baik dalam semua keadaan. Sistem bunyi sekeliling Harman Kardon dengan 16 pembesar suara, amplifier 464 watt dan 9 saluran audio memberikan pengalaman bunyi premium di seluruh ruang kabin.


BMW M3 Touring

 

Komponen utama BMW M3 Touring Competition M xDrive Serba Baharu terletak pada enjin petrol BMW M TwinPower Turbo enam silinder sebaris, yang dibangunkan untuk perlumbaan berprestasi tinggi dan telah terbukti melalui jentera perlumbaan BMW M4 GT3 yang bertanding dalam kejohanan ketahanan antarabangsa. Enjin ini menghasilkan kuasa maksimum 390 kW (530 hp) pada 6,250 rpm serta tork maksimum 650 Nm antara 2,750 hingga 5,730 rpm. Ia turut menghasilkan bunyi khas BMW M yang tersendiri, yang juga merupakan salah satu ciri utama yang menjadi identiti setiap enjin BMW M. Kuasa disalurkan melalui transmisi 8-kelajuan Steptronic Sport kepada keempat-empat roda menerusi sistem pacuan semua roda M xDrive, membolehkan pecutan 0 hingga 100 km/j dicapai dalam hanya 3.6 saat serta kelajuan maksimum 250 km/j. Penggunaan bahan api direkodkan pada kadar 10.4 hingga 10.3 liter/100 km (WLTP), dengan pelepasan karbon dioksida sebanyak 235 hingga 233 g/km.

 

BMW M3 Touring

BMW M3 Touring Competition M xDrive Serba Baharu dilengkapi dengan sistem Adaptive M Suspension yang menggabungkan prestasi pengendalian unggul dengan keselesaan harian. Sistem ini mampu menyesuaikan tetapan suspensi secara automatik mengikut keadaan jalan raya dan gaya pemanduan dalam masa yang amat pantas. Sistem M Sport Differential pula mengoptimumkan daya cengkaman serta keseimbangan pengendalian, manakala brek M Compound dengan angkup brek merah berkilat tinggi memberikan prestasi membrek yang meyakinkan dalam pelbagai keadaan pemanduan.



Daripada segi sistem bantuan pemanduan, BMW M3 Touring Competition M xDrive Serba Baharu dilengkapi dengan sistem Driving Assistant Professional, yang menawarkan rangkaian lengkap ciri keselamatan dan sokongan pemandu. Antara fungsi yang tersedia termasuk Steering and Lane Control Assistant, Speed Limit Assist, Lane Change Assistant, Lane Keeping Assistant dengan perlindungan pelanggaran sisi aktif, serta amaran kenderaan melintas di hadapan dan di belakang. Sementara itu, Parking Assistant Plus yang merangkumi ciri seperti Surround View System dan Remote 3D View memberikan keyakinan lebih tinggi ketika melakukan pemanduan pada kelajuan rendah. Ciri keselamatan tambahan seperti Active Protection serta fungsi penyahaktifan beg udara penumpang hadapan turut melengkapkan tahap perlindungan kenderaan ini.

 

BMW M3 Touring

BMW Live Cockpit Professional, yang menampilkan paparan khusus M melalui BMW Operating System 8.5, menjadi asas digital bagi BMW M3 Touring Competition M xDrive Serba Baharu. Pakej Connected Package Professional mengintegrasikan perkhidmatan ConnectedDrive, ruang pengecasan tanpa wayar serta Personal eSIM untuk pengalaman sambungan yang lancar. Ciri BMW Drive Recorder, Intelligent Emergency Call dan Teleservices menyediakan sokongan berterusan serta keupayaan visual ketika pemanduan, manakala Comfort Access memastikan kemudahan akses tanpa kunci pada setiap masa.

 

BMW M3 Touring

BMW M3 Touring Competition M xDrive Serba Baharu ditawarkan dalam pilihan warna Skyscraper Grey dan Isle of Man Green. Warna Skyscraper Grey boleh dipadankan dengan pilihan kemasan dalaman Merino Yas Marina Blue atau Merino Silverstone, manakala warna Isle of Man Green dipadankan secara eksklusif dengan kemasan dalaman Merino Kyalami Orange.

 

Relax. We Care.

BMW Group Malaysia membawakan makna baharu dalam pengalaman pemilikan automotif premium menerusi keyakinan dan ketenangan fikiran yang tiada tandingan. Relax. We Care. merupakan janji perkhidmatan kami untuk memberikan sokongan yang teguh dalam setiap situasi.

 

BMW Proactive Care berfungsi dengan memantau keadaan kenderaan secara berterusan menggunakan data sensor masa nyata. Sensor ini menjejaki pelbagai sistem dan komponen untuk mengesan potensi masalah sebelum ia menjadi lebih serius. Apabila sistem mengenal pasti kemungkinan kerosakan atau keperluan penyelenggaraan, ia akan menghantar notifikasi secara automatik kepada pemilik melalui aplikasi My BMW atau sistem iDrive kenderaan. Amaran awal ini membolehkan tindakan segera diambil, sekali gus membantu mencegah kerosakan serta memastikan BMW sentiasa berada dalam keadaan optimum.

 

Selain itu, program BMW Service & Repair Inclusive (BSRI) memberikan ketenangan fikiran menerusi jaminan selama lima tahun tanpa had perbatuan, bersama perlindungan servis selama lima tahun atau 100,000 km. Bagi Kenderaan Elektrik Bateri (BEV), perlindungan servis dilanjutkan hingga enam tahun tanpa had perbatuan, manakala bateri voltan tinggi dijamin selama lapan tahun. Menerusi BMW Roadside Assistance, pemilik turut menerima sokongan kecemasan 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, termasuk perkhidmatan tunda, kenderaan ganti serta penginapan hotel sekiranya berlaku kecemasan luar jangka.

 

Kempen BMW New Car menggabungkan keseluruhan rangkaian tawaran ini untuk memberikan pengalaman pemilikan yang lancar dan tanpa kebimbangan sejak hari pertama — membolehkan pelanggan kekal yakin, sentiasa terhubung dan dilindungi, walau apa jua keadaan.

Komen


ADVERTISEMENT

KERETA TERKINI

ADVERTISEMENT

PP-Icon-Light-Blue-Rounded-1200px.png
Pandu Pandu ialah platform automotif & gaya hidup yang lebih daripada sekadar info kereta dan acara automotif.
PP-Tagline.png
  • Facebook
  • Instagram
  • TikTok
  • Youtube

Maklumat di laman ini disediakan untuk tujuan maklumat dan umum sahaja. Pandu Pandu tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian yang timbul daripada penggunaan kandungan ini. Lihat Penafian Penuh untuk maklumat lanjut.

© 2026 Pandu Pandu, Spacerae Sdn. Bhd. 202001029234 (1385554-M). All rights reserved.

bottom of page