Brunei Jadi Pasaran Eksport Pertama Untuk Proton X50 Serba Baharu
- Anna Chong

- 16 Jan
- 3 min membaca

Susulan prestasi yang memberangsangkan pada tahun 2025, Proton International Corporation Sdn. Bhd (PICSB) memperkenalkan Proton X50 Serba Baharu di Brunei sebagai sebahagian daripada usaha memperluas pasaran eksport PROTON.
Pelancaran ini menandakan satu lagi langkah penting PROTON dalam memperkukuh kehadirannya di pasaran antarabangsa, khususnya di negara pemanduan sebelah kanan. Brunei kekal sebagai antara pasaran eksport utama PROTON, dengan model X50 terus mencatatkan prestasi jualan yang kukuh sejak diperkenalkan.
Majlis pelancaran yang berlangsung semalam di Bandar Seri Begawan telah disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Dato’ Mohd Aini Antan, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam. Turut hadir ialah Wan Wei, Naib Presiden PICSB, Tan Kah Boon, Pengerusi Pad Motors Sdn. Bhd., serta Hambali bin Pehin Salleh, Rakan Kongsi Pengurusan PAD Motors.

Pada tahun lalu, PICSB mencatatkan jumlah eksport sebanyak 6,000 unit, dengan Proton X50 muncul sebagai antara penyumbang utama apabila merangkumi 29% daripada keseluruhan jualan eksport, mengukuhkan kedudukannya sebagai model pilihan di pasaran luar negara.
Di Brunei, Proton X50 menyumbang 38% daripada jumlah jualan keseluruhan PROTON, menjadikannya antara model SUV paling laris di pasaran tersebut.
Bagi tahun ini, Brunei dijangka terus memainkan peranan penting dalam pertumbuhan eksport PICSB dengan sasaran jualan sebanyak 1,000 unit. Pencapaian ini akan disokong oleh pengenalan model-model yang dipertingkatkan cirinya seperti Proton X50, selain pelancaran Proton Saga serba baharu pada masa akan datang.

Proton X50 Serba Baharu merupakan evolusi terkini bagi salah satu model eksport PROTON yang paling berjaya. Dengan penampilan luaran yang diperbaharui, dalaman yang lebih kemas serta ciri keselamatan dan bantuan pemandu yang dipertingkatkan, Proton X50 dibangunkan untuk memenuhi jangkaan pelanggan antarabangsa yang semakin meningkat, sambil mengekalkan kekuatan teras jenama dari segi prestasi, keselesaan dan nilai. Spesifikasi utamanya adalah seperti berikut:
Enjin & Prestasi: Enjin baharu i-GT 1.5TD empat silinder turbo yang menghasilkan 181 PS dan 290 Nm tork, dipadankan dengan transmisi Dwi Klac (DCT) tujuh kelajuan yang dioptimumkan.
Rekaan Luaran: Bahagian hadapan yang diperbaharui, lampu utama LED penuh, rim aloi dwi-tona 18 inci serta spoiler belakang sporty dengan empat muncung ekzos.
Dalaman & Keselesaan: Kabin bergaya moden dengan konsol lantai terapung, pencahayaan ambien berirama 72 warna serta upholsteri kulit sintetik berkualiti tinggi.
Keselamatan & Bantuan Pemandu: Sistem ADAS Tahap 2 dengan sehingga 12 sensor parkir, termasuk kamera HD 360° dengan paparan bawah kenderaan lutsinar 180°, Kawalan Jelajah Adaptif dengan fungsi Stop & Go serta enam beg udara SRS.
Bagi pasaran Brunei, Proton X50 Serba Baharu ditawarkan dalam varian dan harga berikut:
Varian & Harga: X50 Executive: B$27,499 | X50 Premium: B$31,500 | X50 Flagship: B$34,500
Tawaran Awal: Diskaun B$1,500 untuk 100 pelanggan terawal
Pakej Servis: Jaminan kenderaan selama lima tahun atau 150,000 km serta enam kali servis buruh percuma
Direka untuk mengimbangi prestasi dan kecekapan, Proton X50 menawarkan pengendalian yang responsif serta pengalaman pemanduan yang yakin, sesuai untuk kegunaan bandar mahupun perjalanan jarak jauh. Rangkaian ciri keselamatan yang menyeluruh mencerminkan fokus berterusan PROTON terhadap perlindungan penumpang dan penyelesaian mobiliti pintar.

“Brunei merupakan pasaran luar negara pertama yang memperkenalkan Proton X50 Serba Baharu, mencerminkan keyakinan PROTON terhadap Brunei sebagai pasaran eksport serta kepercayaan terhadap kerjasama jangka panjang kami bersama PAD Motors. Ia juga menekankan peranan penting Brunei dalam perjalanan antarabangsa PROTON. Dengan model seperti Proton X50, PROTON berada pada kedudukan yang kukuh untuk mencapai sasaran eksport 2026 dan mempercepatkan usaha ke arah aspirasi jangka panjang syarikat untuk mencapai 330,000 unit menjelang 2030, dengan 30% disumbangkan oleh pasaran eksport,” kata Wan Wei, Naib Presiden Proton International Corporation Sdn. Bhd.
Menjelang tahun 2026, Proton X50 mencerminkan strategi PROTON untuk memperkukuh kehadiran serantau, memanfaatkan kerjasama kukuh bersama pengedar, serta memperluas portfolio kenderaan yang berdaya saing di peringkat global.




















Komen