BYD Malaysia Umum Peralihan Kepimpinan dengan Pelantikan Pengarah Urusan Baharu
- Anna Chong

- 26 Mac
- 2 min membaca

BYD Malaysia hari ini mengumumkan peralihan kepimpinan strategik bagi Eagle Zhao yang kini akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada peranannya sebagai Presiden Pengarah PT BYD Motor Indonesia. Meneruskan kepimpinan di Malaysia ialah Jacob Ma yang telah dilantik sebagai Pengarah Urusan baharu BYD Malaysia, bertanggungjawab mengawasi kedua-dua jenama BYD dan DENZA.
Peralihan ini mencerminkan komitmen berterusan BYD dalam memperkukuh barisan kepimpinan serantau, di samping mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai antara pasaran pertumbuhan utama di Asia Tenggara. Sepanjang tempoh perkhidmatannya di Malaysia, Eagle memainkan peranan penting dalam membina kehadiran kukuh BYD di pasaran tempatan. Di bawah kepimpinannya, lebih daripada 30,000 kenderaan BYD dan DENZA telah diserahkan kepada pelanggan di seluruh negara.
Beliau juga menerajui pengembangan rangkaian pengedar di seluruh Malaysia, memperkukuh keupayaan perkhidmatan selepas jualan serta mempercepatkan penerimaan kenderaan tenaga baharu dalam kalangan pengguna tempatan. Usaha ini secara tidak langsung meletakkan BYD sebagai antara jenama kenderaan elektrik yang berkembang paling pesat di negara ini.
“Malaysia merupakan satu bab yang amat bermakna dalam perjalanan saya bersama BYD,” kata Eagle Zhao. “Bersama rakan niaga dan pasukan yang berdedikasi, kami telah membina asas yang kukuh untuk kedua-dua jenama BYD dan DENZA. Saya yakin momentum yang telah diwujudkan ini akan terus memacu pertumbuhan jenama pada masa hadapan.”
Mengambil alih tampuk kepimpinan, Jacob Ma membawa bersama pengalaman antarabangsa yang luas daripada ibu pejabat BYD di Shenzhen. Sebelum pelantikan ini, Jacob berkhidmat sebagai Ketua Latihan (alternative to latihan) di ibu pejabat BYD selama lima tahun, sebelum dilantik sebagai Naib Presiden PT BYD Motor Indonesia selama dua tahun. Dalam tempoh tersebut, beliau memainkan peranan penting dalam membangunkan program kesiapsiagaan pasaran antarabangsa, memperkukuh piawaian kecemerlangan rangkaian runcit serta menerajui pelbagai inisiatif pembangunan keupayaan merentasi beberapa wilayah.
Pada peringkat awal kerjayanya, Jacob juga pernah berkhidmat sebagai perunding dan mempunyai pengalaman dalam industri penerbangan, khususnya dalam projek pemindahan teknologi. Pengalaman ini memberinya asas kukuh dalam kerjasama rentas industri serta transformasi operasi. Kepakaran beliau dalam pembangunan bakat dan penyelarasan organisasi dijangka membantu memacu BYD Malaysia ke fasa pertumbuhan seterusnya.

“Saya berbesar hati untuk memikul tanggungjawab ini pada saat yang sangat menarik bagi BYD Malaysia,” kata Jacob Ma, Pengarah Urusan BYD Malaysia. “Malaysia kekal sebagai pasaran strategik bagi Kumpulan BYD, dan kami komited untuk terus memperkenalkan produk inovatif serta menawarkan pengalaman pemilikan yang menyeluruh kepada para pelanggan. Tumpuan kami adalah untuk memperkukuh kecemerlangan operasi, meningkatkan pengalaman pelanggan serta memastikan pertumbuhan yang mampan bagi kedua-dua jenama BYD dan DENZA.”
Sebagai Pengarah Urusan, Jacob akan mengetuai strategi perniagaan keseluruhan, termasuk jualan, pemasaran, pembangunan rangkaian serta operasi selepas jualan bagi kedua-dua jenama. Kepimpinannya akan memberi fokus kepada pengukuhan kerjasama bersama pengedar, memperluaskan portfolio produk serta memperjelas pembezaan jenama antara BYD dan DENZA bagi memastikan daya saing jangka panjang di pasaran.
Dengan peralihan kepimpinan ini, BYD Malaysia menegaskan semula komitmennya untuk terus memacu mobiliti elektrik di negara ini, sambil membangunkan ekosistem masa hadapan yang menyokong aspirasi mobiliti hijau Malaysia.




















Komen