top of page

Era Baharu Bermula. BMW Malaysia memperkenalkan BMW iX3 50 xDrive M Sport Pro

aisha5891
7 Ogo
6 min membaca
BMW iX3 50 xDrive M Sport Pro Baharu

Kuala Lumpur, 6 Ogos 2026 – BMW Malaysia hari ini memperkenalkan BMW iX3 50 xDrive M Sport Pro Baharu, sekali gus membuka lembaran baharu bagi jenama BMW di Malaysia. Sebagai model pertama daripada portfolio Neue Klasse yang tiba di pasaran tempatan, BMW iX3 Baharu membawa pendekatan serba baharu dari segi reka bentuk, teknologi, pengalaman pemanduan dan kesalinghubungan.

Benjamin Nagel, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, berkata pengenalan BMW iX3 Baharu meneruskan legasi Neue Klasse yang sebelum ini memainkan peranan penting dalam membentuk hala tuju BMW dan segmen automotif premium.


BMW iX3 50 xDrive M Sport Pro Baharu

Menurut beliau, BMW iX3 Baharu kini hadir sebagai peneraju generasi baharu, dengan menggabungkan prestasi elektrik, teknologi pintar dan pengalaman pemanduan yang menjadi teras kepada identiti BMW.

“Setelah dinobatkan sebagai World Car of the Year dan World Electric Vehicle of the Year 2026, BMW iX3 Baharu membuka lembaran baharu untuk pengalaman pemanduan BMW serta masa hadapan segmen premium secara keseluruhannya,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa BMW iX3 Baharu menawarkan pengalaman pemanduan yang lebih menyeluruh, daripada respons stereng dan prestasi dinamik sehinggalah kepada teknologi pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI), prinsip ekonomi kitaran serta pendekatan baharu dalam pembangunan dan pengeluaran kenderaan.


BMW iX3 50 xDrive M Sport Pro Baharu

Teknologi BMW eDrive Generasi Keenam dan Heart of Joy

BMW iX3 50 xDrive M Sport Pro Baharu menjadi model pengeluaran pertama yang menggunakan teknologi BMW eDrive Generasi Keenam, berasaskan seni bina elektrik 800 volt.

Sistem ini menggunakan bateri berkapasiti tenaga boleh guna 108.7 kWh, dengan dua motor elektrik pada gandar hadapan dan belakang yang menghasilkan kuasa gabungan 345 kW (469 hp) serta tork maksimum 645 Nm. Kuasa disalurkan melalui transmisi automatik satu kelajuan bersama sistem pacuan semua roda BMW xDrive.


BMW iX3 50 xDrive M Sport Pro Baharu

Melengkapkan sistem pacuan ini ialah Heart of Joy, unit kawalan berprestasi tinggi yang menguruskan kuasa dan dinamik pemanduan dengan respons sehingga 10 kali lebih pantas berbanding sistem konvensional. Ia membantu memberikan respons pemanduan yang lebih tepat, lancar dan yakin dalam pelbagai keadaan.

Sistem pemulihan tenaga turut dipertingkatkan, dengan keupayaan untuk menyumbang sekitar 98 peratus daripada proses membrek secara purata dan memberhentikan kenderaan sepenuhnya. Hasilnya, peralihan antara pecutan, nyahpecutan dan gerakan bebas dapat dirasakan dengan lebih lancar, khususnya ketika pemanduan dalam trafik.


Jarak Lebih Jauh, Pengecasan Lebih Pantas

Dengan jarak pemanduan sehingga 805 km (WLTP), BMW iX3 Baharu menawarkan keupayaan untuk perjalanan jarak jauh tanpa perlu kerap berhenti untuk mengecas.


BMW iX3 50 xDrive M Sport Pro Baharu

Seni bina 800 volt membolehkan pengecasan DC sehingga 400 kW, yang mampu menambah jarak sehingga 372 km hanya dalam 10 minit. Bateri 108.7 kWh turut serasi dengan infrastruktur pengecasan 400 volt.

Dengan penggunaan tenaga serendah 15.1 kWh/100 km serta nilai pekali seretan serendah 0.24, BMW iX3 Baharu menjadi SAV elektrik BMW paling cekap tenaga yang pernah dihasilkan.

Sistem pengecasan pintar turut membantu memudahkan pengalaman pemilikan. Apabila destinasi pengecasan dipilih melalui sistem navigasi, bateri boleh dipersiapkan lebih awal untuk menerima pengecasan pada kadar maksimum sebaik sahaja kenderaan tiba.

Teknologi AI juga digunakan untuk mengenal pasti lokasi pengecas yang pernah dikunjungi dan membantu membuka penutup port pengecasan secara automatik apabila kenderaan menghampiri lokasi tertentu, dengan syarat BMW Digital Key Plus telah diaktifkan.


BMW iX3 50 xDrive M Sport Pro Baharu

BMW Panoramic iDrive: Teknologi Direka untuk Pemandu

BMW iX3 Baharu memperkenalkan BMW Panoramic iDrive, sistem pengalaman pengguna baharu yang direka untuk menyampaikan maklumat penting pada masa dan tempat yang tepat tanpa mengganggu fokus pemandu.

Antara ciri utamanya ialah BMW Panoramic Vision, paparan selebar 43.3 inci yang merentasi keseluruhan lebar cermin hadapan. Maklumat pemanduan utama boleh dilihat terus dalam medan pandangan pemandu, manakala sehingga enam widget seperti navigasi, cuaca dan media boleh disusun mengikut keutamaan.

Sistem ini dilengkapi BMW 3D Head-Up Display baharu yang memaparkan maklumat navigasi dan bantuan pemanduan dalam bentuk visual tiga dimensi. Di bahagian tengah kokpit pula terdapat Paparan Tengah bersaiz 17.9 inci yang menjalankan BMW Operating System X dan menawarkan akses pantas kepada pelbagai fungsi kenderaan.

BMW Intelligent Personal Assistant generasi baharu turut diperkenalkan dengan keupayaan memahami bahasa harian serta mempelajari tabiat pengguna. Ia boleh mencadangkan fungsi tertentu dan menyimpan rutin yang boleh dilaksanakan secara automatik pada permulaan perjalanan.


BMW iX3 50 xDrive M Sport Pro Baharu

Reka Bentuk Baharu untuk Generasi Baharu BMW

BMW iX3 Baharu turut membawa bahasa reka bentuk yang bakal membentuk identiti model BMW pada masa hadapan. Reka bentuk luaran tampil lebih bersih dengan permukaan yang kemas, garisan minimalis dan bentuk yang lebih tersusun.


Di bahagian hadapan, BMW Iconic Glow pada kidney grille menegak memberikan identiti tersendiri pada waktu siang dan malam. Pakej M Sport pula menambahkan karakter sporty melalui reka bentuk bampar dan kemasan sisi badan.


Reka bentuk ini diteruskan dengan pemegang pintu rata, pencahayaan kontur serta grafik tingkap berkemasan hitam yang mengalir sehingga ke Hofmeister kink. Bahagian belakang pula menampilkan lampu belakang bersaiz besar dan garisan mendatar yang memberikan penampilan lebih lebar dan berkarakter.

BMW iX3 50 xDrive M Sport Pro Baharu dilengkapi rim aloi ringan 22 inci Y-Spoke Style 1054 M dwiwarna serta sistem brek M Sport dengan angkup merah berkilat.



Kabin Moden dengan Keselesaan Premium

Di dalam kabin, BMW iX3 Baharu menggabungkan material premium, pencahayaan ambien dan reka bentuk moden untuk mewujudkan suasana yang lebih selesa dan tenang.

Tempat duduk M Sport hadapan dilengkapi sokongan tambahan serta fungsi urutan dengan tujuh program. Kelengkapan standard turut merangkumi pelarasan elektrik dengan memori, pemanas tempat duduk hadapan dan pemanas stereng.


Sistem audio Harman Kardon HiFi 430 watt dengan 13 pembesar suara pula memberikan pengalaman hiburan yang lebih menyeluruh.

Penumpang belakang turut menikmati ruang yang luas, kawalan penyaman udara automatik tiga zon serta dua port USB-C. Bumbung panoramik dengan kaca Climate Comfort pula memberikan lebih banyak cahaya semula jadi sambil membantu mengurangkan haba dan melindungi daripada sinaran UV.

Ruang bagasi menawarkan kapasiti 520 liter, yang boleh ditingkatkan sehingga 1,750 liter apabila tempat duduk belakang dilipat dalam konfigurasi 40/20/40. Buat pertama kali bagi model BMW, ruang simpanan hadapan atau frunk berkapasiti 58 liter turut disediakan.


BMW iX3 50 xDrive M Sport Pro Baharu

Teknologi Bantuan Pemanduan dan Keselamatan

BMW iX3 Baharu dilengkapi rangkaian kamera, radar dan sensor yang menyokong pelbagai sistem bantuan pemanduan dan parkir.Bantuan Pemanduan Plus membantu mengawal stereng dan brek, mengekalkan kelajuan serta jarak dengan kenderaan di hadapan dan memastikan kenderaan kekal di tengah lorong. Sistem ini turut boleh melaraskan kelajuan berdasarkan had laju serta keadaan jalan seperti selekoh, bulatan dan persimpangan.


Untuk parkir, Bantuan Parkir Profesional menawarkan paparan 360 darjah di sekeliling kenderaan serta keupayaan melakukan manuver parkir melalui telefon pintar yang serasi ketika pemandu berada sehingga enam meter dari kenderaan.

BMW iX3 Baharu turut hadir dengan Apple CarPlay dan Android Auto, BMW Digital Premium, serta fungsi Perakam Pelanggaran Parkir yang menghantar notifikasi kepada pemilik melalui aplikasi My BMW sekiranya insiden dikesan ketika kenderaan diparkir.

BMW Digital Key Plus pula menggunakan teknologi Ultra-Wideband (UWB) untuk mengenal pasti kehadiran pemandu secara automatik. Apabila pemandu menghampiri kenderaan, sistem boleh mengaktifkan pencahayaan sambutan, membuka pemegang pintu dan menyediakan tetapan kabin yang diperibadikan.

BMW iX3 50 xDrive M Sport Pro Baharu

Pilihan Warna

BMW iX3 50 xDrive M Sport Pro Baharu ditawarkan dalam enam pilihan warna luaran, semuanya dipadankan dengan BMW M Interior Design berwarna hitam.

Pilihan tersebut ialah Alpine White, Black Sapphire, M Brooklyn Grey, Space Silver, Ocean Wave Blue dan Polarised Grey. Ocean Wave Blue dan Polarised Grey merupakan dua warna metalik baharu yang diperkenalkan bersama model ini.


BMW iX3 50 xDrive M Sport Pro Baharu

Relax. We Care.

Bersama pengenalan BMW iX3 Baharu, BMW Group Malaysia turut meneruskan komitmennya terhadap pengalaman pemilikan melalui Relax. We Care.


Melalui BMW Proactive Care, keadaan kenderaan dipantau secara berterusan menggunakan data sensor masa nyata. Sekiranya terdapat tanda awal masalah atau keperluan penyelenggaraan, pemilik akan menerima notifikasi melalui aplikasi My BMW atau sistem iDrive.


Program BMW Service & Repair Inclusive (BSRI) pula menawarkan jaminan selama lima tahun tanpa had perbatuan serta perlindungan servis selama lima tahun atau 100,000 km. Untuk kenderaan elektrik bateri (BEV), perlindungan servis dilanjutkan sehingga enam tahun tanpa had perbatuan, manakala bateri voltan tinggi dilindungi selama lapan tahun.


Pemilik turut mendapat manfaat daripada BMW Roadside Assistance selama 24 jam, tujuh hari seminggu, termasuk bantuan tunda, kenderaan ganti dan penginapan hotel sekiranya berlaku kecemasan.

Dengan gabungan teknologi Neue Klasse, prestasi elektrik, reka bentuk generasi baharu dan sokongan pemilikan yang menyeluruh, BMW iX3 50 xDrive M Sport Pro Baharu menandakan permulaan era baharu BMW di Malaysia.


Pilihan Pembiayaan untuk Pemilikan Lebih Mudah


BMW iX3 50 xDrive M Sport Pro Baharu

Bagi memudahkan pelanggan memiliki BMW iX3 50 xDrive M Sport Pro Baharu, BMW Group Financial

Services Malaysia menawarkan pelan pembiayaan Straight-Line dengan ansuran bulanan bermula daripada RM4,632, berdasarkan margin pembiayaan 80 peratus untuk tempoh tujuh tahun.

Bagi pelanggan yang menerima BMW iX3 Baharu sepanjang tahun 2026, tawaran terhad turut membolehkan mereka menikmati tiga bulan Sheer Driving Pleasure sebelum bayaran ansuran pertama bermula. Tawaran ini tertakluk kepada terma dan syarat.


Sebagai pilihan lain, pelanggan boleh memilih pelan BMW Easy Drive, dengan ansuran bulanan bermula daripada RM4,504 berdasarkan margin pembiayaan 80 peratus untuk tempoh lima tahun.

BMW Easy Drive turut menawarkan Guaranteed Future Value, yang menetapkan nilai masa hadapan kenderaan sejak awal tempoh pembiayaan. Pelan ini membolehkan pelanggan menikmati ansuran bulanan sehingga 30 peratus lebih rendah serta memberikan fleksibiliti pada akhir tempoh pembiayaan untuk memilih sama ada memiliki, memulangkan atau menaik taraf kenderaan.


Pelanggan yang memilih BMW Easy Drive juga boleh menambah perlindungan BMW Protection+*, yang merangkumi pelbagai manfaat seperti kematian akibat kemalangan atau hilang upaya kekal, perlindungan pecah masuk kenderaan, perlindungan bayaran balik pinjaman sewa beli dan Perlindungan Aset Terjamin (GAP).


Perlindungan tambahan turut merangkumi kunci kenderaan, bantuan khas sekiranya berlaku kehilangan keseluruhan atau kecurian, kerosakan rim, perlindungan ihsan bagi kejadian banjir serta perlindungan terhadap calar dan kemek.

*BMW Protection+ ialah BMW Ultimate Protection Insurance (UPI) yang ditaja jamin oleh Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad (No. Pendaftaran: 200601015674 (735426-V)).


Pengalaman Pemilikan Premium

Pemilik BMW iX3 50 xDrive M Sport Pro Baharu turut menerima rangkaian manfaat BMW Group Malaysia Premium Ownership, termasuk:

  • BMW Roadside Assistance & Accident Hotline

  • BMW Service Online


Harga

Harga jualan disyorkan atas jalan, tidak termasuk insurans, bagi BMW iX3 50 xDrive M Sport Pro Baharu adalah:

BMW iX3 50 xDrive M Sport Pro Baharu RM378,800

BMW iX3 50 xDrive M Sport Pro Baharu dengan BMW Service & Repair Inclusive RM399,800


BMW iX3 50 xDrive M Sport Pro Baharu

BMW iX3 50 xDrive M Sport Pro Baharu akan mula ditawarkan di semua pengedar sah BMW di seluruh negara mulai 8 Ogos 2026.

Komen


ADVERTISEMENT

KERETA TERKINI

ADVERTISEMENT

PP-Icon-Light-Blue-Rounded-1200px.png
Pandu Pandu ialah platform automotif & gaya hidup yang lebih daripada sekadar info kereta dan acara automotif.
PP-Tagline.png
  • Facebook
  • Instagram
  • TikTok
  • Youtube

Maklumat di laman ini disediakan untuk tujuan maklumat dan umum sahaja. Pandu Pandu tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian yang timbul daripada penggunaan kandungan ini. Lihat Penafian Penuh untuk maklumat lanjut.

© 2026 Pandu Pandu, Spacerae Sdn. Bhd. 202001029234 (1385554-M). All rights reserved.

bottom of page