top of page

F1 Kembali ke Malaysia! Sepang Jadi Tuan Rumah Bahrain Grand Prix 2026

  • Writer: Anna Chong
    Anna Chong
  • 3 hari lalu
  • 2 min membaca

Sepang Jadi Tuan Rumah Bahrain Grand Prix 2026
Sumber: BERNAMA

Malaysia akan menjadi tuan rumah Grand Prix Formula 1 Gulf Air Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 2 hingga 4 Okt, sekali gus buat kali pertama dalam sejarah Formula 1 (F1) sesuatu perlumbaan dipindahkan ke negara lain selepas dibatalkan.


F1 dalam kenyataan hari ini memaklumkan acara berkenaan, yang tertakluk kepada persetujuan akhir dan kelulusan rasmi termasuk daripada Majlis Sukan Permotoran Dunia, akan dikenali sebagai Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix, di Malaysia.


Menurut kenyataan itu, persetujuan antara Formula 1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), serta Kerajaan Malaysia dan Bahrain membolehkan perlumbaan itu diteruskan selepas dibatalkan pada awal musim ini berikutan ketegangan geopolitik di Asia Barat.


"Maklumat mengenai penjualan tiket bagi acara berkenaan akan diumumkan tidak lama lagi," menurut kenyataan itu.


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif F1 Stefano Domenicali berkata langkah itu membuktikan keupayaan sukan berkenaan untuk menyesuaikan diri dan mencari penyelesaian, sambil memastikan peminat terus dapat menikmati kalendar kejuaraan yang lengkap.


"Paling penting, ini merupakan berita yang amat menarik untuk peminat Fl. Mereka akan terus menikmati kalendar F1 yang lengkap dan mengujakan, selain menyaksikan sukan ini kembali ke venue yang hebat," katanya.


Sepang Jadi Tuan Rumah Bahrain Grand Prix 2026
Sepang International Circuit

Domenicali menyifatkan Sepang sebagai lokasi istimewa dalam sejarah F1 yang akan menyediakan suasana perlumbaan yang mengagumkan serta pengalaman tidak dapat dilupakan kepada penonton di litar berkenaan dan penonton di seluruh dunia.


Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Bahrain Raja Hamad bin Isa Al Khalifa, serta kerajaan masing-masing kerana merealisasikan pengaturan luar biasa itu.


Sementara itu, Presiden FIA Mohammed Ben Sulayem berkata FIA, Pengurusan F1 dan rakan kongsi mereka di Bahrain telah meneroka setiap pilihan yang ada, dengan keselamatan serta kesejahteraan pasukan, sukarelawan, pegawai dan peminat kekal menjadi keutamaan tertinggi.


"Malaysia telah lama mempunyai kedudukan yang penting dalam sejarah F1 dan kembalinya kejuaraan itu ke Sepang membuktikan hubungan erat kami dengan Persatuan Sukan Permotoran Malaysia, komitmen berterusan Kerajaan Malaysia serta kekuatan kerjasama antarabangsa dalam sukan ini," katanya.


Grand Prix Bahrain pada asalnya dijadualkan berlangsung di Litar Antarabangsa Bahrain pada tarikh yang sama tetapi dibatalkan berikutan ketegangan geopolitik di Asia Barat.


Malaysia dan Türkiye kemudiannya muncul sebagai calon utama untuk menjadi tuan rumah perlumbaan itu selepas pembatalan Grand Prix Bahrain.


Litar Antarabangsa Sepang menjadi tuan rumah Grand Prix Malaysia dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan itu digugurkan daripada kalendar F1 berikutan peningkatan kos penganjuran dan yuran penganjur.


Komen


ADVERTISEMENT

KERETA TERKINI

ADVERTISEMENT

PP-Icon-Light-Blue-Rounded-1200px.png
Pandu Pandu ialah platform automotif & gaya hidup yang lebih daripada sekadar info kereta dan acara automotif.
PP-Tagline.png
  • Facebook
  • Instagram
  • TikTok
  • Youtube

Maklumat di laman ini disediakan untuk tujuan maklumat dan umum sahaja. Pandu Pandu tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian yang timbul daripada penggunaan kandungan ini. Lihat Penafian Penuh untuk maklumat lanjut.

© 2026 Pandu Pandu, Spacerae Sdn. Bhd. 202001029234 (1385554-M). All rights reserved.

bottom of page