top of page

Hitam Kembali Menyerlah: Proton X50 Tampil Dengan Gaya Sofistikasi Abadi

  • Writer: Anna Chong
    Anna Chong
  • 10 Apr
  • 3 min membaca

Quartz Black Proton X50

Sebagai SUV paling popular di Malaysia sejak diperkenalkan, PROTON X50 terus mengukuhkan kedudukannya dengan tarikan utama yang merangkumi reka bentuk bergaya, prestasi berkuasa, ciri keselamatan unggul, teknologi pintar revolusioner dan keselesaan menyeluruh. Dalam segmen pasaran yang semakin kompetitif dengan kemunculan pelbagai pesaing baharu, PROTON kini memperkenalkan satu pilihan warna baharu yang segar bagi mengekalkan daya tarikan model ini – Quartz Black.


Dalam dunia automotif yang sentiasa berubah, trend datang dan pergi, namun warna hitam kekal sebagai lambang sofistikasi, kuasa dan keyakinan yang tidak lapuk dek zaman. Selepas kejayaan PROTON X50 Black Edition pada Mac lalu, yang menyaksikan 200 unit edisi terhad berasaskan varian Flagship habis mendapat sambutan, PROTON kini memperkenalkan Quartz Black sebagai pilihan warna utama untuk semua varian PROTON X50 bermula April ini.


Quartz Black Proton X50

Pilihan Bergaya dan Kekal Relevan

Warna hitam sentiasa mempunyai kedudukan istimewa dalam palet warna automotif. Berbeza dengan warna warna terang yang sering mengikut trend semasa, hitam melangkaui perubahan fesyen dan sering dikaitkan dengan keanggunan serta autoriti. Bagi ramai pembeli masa kini, khususnya golongan profesional muda bandar, warna hitam bukan sekadar pilihan estetik, tetapi melambangkan gaya hidup minimalis, matang dan penuh keyakinan.


Trend ini juga selari dengan pergerakan reka bentuk global merentas industri seperti teknologi dan fesyen, yang kini semakin cenderung kepada ekspresi monokromatik yang bersih dan premium. Dalam konteks automotif, kemasan hitam menyerlahkan nilai eksklusif sesebuah kenderaan sambil memperincikan garisan reka bentuk dengan lebih jelas.


Quartz Black Proton X50

Bagi PROTON X50, model yang sememangnya terkenal dengan karakter sporty, warna Quartz Black menambah lagi impak visualnya. Bahagian hadapan yang garang, panel badan berukir dan postur dinamik SUV ini tampil lebih menyerlah dan tegas apabila digayakan dalam warna hitam. Ia juga menonjolkan elemen kontras seperti kemasan krom dan lampu LED dengan lebih jelas.


Selain aspek estetika, warna hitam juga mempunyai nilai praktikal kerana sering dianggap pilihan selamat dalam pasaran jualan semula, dengan permintaan yang konsisten merentas pelbagai kelompok pembeli.


Quartz Black Proton X50

Model Penting untuk PROTON dan Pasaran SUV Malaysia

Walaupun berdepan lambakan pesaing dalam segmen SUV-B, PROTON X50 terus mencatat momentum jualan yang kukuh dengan 3,265 unit terjual pada bulan Mac, sekali gus mengekalkan kedudukannya sebagai SUV paling popular di Malaysia bagi tiga bulan pertama 2026 dengan jumlah jualan 7,571 unit. Angka ini mewakili peningkatan 48% berbanding tempoh sama tahun lalu, membuktikan daya tarikan berterusan model yang dikemas kini pada Julai tahun lalu.


PROTON turut memahami bahawa daya tarikan produk tidak terhad kepada kenderaan semata-mata, malah pengalaman pemilikan memainkan peranan penting dalam kepuasan pelanggan. Oleh itu, PROTON X50 disokong oleh pakej komitmen selepas jualan yang komprehensif bagi memberi kemudahan dan ketenangan fikiran kepada pelanggan.


Antara komitmen tersebut ialah:

  • Fast Service*: Penyelenggaraan asas seperti penukaran minyak enjin dan penapis disasarkan siap dalam tempoh 90 minit bagi pelanggan yang membuat tempahan awal dan menunggu di pusat servis.

  • 1-Day Service Delivery*: Jaminan kenderaan disiapkan dalam tempoh 24 jam untuk kerja penyelenggaraan yang lebih menyeluruh, termasuk bagi pelanggan temu janji dan walk-in.

  • Courtesy Car & Complimentary Service*: Jika pembaikan mengambil masa melebihi tiga hari bekerja, pelanggan akan diberikan kereta gantian serta servis percuma sekali yang merangkumi alat ganti dan upah kerja.


Quartz Black Proton X50

Mengulas mengenai langkah meningkatkan daya tarikan PROTON X50, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Dato’ Ir Abdul Rashid Musa, berkata “PROTON X50 merupakan peneraju utama rangkaian SUV kami dan telah mencipta kejayaan luar biasa sejak diperkenalkan pada tahun 2020. Kejayaan ini dibina atas kualiti produk serta kefahaman mendalam terhadap keperluan pelanggan. Pengenalan Quartz Black dan penekanan berterusan terhadap pengalaman pelanggan adalah bukti jelas falsafah tersebut.


“PROTON percaya pembeli masa kini bukan sekadar membeli sebuah kenderaan, tetapi melabur dalam identiti, gaya hidup dan jaminan kebolehpercayaan. Justeru, warna hitam untuk PROTON X50 bukan sekadar pilihan warna, tetapi satu pernyataan yang selari dengan reputasinya sebagai SUV moden, bergaya dan diyakini rakyat Malaysia.”

Komen


KERETA TERKINI

ADVERTISEMENT

ADVERTISEMENT

PP-Icon-Light-Blue-Rounded-1200px.png
Pandu Pandu ialah platform automotif & gaya hidup yang lebih daripada sekadar info kereta dan acara automotif.
PP-Tagline.png
  • Facebook
  • Instagram
  • TikTok
  • Youtube

Maklumat di laman ini disediakan untuk tujuan maklumat dan umum sahaja. Pandu Pandu tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian yang timbul daripada penggunaan kandungan ini. Lihat Penafian Penuh untuk maklumat lanjut.

© 2026 Pandu Pandu, Spacerae Sdn. Bhd. 202001029234 (1385554-M). All rights reserved.

bottom of page