Honda Malaysia Panggil Semula 87,490 Unit Kenderaan untuk Penggantian Pam Minyak
- Anna Chong
- 3 hari lalu
- 2 min membaca

Honda Malaysia (atau Syarikat) hari ini mengumumkan panggilan semula produk melibatkan 87,490 unit kenderaan Honda untuk penggantian pam minyak sebagai langkah berjaga-jaga.


A. Impeller Pam Minyak
Impeller pada pam minyak mungkin mengembang selepas terendam lama dalam minyak, yang boleh menyebabkan kenderaan tidak dapat dihidupkan atau enjin terhenti semasa pemanduan. Sebanyak 84,073 unit melibatkan model Jazz, City, Civic, Accord, BR-V, HR-V, CR-V dan Odyssey. Butiran model-model terlibat disenaraikan dalam Jadual 1.



Jadual 1: Model terlibat dalam panggilan semula produk bagi pengembangan impeller pam minyak
Model | Model Tahun |
Jazz | 2015 - 2020 |
Jazz (Hybrid) | 2018 |
City | 2014-2019 |
City (Hybrid) | 2018-2019 |
Civic | 2017-2018 |
Accord | 2013-2017 |
BR-V | 2017-2018 |
HR-V | 2015-2018 |
CR-V | 2018-2020 |
Odyssey | 2017-2019 |

B. Pam Minyak Tekanan Tinggi
Pam minyak tekanan tinggi mungkin retak akibat penggunaan berpanjangan dan tekanan berlebihan, yang boleh menyebabkan kebocoran minyak atau bau minyak semasa memandu atau berhenti. Sebanyak 3,417 unit model Civic dan CR-V terlibat. Butiran model-model terlibat disenaraikan dalam Jadual 2.
Jadual 2: Model terlibat dalam panggilan semula produk bagi pam minyak tekanan tinggi
Model | Model Tahun |
Civic | 2023-2024 |
CR-V | 2024 |


Honda Malaysia memohon maaf atas segala kesulitan yang dihadapi oleh pelanggan yang terjejas dan memberi jaminan bahawa semua model semasa yang sedang dikeluarkan dan dijual tidak terjejas dalam panggilan semula ini.



Syarikat percaya panggilan semula ini adalah penting kerana keselamatan pelanggan adalah keutamaan utama Honda Malaysia. Syarikat akan terus mengambil langkah proaktif serta mengekalkan ketelusan dan kawalan ketat untuk memastikan keselamatan pengguna. Justeru itu, panggilan semula ini turut diperluaskan kepada model yang telah tamat tempoh jaminan.
Semua pelanggan yang terjejas akan dimaklumkan melalui surat pemberitahuan yang akan mengandungi butiran panggilan semula produk. Pelanggan juga boleh menyemak sama ada kenderaan mereka terlibat dalam panggilan semula ini menerusi aplikasi HondaTouch.
Honda Malaysia menggesa semua pelanggan yang terjejas agar menghubungi mana-mana pengedar sah Honda untuk membuat temujanji bagi penggantian pam minyak, tertakluk kepada ketersediaan alat ganti.Penggantian pam minyak dan pam minyak tekanan tinggi yang terjejas adalah PERCUMA dan semua kos yang berkaitan akan ditanggung sepenuhnya oleh Honda Malaysia. Stok alat ganti akan disediakan secara berperingkat.
Setakat ini, tiada insiden kemalangan atau kecederaan akibat isu ini yang dilaporkan di Malaysia.
Comments