top of page

Honda Malaysia Perkenal e:N1 Serba Baharu, EV Dengan Dinamik Honda, Bermula Dari RM149,900

  • Writer: Anna Chong
    Anna Chong
  • 13 jam lalu
  • 4 min membaca

Honda e:N1

Honda Malaysia (atau Syarikat) hari ini secara rasmi melancarkan Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) pertama mereka, iaitu e:N1 Serba Baharu, menandakan satu pencapaian penting dalam elektrifikasi. Sempena pelancaran ini, Syarikat menawarkan Harga Istimewa yang Mengujakan sebanyak RM149,900.00, tersedia untuk kuantiti terhad.


Honda e:N1

Honda e:N1

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Encik Narushi Yazaki berkata: “Kami sentiasa berada di barisan hadapan dalam inovasi, membawa teknologi canggih kepada rakyat Malaysia. Perjalanan ini bermula dengan IMA pada tahun 2004, diikuti oleh VTEC Turbo pada 2016, i-DCD pada 2017, dan teknologi e:HEV pada 2020. Kami terus mengambil kekuatan daripada sejarah kami untuk terus menerajui masa depan. Berdasarkan asas kukuh ini, Honda Malaysia berada di landasan yang betul dalam menyesuaikan diri dengan pasaran melalui model enjin pembakaran dalaman (ICE) dan e:HEV kami, yang masih sangat relevan hari ini. Pada masa yang sama, kami komited untuk menawarkan rangkaian model yang pelbagai demi memenuhi keperluan pelanggan yang semakin berkembang. Menjamin pengalaman 'Fun-To-Drive' adalah kunci dalam setiap pembangunan teknologi kami, dan kenderaan BEV baharu kami pasti akan mengekalkan tradisi ini.


Pengenalan BEV bukan sekadar mencetuskan keterujaan. Ia mewakili satu langkah besar ke hadapan dalam perjalanan berterusan kami ke era elektrifikasi. Pelancaran e:N1 ini mengukuhkan lagi barisan xEV kami dan memberi lebih banyak pilihan kepada rakyat Malaysia untuk memenuhi keperluan mobiliti mereka, sejajar dengan hala tuju perniagaan kami menjelang tahun 2025.”


Honda e:N1

Honda e:N1

e:N1 merupakan gabungan sempurna antara fungsi dan gaya — sebuah pakej seimbang yang mengintegrasikan teknologi, prestasi dan reka bentuk dengan lancar. Model BEV ini memperkenalkan pengalaman pemanduan elektrik Honda yang berpaksikan falsafah "manusia sebagai pusat segalanya". Ia memanfaatkan teknologi Honda untuk menawarkan dinamik pemanduan yang menyeronokkan dengan pecutan yang lancar dan responsif. e:N1 dilengkapi bateri lithium-ion berkapasiti 68.8kWh yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 150kW dan tork puncak 310Nm. Untuk pengecasan, ia menyokong pengecasan AC (Biasa) sehingga 10 kW — dari 10% ke 80% mengambil masa kira-kira enam jam. Ia juga menyokong pengecasan pantas DC sehingga 78 kW, membolehkan pengecasan dari 30% ke 80% dalam lebih kurang 50 minit. Dengan jarak pemanduan sehingga 500km (NEDC), pelanggan boleh menikmati pengalaman pemanduan yang menyeronokkan dengan pilihan tiga mod pemanduan — Sport, Normal dan ECON.


Honda e:N1

Dari segi luaran, e:N1 menampilkan reka bentuk moden dengan gril hadapan yang kemas dan bergaya serta logo “H” putih baharu yang melambangkan arah elektrifikasi Honda. Penampilannya yang elegan dan minimalis diserlahkan lagi dengan Lampu Hadapan LED, Lampu Belakang LED, serta Rim Aloi Dual-Tone 18 inci yang direka khas untuk model BEV ini. Gaya yang moden diteruskan ke bahagian dalam, di mana pencahayaan ambien berwarna biru, Pengecas Tanpa Wayar dan paparan maklumat pemanduan TFT bersaiz 10.25 inci — eksklusif untuk e:N1 — mencipta suasana kabin yang sofistikated dan intuitif, sesuai dengan gaya hidup moden. Satu lagi ciri eksklusif untuk model ini ialah paparan audio canggih bersaiz 15.1 inci yang mengintegrasikan panel skrin sentuh tiga bahagian, direka untuk sambungan yang lancar serta operasi mesra pengguna. Segala fungsi boleh diakses dengan sentuhan mudah sahaja.


Bahagian atas skrin menempatkan fungsi infotainmen utama seperti Apple CarPlay tanpa wayar, sambungan Android Auto berwayar, serta sistem navigasi. Bahagian tengah memberikan akses kepada maklumat status kenderaan dan kawalan audio, manakala bahagian bawah memaparkan tetapan penghawa dingin. Untuk keselesaan dan praktikaliti yang lebih tinggi, e:N1 mengekalkan keistimewaan keluasan kabin Honda dengan konfigurasi tempat duduk belakang boleh lipat 60:40 serta ruang kargo sebesar 344 liter.



Setiap kenderaan Honda dibina dengan keselamatan sebagai keutamaan utama. Menepati prinsip ini, Honda Malaysia melengkapi e:N1 dengan rangkaian ciri keselamatan standard yang menyeluruh bagi memberikan keyakinan pemanduan yang lebih tinggi kepada pelanggan. Selain dilengkapi dengan Honda SENSING, e:N1 juga hadir dengan sistem Blind Spot Information (BSI) bersama Cross Traffic Monitor (CTM) — satu ciri yang kini eksklusif untuk model BEV ini. Terdapat tiga warna menarik untuk pelanggan pilih, iaitu Platinum White Pearl, Aqua Topaz Metallic dan Urban Gray Pearl.


Untuk meningkatkan pengalaman pembelian Honda, keseluruhan proses pembelian e:N1 telah diintegrasikan ke dalam platform dalam talian Honda Malaysia, termasuk portal Pra-Tempahan Kereta Baharu dan aplikasi HondaTouch. Pelanggan boleh melengkapkan tempahan mereka dalam beberapa langkah mudah dengan memilih salah satu daripada lapan pengedar BEV Honda yang sah, mengisi maklumat diri, memilih model e:N1, dan membuat bayaran pra-tempahan minimum. Untuk menambah pengalaman yang lebih eksklusif dan peribadi, seorang duta jenama khas yang terlatih akan sedia membantu dan memberi panduan sepanjang proses pembelian.



e:N1 didatangkan dengan jaminan selama lapan tahun atau 160,000km (yang mana lebih dahulu) untuk bateri kenderaan elektrik dan sistem pemacu elektrik. Bagi memberi ketenangan tambahan, pakej Honda Insurance Plus (HiP EV) juga ditawarkan untuk e:N1, yang merangkumi Manfaat Tambahan EV seperti perlindungan terhadap kerosakan atau kecederaan semasa menggunakan pengecas EV awam, perlindungan untuk pengecas dinding EV di rumah terhadap kebakaran, kilat, kecurian atau bencana alam, perlindungan terhadap kehilangan atau kerosakan kabel pengecas mudah alih, serta perlindungan liabiliti peribadi sekiranya berlaku kecederaan atau kerosakan kepada harta pihak ketiga akibat penggunaan pengecas dinding EV di rumah.


Dengan permulaan tahun 2025 yang memberangsangkan — hampir 24,000 unit kenderaan telah terjual dalam tempoh empat bulan pertama — Honda Malaysia yakin bahawa e:N1 akan terus mengukuhkan kedudukannya yang unik serta kehadirannya yang kukuh dalam industri automotif negara. Syarikat turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pelanggan atas sokongan berterusan mereka yang amat penting dalam mengekalkan momentum perniagaan yang positif.

Comments


KERETA TERKINI

ADVERTISEMENT

ADVERTISEMENT

bottom of page