Hyundai Menghidupkan Semangat “Driving ASEAN as One” Menjelang Hyundai Cup™ 2026
- Anna Chong

- 10 Jul
- 2 min membaca

Kuala Lumpur, Malaysia, 7 Julai 2026 – Hyundai Motor Asia Pacific memperkenalkan bab baharu filem kempen “Hyundai, Driving ASEAN as One”, sekali gus menandakan satu pencapaian penting dalam kerjasama sebagai penaja utama Hyundai Cup™ 2026, yang akan berlangsung dari 24 Julai hingga 26 Ogos 2026. Melalui penceritaan yang menyentuh emosi, Hyundai mengetengahkan visinya untuk menyatukan Asia Tenggara menerusi semangat bola sepak, kekuatan matlamat bersama serta perjalanan yang menghubungkan masyarakat di seluruh rantau ini.
Sebagai penaja utama Hyundai Cup™ 2026, Hyundai memanfaatkan lebih 27 tahun pengalaman dalam penajaan sukan di peringkat global untuk meraikan dan menyatukan kepelbagaian rakyat, budaya serta komuniti di Asia Tenggara.
Kempen “Hyundai, Driving ASEAN as One” merupakan manifestasi langsung kepada visi global Hyundai Motor Company, “Progress for Humanity”, yang berpegang kepada kepercayaan bahawa kemajuan yang bermakna berlaku apabila manusia bergerak maju bersama, dan mobiliti mempunyai kuasa untuk merapatkan hubungan sesama insan.
“Hyundai Cup™ 2026 bukan sekadar kejohanan bola sepak, tetapi satu sambutan terhadap nilai-nilai ASEAN seperti kepelbagaian, ketahanan dan semangat kebersamaan yang tidak pernah luntur. Melalui filem utama ini serta kempen ‘Driving ASEAN as One’, kami mahu setiap penyokong di rantau ini merasakan bahawa Hyundai sentiasa bersama mereka dalam perjalanan ini. Di Hyundai, visi ‘Progress for Humanity’ bukan sekadar slogan, tetapi komitmen kami untuk memacu perubahan yang bermakna dan mengukuhkan hubungan di setiap pasaran yang kami sertai. Hyundai Cup™ 2026 merupakan salah satu platform paling berpengaruh untuk kami merealisasikan komitmen tersebut di seluruh Asia Tenggara,” kata Faraz Shamsi, Pengarah Eksekutif Pemasaran Hyundai Motor Asia Pacific.
Di tengah-tengah kempen ini ialah Hyundai STARGAZER, model utama bagi Hyundai Cup™ 2026. Direka untuk mengutamakan hubungan, keselesaan dan mobiliti keluarga, STARGAZER melambangkan semangat sebenar “Driving ASEAN as One” – sebuah kenderaan yang menyatukan insan, membolehkan perjalanan bersama serta mencipta detik-detik bermakna yang menjadi nadi kepada komuniti di seluruh rantau ini. Dalam naratif kempen ini, STARGAZER menjadi simbol pergerakan secara kolektif, membawa aspirasi seluruh rantau ke hadapan.
Kempen ini turut menampilkan Dhika, yang dikenali sebagai “Aura Farming Boy”, figura tular yang mencuri perhatian warga internet ketika perlumbaan bot Pacu Jalur. Melambangkan nilai kepercayaan, kerja berpasukan dan bergerak seiring, Dhika kini menjadi inspirasi kepada semangat bergerak maju sebagai satu pasukan. Seperti setiap ahli pasukan pendayung yang memainkan peranan berbeza tetapi berkongsi matlamat yang sama, Hyundai percaya kemajuan yang bermakna hanya dapat dicapai apabila masyarakat bersatu dengan tujuan yang dikongsi bersama. Kisah penuh Dhika bersama Hyundai akan diperkenalkan menerusi kempen khas dalam beberapa hari akan datang.
Kandungan kempen ini kini boleh ditonton menerusi saluran media sosial rasmi Hyundai di seluruh rantau ASEAN. Menjelang Hyundai Cup™ 2026, peminat dari kesemua 11 negara yang mengambil bahagian boleh menantikan Jelajah Trofi Hyundai Cup™ 2026, pelbagai aktiviti di stadium pada hari perlawanan, hadiah eksklusif untuk peminat serta peluang memandu uji kenderaan Hyundai. Maklumat lanjut mengenai aktiviti khusus di setiap negara akan diumumkan oleh pasaran tempatan masing-masing.




















Komen