top of page

Hyundai Motor Malaysia Mengukuhkan Pengalaman Pemilikan dan Sokongan Selepas Jualan, Hyundai N Sasar Debut 2026

Writer: Anna Chong
Anna Chong
12 Feb
3 min membaca

Hyundai Motor Malaysia 2026

Hyundai Motor Malaysia (HMY) hari ini menggariskan hala tuju perniagaan bagi tahun 2026 dengan fokus terhadap pengalaman pemilikan pelanggan yang lebih baik melalui peluasan rangkaian, penambahbaikan perkhidmatan selepas jualan serta pengukuhan kedudukan sebagai jenama Smart Premium.


Ketibaan Hyundai N di Malaysia turut disahkan menerusi pengenalan IONIQ 5 N dan IONIQ 6 N, menandakan permulaan era baharu dalam penawaran kenderaan berprestasi tinggi jenama ini.


Perancangan dan Strategi 2026

Menjelang 2026, Hyundai menetapkan pelan tindakan berteraskan pertumbuhan mampan, pengukuhan interaksi pelanggan dan pengalaman pemilikan yang lebih menyeluruh. “Salah satu aspirasi utama kami tahun ini adalah untuk memperkukuh Hyundai sebagai jenama Smart Premium. Kami mahu menjadi pilihan utama pelanggan yang inginkan keseimbangan antara praktikaliti, kebolehpercayaan, keselesaan, inovasi, reka bentuk moden dan kualiti premium – semuanya mencerminkan harga yang mampu dimiliki,” kata Puan Jahabarnisa Haja Mohideen, Pengarah Urusan Hyundai Motor Malaysia.


Bagi merealisasikan visi tersebut, Hyundai akan menumpukan usaha kepada peluasan rangkaian dan peningkatan mutu perkhidmatan di seluruh negara.


Hyundai Motor Malaysia 2026

  1. Peluasan Rangkaian 

    Hyundai menyasarkan pembukaan 25 cawangan di seluruh negara menjelang akhir 2026, termasuk peluasan liputan ke Malaysia Timur. Dengan 12 cawangan sedia ada, menandatangani surat hasrat (LOI) bersama lima rakan pengedar baharu pada 2025 serta satu lagi pada awal tahun ini.


  1. Memperkukuh Pengalaman Pemilikan melalui myHyundaiCare

    Pengalaman pemilikan yang lancar dan menyeluruh kekal sebagai fokus utama Hyundai di bawah program myHyundaiCare. Antara inisiatif utama termasuk:


  • Mengurangkan kos pemilikan menerusi penambahbaikan pakej servis dan penyelenggaraan bagi model baharu serta model sedia ada.

  • Kos bateri hibrid yang lebih rendah serta proses penggantian bateri yang dipermudahkan, dengan hanya modul terjejas diganti tanpa perlu menukar keseluruhan unit bateri.

  • Pemeriksaan kenderaan percuma sebelum servis dan kempen servis musim perayaan untuk perjalanan lebih selamat.

  • Pasukan sokongan teknikal bergerak untuk membantu pengedar dan pelanggan di kawasan yang memerlukan.

  • Sesi pemeriksaan kenderaan dan bengkel pemilik bagi meningkatkan keyakinan serta pemahaman terhadap kenderaan Hyundai,

  • Mengekalkan jaminan sehingga 8 tahun atau 160,000 km.

  • Melindungi nilai kenderaan Hyundai melalui Hyundai Protection Plan dengan sokongan rakan insurans seperti Allianz, Berjaya Sompo, Etiqa General Takaful, Takaful Ikhlas dan Tokio Marine.

  • Memastikan bekalan alat ganti mencukupi melalui pusat pengedaran di Glenmarie, Shah Alam, terutamanya bagi komponen yang kerap diperlukan.


Hyundai Motor Malaysia 2026

Perancangan Produk dan Jenama Hyundai bagi 2026

Hyundai terus memperkukuh barisan modelnya selari dengan keperluan dan gaya hidup pelanggan yang semakin berubah.


  • Hyundai melancarkan STARIA 10-tempat duduk dengan penambahbaikan ciri bagi keselesaan dan penggunaan harian yang lebih praktikal, memenuhi keperluan keluarga, pemilik perniagaan dan gaya hidup aktif.

  • Model TUCSON baharu dan SANTA FE serba baharu yang dikeluarkan secara tempatan dijadualkan untuk dilancarkan pada suku kedua tahun ini, sekali gus memperkukuh komitmen jangka panjang jenama dalam menyampaikan nilai yang lebih tinggi kepada para pelanggan di Malaysia.

  • Hyundai N, jenama berprestasi tinggi Hyundai, bakal membuat kemunculan di Malaysia menerusi IONIQ 5 N dan IONIQ 6 N. Model ini menjanjikan pengalaman pemanduan yang lebih bertenaga dan mengujakan, diinspirasikan daripada kepakaran sukan permotoran Hyundai.

  • Model baharu B-MPV turut dirancang bagi melengkapkan penawaran sedia ada serta memberi lebih pilihan kepada pelanggan.


Program Rujukan Pelanggan STARIA All-Star

Bagi menghargai pelanggan setia, Hyundai Motor Malaysia memperkenalkan Program Rujukan STARIA All-Star, sebuah inisiatif yang menggalakkan pelanggan berkongsi pengalaman memiliki Hyundai bersama rakan dan keluarga sambil menikmati pelbagai ganjaran.

  • Perujuk menerima kredit servis bernilai RM500

  • Pelanggan baharu menikmati penjimatan tambahan RM1,500 di samping promosi sedia ada


Hyundai STARIA juga dinobatkan sebagai ‘MPV ICE Terbaik Tahun Ini’ di Anugerah Malaysian Car of the Year 2025.


Hyundai Motor Malaysia 2026

“Bagi kami, yang paling penting adalah membina hubungan yang bermakna dengan setiap pelanggan. Hyundai komited untuk jangka panjang dan akan sentiasa di sisi anda,” kata Encik Eric Lee, Presiden Hyundai Motor Malaysia. 


Dengan asas yang kukuh dan rangkaian yang kian meluas, Hyundai kekal komited terhadap pelaburan jangka panjang demi pertumbuhan mampan di Malaysia. Hyundai akan terus memperkenalkan produk dan pengalaman yang menawarkan nilai lebih baik bagi meningkatkan keyakinan pemandu tempatan.



Komen


ADVERTISEMENT

PP-Icon-Light-Blue-Rounded-1200px.png
Pandu Pandu ialah platform automotif & gaya hidup yang lebih daripada sekadar info kereta dan acara automotif.
PP-Tagline.png
  • Facebook
  • Instagram
  • TikTok
  • Youtube

Maklumat di laman ini disediakan untuk tujuan maklumat dan umum sahaja. Pandu Pandu tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian yang timbul daripada penggunaan kandungan ini. Lihat Penafian Penuh untuk maklumat lanjut.

© 2026 Pandu Pandu, Spacerae Sdn. Bhd. 202001029234 (1385554-M). All rights reserved.

bottom of page