iCAUR 03 Tiba Di Malaysia : Sedia Mengembara, Mencetus Pengalaman EV Baharu
- Anna Chong

- 10 Sep
- 5 min membaca

iCAUR Malaysia hari ini telah melancarkan iCAUR 03, model pertamanya yang dibawa ke pasaran tempatan. Diketengahkan sebagai SUV kegunaan lasak elektrik sepenuhnya pertama di Malaysia, model segmen-C ini bakal mempelopori kategori pengembaraan BEV dengan menjanjikan gandingan prestasi, keselamatan dan ciri serba guna yang unggul.

Naib Presiden iCAUR Malaysia, Emily Lek, menerangkan, “Berlandaskan falsafah teras — ‘Born to Play’ atau ‘Sedia Mengembara’ - setiap model iCAUR melambangkan kepintaran, inovasi dan interaksi. Kenderaan ini mencerminkan keperibadian pemilik, dan dicipta untuk menghidupkan semangat pengembara, pelopor trend dan mereka yang berjiwa muda.”

“Sebagai pasaran global pertama untuk melancarkan jenama ini, persiapan yang kami buat sememangnya pantas, bersasar dan penuh bertenaga. Pada hari ini, kami bukan sahaja memperkenalkan model baharu; kami bersedia membuktikan keupayaan kami dan mentakrifkan genre baharu: iaitu segmen EV kembara,” tambahnya.

Dengan ukuran sepanjang 4,406 mm, selebar 1,910 mm, dan setinggi 1,715 mm serta jarak roda 2,715 mm, iCAUR 03 menggabungkan reka bentuk terkhusus dengan ciri-ciri praktikal kegunaan harian. Kaedah reka bentuk i-BOX, garis bersudut, LED dinamik tersendiri dan penampilan SUV yang gah menyerlahkan kehebatannya sebagai kenderaan kegunaan lasak. Bentuknya memang serasi dengan fungsi, memaparkan unjuran pendek di kedua-dua hujung, menghasilkan sudut pendekatan 28 darjah, sudut pelepasan 32-darjah dan tahap kecerunan sehingga 55%.

Pada asasnya, iCAUR 03 mengutamakan keselamatan dan kecemerlangan kejuruteraan. SUV ini memperkenalkan sistem keselamatan jenama iCARE, berteraskan badan aluminium pertama dalam segmen dan juga casis monocoque dengan perlindungan antikarat sehingga 30 tahun. Struktur ini menghasilkan ketegaran kilasan 31,882 Nm — mengatasi ketegaran kereta sport moden.

Struktur mantap ini bukan sahaja meningkatkan perlindungan jika berlaku perlanggaran, tetapi turut menyokong pengendalian lancar. Sistem perisai bateri 4-lapis IPx8 menjadi pelengkap, yang menggabungkan pengadang atas seramik mika suhu tinggi, dan plat dasar aluminium bertetulang 10mm, memastikan perlindungan yang boleh dipercayai bagi pemanduan harian dan juga keadaan lasak.

iCAUR 03 ditawarkan dalam dua konfigurasi rangkaian kuasa untuk disesuaikan mengikut keperluan pemanduan berbeza. Versi pacuan dua roda (2WD), dengan motor gandar belakang menghasilkan kuasa 135 kW (184 PS) dan tork 220 Nm, manakala versi Pacuan Roda Pintar (iWD) dengan keutamaan pada roda belakang menghasilkan kuasa 205 kW (279 PS) dan tork 385 Nm menerusi penetapan dua motor.

Di sebalik prestasi hebatnya ialah modul pacuan elektrik 6-dalam-1 yang kompak lagi berkuasa menggabungkan Unit Kawalan Motor, Pengecas Dalam Kenderaan, dan Pengubah—yang menjana kuasa dan kawalan responsif dan lancar, semasa menyusuri jalan bandar mahupun apabila meredah jalan berlumpur.

Model 2WD dilengkapi dengan bateri 65.7 kWj LFP, menghasilkan jarak penarafan NEDC sejauh 426 km. Versi iWD pula membekalkan bateri 69.8 kWj dengan jarak perjalanan sehingga 418 (NEDC).
Bagi pengecasan kenderaan, iCAUR 03 menyokong kemudahan pengecasan pantas 80 kW DC dan pengecasan AC 6.6. Kenderaan ini turut dilengkapi sistem Vehicle to Load (V2L) 3.2 kW, membolehkan pelanggan membekalkan kuasa kepada alat dan peranti elektronik terus daripada kereta.
Sistem iROAD mengukuhkan lagi keupayaannya, menawarkan sehingga 10 mod pacuan semua jenis permukaan, digandingkan dengan suspensi belakang berbilang pautan lengan-H tegar yang meningkatkan ketahanan dan kelancaran gandar.
Ketenangan fikiran diperolehi daripada ciri-ciri keselamatan menyeluruh, yang termasuk enam beg udara dan pakej bantuan pemandu lanjutan ADAS Tahap 2, yang ditawarkan sebagai kelengkapan piawai bersama ciri-ciri berikut:
Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
Maklumat Terlepas Pandu (DAI)
Amaran Perlanggaran Depan (FCW)
Kekalkan Lorong Kecemasan (ELK)
Amaran Keluar Lorong (LDW)
Amaran Perlanggaran Belakang (RCW)
Pencegahan Keluar Lorong (LDP)
Amaran Lalu Lintas Silang Belakang (RCTA)
Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
Bantuan Kesesakan Lalu Lintas (TJA)
Pengesanan Titik Buta (BSD)
Amaran Pembukaan Pintu (DOW)
Selain daripada prestasi dan ciri-ciri keselamatan, iCAUR 03 menyediakan kemudahan unggul, termasuk Monitor Pandangan Menyeluruh 540-darjah (AVM), Sistem Pengawasan Tekanan Tayar (TPMS), pengecas peranti tanpa wayar 50W dan pembaca NFC yang terletak di cermin sayap sisi pemandu.
Di dalam, ruang kokpit dilengkapi dengan skrin sentuh pusat HD Penuh yang dipacu oleh pemproses Qualcomm Snapdragon 8155, dan disokong himpunan instrumen digital intuitif 9.2-inci untuk maklumat pemanduan penting.
Keterhubungan yang lancar dicapai dengan Android Auto dan Apple CarPlay, digandingkan dengan sistem audio INFINITY 12 speaker premium (disediakan dalam versi iWD) yang membawakan hiburan yang jelas dan mengasyikkan.
Ruang dalam memberikan keselesaan kepada penumpang, dengan kerusi berudara dan mengurut (iWD sahaja) di hadapan, kerusi berudara di belakang, dan but serba guna yang menyediakan simpanan 450 liter, yang boleh diperluas kepada 1,238 liter apabila kerusi belakang dilipat. Di samping itu, iCAUR 03 menyediakan kotak kargo tambahan 40-liter, yang ditempatkan pada pintu belakang untuk membawa barangan lebih kecil.
Sokongan lepas jualan komprehensif disediakan untuk memberikan ketenangan fikiran penuh kepada pemilik. Pembeli boleh menikmati waranti kenderaan 7-tahun atau 150,000km, bersama waranti bateri dan unit pacuan 8 tahun atau 160,000km.

Untuk menyediakan perlindungan terbaik bagi pelaburan mereka, pelanggan iCAUR juga boleh memanfaatkan Program Insurans iCARE, yang dirangka dengan kerjasama Allianz General Insurance, Berjaya Sompo, AIG, Etiqa Takaful, Zurich, dan Zurich Takaful.

Perlindungan eksklusif ini menjangkaui perlindungan biasa yang turut meliputi pengecas EV Wallbox (Kotak Dinding) dan kabel pengecas mudah alih, ditambah pula dengan khidmat penundaan yang tidak terhad.
Di samping itu, iCAUR Malaysia juga memberikan jaminan penggantian bateri, dengan penggantian satu untuk satu jika Tahap Kesihatan bateri jatuh di bawah 70%.

iCAUR 03 juga menawarkan pakej pemasangan Wallbox tanpa kerenah yang disediakan menerusi kerjasama dengan EVC dan Kineta untuk kos standard RM1,388, yang ditanggung oleh pelanggan.

Walaupun pasaran EV Malaysia baru-baru ini menyaksikan pendiskaunan hebat, iCAUR mengambil pendekatan berbeza dengan memberikan nilai dan manfaat pemilikan jangka panjang. Dianggarkan dijual pada harga permulaan antara RM145,000 dan RM155,000, iCaur sudah pun diiktiraf sebagai EV yang memberikan nilai yang kukuh.

Untuk menangani isu penyusutan nilai dan memberikan ketenangan fikiran berkekalan, iCAUR Malaysia telah bertindak proaktif untuk mengurangkan harga asal — memastikan iCAUR 03 dijual pada harga yang berpatutan sejak dari mula lagi.

iCAUR 03 boleh didapati dalam lima warna — Perak, Kelabu, Putih, Hitam, dan Hijau Aurora tersendiri — pada harga RM119,800, untuk versi 2WD dan RM129,800 bagi versi iWD.
Bagi mereka yang mahukan penampilan lebih perkasa, Edisi Black Phantom boleh ditempah pada harga tambahan RM20,000, dengan kit badan luar eksklusif, kemasan hitam kusam, platform rak bumbung dan tangga sisi.
Sebagai sebahagian daripada Pakej Pembeli Awal, sah untuk semua tempahan yang dibuat menjelang 17 September 2025, iCAUR Malaysia akan memperkenalkan manfaat pemilikan eksklusif yang pertama dalam industri — khidmat pengecasan setahun tidak terhad menerusi rangkaian JomCharge (termasuk rakan perantauan sah) dengan fungsi Pengecasan Automatik.

Tambahan lagi, pakej gaya hidup bernilai RM3,000 disediakan untuk menawarkan merchandise dan baucar daripada Starbucks, JD Sports, Sunway Lagoon dan Touch ‘n Go.
Untuk kemudahan tambahan, pelanggan akan menerima pengecas Wallbox percuma bernilai RM3,400.

Disediakan pada mulanya dalam bentuk import yang dibina sepenuhnya (CBU), pemasangan iCAUR 03 di dalam negara akan bermula pada Januari 2026 di kilang Chery Corporate Malaysia, di Shah Alam, bersama model-model OMODA I JAECOO Malaysia.

Sempena pelancaran ini, iCAUR Malaysia telah mengukuhkan komitmennya untuk membawakan pengalaman pelanggan yang luar biasa, dengan mengumumkan rancangan untuk membuka sehingga 18 pusat jualan dan sembilan pusat servis lengkap iCAUR di seluruh negara menjelang September. Ini termasuk pembukaan pusat-pusat yang dirancang di Sabah dan Sarawak menjelang S4 2025.














































Komen