JAC Auto Perkenal Trak N90 Serba Baharu Dengan Ciri Keselamatan Canggih, Tork Tinggi Dan Operasi Cekap
- Anna Chong

- 1 hari lalu
- 3 min membaca

JAC Auto (Malaysia) Sdn Bhd, secara rasmi memperkenalkan trak tugasan ringan JAC N90 serba baharu, yang merupakan sebuah kenderaan komersial serba boleh dan berkemampuan tinggi yang direka untuk memenuhi keperluan perniagaan logistik dan pengangkutan moden. Trak ini juga menawarkan sistem keselamatan canggih, prestasi yang diyakini serta cekap kos pemilikan, N90 sangat sesuai untuk penghantaran ke kawasan pinggir bandar, kerja-kerja pembinaan serta pengangkutan jarak jauh dengan kekerapan tinggi.
Majlis pelancaran JAC N90 serba baharu ini berlangsung di acara Ekspo Kenderaan Komersial Malaysia 2026, yang diadakan di Pusat Pameran & Persidangan Antarabangsa Mines (MIECC) dan dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke ketika beliau mengunjung reruai JAC Auto (Malaysia).

Menurut Pengurus Besar JAC International, Oscar Yu, JAC Motors merupakan sebuah syarikat penting yang sedang berkembang pesat dalam segmen trak komersial di peringkat global. Syarikat ini secara konsisten telah menjadi pengeksport utama bagi trak tugasan ringan kelas pertengahan hingga tinggi dari China selama bertahun-tahun.
“N90 serba baharu mewakili langkah ke hadapan dalam komitmen JAC Motors untuk menyediakan kenderaan komersial berprestasi tinggi dan berteknologi maju. Direka untuk memenuhi permintaan dan keperluan yang semakin meningkat daripada pengendali logistik dan pengangkutan, N90 menggabungkan prestasi enjin Cummins yang berkuasa dengan sistem keselamatan canggih serta kos operasi yang cekap untuk menyokong perniagaan yang bergantung kepada penyelesaian pengangkutan yang boleh diharapkan setiap hari,” kata Yu.
"Melalui kerjasama dengan peneraju global seperti Volkswagen, Cummins dan Huawei, kami terus memperkukuh keupayaan inovasi, kejuruteraan serta pengilangan," tambah Yu.

Kini dalam generasi keenam, trak tugasan ringan JAC telah memperkukuh kedudukannya sebagai jentera berat yang sangat dipercayai untuk perniagaan di peringkat global, dengan lebih 3.2 juta unit telah terjual di seluruh dunia sejak mula diperkenalkan. Model JAC N90 serba baharu ini bakal mengukuhkan lagi kedudukan JAC dalam segmen trak tugasan ringan premium — dengan menawarkan gabungan kuasa, kebolehpercayaan serta kecekapan tinggi.
Dibangunkan dengan Gross Vehicle Mass (GVM) 7.5 tan, N90 memberikan prestasi dan ketahanan yang mantap untuk menyokong pelbagai aplikasi komersial. Ia menawarkan kepelbagaian konfigurasi dengan pelbagai pilihan jarak roda, antara 3,365 mm hingga 4,800 mm, sekali gus membolehkan pengendali menyesuaikan kenderaan untuk pelbagai jenis badan termasuk kotak kargo, unit peti sejuk, badan binaan serta untuk kegunaan komersial khusus yang lain.
Janaan Kuasa & Prestasi
N90 menampilkan konfigurasi “penjana kuasa emas” yang telah terbukti dalam segmen tugasan ringan hingga sederhana: enjin Cummins B4.5 (Euro 5) yang digandingkan dengan transmisi Eaton-Fuller ESO-6106A. Gabungan ini memberi prestasi penyampaian kuasa yang cemerlang dengan kecekapan bahan api lebih baik. Pada kelajuan lebuhraya 80–90 km/j, enjin akan beroperasi dalam julat optimum antara 1,200 rpm–1,600 rpm, sekali gus menyumbang kepada pengurangan penggunaan bahan api sekitar 3–5 peratus berbanding transmisi pacuan terus.
Berdasarkan platform tugasan sederhana siri-B Cummins yang telah berjaya di peringkat global, enjin Cummins B4.5 merupakan teknologi yang telah terbukti dengan berjuta-juta unit sedang beroperasi di seluruh dunia. Dibangunkan bersama oleh JAC Motors dan Cummins, enjin ini mematuhi piawaian pelepasan Euro 5 dan menghasilkan output maksimum 118 kW pada 2,300 rpm, dengan tork puncak 540 Nm yang merentasi julat luas antara 1,100 rpm hingga 1,800 rpm — menawarkan prestasi dan kecekapan sekali gus.

Kemudahan & Keselamatan
N90 dilengkapi dengan kabin generasi terkini JAC, yang direka untuk mengutamakan keselesaan dan kemudahan untuk pemandu. Ciri dalaman yang ada termasuklah tempat duduk dengan suspensi udara, perehat lengan boleh laras dan skrin sentuh multimedia 10.4-inci dengan kluster instrumen LCD untuk meningkatkan ketersambungan dan kemudahan pengendalian.
Aspek keselamatan juga menjadi keutamaan, menyaksikan N90 turut dilengkapi sistem keselamatan aktif pintar seperti Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Aturan Gelincir Pecutan (ASR), Bantuan Mula Mendaki (HAS) dan Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) untuk meningkatkan kestabilan serta keselamatan pemanduan dalam pelbagai keadaan jalan raya.
Dengan gabungan prestasi mantap, ciri keselamatan canggih, keselesaan untuk pemandu dan kos operasi yang kompetitif, JAC N90 serba baharu bersedia untuk menjadi pesaing ketat dalam segmen trak tugasan ringan di Malaysia, yang akan merentas sektor logistik, pembinaan, pengedaran dan kegunaan komersial lain.

JAC N90 serba baharu tersedia di semua pengedar sah JAC di seluruh negara dengan harga RM118,000 (Casis Kosong). Ia didatangkan dengan jaminan enam-tahun atau 300,000 km, yang mana terdahulu. Pelanggan juga akan mendapat manfaat daripada program servis 10,000 km percuma yang akan menjimatkan lagi kos pemilikan dan penyelenggaraan.
Turut dipamerkan di reruai JAC Auto ialah trak tugasan ringan JAC i40 EV dan trak pikap JAC T9 EV, sekali gus mencerminkan perkembangan portfolio kenderaan komersial jenama ini serta komitmennya terhadap mobiliti elektrik sebagai masa depan pengangkutan.




















Komen