top of page

Malaysia Autoshow 2025 Jana Lebih RM1.72 Bilion Jualan Potensi, Tarik 294,062 Pengunjung

  • Writer: Anna Chong
    Anna Chong
  • 19 Mei
  • 3 min membaca

Malaysia Autoshow 2025

Malaysia Autoshow 2025 (MAS 2025) melabuhkan tirainya dengan kejayaan paling cemerlang setakat ini, mencatatkan rekod kehadiran seramai 294,062 pengunjung serta jualan potensi mencecah RM1.72 bilion, hasil daripada 3,194 tempahan kenderaan, 1,512 tawaran tukar beli, dan 18,824 prospek jualan. Dianjurkan oleh Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) dengan sokongan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), MAS 2025 memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju mobiliti generasi baharu menjelang peranan Pengerusi ASEAN pada tahun 2025.


Bertempat di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dari 9 hingga 15 Mei, MAS 2025 menghimpunkan lebih 200 pempamer dan lebih 500 kenderaan dalam ruang pameran seluas 50,000 meter persegi. Dengan tema "Shifting the Future", pameran tahun ini bukan sahaja memecah rekod kehadiran, malah mempertingkat kefahaman umum terhadap ekosistem mobiliti yang pesat berubah.


Kehadiran pengunjung meningkat sebanyak 31% berbanding 2024, dengan lonjakan besar pada hari terakhir hasil daripada lanjutan dua hari tambahan acara tersebut. MAS 2025 menyaksikan 48 pelancaran dan pratonton kenderaan baharu, serta 10,916 sesi pandu uji di trek luar. Kenderaan elektrifikasi (EV, PHEV dan HEV) merangkumi 51% daripada model yang dipamerkan, menandakan peralihan kukuh ke arah mobiliti hijau.


Malaysia Autoshow 2025

Sebagai satu lagi langkah ke hadapan, acara ini turut menyaksikan pelancaran rasmi Skim Pelabelan Sukarela NxGV, yang bertujuan memperakui kenderaan yang memenuhi standard tinggi Malaysia dalam aspek kelestarian, keselamatan dan inovasi. MAS 2025 turut mencipta detik bersejarah di rantau ini dengan ASEAN Unity Drive 2025, konvoi kenderaan elektrik (EV) merentasi 9 negara ASEAN sejauh 10,432 kilometer, yang diiktiraf oleh Rekod ASEAN. Mempamerkan model Proton e.MAS 7 dan siri X, konvoi ini mengetengahkan penyelarasan standard EV dan kebolehoperasian rentas sempadan – bukti kukuh bahawa perjalanan jarak jauh menggunakan EV di ASEAN kini semakin realistik apabila infrastruktur pengecasan tersedia.


Sebagai acara yang diterajui kerajaan dan berorientasikan pengguna, MAS 2025 menumpukan kepada kesedaran awam tentang kelestarian, keselamatan dan teknologi pengangkutan masa depan. Hari bertema khas seperti Hari Pendidikan, Hari Wanita dan Hari Hijau memberi peluang pembelajaran langsung kepada ribuan keluarga, pelajar dan golongan profesional.


Menambah tarikan masa depan acara ini ialah demonstrasi Urban Air Mobility, yang memberi bayangan kepada landskap mobiliti masa depan Malaysia termasuk pengangkutan eVTOL (electric vertical takeoff and landing). Sementara itu, teknologi ADaPTIV, hasil kerjasama strategik MARii dan PETRONAS, menawarkan kecerdasan ramalan masa nyata kepada kenderaan untuk meningkatkan prestasi dan kebolehpercayaan. Prototip ini memberi kelebihan kepada pengendali komersial dan armada dari segi pengurangan masa henti, kos operasi dan peningkatan kecekapan.


Malaysia Autoshow 2025

Dalam majlis penutup, Datuk Dr. Aminar Rashid, Pengerusi MARii, merakamkan penghargaan kepada semua pihak berkepentingan termasuk rakan utama seperti Perodua, Proton, Chery, Modenas, Honda dan ORS Technologies, atas kerjasama erat yang menjayakan acara ini.


Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Azrul Reza Aziz, berkata, “MAS 2025 bukan sekadar tentang kereta; ia tentang membina jambatan antara inovasi, keterlibatan awam dan transformasi industri. Ketika kami terus mengorak langkah dalam peneraju EV dan pengeluaran kenderaan generasi baharu, fokus kami tetap pada memperkasa setiap rantaian nilai mobiliti.”


YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri pula menegaskan keselarasan pameran ini dengan matlamat strategik negara:


“Sebagai pasaran automotif kedua terbesar di Asia Tenggara dan Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia berada dalam kedudukan strategik untuk menerajui teknologi kenderaan hijau dan generasi baharu di rantau ini. Ia selari dengan tumpuan Malaysia untuk membangunkan garis panduan bagi menyokong pelan hala tuju EV ASEAN sebagai antara hasil utama Pengerusi ASEAN tahun ini. Kejayaan Malaysia Autoshow 2025 merupakan satu langkah besar ke arah mencapai matlamat ini dan memperkukuh rantaian bekalan mobiliti generasi baharu di rantau ini. MITI komited untuk memastikan PKS dan tenaga kerja negara kita bersedia bagi merebut peluang dalam industri e-mobiliti yang lebih berdaya tahan di peringkat serantau.”


Malaysia Autoshow dijadualkan kembali pada tahun 2027, berkemungkinan di lokasi baharu untuk menawarkan pengalaman yang lebih baik kepada pengunjung dan pemain industri. Acara ini akan terus berkembang sebagai platform utama serantau bagi mobiliti, inovasi dan teknologi pengangkutan bersih.

Komen


KERETA TERKINI

ADVERTISEMENT

M 160x600.jpg

ADVERTISEMENT

Pandu Pandu Icon
PanduBabes Logo
Pandu Pandu ialah platform automotif & gaya hidup yang lebih daripada sekadar info kereta. Bersama PanduBabes, kami membawa cerita, inspirasi dan acara untuk komuniti peminat automotif Malaysia.
  • Facebook
  • Instagram
  • TikTok
  • Youtube

Maklumat di laman ini disediakan untuk tujuan maklumat dan umum sahaja. Pandu Pandu tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian yang timbul daripada penggunaan kandungan ini. Lihat Penafian Penuh untuk maklumat lanjut.

© 2025 Pandu Pandu, Spacerae Sdn. Bhd. 202001029234 (1385554-M). All rights reserved.

bottom of page