top of page

Mercedes-Benz CLA 200 AMG Line Baharu, Harga Dari RM275,00

aisha5891
17 Sep
3 min membaca
Mercedes-Benz CLA 200 AMG Line baharu di Malaysia

Mercedes-Benz Malaysia memperkenalkan Mercedes-Benz CLA 200 AMG Line baharu yang dipasang secara tempatan (CKD), menawarkan pilihan enjin pembakaran dalaman sebagai alternatif kepada CLA elektrik yang dilancarkan baru-baru ini.


Menurut Martin Schulz, CEO & President Mercedes-Benz Cars Malaysia serta Head of Region Mercedes-Benz Cars Southeast Asia, kehadiran CLA 200 AMG Line memberikan pelanggan lebih banyak kebebasan untuk memilih rangkaian kuasa mengikut keperluan masing-masing.


Beliau berkata model CKD ini menggabungkan karakter CLA dengan kecekapan tinggi, teknologi pintar dan keselesaan, sekali gus melengkapkan pilihan CLA elektrik dalam portfolio kompak Mercedes-Benz.

Sementara itu, Kevin Barbian, Chief Operating Officer (COO) Mercedes-Benz Cars Malaysia, berkata CLA 200 AMG Line menawarkan keseimbangan antara reka bentuk yang menyerlah dan pemanduan harian yang mudah.


Menurutnya, gril radiator bercahaya memberikan identiti tersendiri, manakala sistem elektrifikasi membolehkan kereta bergerak menggunakan kuasa elektrik pada kelajuan bandar, meluncur dengan lebih cekap serta mendapatkan semula tenaga ketika membrek.


Martin Schulz dan Kevin Barbian bersama Mercedes-Benz GLC elektrik serba baharu di acara pratonton Mercedes-Benz Malaysia di Singapura.
Martin Schulz, CEO & President Mercedes-Benz Cars Malaysia serta Head of Region, Mercedes-Benz Cars Southeast Asia, bersama Kevin Barbian, Chief Operating Officer (COO) Mercedes-Benz Cars Malaysia, dengan Mercedes-Benz GLC elektrik serba baharu pada acara pratonton di Singapura.

Reka Bentuk AMG Line

Dari segi luaran, CLA 200 AMG Line baharu tampil hampir sama seperti versi elektriknya dengan pakej AMG Line, rim aloi ringan AMG 5-twin-spoke 19 inci, lampu utama MULTIBEAM LED, pencahayaan sekeliling dengan unjuran corak Mercedes-Benz serta bumbung panoramik.


Ia ditawarkan dalam lima warna iaitu Cosmic Black, Polar White, High-Tech Silver, Sheer Blue dan Aqua Mint.


Mercedes-Benz CLA 200 AMG Line baharu di Malaysia

Antara perbezaan utama ialah gril radiator klasik dengan logo bintang Mercedes-Benz di tengah dan corak Mercedes-Benz berkemasan krom. Gril ini turut dilengkapi panduan cahaya LED yang menyala apabila lampu dihidupkan.


Enjin 1.5L Dengan Sistem Hibrid 48V

CLA 200 AMG Line menggunakan enjin 1.5 liter dengan kuasa 163 hp dan tork 250 Nm, digabungkan bersama motor elektrik untuk menghasilkan kuasa sistem 184 hp dan tork maksimum 330 Nm.


Sistem ini dipadankan dengan transmisi dwi-klac lapan kelajuan 8G-eDCT, dengan motor elektrik terbina terus ke dalam transmisi.


Ia menggunakan bateri litium-ion 48V berkapasiti sehingga 1.3 kWh. Pada kelajuan bandar dan ketika keperluan kuasa kurang daripada 22 kW, CLA boleh bergerak menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya.


Mercedes-Benz CLA 200 AMG Line baharu di Malaysia

Fungsi "electric sailing" pula membolehkan kenderaan meluncur dengan rangkaian kuasa dinyahhubungkan pada kelajuan sehingga sekitar 100 km/j. Sistem regeneratif turut mampu mendapatkan semula tenaga sehingga 25 kW pada kesemua lapan gear.


Pecutan 0-100 km/j mengambil masa 8.0 saat, manakala kelajuan maksimum ialah 232 km/j.

Mercedes-Benz menyatakan penggunaan bahan api adalah sekitar 5 liter/100 km atau lebih rendah, menjadikannya model Mercedes-Benz dengan enjin pembakaran dalaman paling cekap dalam segmennya.


MB.OS, MBUX Dan Teknologi AI

Bahagian kabin dilengkapi Mercedes-Benz Operating System (MB.OS) serta sistem infotainmen MBUX generasi keempat.


Mercedes-Benz CLA 200 AMG Line baharu di Malaysia

MB.OS membolehkan kemas kini perisian secara over-the-air (OTA), termasuk sistem bantuan pemanduan. MBUX pula mengintegrasikan teknologi AI daripada Microsoft dan Google melalui MBUX Virtual Assistant.


Sistem navigasi berasaskan Google Maps turut menawarkan paparan 3D persekitaran serta panduan laluan masa nyata pada skrin pemandu.


Dari aspek bantuan pemanduan, CLA 200 AMG Line dilengkapi Distance Assist DISTRONIC, rangkaian ciri MB.DRIVE serta MB.DRIVE PARKING ASSIST 360 untuk membantu ketika melakukan manuver dan parkir.


MBUX Superscreen Dan Kabin Sporty

Kabin menampilkan AMG Line Sports Seat Package, upholsteri ARTICO Leather/MICROCUT Microfibre, kemasan aluminium bertekstur karbon serta stereng sport berbalut kulit Nappa.


MBUX Superscreen merentasi lebar papan pemuka dan menempatkan tiga paparan iaitu skrin pemandu 10.25 inci, skrin tengah 14 inci serta skrin penumpang hadapan 14 inci.


Skrin penumpang hadapan menawarkan lebih 40 aplikasi, penstriman video dan akses kepada Disney+. Keselesaan turut dipertingkatkan dengan sistem kawalan suhu automatik THERMOTRONIC.


Harga Mercedes-Benz CLA 200 AMG Line

Mercedes-Benz CLA 200 AMG Line yang dipasang secara tempatan kini dibuka untuk pra-tempahan di Malaysia dengan harga anggaran bermula RM275,000.


100 pelanggan pertama yang membuat pra-tempahan akan menerima pas ke acara eksklusif Mercedes-AMG F1 Party, tertakluk kepada terma dan syarat.


Mercedes-Benz turut menawarkan pelan Agility+ dengan bayaran bulanan anggaran bermula RM2,888, termasuk waranti lanjutan terhad Star Gold tahun kelima dan empat Compact Service Packages.


Spesifikasi Mercedes-Benz CLA 200 AMG Line

Spesifikasi

CLA 200 AMG Line

Kapasiti enjin

1,499 cc

Kuasa enjin

163 hp

Tork enjin

250 Nm

Kuasa sistem

184 hp

Tork sistem

330 Nm

0-100 km/j

8.0 saat

Kelajuan maksimum

232 km/j

Berat kerb

1,700 kg

Harga

Dari RM275,000 (anggaran)



Komen


ADVERTISEMENT

PP-Icon-Light-Blue-Rounded-1200px.png
Pandu Pandu ialah platform automotif & gaya hidup yang lebih daripada sekadar info kereta dan acara automotif.
PP-Tagline.png
  • Facebook
  • Instagram
  • TikTok
  • Youtube

Maklumat di laman ini disediakan untuk tujuan maklumat dan umum sahaja. Pandu Pandu tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian yang timbul daripada penggunaan kandungan ini. Lihat Penafian Penuh untuk maklumat lanjut.

© 2026 Pandu Pandu, Spacerae Sdn. Bhd. 202001029234 (1385554-M). All rights reserved.

bottom of page