OMODA C9 PHEV Dilancarkan Di Malaysia: Penanda Aras Baharu Bagi Prestasi Hibrid Plug-In
- Anna Chong

- 18 Mac
- 6 min membaca
Updated: 19 Mac

OMODA | JAECOO Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan OMODA C9 PHEV Coupe SUV, model paling berkuasa yang pernah diperkenalkan oleh jenama ini.
OMODA C9 PHEV tampil sebagai model pertama dalam segmennya dengan rangkaian kuasa hibrid plug-in (PHEV) tiga motor (Tri-Motor), menawarkan tahap kehalusan pemanduan peneraju kelas. SUV hibrid plug-in berprestasi tinggi ini direka untuk memberikan respon serta-merta seperti kenderaan elektrik, digabungkan dengan keselesaan premium dan keserbagunaan—sekali gus memperkenalkan dimensi baharu dalam mobiliti elektrifikasi.
“Direka sebagai model berprestasi tertinggi dalam rangkaian OMODA | JAECOO Malaysia, OMODA C9 PHEV memperkenalkan tahap baharu prestasi elektrifikasi. Ia menggabungkan teknologi hibrid berkuasa dengan kecekapan luar biasa untuk memberikan pengalaman pemanduan SUV yang lebih yakin dan lancar,” kata ketua OMODA | JAECOO Malaysia, Chris Tan.
“Seiring dengan kemasukan kami ke dalam segmen SUV prestasi premium di Malaysia, model ini mencerminkan komitmen kami untuk menawarkan rangkaian kuasa elektrifikasi terbaik dalam kelasnya serta kemewahan yang mampu dimiliki oleh pelanggan di Malysia,” tambahnya.

PRESTASI ELEKTRIFIKASI TANPA KOMPROMI
OMODA C9 PHEV dipacu oleh Sistem Hibrid Super (SHS) canggih daripada OMODA | JAECOO.
Rangkaian kuasa ini menggabungkan enjin empat silinder 1.5 liter turbo suntikan terus bersama konfigurasi tiga motor—dua motor di gandar hadapan dan satu di gandar belakang—yang berfungsi secara sinergi dengan Transmisi Hibrid Khusus 3-kelajuan (DHT) bagi menghasilkan pengalaman pemanduan yang dinamik dan responsif.
Enjin 1.5 liter yang efisien ini menghasilkan 105 kW (143 PS) dan 215 Nm tork, disokong oleh sistem pengurusan haba pintar, teknologi pembakaran Deep Miller Cycle serta sistem pelinciran dan pengecasan turbo canggih. Gabungan ini membantu mengurangkan geseran, meningkatkan kecekapan serta mencapai kecekapan haba sehingga 44.5%.
Melalui Transmisi Hibrid Khusus 3-kelajuan (DHT), gandar hadapan dipacu oleh dua motor elektrik dengan gabungan kuasa 165kW dan 390 Nm. Sistem ini berfungsi secara lancar bersama enjin bagi memastikan penghantaran kuasa yang kuat dan responsif ke roda hadapan.

Apabila daya cengkaman atau pecutan tambahan diperlukan, sistem akan mengaktifkan motor elektrik di gandar belakang yang menghasilkan 175 kW (238 PS) dan 310 Nm tork, sekali gus memberikan keupayaan pacuan semua roda (AWD) secara pintar.
Secara keseluruhan, sistem hibrid ini menghasilkan kuasa gabungan 395 kW (537 PS) dan 650 Nm tork, membolehkan OMODA C9 PHEV memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 4.9 saat.

Berbeza dengan sistem hibrid konvensional, seni bina SHS OMODA | JAECOO menampilkan dua motor elektrik di bahagian hadapan yang bukan sahaja memberikan daya pecutan tinggi, malah turut menyumbang kepada brek regeneratif, sekali gus meningkatkan pemulihan tenaga dan kecekapan keseluruhan sistem.
Enjin dan motor elektrik beralih secara lancar antara mod pemanduan elektrik sepenuhnya dan mod hibrid, sekali gus mengoptimumkan beban setiap unit kuasa bagi memastikan operasi pada tahap prestasi dan kecekapan terbaik.

Bagi meningkatkan pengalaman pemanduan, OMODA C9 PHEV menawarkan enam mod pemanduan, tiga tahap brek regeneratif serta fungsi khas untuk bertukar antara mod Full EV dan Smart HEV—membolehkan pemandu menyesuaikan prestasi, respons dan pengurusan tenaga mengikut keadaan jalan dan gaya pemanduan.
Hasilnya ialah gabungan prestasi luar biasa dan kecekapan yang mengagumkan, dengan penggunaan bahan api serendah 1.4 liter/100 km (NEDC), serta jarak pemanduan keseluruhan sehingga sekitar 1,100 km dengan tangki penuh dan bateri dicas sepenuhnya.
Sistem ini disokong oleh bateri Lithium Iron Phosphate (LFP) berkapasiti 34.46 kWh, yang membolehkan jarak pemanduan elektrik sepenuhnya sehingga 169 km (kitaran NEDC).

Bateri ini menyokong pengecasan pantas DC sehigga 70kW serta pengecahan AC 6.6kW. Melalui pengecasan pantas DC, bateri boleh dicas dari 30% ke 80% dalam hanya 25 minit. Bagi pengecasan di rumah, penegcas AC mengambil masa sekitar 5.5 jam bagi mengecas dari 30% ke 100%.
REKA BENTUK FLAGSHIP YANG DIREKA UNTUK PRESTASI DAN KESELESAAN
sebagai model berprestasi tertinggi dalam rangkaian OMODA, C9 PHEV menampilkan kehadiran yang menyerlah di jalan raya melalui rekaan SUV berinspirasikan coupe serta bahasa reka bentuk moden.
Di sebalik reka bentuk luaran yang menyerlah, terserlah casis kukuh yang direka untuk keseimbangan antara keselesaan dan prestasi dinamik. Sistem suspensi menggabungkan topang MacPherson di hadapan dan suspensi belakang berbilang pautan, dipadankan dengan sistem suspensi aktif Continuous Damping Control (CDC) yang mampu melaras daya redaman sehingga 100 kali sesaat.
Sistem suspensi pintar ini membolehkan pemandu memilih antara mod Soft, Medium atau Hard secara manual mengikut keutamaan dan keperluan pemanduan. Turut tersedia ialah mod automatik yang mengesan keadaan jalan dan melaras tetapan suspensi secara masa nyata untuk pengalaman pemanduan yang lebih optimum.
RUANG DALAMAN MEWAH DAN BERTEKNOLOGI
Di bahagian dalaman, OMODA C9 PHEV menampilkan kabin premium yang direka berteraskan keselesaan, keterhubungan dan kemewahan moden.
Ruang dalaman yang luas dilengkapi kemasan kulit hitam premium serta material berkualiti tinggi, mewujudkan suasana elegan untuk pemandu dan penumpang.

Keselesaan menjadi keutamaan di seluruh ruang kabin, dengan kerusi yang dilengkapi sistem pemanas serta pengudaraan di barisan hadapan dan kedua, memastikan setiap penumpang menikmati tahap keselesaan yang setara dalam OMODA C9 PHEV.
Bagi menambah rasa lapang, C9 PHEV dilengkapi bumbung suria panoramik dengan peneduh automatik, membolehkan cahaya semula jadi memenuhi ruang kabin.

Teknologi memainkan peranan utama dalam pengalaman dalaman C9 PHEV. Paparan instrumen pemandu LCD bersaiz 12.3 inci berfungsi dengan lancar bersama skrin sentuh infotainmen 12.3 inci, meletakkan maklumat pemanduan utama, navigasi dan kawalan kenderaan supaya mudah dilihat oleh pemandu.
Ekosistem Infotainmen kenderaan ini disokong oleh Kawalan Suara Pintar (“Hello OMODA”), yang membolehkan pemandu mengakses fungsi terpilih melalui interaksi suara secara semula jadi, serta sambungan Android Auto yang memastikan kelancaran integrasi telefon pintar.
Untuk pengalaman audio premium, C9 PHEV dilengkapi sistem bunyi Sony™ 14 pembesar suara, termasuk dua pembesar suara pada sandaran kepala pemandu untuk penyampaian audio yang lebih jelas bagi navigasi dan panggilan.

Turut mempertingkatkan pengalaman pemanduan ialah paparan Head-Up Display (HUD) yang memaparkan maklumat pemanduan penting secara langsung pada cermin hadapan, sekali gus membolehkan pemandu kekal fokus pada jalan di hadapan.
Direka untuk perjalanan jarak jauh, OMODA C9 PHEV menawarkan suasana kabin yang senyap dan selesa, diperkukuh dengan sistem pewangi terbina dalam (built-in) yang menambah sentuhan keselesaan kepada penumpang.
Kepraktisan turut diambil kira, dengan ruang but berkapasiti 660 liter dalam keadaan kerusi belakang digunakan, dan boleh diperluas sehingga 1,783 liter apabila dilipat, memberikan fleksibiliti optimum untuk kegunaan harian dan perjalanan jarak jauh.
KESELAMATAN LANJUTAN DAN BANTUAN PEMANDU
OMODA C9 PHEV dilengkapi sistem bantuan pemandu lanjutan Tahap 2.5 (ADAS) yang komprehensif bagi meningkatkan keselamatan dan keyakinan pemandu.
ADAS OMODA C9 PHEV merangkumi ciri-ciri berikut:
· Sistem Pemantauan Pemandu (DMS)
· Amaran Keletihan
· Kawalan Jelajah Bersepadu (ACC)
· Bantuan Jelajah Bersepadu (ICA)
· Bantuan Kesesakan Lalu Lintas (TJA)
· Panduan Jelajah Malar
· Had Kelajuan Aktif Pintar (SLC)
· Peringatan Had Laju
· Amaran Pergerakkan Kenderaan Hadapan (DAI)
· Pengesahan Titik Buta (BSD)
· Amaran Lalu Lintas Silang Belakang (RCTA)
· Amaran Perlanggaran Belakang (RCW)
· Amaran Pembukaan Pintu (DOW)
· Amaran Keluar Lorong (LDW)
· Pencegahan Keluar Lorong (LDP)
· Bantuan Kekal Lorong Kecemasan (ELK)
· Bantuan Tukar Lorong (LCA)
· Amaran Perlanggaran Hadapan (FCW)
· Pembrekan Kecemasan Autonomi (AEB)
· Bantuan Brek Kecemasan (EBA)
· Mitigasi Perlanggaran Sekunder
· Bantuan Parkir Automatik
Sistem ini dilengkapi lagi dengan kamera pandang keliling HD 540 darjah, membantu pemandu semasa parkir dan bergerak di ruang sempit.

Gabungan teknologi keselamatan aktif dan pasif yang komprehensif, bersama struktur badan yang menggunakan 85% keluli berkekuatan tinggi, membolehkan OMODA C9 PHEV meraih taraf keselamatan 5-bintang Euro NCAP, mencerminkan tahap perlindungan penumpang yang unggul.
Melengkapi teknologi canggih kenderaan ini ialah aplikasi mudah alih CarLinko yang dipacu oleh sistem sambungan TBox, membolehkan keterhubungan lancar serta pengurusan kenderaan secara pintar. Melalui aplikasi ini, pemilik boleh memantau status kenderaan, mengawal fungsi utama serta mengakses ciri pengecasan pintar untuk kemudahan yang lebih baik dan pengalaman pemilikan yang lebih terhubung.

MEMPERKUKUH MASA DEPAN ELEKTRIFIKASI OMODA | JAECOO
Dipasang secara tempatan di kilang Chery Corporate Malaysia di Shah Alam, OMODA C9 PHEV menandakan satu lagi pencapaian penting dalam pengembangan operasi tempatan jenama ini.
Selaras dengan nilai kemewahan termampu OMODA | JAECOO, OMODA C9 PHEV AWD ditawarkan pada harga bermula RM208,800 (atas jalan tanpa insurans), serta disokong oleh waranti kenderaan komprehensif selama 7 tahun atau 200,000 km (yang mana terdahulu).
Bagi meningkatkan keyakinan terhadap teknologi hibrid canggih ini, enjin 1.5 liter turbo dilindungi waranti lanjutan selama 10 tahun atau 1,000,000 km, manakala komponen utama kenderaan elektrik— termasuk bateri, motor elektrik dan sistem elektronik kuasa— dilindungi waranti selama 10 tahun atau 200,000 km. Tertakluk kepada terma dan syarat.
Sempena pelancaran ini, OMODA | JAECOO Malaysia memperkenalkan Pakej Pelancaran Istimewa bagi pelanggan yang membuat tempahan OMODA C9 PHEV dari 18 Mac hingga 30 April 2026.
Sebagai sebahagian daripada pakej ini, pelanggan akan menerima rebat Duit Raya sebanyak RM3,000, bersama kabel penyambung Vehicle-to-Load (V2L) percuma bernilai RM730, yang membolehkan kenderaan membekalkan kuasa kepada peranti luaran apabila diperlukan.
Selain itu, sejumlah unit import sepenuhnya (CBU) yang terhad turut ditawarkan dengan perlindungan insurans percuma sehingga RM6,000 selagi stok masih ada.
Pelancaran OMODA C9 PHEV ini turut berlangsung sempena dengan Roadshow Hari Raya OMODA | JAECOO Malaysia yang diadakan dari 18 hingga 22 Mac 2026 (10.00 AM – 10.00 PM) di GF LUXE, Aras Bawah, 1 Utama Shopping Centre, Petaling Jaya.
Orang ramai dijemput untuk melihat dan pandu uji OMODA C9 PHEV, JAECOO J5 serta model OMODA I JAECOO yang lain sepanjang tempoh roadshow, di samping menikmati pelbagai tawaran menarik dan penjimatan istimewa bagi model pilihan mereka.




































































Komen