top of page

PROTON Catat 160,886 Unit Jualan Sehingga September 2026, Atasi Jualan 2025

aisha5891
7 Okt
4 min membaca
Jualan PROTON September 2026 melibatkan Proton Saga, S70, X50, X90 dan e.MAS
Proton Saga kembali merampas takhta sebagai kenderaan paling laris di Malaysia pada September, dengan jumlah jualan setakat tahun ini mencecah 68,237 unit.

Jenama automotif nasional PROTON meneruskan prestasi jualan positif apabila merekodkan jualan kumpulan sebanyak 19,465 unit pada September, sekali gus membawa jumlah jualan terkumpul tahun-ke-tarikh (YTD) kepada 160,886 unit. Pencapaian ini menyaksikan PROTON mencatat jumlah jualan melebihi 150,000 unit pada tempoh paling awal sejak 2002, selain menjadi angka tertinggi sejak kerjasama bersama Geely bermula pada 2017. Malah, jumlah tersebut turut membolehkan PROTON mengatasi keseluruhan jualan bagi tahun 2025 sebanyak 157,976 unit hanya dalam tempoh sembilan bulan.


Antara sorotan jualan September ialah Proton Saga yang kembali menduduki tempat pertama sebagai kenderaan paling laris di Malaysia. Dalam masa yang sama, Proton e.MAS 5 terus menunjukkan prestasi positif apabila lebih 20,000 unit telah diserahkan kepada pelanggan di Malaysia. Secara keseluruhan, prestasi September meningkat sebanyak 45% berbanding bulan yang sama pada 2025, manakala jumlah jualan tahun-ke-tarikh (YTD) pula meningkat 40.8% berbanding tempoh sama tahun lalu. Anggaran pegangan pasaran bagi September adalah 28.9%, sementara pegangan pasaran YTD kini mencapai 26.9%.


Proton Saga kembali sebagai model terlaris negara, menerajui prestasi jualan kukuh bagi barisan model enjin pembakaran dalaman (ICE).

Proton Saga terus menjadi antara model utama yang menyumbang kepada prestasi jualan PROTON, dengan kedudukannya semakin kukuh pada 2026 selepas pelancaran model serba baharu berasaskan platform AMA pada 27 November tahun lalu. Prestasi jualannya menunjukkan peningkatan ketara apabila sebanyak 10,285 unit berjaya dijual pada Januari, sebelum meneruskan momentum tersebut pada September dengan 8,701 unit diserahkan kepada pelanggan.


Pencapaian berkenaan sekali lagi mengangkat Proton Saga sebagai model kenderaan paling laris di Malaysia, selain membawa jumlah jualan terkumpul tahun-ke-tarikh (YTD) kepada 68,237 unit. Jumlah tersebut mencatat peningkatan sebanyak 34.5% berbanding tahun sebelumnya dan meletakkan Proton Saga pada landasan untuk merekodkan antara pencapaian jualan terbaik sepanjang sejarah model berkenaan.


Jualan PROTON September 2026 melibatkan Proton Saga, S70, X50, X90 dan e.MAS
Proton S70 dengan jumlah jualan setakat tahun ini yang memberangsangkan sebanyak 20,709 unit.

Model ICE PROTON yang lain turut mencatatkan prestasi jualan yang positif. Proton S70, selepas buat pertama kalinya merekodkan jualan melebihi 3,000 unit, meneruskan momentum tersebut dengan 2,756 unit terjual pada September. Ini menjadikan jumlah jualan terkumpul tahun-ke-tarikh (YTD) sebanyak 20,709 unit.


Angka tersebut juga telah mengatasi jumlah keseluruhan jualan model itu bagi 2025, manakala pengenalan varian baharu Proton S70 1.5 i-GT dijangka memberi tambahan momentum kepada jualan dalam tempoh tiga bulan terakhir tahun ini.



Proton X50 terus mendahului jualan keseluruhan SUV Segmen-B berdasarkan jumlah terkumpul tahun-ke-tarikh (YTD), dengan 20,163 unit direkodkan sehingga September selepas tambahan 1,995 unit diserahkan kepada pelanggan. Proton X90 pula, sebagai model yang lebih besar, kekal menerajui kategori SUV Segmen-D tujuh tempat duduk.


Jualan PROTON September 2026 melibatkan Proton Saga, S70, X50, X90 dan e.MAS
Proton X50 kekal sebagai peneraju jualan kategori SUV segmen-B setakat tahun ini, dengan 20,163 unit telah terjual.

Sebanyak 430 unit Proton X90 telah diserahkan kepada pelanggan pada September, menjadikan jumlah jualan YTD meningkat kepada 3,250 unit. Angka ini merupakan peningkatan sebanyak 69.8% berbanding tahun lalu dan turut membolehkan Proton X90 mengatasi jumlah keseluruhan jualannya bagi 2025 hanya dalam tempoh sembilan bulan. Prestasi tersebut didorong oleh pengenalan model yang dikemas kini pada 11 Mac, dengan jumlah jualan dijangka terus berkembang apabila semakin ramai pembeli melihat nilai yang ditawarkan oleh model terbesar PROTON ini.


Mengulas prestasi jualan syarikat bagi September, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dato’ Ir. Abdul Rashid Musa berkata: "September menjadi satu lagi bulan penting buat PROTON apabila kami bukan sahaja berjaya melepasi keseluruhan jumlah jualan yang dicatatkan pada 2025, malah pencapaian tersebut berjaya dicapai hanya dalam tempoh sembilan bulan. Dengan 60,540 unit terjual, PROTON turut merekodkan prestasi suku ketiga (Q3) terbaik sejak 2009 serta mencatatkan rekod tertinggi sepanjang sejarah kerjasama PROTON-Geely."


Jualan PROTON September 2026 melibatkan Proton Saga, S70, X50, X90 dan e.MAS
Proton X90 telah mengatasi jumlah jualan keseluruhannya bagi tahun 2025 hanya dalam tempoh sembilan bulan, susulan pengenalan model yang dikemas kini pada 11 Mac.

“Walaupun pencapaian yang diraih ketika ini amat membanggakan, PROTON akan terus mengekalkan momentum menerusi pengenalan model-model baharu, pelaburan dalam infrastruktur serta pelaksanaan pelbagai inisiatif yang memberi tumpuan kepada pelanggan. Sekurang-kurangnya dua lagi model dijadualkan untuk dilancarkan sebelum penghujung tahun ini, manakala perniagaan eksport kami pula menyasarkan pertumbuhan jualan yang lebih tinggi bagi model berjenama Proton dan Geely yang dihasilkan di Malaysia untuk pasaran antarabangsa,” katanya.


Proton e.MAS menjadi jenama xEV terpantas di Malaysia mencapai 40,000 unit.

Dalam tempoh hanya 20 bulan sejak memulakan jualan kenderaan, PRO-NET, cabang kenderaan elektrik PROTON, telah mencapai satu lagi pencapaian apabila berjaya menyerahkan 40,000 unit model xEV Proton e.MAS kepada pelanggan. Pencapaian ini menjadikan Proton e.MAS antara jenama xEV yang berkembang paling pantas di Malaysia, selain mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju pasaran dengan pegangan pasaran melebihi 60%.


Jualan PROTON September 2026 melibatkan Proton Saga, S70, X50, X90 dan e.MAS
Proton e.MAS 5, sebahagian daripada rangkaian model xEV syarikat, menyumbang kepada jumlah 40,000 unitkenderaan xEV yang telah terjual di negara ini.

“Permintaan yang terus kukuh terhadap rangkaian model elektrik PRO-NET menunjukkan penerimaan rakyat Malaysia terhadap kenderaan xEV semakin meningkat. Ketika ini, jualan model Proton e.MAS menyumbang 19.3% daripada keseluruhan jualan PROTON. Ini bermakna sebagai sebuah pengeluar peralatan asal (OEM), kami semakin menghampiri sasaran 2030 yang ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia, iaitu 20% daripada jumlah jualan industri automotif terdiri daripada kenderaan xEV,” kata Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang.


Eksport PROTON terus menunjukkan perkembangan positif dengan prestasi jualan yang lebih tinggi berbanding 2025 di pasaran antarabangsa.


Jualan PROTON September 2026 melibatkan Proton Saga, S70, X50, X90 dan e.MAS
Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, menyampaikan kunci simbolik kepada pelanggan ke-40,000 Proton e.MAS 5.

Selepas merekodkan prestasi eksport bulanan terbaik bagi 2026 pada Ogos, PROTON meneruskan momentum tersebut dengan 1,311 unit lagi dieksport pada September, merangkumi model Proton dan Geely yang dihasilkan di kilang Tanjong Malim. Jumlah ini membawa keseluruhan eksport bagi tahun ini kepada 7,370 unit, disokong oleh pertumbuhan jualan yang berterusan di pasaran eksport PROTON serta peningkatan permintaan daripada pasaran Geely luar negara yang mendapatkan bekalan kenderaan dari Malaysia.


“Sebagai antara pengeksport kenderaan utama negara, PROTON komited untuk memainkan peranan dalam menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran bagi pasaran serantau dan global. Asas untuk mempercepatkan pertumbuhan sektor ini telah dibangunkan melalui pelaburan dalam kapasiti pengeluaran, peningkatan kemahiran tenaga kerja serta penggunaan teknologi. Dengan usaha untuk merealisasikan sepenuhnya potensi Automotive High Tech Valley (AHTV) yang semakin dipergiatkan, kami melihat lebih banyak peluang serta ruang pertumbuhan dalam sektor ini pada masa akan datang,” kata Abdul Rashid Musa.

Komen


ADVERTISEMENT

PP-Icon-Light-Blue-Rounded-1200px.png
Pandu Pandu ialah platform automotif & gaya hidup yang lebih daripada sekadar info kereta dan acara automotif.
PP-Tagline.png
  • Facebook
  • Instagram
  • TikTok
  • Youtube

Maklumat di laman ini disediakan untuk tujuan maklumat dan umum sahaja. Pandu Pandu tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian yang timbul daripada penggunaan kandungan ini. Lihat Penafian Penuh untuk maklumat lanjut.

© 2026 Pandu Pandu, Spacerae Sdn. Bhd. 202001029234 (1385554-M). All rights reserved.

bottom of page