top of page

PROTON Catat Rekod Jualan Domestik Tertinggi Pada Bulan Ogos

aisha5891
2 hari lalu
4 min membaca
PROTON Rekod Jualan Domestik Tertinggi Ogos
Penambahan outlet baharu Proton e.MAS telah membantu menjadikan jenama itu lebih mudah diakses oleh lebih ramai rakyat Malaysia yang ingin beralih kepada model xEV.

PROTON mencatat satu lagi pencapaian penting apabila merekodkan jumlah jualan domestik bulanan tertinggi dalam sejarah syarikat pada Ogos.

Kumpulan automotif nasional itu mencatatkan jualan keseluruhan sebanyak 22,632 unit pada bulan berkenaan, sekali gus menjadikan Ogos sebagai bulan terbaik PROTON dari segi prestasi jualan keseluruhan sejak Januari 2010.


Pencapaian tersebut didorong oleh permintaan kukuh terhadap model-model enjin pembakaran dalaman (ICE) PROTON, prestasi memberangsangkan rangkaian Proton e.MAS, serta peningkatan ketara dalam jualan eksport.


Secara keseluruhan, jualan Kumpulan PROTON pada Ogos merangkumi jualan domestik, eksport, Proton e.MAS dan smart, dengan peningkatan sebanyak 22.7% berbanding Julai.


PROTON Rekod Jualan Domestik Tertinggi Ogos
Dari kiri: Kelvin Soon, Pengarah Urusan Green EV Charge Sdn Bhd (charge); Zamri Mahmud, Pengarah Handal Green Mobility Sdn Bhd (DC Handal); Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET; Ir. Lee Yuen How, Pengarah Urusan EV Connection Sdn Bhd (JomCharge); dan Ahmad Munif Halim, Ketua Pengecasan, PRO-NET

Bagi tempoh lapan bulan pertama tahun 2026, jumlah jualan terkumpul PROTON mencecah 141,421 unit, mencatat pertumbuhan sebanyak 40.2% berbanding tempoh sama tahun lalu.


Berdasarkan anggaran Jumlah Keseluruhan Industri (TIV), PROTON dijangka mencatat bahagian pasaran sebanyak 27.9% bagi Ogos, sekali gus meningkatkan bahagian pasaran terkumpul tahun semasa (YTD) kepada 25.6%.


Proton S70 Lepasi 3,000 Unit Buat Kali Pertama

Antara model yang mencatat prestasi memberangsangkan ialah Proton S70, yang terus menunjukkan peningkatan populariti sejak versi dikemas kini bagi tahun model 2026 diperkenalkan pada Februari lalu.

Sebanyak 3,235 unit Proton S70 telah diserahkan kepada pelanggan di Malaysia pada Ogos, menjadikannya pencapaian jualan bulanan tertinggi bagi model sedan segmen-C tersebut.


PROTON catat rekod jualan domestik tertinggi pada bulan Ogos
 Proton S70 menyaksikan peningkatan populariti sejak pengenalan model 2026 yang dikemas kini pada Februari, sekali gus mencatat jumlah jualan bulanan tertinggi dalam sejarah model tersebut pada bulan lalu. Sebanyak 3,235 unittelah diserahkan kepada pelanggan di Malaysia pada Ogos, menjadikan jumlah jualan terkumpul tahun ini (YTD) mencecah 17,953 unit

Jumlah jualan terkumpul Proton S70 bagi tahun ini kini mencecah 17,953 unit, sekali gus mengatasi keseluruhan jualan model tersebut sepanjang tahun 2025 walaupun masih berbaki empat bulan sebelum penghujung tahun.


X50 dan X90 Terus Mendahului Segmen

Dalam segmen SUV, Proton X50 terus mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju jualan tahun semasa bagi kategori SUV segmen-B serta antara SUV paling popular di Malaysia.


Sebanyak 2,274 unit Proton X50 telah dijual pada Ogos, dengan prestasi jualannya kekal berada di hadapan pencapaian tahun sebelumnya.


PROTON catat rekod jualan domestik tertinggi pada bulan Ogos
Proton X50 kekal sebagai peneraju jualan terkumpul tahun semasa (YTD) bagi kategori SUV segmen-B serta SUV terlaris di Malaysia. Sebanyak 2,274 unit telah dijual pada Ogos, sekali gus mengekalkan prestasi jualan yang lebih tinggi berbanding tahun lalu.

Sementara itu, Proton X90 terus mendahului kategori SUV tujuh tempat duduk segmen-D. Model tersebut mencatat jualan sebanyak 471 unit pada Ogos dan kini merekodkan pertumbuhan sebanyak 64% berbanding prestasi keseluruhan pada tahun 2025.


Proton Saga Kekal Pilihan Rakyat Malaysia

Walaupun tidak lagi mendahului jualan sedan segmen-A di Malaysia, Proton Saga masih kekal sebagai antara model paling popular dalam barisan produk PROTON.

Sebanyak 7,347 unit Proton Saga telah terjual pada Ogos, menjadikan jumlah jualan terkumpul tahun ini hampir mencecah 60,000 unit.


Prestasi tersebut juga menunjukkan peningkatan sebanyak 33.3% berbanding tahun lalu, dengan model berkenaan berada di landasan untuk melepasi angka jualan tahunan sebanyak 80,000 unit.


PROTON catat rekod jualan domestik tertinggi pada bulan Ogos
Dato’ Ir. Abdul Rashid Musa, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, berkata bahawa dengan memperluaskan operasi pemasangan model-model Geely di kilang PROTON di Tanjung Malim, syarikat dapat memanfaatkan sepenuhnya kapasiti pengeluarannya sambil meningkatkan nilai pembelian daripada ekosistem vendor

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dato' Ir. Abdul Rashid Musa, pencapaian jualan domestik tertinggi itu mencerminkan keyakinan pelanggan terhadap produk dan perkhidmatan syarikat.


“Dengan mencapai jumlah jualan domestik bulanan tertinggi dalam sejarah PROTON, kami telah mencapai satu pencapaian penting yang mencerminkan keyakinan pelanggan terhadap produk dan perkhidmatan kami.


“Barisan produk kami terus menawarkan teknologi, reka bentuk, kualiti, keselamatan dan prestasi, disokong oleh nilai yang kukuh,” katanya.


Beliau turut menjelaskan bahawa PROTON mencatat kemajuan positif dalam perniagaan eksport, termasuk aktiviti pemasangan kenderaan untuk rakan kongsi strategiknya, Geely.


Proton e.MAS Catat Rekod Jualan Baharu

Rangkaian kenderaan elektrik PROTON, Proton e.MAS, turut meneruskan momentum positif apabila sekali lagi mencatat rekod jualan bulanan baharu pada Ogos.

Sebanyak 6,047 unit telah diserahkan kepada pelanggan pada bulan lalu, mengatasi rekod yang dicatatkan pada Julai.


Secara kumulatif, jualan Proton e.MAS bagi tahun ini kini mencecah 27,860 unit, dengan ketiga-tiga model dalam barisan produk tersebut mendahului segmen masing-masing.

Penyumbang terbesar ialah Proton e.MAS 5, yang mencatat jualan sebanyak 4,818 unit pada Ogos.

Pencapaian itu turut menetapkan rekod nasional baharu sebagai jumlah jualan bulanan tertinggi pernah dicatatkan oleh sebuah model EV di Malaysia.


PROTON catat rekod jualan domestik tertinggi pada bulan Ogos
Proton e.MAS 5 terus kekal sebagai model EV paling popular di Malaysia dan dengan sebanyak 4,818 unit diserahkan kepada pelanggan, model ini mencatat rekod jualan bulanan baharu pada Ogos

Dalam masa sama, Proton e.MAS 7 merekodkan jualan sebanyak 613 unit, manakala Proton e.MAS 7 PHEV mencatat 616 unit apabila pengeluaran pemasangan tempatan terus dipertingkatkan.


Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang, berkata permintaan berterusan terhadap rangkaian Proton e.MAS mencerminkan keyakinan rakyat Malaysia terhadap penyelesaian mobiliti elektrik yang ditawarkan.


Menurut beliau, PRO-NET akan terus memberi tumpuan kepada usaha mempercepatkan penghantaran kenderaan kepada pelanggan, selain memperluaskan kerjasama dengan pengendali titik pengecasan (CPO), rangkaian pengedar dan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan pengalaman pemilikan kenderaan elektrik.


Jualan Eksport Sudah Atasi Prestasi Keseluruhan 2025

Prestasi eksport PROTON turut menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah jualan eksport terkumpul bagi tahun 2026 berjaya mengatasi keseluruhan jumlah eksport bagi tahun 2025 selepas hanya lapan bulan.

Pada Ogos sahaja, PROTON mencatatkan 2,477 unit jualan eksport, melibatkan model PROTON dan Geely.

Ia merupakan jumlah eksport bulanan tertinggi syarikat sejak Januari 2011.


Jumlah jualan eksport terkumpul bagi tahun ini kini mencapai 6,059 unit, mengatasi jumlah 6,000 unit yang direkodkan sepanjang keseluruhan tahun 2025.


Peningkatan eksport ini turut disokong oleh pelaburan PROTON dalam kemudahan pengeluaran di Tanjong Malim, termasuk kilang powertrain, kemudahan stamping baharu serta kilang pemasangan xEV khusus pertama negara.


PROTON kini turut memasang pelbagai model Geely untuk pasaran eksport, sekali gus membantu meningkatkan penggunaan kapasiti kilang serta memberi manfaat kepada vendor tempatan melalui peningkatan permintaan terhadap komponen.


Menurut Abdul Rashid Musa, pemasangan kenderaan untuk pasaran Geely merupakan antara strategi penting dalam memperkukuh perniagaan eksport PROTON.


Aktiviti tersebut bukan sahaja membantu meningkatkan penggunaan kapasiti barisan pemasangan syarikat, malah turut menyumbang kepada pertumbuhan perniagaan vendor tempatan serta memberi kesan positif kepada imbangan perdagangan Malaysia.


Dengan momentum jualan domestik, pertumbuhan Proton e.MAS dan peningkatan aktiviti eksport, PROTON kini berada pada kedudukan kukuh untuk meneruskan prestasi positifnya bagi baki tahun 2026.

Komen


ADVERTISEMENT

KERETA TERKINI

ADVERTISEMENT

PP-Icon-Light-Blue-Rounded-1200px.png
Pandu Pandu ialah platform automotif & gaya hidup yang lebih daripada sekadar info kereta dan acara automotif.
PP-Tagline.png
  • Facebook
  • Instagram
  • TikTok
  • Youtube

Maklumat di laman ini disediakan untuk tujuan maklumat dan umum sahaja. Pandu Pandu tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian yang timbul daripada penggunaan kandungan ini. Lihat Penafian Penuh untuk maklumat lanjut.

© 2026 Pandu Pandu, Spacerae Sdn. Bhd. 202001029234 (1385554-M). All rights reserved.

bottom of page