Proton e.MAS Jelajah ke Suria, Sabah dengan Tawaran Pandu Uji dan Promosi Istimewa

PRO-NET, anak syarikat milik penuh PROTON Holdings Berhad, meneruskan usaha mendekati rakyat Sabah dengan membawa pengalaman pemilikan Proton e.MAS ke Suria Sabah, Kota Kinabalu. Berlangsung selama lima hari, program ini menawarkan pameran kenderaan, sesi pandu uji dan pelbagai tawaran menarik kepada pengunjung.
Bertempat di Atrium Utama, Aras Bawah, Suria Sabah, pameran ini berlangsung dari 7 hingga 11 Oktober 2026, setiap hari dari pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam. Pengunjung berpeluang melihat keseluruhan barisan model Proton e.MAS, mencuba sendiri pengalaman pemanduan elektrik serta menikmati tawaran eksklusif dan aktiviti yang disediakan sepanjang acara.
Sebagai jenama kenderaan elektrik No. 1 di Malaysia, Proton e.MAS terus memperluas capaian mobiliti elektrik dengan memberi peluang kepada masyarakat Sabah mengenali barisan modelnya secara lebih dekat.
Pameran ini turut membolehkan pengunjung mendapatkan maklumat berkaitan EV dan merasai pengalaman pemanduan elektrik secara langsung. Usaha ini hadir ketika Proton e.MAS terus menunjukkan perkembangan positif, dengan jumlah penghantaran kenderaan baru-baru ini melepasi 40,000 unit dalam tempoh 20 bulan sejak jualan Proton e.MAS 7 bermula.
“Pembelian kereta merupakan satu keputusan besar. Sebab itu, kami mahu pelanggan di Sabah berpeluang melihat sendiri kenderaan Proton e.MAS, mencubanya dan berbual dengan penasihat jualan. Sama ada anda sedang mempertimbangkan untuk beralih kepada kenderaan elektrik atau sekadar ingin tahu tentang EV, kami mengalu-alukan kedatangan anda untuk singgah sebentar dan lihat apa yang ditawarkan oleh Proton e.MAS,” kata Puan Salawati Mohd Yusoff, Ketua Pegawai Penjenamaan PRO-NET.
Penganjuran jelajah di Sabah ini juga menzahirkan komitmen PRO-NET untuk mendekati lebih ramai pelanggan di luar Semenanjung Malaysia. Inisiatif ini bertujuan memastikan masyarakat di seluruh negara mendapat peluang yang sama untuk mengenali rangkaian Proton e.MAS serta kemudahan sokongan yang disediakan.
“Sabah merupakan pasaran yang penting bagi kami. Kami akan terus mengukuhkan rangkaian jualan, perkhidmatan selepas jualan dan kemudahan pengecasan di seluruh negara agar pemilikan EV menjadi lebih mudah dan praktikal. Pada masa yang sama, kami juga mahu memahami dengan lebih baik keperluan pemandu tempatan supaya dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik,” tambah Puan Salawati.
Memperkukuh Ekosistem Pemilikan Proton e.MAS
Sepanjang pameran di Suria Sabah, pengunjung boleh meneroka tiga model dalam rangkaian Proton e.MAS, iaitu Proton e.MAS 5 yang merupakan model EV No. 1 di Malaysia, Proton e.MAS 7 sebagai EV nasional pertama Malaysia dan Proton e.MAS 7 PHEV yang mencatat kedudukan sebagai PHEV terlaris di Malaysia.
Sesi pandu uji turut disediakan sepanjang acara berlangsung, manakala pasukan Proton e.MAS sedia memberikan penerangan mengenai kenderaan, kemudahan pengecasan, sokongan selepas jualan dan aspek pemilikan.
Selain menyediakan pilihan kenderaan elektrik, Proton e.MAS turut memperkukuh sokongan kepada pelanggan menerusi rangkaian 60 pusat pengedar di seluruh negara, disokong oleh lebih 1,600 tenaga profesional jualan dan selepas jualan yang terlatih. PRO-NET turut merancang untuk meningkatkan jumlah pengedar kepada 70 menjelang akhir 2026, merangkumi 57 pusat servis serta 14 pusat badan dan cat (B&P).
Kemudahan pengecasan juga memainkan peranan penting dalam menjadikan pemilikan EV lebih praktikal.
Peta Pengecasan Langsung Proton e.MAS kini menyediakan maklumat mengenai lebih 5,100 titik pengecasan, termasuk status ketersediaan pengecas secara langsung melalui sistem navigasi dalam kenderaan dan aplikasi Proton e.MAS. Bagi pemilik yang menetap di kediaman bertingkat, aplikasi tersebut turut menyenaraikan lebih 2,000 titik pengecasan yang terletak di lebih 700 pangsapuri dan kondominium.
Tawaran Istimewa dan Aktiviti Menarik untuk Rakyat Sabah
Pengunjung yang merancang untuk membeli kenderaan baharu boleh mendapatkan pelbagai tawaran istimewa menerusi jelajah Proton e.MAS di Suria Sabah. Antara yang ditawarkan termasuk pemasangan wallbox percuma, insentif tukar beli sehingga RM10,000 serta kadar faedah istimewa sebanyak 2.1% menerusi Affin Bank.
Mereka yang membuat tempahan Proton e.MAS sepanjang program ini turut berpeluang menikmati diskaun sebanyak 10% di Montanic Adventure Store.
Pelbagai aktiviti turut disediakan untuk memeriahkan acara, termasuk permainan “Find MECCHA CHAMELEON” dan minuman daripada ZUS Coffee sementara stok masih ada. Pada 10 dan 11 Oktober, iaitu Sabtu dan Ahad, pasukan PRO-NET akan mengadakan sesi perkongsian mengenai EV yang merangkumi penerangan produk serta sesi soal jawab berkaitan pemanduan elektrik dan pemilikan kenderaan elektrik.
Dalam pada itu, Brilliant Solar menawarkan diskaun sebanyak 2% untuk sistem solar kepada pelanggan yang hadir, mendapatkan khidmat nasihat daripada perunding solar, mendaftar bagi pemasangan sistem dan membuat bayaran deposit sebanyak RM1,000. Seramai 20 pelanggan terawal yang memenuhi semua syarat akan menerima kredit Touch ’n Go eWallet bernilai RM100, tertakluk pada terma dan syarat yang ditetapkan.
Orang ramai di Sabah dijemput mengunjungi Suria Sabah dari 7 hingga 11 Oktober 2026 untuk melihat rangkaian model Proton e.MAS dengan lebih dekat, mendaftar bagi sesi pandu uji serta menikmati pelbagai tawaran dan aktiviti menarik yang disediakan sepanjang jelajah tersebut.




















Komen