PROTON Hidupkan Kisah Mobiliti Malaysia dalam Bentuk Miniatur Bersama Sunway Tiny Toys
- Anna Chong

- 10 Jul
- 2 min membaca

Selepas kerjasamanya bersama Mattel menghasilkan Hot Wheels Proton Saga, PROTON kini meneruskan usaha mendekati rakyat Malaysia daripada pelbagai peringkat usia melalui kolaborasi terbaharu bersama Sunway Tiny Toys.
Kerjasama ini menyaksikan pengenalan model skala 1/64 Proton Saga baharu dan Proton e.MAS 5, dua model yang mencerminkan fasa terkini evolusi produk PROTON. Model miniatur koleksi ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Cerita Malaysia Kita, yang diadakan bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 bagi meraikan kisah, jenama dan pengalaman harian rakyat Malaysia menerusi koleksi bercirikan tempatan.

Bagi beberapa generasi rakyat Malaysia, kereta PROTON bukan sekadar kenderaan. Ia menjadi sebahagian daripada perjalanan keluarga, pengalaman memandu pertama, perjalanan pulang ke kampung serta pelbagai kenangan harian yang dekat di hati. Menerusi kerjasama ini, kisah-kisah tersebut kini dihidupkan semula dalam bentuk miniatur untuk pengumpul, peminat automotif, kanak-kanak dan sesiapa sahaja yang menghargai perjalanan industri automotif negara.
Model skala Proton Saga baharu dan Proton e.MAS 5 akan mula ditawarkan kepada orang ramai di outlet Sunway Tiny Toys di Sunway Lagoon serta melalui penjual semula rasmi terpilih. PROTON turut menyertai beberapa jenama tempatan yang cukup dikenali menerusi inisiatif Cerita Malaysia Kita, yang bersama-sama mencerminkan warna-warni kehidupan rakyat Malaysia – daripada kereta yang dipandu, kereta api yang dinaiki hinggalah makanan ringan yang menjadi kegemaran sejak kecil.

“Proton Saga sudah sekian lama mempunyai tempat yang istimewa di hati rakyat Malaysia, manakala Proton e.MAS 5 pula melambangkan hala tuju baharu yang cukup mengujakan buat Protoni serta landskap mobiliti negara,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dato’ Ir. Abdul Rashid Musa.
“Dengan menjadikan kedua-dua kenderaan ini sebagai model skala untuk koleksi, kami berharap dapat membuka satu lagi ruang untuk rakyat Malaysia mendekati Proton. Ia bukan sekadar kereta miniatur, sebaliknya mewakili kenangan, aspirasi dan kemajuan yang membentuk perjalanan kami sebagai jenama automotif nasional.”
Bab baharu dalam kisah produk PROTON
Pemilihan kedua-dua model ini mencerminkan keluasan penawaran produk semasa PROTON. Proton Saga baharu meneruskan legasi model paling dikenali di Malaysia, di samping mencatatkan rekod jualan baharu bagi model enjin pembakaran dalaman PROTON. Popularitinya yang berterusan membuktikan Saga kekal relevan untuk generasi baharu pembeli kereta Malaysia, dengan gabungan nilai yang diyakini, reka bentuk moden, teknologi terkini dan kepraktisan untuk kegunaan harian.
Dalam masa yang sama, Proton e.MAS 5 pantas mencipta kedudukan sebagai EV mampu milik pertama dan paling laris di Malaysia. Pencapaiannya mencerminkan penerimaan yang semakin meningkat terhadap mobiliti elektrik dalam kalangan pengguna tempatan. Kejayaannya turut membantu menjadikan pemilikan EV lebih mudah dicapai, sambil membuktikan rakyat Malaysia bersedia menerima teknologi baharu apabila ia praktikal, menarik dan sesuai dengan keperluan tempatan.
PROTON HIDUPKAN KISAH MOBILITI MALAYSIA DALAM BENTUK MINIATUR BERSAMA SUNWAY TINY TOYS
Bagi pengumpul, model skala 1/64 ini menawarkan cara ringkas tetapi bermakna untuk memiliki dua pencapaian penting dalam perjalanan semasa PROTON. Bagi peminat muda pula, ia mungkin menjadi pengenalan awal kepada model-model yang sedang membentuk masa depan automotif Malaysia. Kerjasama bersama Sunway Tiny Toys ini meneruskan usaha PROTON untuk mendekati rakyat Malaysia bukan sahaja di bilik pameran atau di jalan raya. Sama ada menerusi kenderaan bersaiz penuh, koleksi berinspirasikan dunia permotoran atau replika miniatur, PROTON terus mencari pendekatan baharu untuk meraikan hubungan antara jenama ini dan rakyat yang sentiasa menyokongnya.
Ketika Cerita Malaysia Kita menghimpunkan jenama-jenama yang telah membentuk identiti kehidupan harian negara, model skala Proton Saga baharu dan Proton e.MAS 5 menjadi peringatan kecil tetapi bermakna bahawa kisah Malaysia boleh diraikan dalam pelbagai bentuk dan saiz.






























Komen