Proton S70 Lite & Prime Diperkenal, Anggaran Harga Bawah RM60,000

PROTON i mengumumkan peluasan rangkaian S70 menerusi pengenalan dua varian baharu, iaitu S70 Lite dan S70 Prime. Kedua-dua varian ini menggunakan enjin i-GT 1.5 liter aspirasi semula jadi yang dipadankan dengan transmisi boleh ubah berterusan (CVT), dengan anggaran harga di bawah RM60,000.
Pengenalan varian baharu ini memberikan lebih banyak pilihan kepada pembeli yang mencari sebuah sedan dengan harga lebih mampu milik, selain mengekalkan aspek keselesaan, praktikaliti dan ciri-ciri teknologi yang ditawarkan oleh keluarga S70.
Tempahan bagi Proton S70 Lite dan Prime telah dibuka mulai 7 September 2026 di semua cawangan sah PROTON di seluruh negara. Bagaimanapun, harga rasmi kedua-dua varian hanya akan diumumkan ketika pelancaran rasmi.

Menurut PROTON, kedua-dua varian baharu ini direka untuk memenuhi keperluan pelanggan yang mengutamakan keselesaan dan kemudahan pemanduan harian, termasuk perjalanan bersama keluarga.
Walaupun menggunakan enjin aspirasi semula jadi, S70 Lite dan Prime masih mengekalkan ciri utama seperti PROTON Ride and Handling serta tiga pilihan mod pemanduan.
10 Ciri Utama Dalam Kelasnya
Antara ciri yang ditawarkan pada kedua-dua varian termasuk ruang kabin yang luas, ruang bahu penumpang belakang yang lebih besar, panel instrumen kemasan lembut serta semua tingkap dengan fungsi Auto Up/Down dan Anti Trap.

Turut disertakan ialah Electric Parking Brake (EPB) dengan Auto Brake Hold, Remote Engine Start, Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, selain lima port USB.
Dari aspek keselamatan, kedua-dua varian dilengkapi enam beg udara, sensor parkir hadapan dan belakang serta sistem Rear Side Radar System yang merangkumi Blind Spot Detection, Lane Change Assist, Rear Cross Traffic Alert, Door Opening Warning dan Rear Collision Warning.

Ciri tambahan seperti Rear Seat Reminder dan Reverse Camera turut ditawarkan sebagai kelengkapan standard.
Lebih Luas Dan Selesa
PROTON S70 Lite dan Prime turut mengekalkan kelebihan dari segi ruang dengan badan yang lebar, jarak roda yang panjang serta ruang kabin yang luas untuk penumpang hadapan dan belakang.

Ruang bahu belakang yang lebih luas serta lantai belakang yang hampir rata memberikan lebih keselesaan, termasuk ketika membawa tiga penumpang di barisan belakang.

Dari segi keselesaan pula, kedua-dua varian menampilkan tempat duduk kemasan kulit serta panel instrumen kemasan lembut. PROTON turut mendakwa kedua-duanya menawarkan tahap NVH (Noise, Vibration and Harshness) yang terbaik dalam kelasnya bagi menghasilkan kabin yang lebih senyap dan selesa.
Tempahan Kini Dibuka
Dengan pengenalan S70 Lite dan Prime, PROTON kini menawarkan lebih banyak pilihan kepada pembeli yang mahukan sebuah sedan dengan kelengkapan yang komprehensif pada harga lebih mampu milik.

Anggaran harga bagi kedua-dua varian adalah di bawah RM60,000, manakala harga rasmi akan diumumkan pada pelancaran kelak.
Pelanggan yang membuat tempahan dan mendaftarkan S70 Lite atau Prime sebelum 31 Disember 2026 juga layak menerima ganjaran tempahan awal eksklusif, dengan maklumat lanjut akan diumumkan oleh PROTON pada pelancaran rasmi.




















Komen