PROTON Saga Menerima Pengiktirafan Reka Bentuk Antarabangsa


Proton Saga Serba Baharu telah meraih pengiktirafan antarabangsa menerusi penganugerahan 2026 Golden Osmanthus Industrial Design Award (GODA), sekali gus menambah nilai kepada kelebihan sedia ada model ini dan mengukuhkan kedudukannya sebagai pilihan menarik dalam pasaran sedan segmen A di Malaysia. Model ini menerima Anugerah Produk dalam kategori Pengangkutan Pintar (Smart Transportation) di bawah Trek Permohonan ASEAN (ASEAN Application Track) bagi pertandingan tersebut.

Majlis penyampaian anugerah yang berlangsung di Nanning, Guangxi, China, menghimpunkan penyertaan reka bentuk perindustrian yang dinilai berdasarkan kerelevanan, kebolehgunaan serta potensinya untuk memenuhi keperluan pasaran di seluruh rantau ini. Bagi pembeli di Malaysia, pengiktirafan ini memberikan satu lagi sebab untuk mempertimbangkan Saga, iaitu reka bentuk yang telah dinilai di peringkat antarabangsa dengan mengambil kira keperluan pengguna jalan raya ASEAN sebagai antara aspek utama penilaian. Pengiktirafan ini turut mengukuhkan daya tarikan model tersebut kepada pelanggan yang mencari sedan dengan gaya tersendiri, nilai yang berpatutan serta kesesuaian untuk kegunaan harian.

Direka dengan tujuan dan mengambil kira keperluan serantau
Dalam sesi penjurian secara langsung, Ketua Reka Bentuk Lanjutan PROTON, Norhelmey Lobb bin Saad Lobb, telah membentangkan Saga kepada panel penilai antarabangsa dengan mengetengahkan falsafah reka bentuknya yang tersendiri, kelebihan nilai yang ditawarkan serta kesesuaiannya dengan pasaran sasaran. Model terlaris PROTON yang telah sekian lama menjadi pilihan pelanggan ini bersaing bersama penyertaan automotif serantau daripada pengeluar termasuk Wuling dan Dongfeng. Selain aspek reka bentuk, panel penilai turut meneliti potensi model ini untuk pasaran pemanduan sebelah kiri serta keupayaannya untuk kekal berdaya saing dalam landskap automotif yang semakin beralih kepada elektrifikasi.
Trek Permohonan ASEAN memberikan penekanan khusus kepada reka bentuk yang disesuaikan dengan iklim, permintaan pasaran, tingkah laku pengguna dan amalan budaya di rantau ini. Penilaian turut mengambil kira kebolehlaksanaan produk serta potensi pengkomersialannya, sekali gus menjadikan pengiktirafan ini amat relevan bagi model yang dibangunkan untuk memenuhi keperluan pelanggan di Malaysia dan pasaran lain. Hal ini memberikan nilai yang lebih bermakna kepada penganugerahan Saga dalam konteks keputusan pembelian pengguna di Malaysia. Di sebalik tarikan visual, penilaian turut melihat sejauh mana sesuatu reka bentuk dapat memenuhi keperluan masyarakat dan pasaran yang disasarkan.

Mengukuhkan pilihan untuk pembeli sedan segmen A di Malaysia
Bagi pembeli kereta pertama, golongan profesional muda dan keluarga yang mempertimbangkan sedan segmen A, pengiktirafan antarabangsa ini mengukuhkan lagi tawaran Saga sebagai sebuah kenderaan yang mampu milik, dengan reka bentuk tersendiri yang dirancang secara teliti. Anugerah ini turut mengukuhkan hubungan erat yang telah lama terjalin antara model tersebut dengan pengguna Malaysia, di samping membuktikan keupayaannya menarik perhatian merentasi budaya dan pasaran. Pengiktirafan ini juga menghargai kreativiti serta dedikasi seluruh pasukan yang terlibat dalam pembangunan Saga Serba Baharu, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan PROTON untuk menghasilkan produk yang terus mendapat tempat di hati pelanggan.

Mengulas mengenai kepentingan pencapaian ini, Ketua Pereka, PROTON Design, Azlan Othman, berkata, “Anugerah Golden Osmanthus Industrial Design bagi kategori Pengangkutan Pintar merupakan satu lagi pencapaian penting dalam sejarah panjang Proton Saga, kenderaan nasional pertama Malaysia. Selama ini, PROTON Design telah terus memperhalusi perincian reka bentuknya sambil mengekalkan semangat asal model tersebut. Apabila digabungkan dengan penambahbaikan dari segi teknologi dan keselamatan, usaha ini memastikan Saga kekal relevan dan menjadi pilihan yang amat popular dalam kalangan pelanggan PROTON.”
Dengan reka bentuk yang kini diiktiraf di peringkat antarabangsa, Proton Saga Serba Baharu menawarkan kelebihan yang lebih kukuh kepada pembeli yang sedang mencari sedan untuk keperluan mereka. Pelanggan yang berminat untuk melihat sendiri model pemenang anugerah ini dijemput mengunjungi bilik pameran PROTON yang sah di seluruh negara bagi menerokai reka bentuknya dengan lebih dekat serta mengatur sesi pandu uji.




















Komen