top of page

Proton Saga Serba Baharu Tembus Pasaran Antarabangsa Dalam Masa Tiga Bulan Dengan Pengenalan Eksport Pertama Di Brunei

  • Writer: Anna Chong
    Anna Chong
  • 2 Mac
  • 2 min membaca

Proton Saga Serba Baharu

Susulan pelancaran berjaya All-New Proton Saga di Malaysia, Proton International Corporation Sdn. Bhd. (PICSB) kini memperkenalkan model tersebut di Brunei Darussalam sebagai pasaran antarabangsa pertama, selari dengan strategi pertumbuhan berteraskan eksport syarikat. Pengenalan ini mencerminkan kedudukan Brunei sebagai rakan luar negara utama PROTON, selain menjadikan Saga model kedua dilancarkan di negara itu pada tahun 2026 selepas Proton X50 pada 15 Januari.


Langkah ini mencerminkan perkembangan PROTON dalam fasa baharu mobiliti Malaysia apabila kejuruteraan dan harta intelek yang dibangunkan secara tempatan kini melangkaui pasaran domestik. Sebagai model eksport pertama yang dibina berasaskan platform Advanced Modular Architecture (AMA), All-New Proton Saga menerima penambahbaikan dari segi struktur, keselamatan dan keterhubungan, termasuk enam beg udara serta unit infotainmen bersaiz 12 inci. Penambahbaikan ini memperkukuh daya saing model tersebut dalam segmennya, selari dengan peranan eksport sebagai pemacu utama pertumbuhan masa hadapan PROTON.


Proton Saga Serba Baharu

Brunei Kekal Pasaran Utama dalam Strategi Eksport PROTON

Platform AMA turut mencerminkan komitmen PROTON terhadap pembangunan kejuruteraan tempatan dan pembuatan bernilai tinggi. Disokong pembangunan Automotive High-Tech Valley (AHTV), PROTON sedang memperkukuh asas pembuatan dan rantaian bekalan berteknologi tinggi bagi memposisikan Tanjong Malim sebagai hab automotif pemanduan sebelah kanan utama di rantau ini untuk pembangunan kenderaan generasi baharu.


Dengan lebih 20,000 unit telah didaftarkan sejak pelancarannya di Malaysia, prestasi Proton Saga Serba Baharu memberi keyakinan untuk pengembangannya ke pasaran Brunei. Momentum ini turut disokong oleh pertumbuhan eksport PROTON yang merekodkan 6,000 unit tahun lalu, selaras dengan sasaran menjadikan eksport menyumbang 30 peratus daripada jumlah jualan menjelang 2030 serta memperluas kehadiran ke sekurang-kurangnya 32 negara.


Edmund Lim Meng Thong, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton International Corporation Sdn. Bhd. (PICSB)

“Pelancaran All-New Proton Saga di Brunei mencerminkan hasrat PROTON untuk meningkatkan volum eksport dengan memperkukuh kehadiran dalam segmen peringkat permulaan di pasaran serantau. Dengan memanfaatkan teknologi proprietari seperti platform AMA, kami menyasarkan peningkatan pegangan pasaran di ASEAN serta memperkukuh strategi pertumbuhan berteraskan eksport selaras dengan matlamat jangka panjang syarikat,” kata Edmund Lim Meng Thong, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton International Corporation Sdn. Bhd. (PICSB).


Best Ice Car of the Year Proton Saga

Sebagai antara pasaran eksport terawal PROTON, Brunei kekal memainkan peranan penting dalam pelan pengembangan antarabangsa syarikat. Dalam usaha mempercepat peluasan di ASEAN, negara itu terus menjadi antara platform utama bagi pelancaran model baharu, disokong oleh penerimaan pasaran yang konsisten serta usaha pembangunan rangkaian oleh PAD Motors.


Bagi pasaran Brunei, All-New Proton Saga ditawarkan seperti berikut:

  • Varian dan Harga: Executive: B$16,800 | Premium: B$18,800

  • Tawaran Awal: Diskaun B$500 untuk 100 pelanggan terawal

  • Pakej Servis: Waranti lima tahun atau 150,000 km serta tiga kali servis percuma upah buruh

Komen


KERETA TERKINI

ADVERTISEMENT

ADVERTISEMENT

PP-Icon-Light-Blue-Rounded-1200px.png
Pandu Pandu ialah platform automotif & gaya hidup yang lebih daripada sekadar info kereta dan acara automotif.
PP-Tagline.png
  • Facebook
  • Instagram
  • TikTok
  • Youtube

Maklumat di laman ini disediakan untuk tujuan maklumat dan umum sahaja. Pandu Pandu tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian yang timbul daripada penggunaan kandungan ini. Lihat Penafian Penuh untuk maklumat lanjut.

© 2026 Pandu Pandu, Spacerae Sdn. Bhd. 202001029234 (1385554-M). All rights reserved.

bottom of page