Proton X50 Melepasi 161,000 Unit Jualan, Mengukuhkan Kedudukan Sebagai SUV Segmen B Paling Laris Di Malaysia
- Anna Chong

- 19 Mac
- 4 min membaca

Sejak diperkenalkan pada 27 Oktober 2020, Proton X50 telah menjadi salah satu model paling penting dalam sejarah PROTON. Lebih daripada sekadar sebuah produk yang berjaya, model ini menandakan titik perubahan bagi syarikat dengan mengubah persepsi rakyat Malaysia terhadap Proton serta memacu pertumbuhan jenama dalam pasaran SUV.
Sepanjang lima tahun sejak pelancarannya, model ini telah mencatatkan kejayaan yang memberangsangkan. Dengan lebih daripada 161,000 unit terjual di Malaysia dan pasaran eksport, Proton X50 kini merupakan SUV paling berjaya dalam barisan model PROTON. Kejayaan tersebut turut menyaksikan Proton X50 diiktiraf sebagai model SUV segmen B paling laris selama lima tahun berturut-turut.
Pilihan utama pembeli SUV di Malaysia
Sejak pengenalan Proton X50 2025 telah mencatatkan jualan melebihi 20,000 unit, membuktikan permintaan terhadap model baharu ini kekal kukuh dan setanding dengan populariti model terdahulu. Momentum ini turut berterusan pada tahun 2026 dengan 4,271 unit dihantar dalam tempoh dua bulan pertama, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara SUV paling popular di Malaysia.
Dengan semakin banyak pilihan dalam segmen SUV B, jangkaan pengguna terhadap ciri dan teknologi kenderaan turut meningkat. Pembeli kini semakin mengutamakan elemen seperti sistem ketersambungan moden, enjin turbo yang responsif serta teknologi keselamatan yang lebih canggih, yang sebelum ini lazimnya hanya terdapat pada segmen kenderaan lebih tinggi. Proton X50 memenuhi keperluan dengan menawarkan prestasi pemanduan yang mantap, ciri infotainmen moden serta teknologi keselamatan yang komprehensif pada julat harga yang kompetitif.
Dalam segmen yang semakin kompetitif, permintaan yang berterusan terhadap model ini mencerminkan keyakinan pengguna yang konsisten. Data pelanggan turut menunjukkan tahap kepuasan pemilik yang tinggi. Berdasarkan kajian bersama pemilik, Proton X50 mencatatkan kadar kepuasan penggunaan sebanyak 89%, meliputi aspek seperti prestasi, reka bentuk, keselesaan dan teknologi. Malah, lebih 70% pembeli menyatakan reka bentuk dan prestasi sebagai faktor utama dalam keputusan pembelian mereka.
Analisis lanjut turut menunjukkan 68% pembeli berumur antara 25 hingga 35 tahun, sekali gus memperlihatkan tarikan kuat Proton X50 dalam kalangan golongan profesional muda sama ada bujang mahupun yang telah berkeluarga dengan anak kecil. Pada masa yang sama, sebahagian besar daripada pembeli ini merupakan pelanggan baharu kepada jenama Proton, menunjukkan peningkatan keyakinan daripada pengguna yang sebelum ini memiliki kenderaan daripada jenama lain.
“Proton X50 melambangkan evolusi PROTON sebagai jenama automotif moden yang berteraskan teknologi. Ia menawarkan gabungan prestasi, ketersambungan dan keselamatan kepada pelanggan Malaysia yang sebelum ini sukar diperoleh dalam segmen ini, dan inilah antara faktor utama mengapa model ini terus mendapat sambutan kukuh daripada pembeli,” kata Dato’ Ir Abdul Rashid Musa, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.
Perintis inovasi PROTON
Sejak diperkenalkan, Proton X50 memainkan peranan penting dalam mempamerkan fasa baharu evolusi teknologi PROTON. Model ini turut dikenali sebagai antara perintis dalam barisan produk syarikat dengan memperkenalkan pelbagai teknologi baharu yang kemudiannya turut digunakan pada model-model lain.
Ketika dilancarkan pada tahun 2020, Proton X50 merupakan model PROTON pertama yang dilengkapi enjin turbo tiga silinder 1.5 liter, menawarkan keseimbangan antara prestasi dan kecekapan bahan api yang sesuai untuk pemanduan harian. Model ini juga memperkenalkan ekosistem infotainmen ATLAS yang kemudiannya menjadi asas kepada platform kereta bersambung PROTON dalam model-model lain. Inovasi tersebut membantu meletakkan Proton X50 sebagai antara kenderaan paling maju dari segi teknologi dalam kelasnya, khususnya pada julat harga yang ditawarkan.
Peranan ini diteruskan dengan pengenalan Proton X50 2025 pada Julai 2025 yang membawa kemas kini menyeluruh dari segi reka bentuk dan teknologi. Model yang diperbaharui ini menampilkan reka bentuk luaran yang lebih dinamik, memberikan imej SUV yang lebih sporty serta kehadiran jalan raya yang lebih menonjol. Di bahagian dalaman, ruang kabin turut direka semula secara signifikan bagi menampilkan identiti PROTON yang lebih tersendiri berbanding model asal daripada Geely, mencerminkan keyakinan PROTON yang semakin meningkat dalam menyesuaikan kenderaan untuk pelanggan Malaysia dan pasaran serantau.
Model ini juga menampilkan penggunaan pertama enjin turbo empat silinder 1.5 liter i-GT oleh PROTON. Dengan kuasa 181PS dan tork 290Nm, enjin baharu ini memberikan pecutan yang lebih responsif serta pengalaman pemanduan yang lebih lancar, di samping menawarkan kecekapan penggunaan bahan api yang lebih baik untuk kegunaan harian.
Selain peningkatan pada aspek kuasa, Proton X50 baharu juga menjadi model PROTON pertama yang dilengkapi fungsi pengecaman suara dalam Bahasa Melayu, selaras dengan usaha jenama untuk menyesuaikan teknologi dengan keperluan pemandu tempatan. Model ini turut memperkenalkan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, memastikan ia kekal kompetitif dalam segmen di mana pembeli semakin mengutamakan ketersambungan digital serta kemudahan penggunaan teknologi dalam kenderaan.
Menyokong pengembangan pasaran serantau
Selain kejayaan di pasaran domestik, Proton X50 turut memainkan peranan penting dalam menyokong usaha pengembangan pasaran eksport PROTON.Sejak pelancarannya, lebih daripada 5,000 unit telah dieksport, menjadikannya antara model eksport paling popular PROTON dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Dengan penambahbaikan berterusan, permintaan domestik yang kukuh serta potensi eksport yang semakin berkembang, model ini dijangka terus menjadi antara pemacu utama kepada strategi pertumbuhan PROTON pada masa hadapan.
“Kejayaan Proton X50 telah membantu memperkukuh persepsi terhadap jenama PROTON di Malaysia dan juga di peringkat antarabangsa. Ia berjaya menarik generasi pembeli yang lebih muda sambil membuktikan bahawa kenderaan yang dipasang di Malaysia mampu bersaing dengan yang terbaik dari segi teknologi, reka bentuk dan pengalaman pemanduan. Akhirnya, kejayaan ini turut mencerminkan tahap kepercayaan pelanggan terhadap jenama PROTON dari semasa ke semasa,” tambah Abdul Rashid Musa.




















Komen