PROTON X50 Membuat Kemunculan Pertama Di Pasaran Trinidad Dan Tobago
- Anna Chong

- 20 Apr
- 2 min membaca

PROTON melancarkan PROTON X50 di Trinidad dan Tobago, menjadikan negara Caribbean itu pasaran eksport kedua bagi model berkenaan selepas Brunei pada Januari lalu.Pelancaran itu dikendalikan oleh pengedar tempatan, ANSA Motors, selaras usaha PROTON memperkukuh kehadirannya di pasaran antarabangsa.
All-New PROTON X50 dipacu enjin turbo i-GT 1.5 liter yang menghasilkan 181PS dan 290Nm tork, dipadankan dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan. Model itu mencatat penggunaan bahan api 6.1 liter bagi setiap 100 kilometer serta menawarkan pemanduan yang sesuai untuk kegunaan bandar dan lebuh raya.

Model berkenaan turut menerima pembaharuan pada reka bentuk luaran serta ruang dalaman yang menampilkan sistem infotainmen dipertingkat bagi meningkatkan tahap keterhubungan dan kemudahan penggunaan.
Dari segi keselamatan, kenderaan itu dilengkapi sistem bantuan pemandu termaju (ADAS), termasuk kamera 360 darjah dan bantuan parkir pintar, selain ciri keselamatan lain bagi meningkatkan perlindungan penumpang serta kesedaran pemandu.

Pengurus Besar Jualan Kenderaan Baharu ANSA Motors Marc Pontifex berkata All-New PROTON X50 menawarkan pengalaman pemanduan premium pada harga kompetitif kepada pengguna di Trinidad dan Tobago. “Model terbaharu ini mengukuhkan kedudukannya sebagai SUV moden yang sesuai untuk gaya hidup masa kini,” katanya dalam kenyataan.
Memperkukuh prestasi pasaran eksport PROTON
Ketibaan All-New PROTON X50 di Trinidad dan Tobago mengukuhkan komitmen PROTON untuk menawarkan kenderaan berkualiti tinggi dan berdaya saing ke pasaran antarabangsa, sambil terus memacu momentum perniagaan eksportnya di peringkat global. Sebagai salah satu tonggak utama pertumbuhan jualan syarikat, jumlah jualan eksport mencatat 6,000 unit pada tahun 2025, iaitu paras tertinggi sejak bermulanya kerjasama antara PROTON dan Geely.

Mengulas lanjut mengenai pelancaran PROTON X50 di Trinidad dan Tobago, Edmund Lim Meng Thong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton International Corporation Sdn Bhd (PICSB), menekankan kepentingan strategik pasaran tersebut, “Trinidad dan Tobago merupakan pasaran penting bagi PROTON di rantau Caribbean dan memainkan peranan utama dalam strategi eksport kami secara keseluruhan. Pengenalan All-New PROTON X50 di sana mencerminkan keyakinan kami terhadap potensi pertumbuhan pasaran tersebut serta kekuatan kerjasama bersama rakan pengedar tempatan.”

“Menjelang 2026, PICSB komited untuk terus memperluaskan jejak eksport menerusi pengenalan model baharu, pengukuhan rangkaian pengedaran dan peningkatan jumlah eksport keseluruhan merentasi pelbagai rantau. Usaha ini merangkumi model enjin pembakaran dalaman (ICE) dan EV PROTON ketika kami berusaha membawa produk serta nilai jenama PROTON kepada lebih ramai pelanggan di seluruh dunia,” tambah beliau.




















Komen