top of page

SUV Elektrik Terbaharu Leapmotor B10 Dilancarkan di Malaysia dengan Harga Bermula RM107,800

  • Writer: Anna Chong
    Anna Chong
  • 3 hari lalu
  • 6 min membaca
Leapmotor B10

Stellantis Malaysia secara rasmi telah memperkenalkan Leapmotor B10 serba baharu, sebuah SUV elektrik BEV yang sangat dinanti-nantikan dan dijangka menjadi penanda aras baharu dalam inovasi mampu milik serta mobiliti lestari untuk rakyat Malaysia. Meneruskan momentum kejayaan pengenalan Leapmotor C10 tahun lalu, pengembangan strategik ke pasaran ini disokong secara global oleh Leapmotor International. Ia merupakan usaha sama 51:49 di antara Stellantis dan Leapmotor yang memberi fokus kepada pembangunan Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) berteknologi tinggi dan berkos rendah untuk pasaran antarabangsa yang penting.


Leapmotor B10
B10 LIFE

SUV elektrik B10 segmen-C serba baharu ini ialah model global ketiga Leapmotor selepas T03 kompak dan SUV segmen-D C10. Ia menjadi komponen penting dalam pelan strategik Leapmotor untuk meluaskan kehadirannya ke lebih 20 negara dan rantau menjelang akhir tahun 2025. Pengembangan ini didorong oleh kejayaan model NEV Leapmotor baru-baru ini, termasuklah pengeluaran kenderaan yang ke-sejuta unit pada September 2025. Selain mencapai rekod jualan tertinggi sebanyak 70,327 unit untuk pasaran domestik dan eksport pada November 2025.


Hadir dengan reka bentuk dan teknologi pintar terkini jenama itu, Leapmotor B10 serba baharu menggunakan seni bina LEAP3.5 yang canggih. Ia merupakan sebuah platform bateri-casis bersepadu yang direka untuk menawarkan pemanduan terbaik dalam kelasnya yang selesa, dinamik dan efisien. B10 benar-benar menghayati falsafah LEAP, yang kini ditakrifkan semula sebagai janji kepada pengguna melalui teknologi yang meningkatkan gaya hidup, prestasi cekap, harga mampu milik dan mementingkan aspek keselamatan.


Pengarah Urusan Stellantis ASEAN, Isaac Yeo, Managing Director

Pengarah Urusan Stellantis ASEAN, Isaac Yeo, Managing Director berkata, "Pelancaran Leapmotor B10 elektrik sepenuhnya ini merupakan satu momen penting untuk Stellantis Malaysia. Ia menandakan komitmen strategik kami untuk mempercepatkan pembangunan segmen Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) di Malaysia dan seluruh rantau ini secara signifikan. Bersama model Leapmotor C10 yang inovatif, B10 menawarkan nilai yang sangat kompetitif dalam kelasnya, menjadikan teknologi canggih lebih mudah diakses sambil memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap mobiliti mampan dan berteknologi tinggi dalam kalangan pengguna di Malaysia.”


Leapmotor B10 DESIGN

Inspirasi Kosmik

Mengambil pendekatan minimalis, reka bentuk estetik Leapmotor B10 elektrik serba baharu ini menggabungkan elemen ringkas dengan sentuhan futuristik ala era angkasa lepas. B10 hadir dengan garis pinggang cloudtrail yang kemas. Manakala dinamik Star Ring pada bahagian fender menampilkan rekaan seperti halo planet yang mempamerkan permainan cahaya dan bayang melalui tekstur berlapis. Pendekatan reka bentuk ini memberi kesan visual yang kuat serta menyerlahkan identiti Leapmotor yang menggabungkan teknologi canggih dengan gaya elegan yang tidak lapuk dek zaman.


Leapmotor B10 DESIGN

 

Bahagian hadapan B10 dilengkapi lampu utama LED penuh yang dipisahkan daripada lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk corak bendera berkotak-kotak. Perkadaran rekaan badan yang bulat, kemasan bampar yang dipahat rapi, serta pemegang pintu jenis flushmeningkatkan aspek aerodinamik, memberikan kadar seretan (Cd) hanya 0.265 antara terbaik dalam kelasnya.

 

Rekaan harmoni ini diteruskan dengan rim aloi “Star Sports” bersaiz 18 inci yang sporty. Sementara bahagian belakang menampilkan lampu LED melintang penuh dengan rekaan Wing Star yang menjadi identiti visual tersendiri model ini.

 

Leapmotor B10 DESIGN

Direka untuk Tahan Lebih Lama

Teras kejuruteraan pada Leapmotor B10 elektrik serba baharu ialah seni bina LEAP3.5 dan platform Cell-to-Chassis (CTC) 2.0+ yang dibangunkan dengan input daripada pasukan Stellantis Chassis Master. Platform ini menampilkan peningkatan penting, termasuklah struktur bateri-casis bersepadu tinggi yang merendahkan pusat graviti, mencapai agihan berat hampir sempurna 50:50 di antara bahagian depan-belakang serta ketegaran kilasan 36,360Nm/deg.


Leapmotor B10 LIFE

Semua ini meningkatkan dinamik pemanduan dan tahap kehalusan buatan secara keseluruhannya.Bukan itu sahaja, platform CTC 2.0+ yang dinaik taraf bersama penyelesaian sel bateri pendek yang telah diubahsuai menawarkan peningkatan dalam ketumpatan tenaga volumetrik sambil memberikan ruang kabin lebih luas kepada penumpang. Pacuan elektrik B10 juga sangat ringan iaitu hanya 60kg dan integrasi itu menyumbang kepada pengurangan berat keseluruhan kenderaan lebih 20kg.


Pada masa yang sama, ia mampu mencapai kecekapan maksimum 94% serta ketumpatan kuasa sehingga 2.67 kW/kg.Platform ini digandingkan dengan pek bateri Lithium-Iron Phosphate (LFP) dan sistem motor elektrik berkecekapan tinggi yang disokong oleh pemantauan AI Pintar. Sistem pintar ini secara aktif menguruskan operasi untuk meningkatkan aspek kestabilan, keselamatan, jangka hayat bateri dan rangkaian kuasa.


Leapmotor B10

Dari segi prestasi, B10 menawarkan kuasa mencecah 218hp (160 kW) dan 240Nm tork yang membolehkan pecutan dari sifar ke 100km/j dibuat dalam masa hanya 8 saat. Keupayaan pengecasan pantas 2.5C (platform 400V) membolehkan B10 mencapai masa pengecasan DC 30%-80% dalam tempoh kurang 20 minit, terbaik dalam kelasnya, selain  jarak pemanduan sejauh 434 KM mengikut kitaran WLTP. Bagi memastikan prestasi yang konsisten dan jangka hayat bateri lebih panjang di bawah keadaan yang mencabar, B10 menggunakan sistem pengurusan haba canggih yang mampu mengesan suhu ambien dan operasi, serta kondisi pengecasan (SoC).


Leapmotor B10 DESIGN

Sistem penyejukan cecair bateri dan sistem penyejukan minyak pada motor elektrik bekerjasama untuk meningkatkan keselamatan, kestabilan suhu dan menawarkan ketahanan dalam jangka panjang.Jarak pemanduan B10 ditawarkan dalam dua konfigurasi seperti berikut:

Spesifikasi

Leapmotor B10 (LIFE)

Leapmotor B10 (DESIGN)

Bateri

56.2kWh

67.1kWh

On-Board Charger (Maksimum)

11kW

11kW

Kapasiti Max Pengecasan AC

11kW

11kW

Kapasiti Max Pengecasan DC

140kW

168kW

Tempoh Pengecasan DC

Bawah 20 minit

Jarak Pemanduan (WLTP/NEDC)

361km / 442km

434km / 516km

V2L Discharge Output

3.3kW

3.3kW

 B10 yang diletakkan dalam segmen-C hadir bersama dimensi luaran yang besar. Ia berukuran 4,515 milimeter panjang, 1,885 milimeter lebar dan 1,655 milimeter tinggi, semuanya disokong oleh jarak roda 2,735 milimeter. Kelegaan tanah pula dinilai pada 170 milimeter.


Ketersambungan yang Direka Untuk Anda

Ekosistem digital Leapmotor B10  serba baharu dikuasakan oleh sistem kawalan berpusat pintar menggunakan cip Qualcomm® Snapdragon™ 8155 yang canggih. Cip 7nm termaju ini dilengkapi memori sehingga 16GB dan GPU Adreno 640 bersepadu bagi memastikan paparan yang pantas dan responsif dengan grafik yang jelas serta interaksi pengguna yang lancar.


Leapmotor B10 DESIGN
Interior B10 DESIGN
Leapmotor B10 LIFE
Interior B10 LIFE

Nadi kepada bahagian dalaman ialah skrin infotainmen bersaiz 14.6 inci yang dikuasakan oleh Leap OS 4.0 Plus terkini. Sistem intuitif ini menawarkan antara muka yang boleh disesuaikan dan menarik secara visual serta menyokong kemas kini Tanpa Wayar (Over-The-Air - OTA) tanpa had dan lancar. Ia turut melibatkan pengenalan ciri Apple Carplay & Android Auto bermula Januari 2026.


Pemandu disokong oleh skrin instrumen berukuran 8.8 inci untuk melihat pelbagai maklumat penting, manakala sistem kamera panoramik 360° standard memastikan navigasi yang mudah di ruang bandar yang sempit. Ketersambungan dipertingkatkan lagi dengan Kawalan Jauh Aplikasi Mudah Alih yang tersedia. Ia membolehkan pengguna memantau status kenderaan, melaras kawalan suhu dan mengaktifkan fungsi mengunci dan membuka kenderaan dari jarak jauh.


Leapmotor B10

 

Apabila Ruang Bergabung Dengan Inovasi

Ruang kabin Leapmotor B10 serba baharu yang elegan direka dengan memberi fokus kepada aspek perincian dan penggunaan material-material yang premium. Di ruang dalaman ini, penumpang akan menemui perincian kemasan daun buluh yang cantik, pencahayaan ambien boleh laras dan kemasan berkualiti tinggi pada seluruh kabin. Meningkatkan pengalaman di dalam varian tertinggi DESIGN,  tempat duduknya dibalut dengan tekstil silikon OEKO-Tex Standard 100 untuk keselesaan dan keselamatan yang lebih baik.


Leapmotor B10 DESIGN

Memberi fokus kepada aspek keselesaan pemandu dan penumpang yang luar biasa, B10 menawarkan ruang dalaman yang luas iaitu 2,390mm. Ruang kabin ini menyediakan pelbagai pelarasan kuasa dan tetapan memori, dengan tempat duduk pemandu menampilkan pelarasan kuasa 6 hala, manakala tempat duduk penumpang hadapan pula menawarkan pelarasan kuasa 4 hala.Kedua-dua tempat duduk hadapan hadir dengan fungsi pengudaraan terbina dalam.


Konsol tengah dengan rekaan terapung itu mengintegrasikan ruang meletak tangan, dua tempat telefon bimbit dengan pad pengecas tanpa wayar 15-watt dan ruang simpanan tambahan yang luas. Kabin ini juga menawarkan ruang kepala yang luas mencecah 1,027 milimeter di hadapan dan 1,005 milimeter di belakang demi memastikan keselesaan untuk apa jua saiz badan penumpang.Memberi penekanan terhadap aspek praktikaliti, kabin B10 mempunyai 22 ruang storan yang direka secara ergonomik. Ruang butnya adalah seluas 430 liter dan boleh dipertingkatkan menjadi 1,700 liter apabila penyandar tempat duduk belakang dilipat. Tidak ketinggalan ruang frunk di hadapan berkapasiti 25 liter untuk ruang simpanan tambahan yang selamat.  

 

Leapmotor B10 DESIGN

B10 didatangkan dengan tiga mode pemanduan iaitu Comfort, Standard dan Sport yang membolehkan pemandu menyesuaikan pengalaman memandu mengikut kecenderungan mereka. Penumpang pula boleh menikmati ruang luas yang dihasilkan oleh bumbung kaca panoramik bersaiz besar yang turut mempunyai ciri pelindung matahari elektrik binaan dalam untuk keselesaan yang optimum.

 

Penanda Aras Keselamatan

SUV elektrik Leapmotor B10 serba baharu mencatat penarafan keselamatan Euro NCAP 5 bintang apabila memperoleh skor mengagumkan 93% untuk perlindungan orang dewasa dan kanak-kanak. Ini meletakkan B10 antara Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) yang memiliki penilaian paling tinggi dalam kelasnya.Aspek keselamatan struktur B10 disempurnakan lagi dengan rangkaian ciri yang komprehensif, merangkumi tujuh beg udara, 12 sensor berketepatan tinggi dan 17 Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS). Ia mencapai keupayaan pemanduan autonomi Tahap 2. Senarai komprehensif fungsi ADAS termasuklah:


  • Adaptive Cruise Control (ACC)

  • Lane Centering Control (LCC)

  • Intelligent Speed Assist (ISA)

  • Lane Keep Assist (LKA)

  • Emergency Lane Keeping Assist (ELKA)

  • Front Collision Warning (FCW)

  • Autonomous Emergency Brake (AEB)

  • Advanced Emergency Braking System (AEBS)

  • Blind Spot Detection (BSD)

  • Door Opening Warning (DOW)

  • Lane Departure Warning (LDW)

  • Hands Off Detection (HOD)

  • Rear Collision Warning (RCW)

  • Rear Cross-Traffic Alert And Braking (RCTA + RCTB)

  • Traffic Jam Assist (TJA)

  • Driver Drowsiness Alert Warning (DDAW)

  • Advanced Driver Distraction Warning (ADDW)


Leapmotor B10

Harga & Warna

SUV elektrik Leapmotor B10 serba baharu ditawarkan dalam dua varian iaitu LIFE pada harga RM107,800 dengan kemasan dalaman berwarna kelabu gelap. Sementara varian  flagship DESIGN yang berharga RM118,800 pula hadir dengan pilihan warna dalaman kelabu gelap atau kemasan kulit Shadow Grey ECO.

Leapmotor B10 LIFE
B10 LIFE

200 pelanggan pertama layak menerima promo pelancaran yang merangkumi rebat sebanyak RM8,000 (RM99,800) untuk varian LIFE dan rebat RM9,000 (RM109,800) bagi varian DESIGN.Terdapat lima pilihan warna menarik: hitam metalik (Metallic Black), putih (Light White), kelabu (Tundra Grey), ungu (Dawn Purple) dan biru (Starry Night Blue). Warna biru (Starry Night Blue) ialah warna signatur yang diinspirasikan daripada 300 warna berbeza yang ada pada lukisan 'Starry Night over the Rhone’ oleh Van Gogh.


Leapmotor B10 DESIGN
B10 DESIGN

 

Penyelenggaraan & Jaminan Kenderaan

SUV elektrik Leapmotor B10 serba baharu disokong oleh pakej jaminan yang komprehensif iaitu 6 tahun atau perbatuan sejauh 150,000km dan jaminan bateri selama 8 tahun atau perbatuan sejauh 160,000km, mana-mana tiba dahulu. Selang servis ialah 1 tahun atau 20,000km, mana-mana tiba dahulu.


Komen


KERETA TERKINI

ADVERTISEMENT

ADVERTISEMENT

Pandu Pandu Icon
PanduBabes Logo
Pandu Pandu ialah platform automotif & gaya hidup yang lebih daripada sekadar info kereta. Bersama PanduBabes, kami membawa cerita, inspirasi dan acara untuk komuniti peminat automotif Malaysia.
  • Facebook
  • Instagram
  • TikTok
  • Youtube

Maklumat di laman ini disediakan untuk tujuan maklumat dan umum sahaja. Pandu Pandu tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian yang timbul daripada penggunaan kandungan ini. Lihat Penafian Penuh untuk maklumat lanjut.

© 2025 Pandu Pandu, Spacerae Sdn. Bhd. 202001029234 (1385554-M). All rights reserved.

bottom of page