Suzuki Cars Malaysia dan FLUX Menandatangani Memorandum Persefahaman untuk Memperluas Penawaran Langganan Kenderaan di Malaysia
- Anna Chong

- 5 jam lalu
- 3 min membaca

Naza Eastern Motors telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama FLUX, platform langganan kenderaan terkemuka di Malaysia, sekali gus menandakan kerjasama strategik bagi menjadikan kenderaan Suzuki lebih mudah diakses menerusi model langganan kenderaan yang fleksibel.
Kerjasama ini mencerminkan visi bersama untuk menawarkan rakyat Malaysia, termasuk golongan profesional muda, ekspatriat serta mereka yang mahukan fleksibiliti yang lebih tinggi, kebebasan dalam memilih cara memiliki akses kepada mobiliti peribadi.
Sebagai permulaan, Suzuki Cars Malaysia akan menawarkan Suzuki Fronx dan Suzuki Jimny AllGrip Pro di platform FLUX. Kedua-dua model ini memberikan pengalaman mobiliti yang berbeza, iaitu Suzuki Fronx sebagai crossover yang cekap dan sesuai untuk pemanduan harian di bandar, manakala Suzuki Jimny AllGrip Pro pula merupakan kenderaan pacuan empat roda (4WD) ikonik yang direka untuk gaya hidup aktif dan pengembaraan.
Selain memperkenalkan model Suzuki ke platform tersebut, kerjasama ini turut bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai langganan kenderaan sebagai alternatif kepada pemilikan konvensional, memperluaskan kehadiran Suzuki dalam ekosistem mobiliti Malaysia yang semakin berkembang, serta menyokong pelaksanaan armada langganan awal menggunakan model Suzuki terpilih yang ditawarkan menerusi platform FLUX.

Memorandum Persefahaman itu ditandatangani oleh Mohd Rizal Jailan, Ketua Pegawai Eksekutif Naza Automotive Group, dan Sivakumar Krishnan, Ketua Pegawai Operasi Suzuki Cars Malaysia, bersama Aziz Ayman, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif FLUX, serta Christine A., Pengarah Komersial FLUX.
Mengulas mengenai kerjasama itu, Mohd Rizal Jailan berkata, “Walaupun pemilikan kenderaan masih menjadi aspirasi penting bagi ramai rakyat Malaysia, kami melihat permintaan yang semakin meningkat terhadap penyelesaian mobiliti yang lebih fleksibel, mudah dan sesuai dengan pelbagai gaya hidup.” Beliau berkata, “Dengan menggabungkan produk Suzuki yang dipercayai bersama platform langganan inovatif FLUX, kami mewujudkan satu lagi pilihan untuk pelanggan menikmati pengalaman memiliki sebuah Suzuki. Pendekatan ini turut diperluaskan ke bilik pameran kami, dengan kehadiran FLUX di pengedar Naza Eastern Motors bagi membolehkan pelanggan yang hadir mendapatkan penjelasan tentang bagaimana model langganan ini berfungsi.
“Bukan setiap pelanggan yang mengunjungi bilik pameran Suzuki bersedia untuk membuat pembelian secara konvensional, dan perbincangan itu tidak seharusnya berakhir di situ. Dengan FLUX di bilik pameran kami, pasukan kami boleh menerangkan secara terperinci bagaimana langganan berfungsi serta membantu pelanggan menentukan pilihan yang paling sesuai dengan keperluan mereka. Ia memberikan pelanggan dua pilihan untuk membawa pulang sebuah Suzuki — sama ada membeli atau melanggan — dan dalam kedua-dua keadaan, mereka kekal sebagai sebahagian daripada keluarga Suzuki.”
Sementara itu, Aziz Ayman, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif FLUX, berkata, “Cara rakyat Malaysia melihat pemilikan kereta berubah lebih pantas berbanding industri yang menjualnya. Hari ini, orang ramai menstrim hiburan, melanggan perisian dan mengharapkan fleksibiliti dalam hampir setiap perkhidmatan yang mereka bayar. Kajian pasaran menunjukkan lebih 60 peratus pembeli kereta di Malaysia kini terbuka kepada konsep langganan berbanding pembiayaan melalui pinjaman. Ini bukan lagi satu pasaran khusus, sebaliknya mencerminkan hala tuju industri.”
Beliau menambah, “Sebab itulah sekarang merupakan masa yang paling sesuai untuk melancarkan kerjasama antara Suzuki Cars Malaysia dan FLUX. Tawaran baharu ini memudahkan pengalaman memiliki kereta dengan menggantikan segala kerumitan seperti pinjaman, insurans, cukai jalan, penyelenggaraan dan susut nilai kepada satu yuran bulanan tetap, sambil memberikan kebebasan untuk menukar kenderaan mengikut perubahan keperluan hidup. Pemandu masih dapat menikmati perkara paling penting iaitu pengalaman memandu sebuah Suzuki yang ikonik, manakala FLUX menguruskan selebihnya.

“Langkah ini menjadikan salah satu jenama automotif paling digemari di Malaysia lebih mudah diakses dengan mengurangkan halangan kewangan yang lazim dikaitkan dengan pemilikan kenderaan. Tanpa bayaran pendahuluan, tanpa premium insurans tahunan dan tanpa kos penyelenggaraan yang tidak dijangka, pelanggan boleh menikmati pengalaman memandu Suzuki dengan lebih mudah dan bebas daripada komitmen kewangan jangka panjang.”
Pada peringkat pelancaran, pelanggan yang melanggan Suzuki melalui FLUX turut akan menikmati kemudahan kenderaan gantian (courtesy car) secara percuma, sekali gus memastikan mereka tidak mengalami sebarang gangguan mobiliti. “Bersama-sama, kami berharap dapat menjadikan akses kepada kenderaan lebih mudah, lebih praktikal dan lebih selari dengan keperluan mobiliti yang semakin berkembang pada masa kini,” tambah beliau.
Susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) tersebut, kedua-dua pihak akan memulakan pelaksanaan armada awal Suzuki di platform FLUX, disokong oleh pelbagai inisiatif pemasaran bersama menerusi saluran digital serta rangkaian bilik pameran Suzuki di seluruh negara.
Bersempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-69 serta pelancaran kerjasama ini, FLUX menawarkan promosi eksklusif kepada pelanggan dengan diskaun 69% bagi yuran langganan bulan pertama dan bulan terakhir untuk pelan langganan terpilih selama 24 hingga 36 bulan, sah sehingga 6 September 2026.
Model | Jenis | Yuran Bulanan Biasa | Harga Merdeka 69* | Jumlah Penjimatan (2 Bulan) |
Suzuki Fronx 1.5 Hybrid 2025 | SUV Hibrid | RM2,225 | RM690 | RM3,070 |
Suzuki Jimny AllGrip Plus 2026 | SUV Petrol | RM3,278 | RM1,016 | RM4,524 |
Pelanggan yang berminat boleh membuat tempahan model Suzuki pilihan mereka secara terus melalui laman web FLUX atau mengunjungi bilik pameran Suzuki yang sah di seluruh negara untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai program langganan ini.




















Komen