Volvo EX30 Cross Country Dilancar Di Malaysia, Harga RM218,888

Memandu ke pejabat pada hari biasa dan ber-glamping pada hujung minggu kini boleh dinikmati dalam satu kenderaan. Volvo Car Malaysia hari ini memperkenalkan Volvo EX30 Cross Country baharu, direka khas untuk mereka yang mahukan pengalaman hidup yang lebih maksimum bersama sebuah SUV elektrik sepenuhnya.

Model Cross Country pertama Volvo yang diperkenalkan pada tahun 1997 direka untuk menghadapi keadaan cuaca Scandinavia yang mencabar. Sejak itu, rangkaian model Cross Country Volvo telah diuji dalam pelbagai keadaan jalan, daripada permukaan basah dan laluan berbukit hinggalah lebuh raya panjang serta trek berlumpur. Ia terus diperhalusi bagi memberikan keselesaan dan keyakinan ketika meneroka kawasan luar.
Chris Wailes, Pengarah Urusan Volvo Cars Malaysia dan Thailand berkata, “Pepatah ‘hidup ini penuh pengembaraan’ sangat tepat untuk menggambarkan kehidupan di Malaysia. Di sini, kita dikelilingi hutan hujan tertua di rantau ini, yang hanya beberapa jam perjalanan dari bangunan tertinggi di dunia. Sama ada percutian hujung minggu atau penjelajahan bandar, EX30 Cross Country bukan sekadar sebuah kereta. Ia memberikan pengalaman menyeluruh buat mereka yang mahukan kebebasan untuk meneroka dengan keyakinan untuk pergi ke mana sahaja.”

Sebagai model Cross Country elektrik sepenuhnya pertama Volvo, ia mengekalkan ciri-ciri terbaik daripada siri EX30 yang telah memenangi pelbagai anugerah, sambil menampilkan elemen yang lebih lasak. Ini menjadikannya pilihan sesuai untuk perjalanan dari kesibukan bandar ke laluan yang lebih mencabar, tanpa mengabaikan aspek perlindungan terhadap alam sekitar dan pengguna jalan raya.
Teroka Penuh Yakin
Sebagai SUV kompak, EX30 Cross Country sesuai untuk digunakan di jalan raya Lembah Klang. Dengan sistem kesedaran persekitaran 360 darjah yang menggabungkan radar di setiap penjuru serta penderia canggih, pemandu boleh mengendalikannya dengan lebih yakin, sama ada di lebuh raya atau lorong yang sempit.

Model ini menawarkan jarak pemanduan elektrik sehingga 437 km (WLTP) dengan sifar pelepasan asap. Pek bateri NMC berkapasiti 69 kWh pula boleh dicas pantas daripada 10% hingga 80% dalam masa 27 minit menggunakan pengecas DC.
Sebagai varian Cross Country, ia turut dilengkapi beberapa ciri tambahan yang membolehkan peralihan lebih mudah daripada pemanduan bandar kepada laluan dengan permukaan yang mencabar.

Dengan sistem motor berkembar elektrik, EX30 Cross Country menghasilkan 428 hp dan 543 Nm, membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 3.7 saat. Sistem stereng yang ditala secara khusus turut mengoptimumkan daya tork stereng, pulangan aktif dan redaman untuk memberikan kawalan lebih tepat ketika mengambil selekoh tajam.
EX30 Cross Country juga mempunyai jarak lega tanah 19 mm lebih tinggi berbanding model EX30 standard. Digabungkan dengan reka bentuk casis termaju serta rim lima jejari berukuran 19 inci yang membantu menyerap hentakan jalan, ia menawarkan tahap keselesaan dan kestabilan lebih baik ketika melalui laluan mencabar.

Pengembaraan yang Bertanggungjawab dan Selamat
Meneruskan kejayaan EX30 sebagai model Volvo paling lestari setakat ini, varian Cross Country turut memperkukuhkan komitmen Volvo terhadap perlindungan manusia dan alam sekitar. Sebagai kenderaan elektrik sepenuhnya, ia menawarkan jejak karbon yang rendah.

Kabinnya pula menggunakan material yang dihasilkan secara bertanggungjawab, termasuk tekstil denim kitar semula dan kemasan tempat duduk Nordico berasaskan bio.
Dari aspek keselamatan, EX30 Cross Country dilengkapi Safe Space Technology terkini bersama sistem bantuan pemandu termaju untuk membantu melindungi penumpang dan pengguna jalan raya lain. Sistem keselamatan ini merangkumi sokongan brek dan stereng bagi membantu mengelakkan perlanggaran, Sistem Pemahaman Pemandu, serta ciri Pilot Assist dan Park Pilot Assist generasi baharu.
Pengalaman Bergaya dan Praktikal
Sama ada digunakan di jalan raya bandar atau ketika menuju ke taman negara, EX30 Cross Country direka untuk tampil menarik dalam pelbagai persekitaran. Reka bentuk minimalis Scandinavia dipadankan dengan kemasan matt black dan vapour grey, selain elemen khas Cross Country seperti skid plate vapour grey berkemasan malap, bampar bawah matte black dan sambungan lengkungan roda.

Lencana Cross Country pada tiang C dan logo CC timbul di bahagian belakang, bersama rekaan pelindung belakang yang tersendiri, melengkapkan penampilan model ini. Hasilnya ialah sebuah SUV dengan karakter lasak yang masih mengekalkan imej premium.
Bahagian dalaman EX30 Cross Country mengambil inspirasi daripada rona nila dan biru gelap langit malam, dengan sentuhan keunguan yang diinspirasikan cahaya matahari terbenam. Ia menggabungkan tekstil tenunan berwarna charcoal bersama kemasan Nordico, panel hiasan denim serta corong pendingin hawa berwarna biru.

Bumbung panoramik dengan pelindung suria pula membolehkan cahaya masuk dengan lembut dan memberikan suasana kabin yang lebih dekat dengan alam semula jadi.
Sistem infotainmen EX30 Cross Country dilengkapi Google terbina dalam, termasuk Google Assistant, Google Maps dan pelbagai aplikasi melalui Google Play Store, yang semuanya boleh diakses menerusi skrin tengah 12.3 inci.

Ia turut dilengkapi sistem audio Harman Kardon Premium Sound serta menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.
Selain reka bentuk, EX30 Cross Country turut menawarkan tahap praktikaliti yang baik. Poket pada panel pintu menyediakan ruang simpanan yang lebih luas kerana pembesar suara telah dipindahkan ke papan pemuka dan berfungsi sebagai soundbar.
Ruang simpanan tengah di antara pemandu dan penumpang hadapan juga cukup fleksibel untuk memuatkan beg tangan, manakala kotak simpanan boleh tanggal di bawah tempat rehat lengan boleh digunakan sebagai tong sampah mini.

Ruang but berkapasiti 318 liter atau sehingga 718 liter apabila tempat duduk barisan kedua dilipat, menjadikannya sesuai untuk membawa bagasi, peralatan perkhemahan dan perabot pasang siap.
Grafik bergambar ‘Will it Fit’ pada pintu but berkuasa turut disediakan sebagai panduan intuitif kepada pengguna. Selain itu, EX30 Cross Country boleh dipadankan dengan pelbagai aksesori gaya hidup pilihan seperti mud flap, load carrier, rak basikal, roof basket dan banyak lagi.
Spesifikasi Utama Sekilas Pandang:
Platform: Motor berkembar elektrik
Prestasi: 428 hp, 543 Nm tork
Jarak Pandu: Sehingga 437 km (WLTP)
Pengecasan: 10–80% dalam masa 27 minit (DC Rapid Charger 175 kW)
Audio: Sistem Audio Harman Kardon Premium
Infotainmen: Skrin paparan tengah 12.3 inci dengan Volvo Connect Plus

Volvo EX30 Cross Country pemasangan tempatan kini sedia dipamerkan di semua pengedar sah di seluruh negara bermula hari ini. Ia ditawarkan pada harga bermula RM218,888 tanpa insurans dan hadir dengan tiga pilihan warna luaran eksklusif iaitu Crystal White, Vapour Grey dan Cloud Blue.
Sebagai tawaran pelancaran, 100 tempahan terawal akan menerima rebat tunai RM12,000, bersama Volvo Wallbox bernilai RM3,990, Load Carrier bernilai RM2,098 dan Roof Basket bernilai RM3,680 secara percuma untuk melengkapkan persiapan pengembaraan seterusnya.
Kemas Kini MY27 Untuk EX30 Ultra
EX30 Ultra terus menjadi salah satu pilihan dalam rangkaian kenderaan elektrik Volvo Car Malaysia, menawarkan mobiliti termaju, gaya hidup praktikal dan reka bentuk yang telah memenangi anugerah.

Bagi memperluaskan lagi usaha elektrifikasi dan visi kelestarian Volvo, EX30 kini ditawarkan pada harga lebih kompetitif bermula RM198,888 tanpa insurans.
Model ini tersedia dalam empat pilihan warna iaitu Crystal White, Vapour Grey, Cloud Blue dan Onyx Black.

Pengenalan Platform Tempahan Servis Digital (DSB)
Pelancaran EX30 Cross Country turut menyaksikan pengenalan ciri Tempahan Servis Digital atau Digital Service Booking (DSB) oleh Volvo Car Malaysia.
Ciri ini membolehkan pelanggan menempah slot servis secara terus menerusi laman web Volvo Car Malaysia atau aplikasi Volvo Cars.
Direka untuk memberikan pengalaman pemilikan yang lebih mudah dan lancar, platform ini memberikan pelanggan lebih fleksibiliti dalam membuat tempahan selepas jualan. Buat masa ini, DSB ditawarkan oleh pengedar sah Volvo di sekitar Lembah Klang sebelum diperluaskan ke kawasan lain di seluruh negara pada masa akan datang.




















Komen