top of page

9,549 Pemilik e.MAS Aktif Menyumbang Pengurangan Pencemaran Udara dan Bunyi Melalui Pemanduan Elektrik Dalam Kehidupan Seharian

  • Writer: Anna Chong
    Anna Chong
  • 2 Jan
  • 4 min membaca

Proton e.MAS 5 & 7

Melalui perjalanan harian mereka pada tahun 2025, seramai 9,549 pemilik Proton e.MAS memainkan peranan aktif dalam mengurangkan pencemaran udara dan bunyi di kawasan bandar, menjadikan penggunaan kenderaan elektrik sebagai manfaat kelestarian yang jelas dan praktikal. Sepanjang tahun 2025, komuniti Proton e.MAS yang semakin berkembang ini menyumbang kepada udara yang lebih bersih di setiap lokasi pemanduan, perjalanan bandar yang lebih tenang, serta pengurangan kebergantungan kepada bahan api fosil, di samping memberikan pemilik permulaan yang bermakna dalam mencapai matlamat kelestarian mereka.


Pencapaian ini bertepatan dengan ulang tahun pertama Proton e.MAS 7, yang menutup tahun 2025 sebagai Model EV No. 1 di Malaysia, manakala Proton e.MAS 5 yang baru dilancarkan terus mendapat perhatian sebagai penawaran elektrik paling mudah diakses oleh jenama ini, sekaligus menjadi EV Mampu Milik pertama di Malaysia.


Sehingga 31 Disember 2025, Proton e.MAS 7 mencatatkan sejumlah 9,336 unit telah didaftarkan, termasuk 8,677 unit untuk pasaran tempatan dan 659 unit dieksport. Pada masa yang sama, Proton e.MAS 5 telah memasuki pasaran dengan 213 unit diserahkan kepada pelanggan. Menjelang pengedaran ini, PRO-NET bekerjasama rapat dengan rangkaian pengedarnya untuk memastikan persediaan menyeluruh dalam aspek jualan, serahan kenderaan, pendaftaran pelanggan dan perkhidmatan selepas jualan, membolehkan lebih ramai pemandu memulakan perjalanan elektrik mereka dengan lebih yakin.


“Tahun 2025 menandakan satu permulaan penting bagi Proton e.MAS, bukan sahaja dari segi pertumbuhan, tetapi juga impak sebenar yang dicipta oleh kenderaan Proton e.MAS setiap hari,” kata Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET. “Dengan 9,549 kenderaan e.MAS kini beroperasi, kita dapat melihat bagaimana pemilik e.MAS menyumbang kepada udara yang lebih bersih, perjalanan yang lebih tenang dan pengurangan penggunaan bahan api melalui pemanduan harian mereka.”


“Melangkah ke tahun 2026, fokus kami tetap untuk memperkukuh permulaan ini dengan meningkatkan pilihan kenderaan elektrik, menguatkan sokongan pengecasan dan perkhidmatan selepas jualan, serta memastikan mobiliti elektrik kekal praktikal, mudah diakses dan memberi manfaat di mana sahaja kenderaan kami beroperasi.”


Dengan kedua-dua model Proton e.MAS 7 dan e.MAS 5 kini beroperasi, anggaran statistik menunjukkan pemilik e.MAS dapat mengurangkan penggunaan petrol sehingga 10 juta liter setahun, sekali gus mengelakkan sehingga 21,000 tan pelepasan karbon dioksida daripada ekzos serta menurunkan nitrogen oksida dan zarah halus. Pemilik Proton e.MAS juga membantu mengurangkan bunyi trafik bandar pada kelajuan rendah kerana kenderaan elektrik menghasilkan bunyi 6 hingga 10 dB lebih rendah berbanding kenderaan enjin petrol. Lebih penting, peralihan kepada pemanduan elektrik memberikan manfaat langsung kepada manusia di jalanan, daripada perjalanan yang lebih senyap sehingga pengurangan pendedahan kepada asap ekzos di kawasan berpenduduk ramai.


Lebih daripada Sekadar Jualan: Proton e.MAS 7 Menjadi Duta Nasional dan Antarabangsa

Dilancarkan secara rasmi pada Disember 2024, e.MAS 7 merupakan model elektrik sepenuhnya pertama PRO-NET, dibangunkan melalui lebih 700,000 jam kerja manusia dan 10 juta kilometer ujian untuk memberikan prestasi elektrik yang boleh dipercayai sesuai dengan keadaan pemanduan sebenar. Selain pencapaian jualan, Proton e.MAS 7 turut mewakili Malaysia di pelbagai platform penting di peringkat nasional dan antarabangsa:


  • Kenderaan Rasmi untuk Sidang Kemuncak ASEAN 2025: Sebanyak 61 unit digunakan untuk delegasi utama dan pegawai kanan semasa mesyuarat menteri, mengukuhkan keyakinan kerajaan terhadap kepimpinan EV dari PRO-NET.

  • ASEAN Unity Drive 2025: Menyempurnakan perjalanan yang bersejarah sejauh 10,432 km merentasi sembilan negara ASEAN, membuktikan ketahanan, keselamatan bateri, dan kebolehpercayaan di pelbagai keadaan; sambil mempamerkan keupayaannya di peringkat antarabangsa.

  • Proton e.MAS 7 Tour: Jelajah seluruh negara menjelang Pelancaran Rasmi membolehkan rakyat Malaysia merasai sendiri keselesaan dan prestasi e.MAS 7. Jelajah ini singgah di bandar dan pekan utama di Semenanjung Malaysia dan Sabah Sarawak.

  • Pelancaran Varian Baharu: Pada Julai 2025, PRO-NET memperkenalkan varian baharu untuk e.MAS 7, termasuk pilihan warna luaran dan dalaman, selaras dengan maklum balas pengguna, memenuhi keutamaan utama dan meningkatkan pengalaman pengguna.


Daripada menjadi EV nasional pertama Malaysia kepada pilihan utama kerajaan dan duta antarabangsa bagi mobiliti lestari, Proton e.MAS 7 telah menetapkan penanda aras baharu bagi mobiliti elektrik.


 Minat Terhadap e.MAS 5 Kekal Tinggi, Penyerahan Siri Pertama Bermula Akhir Disember 2025

Portfolio elektrik PRO-NET terus mempermudahkan akses kepada penggunaan EV dengan pengenalan Proton e.MAS 5 pada 30 Oktober 2025 sebagai EV Mampu Milik pertama di Malaysia. e.MAS 5 direka untuk menjadikan mobiliti elektrik lebih mudah diakses oleh pelbagai lapisan rakyat Malaysia. Menjelang akhir 2025, model ini telah mencatatkan lebih 14,600 tempahan di seluruh negara.

 

Siri pertama kenderaan Proton e.MAS 5 telah mula diserahkan kepada pelanggan di seluruh negara melalui rangkaian pengedar rasmi PRO-NET, menandakan permulaan pelaksanaan penyerahan secara berperingkat yang akan diteruskan sehingga suku pertama 2026 bagi memenuhi jumlah tempahan yang tinggi.


Manfaat Perkhidmatan Selepas Jualan untuk Pelanggan Proton e.MAS

Bagi meraikan pencapaian cemerlang Proton e.MAS, PRO-NET memperkenalkan manfaat selepas jualan istimewa untuk semua pemiliknya. Bermula 1 Januari 2026, semua pemilik Proton e.MAS yang menghantar kenderaan mereka untuk penyelenggaraan atau servis akan menikmati:

 

  • Cuci kereta secara percuma (tersedia di pusat servis terpilih sahaja)

  • Pengecasan percuma sehingga 80% (tertakluk kepada permintaan pelanggan)

 

Manfaat ini mengukuhkan komitmen PRO-NET dalam memberikan pengalaman pemilikan EV yang lengkap. Dengan penggunaan EV yang semakin pesat di Malaysia, Proton e.MAS terus menerajui industri, menetapkan penanda aras bagi kemampuan milik, kebolehpercayaan, dan akses yang menyeluruh. Sebagai rangkaian pengedar dan servis terbesar di Malaysia, PRO-NET memastikan setiap pemilik Proton e.MAS menikmati keyakinan dan keselesaan dari hari pertama. Ke hadapan, PRO-NET akan memperkenalkan model NEV baharu dan memperluas infrastruktur pengecasan di seluruh negara, memastikan rakyat Malaysia mendapat permulaan yang bermakna dalam perjalanan EV mereka.

Komen


KERETA TERKINI

ADVERTISEMENT

ADVERTISEMENT

PP-Icon-Light-Blue-Rounded-1200px.png
Pandu Pandu ialah platform automotif & gaya hidup yang lebih daripada sekadar info kereta dan acara automotif.
PP-Tagline.png
  • Facebook
  • Instagram
  • TikTok
  • Youtube

Maklumat di laman ini disediakan untuk tujuan maklumat dan umum sahaja. Pandu Pandu tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian yang timbul daripada penggunaan kandungan ini. Lihat Penafian Penuh untuk maklumat lanjut.

© 2026 Pandu Pandu, Spacerae Sdn. Bhd. 202001029234 (1385554-M). All rights reserved.

bottom of page