Pengembaraan ASEAN Unity Drive 2025 Bermula di Jakarta dengan Proton e.MAS 7 Mengetuai Konvoi
- Anna Chong
- 24 Apr
- 2 min membaca

PRO-NET, anak syarikat PROTON, meraikan satu pencapaian penting dalam mobiliti lestari serantau apabila Proton e.MAS 7 kenderaan elektrik (EV) pertama Malaysia secara rasmi mengetuai konvoi semasa pelepasan ASEAN Unity Drive 2025 (AUD 2025) di Jakarta pada 22 April 2025 yang lepas.
Acara yang berlangsung di Kedutaan Besar Malaysia Jakarta ini turut dihadiri oleh pemimpin-pemimpin ternama termasuk YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia; TYT Dr. Kao Kim Hourn, Setiausaha Agung ASEAN; TYT Dato’ Syed Md Hasrin Tengku Hussin, Duta Besar Malaysia ke Indonesia; dan TYT Sarah Al Bakri Devadason, Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN. Kehadiran mereka menyerlahkan kepentingan kerjasama serantau dalam merealisasikan agenda mobiliti lestari ASEAN.
Anjuran sambutan ini daripada Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta disokong oleh PRO-NET selaku penaja utama, ASEAN Unity Drive 2025 (AUD 2025) akan merentasi lebih daripada 9,000 kilometer merangkumi sembilan buah negara ASEAN. Konvoi ini, yang diketuai oleh e.MAS 7, bukan hanya mencerminkan kepimpinan Malaysia dalam peralihan kepada kenderaan EV di rantau ini, tetapi juga menunjukkan komitmen yang kuat terhadap penyelesaian mobiliti hijau, saling berhubung, dan cekap tenaga bagi masa depan yang lestari.

“Kami berasa bangga dengan Proton e.MAS 7 dipilih untuk mengetuai pengembaraan ini. Ia bukan sahaja menggambarkan kecanggihan kejuruteraan EV kami, tetapi juga menunjukkan komitmen berterusan PRO-NET untuk menjadikan Malaysia dan Asia Tenggara lebih lestari dan berdaya saing dalam bidang mobiliti,” kata Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET.
ASEAN Unity Drive lebih daripada sekadar pengembaraan, ia mewakili visi bersama rantau ini untuk pembangunan kelestarian, mobiliti canggih, dan kemajuan teknologi. Proton e.MAS 7, dengan ciri keselamatan dan jarak pemanduan yang canggih, direka untuk menghadapi cabaran jalan sebenar dalam merentasi beberapa buah negara. Hal ini membuktikan potensi e.MAS 7 sebagai pilihan kenderaan elektrik harian untuk jalan raya di ASEAN.

Selepas acara pelepasan di Jakarta, konvoi diteruskan perjalanan merentasi beberapa ibu negara ASEAN termasuk Hanoi di Vietnam, Vientiane di Laos, Manila di Filipina, Phnom Penh di Kemboja, Bandar Seri Begawan di Brunei, Bangkok di Thailand, dan Singapura dalam memperkukuh semangat perpaduan dan kemajuan serantau di setiap perhentian.
Setiap hentian akan diserikan dengan aktiviti bersama pihak berkepentingan tempatan bagi menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) dan memajukan inisiatif mobiliti hijau di seluruh ASEAN. Selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia dan PRO-NET berkongsi tekad untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi hijau dan membuka laluan ke arah masa depan mobiliti yang lestari dan menyeluruh untuk semua.
Comments