top of page

BMW Motorrad Malaysia Memperkenalkan BMW R 1300 GS Adventure Serba Baharu di Malaysia Autoshow 2025

  • Writer: Anna Chong
    Anna Chong
  • 8 hours ago
  • 7 min read
BMW R 1300 GS Adventure
Pengeluar kenderaan premium mempersembahkan model GS paling canggih dan berprestasi tinggi pernah dihasilkan, menerusi pelancaran model serba baharu yang direka semula sepenuhnya di Malaysia Autoshow 2025.

BMW Group Malaysia memperkenalkan BMW R 1300 GS Adventure Serba Baharu di Malaysia Autoshow 2025. Tambahan terkini dalam portfolio BMW Motorrad ini menetapkan penanda aras baharu bagi segmen motosikal pengembaraan bersaiz besar, menawarkan dimensi baharu dalam pengalaman kembara jarak jauh menerusi prestasi luar biasa, kemampuan serba boleh dan keselesaan, sama ada di jalan raya mahupun laluan mencabar.


Benjamin Nagel, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, berkata: “Dengan reka bentuk semula yang komprehensif, BMW R 1300 GS Adventure Serba Baharu ini merupakan model yang amat dinanti-nantikan untuk kami perkenalkan - dan tiada masa yang lebih sesuai selain di salah satu pertunjukan automotif terbesar di Malaysia. Model ini sememangnya mencerminkan moto BMW Motorrad ‘Make Life A Ride,’ dengan menawarkan rakyat Malaysia motosikal pengembaraan terunggul yang merangkumi semangat kebebasan bermotosikal. BMW R 1300 GS Adventure Serba Baharu memastikan tiada destinasi yang terlalu jauh, dengan setiap penambahbaikan direka untuk memberikan pengalaman penunggangan yang sangat lancar dan selesa sejak dari awal perjalanan. Lebih daripada sekadar reka bentuk semula, model ini turut mewakili falsafah  ‘Heritage in Motion’, yang membuktikan kepakaran kami selama berdekad serta komitmen dalam menerajui inovasi dan kecemerlangan dalam penghasilan motosikal premium.” 


BMW R 1300 GS Adventure Serba Baharu mengangkat motosikal lagenda BMW GS Adventure ke tahap yang lebih tinggi. Dengan reka bentuk semula hampir sepenuhnya meliputi enjin, casis, rekaan badan, reka bentuk serta konsep penyimpanan, motosikal pengembaraan ini dibangunkan semula bagi memenuhi keperluan penunggang yang mendambakan kembara jarak jauh, terutamanya bersama penumpang belakang dan muatan tambahan. Sama ada menempuh laluan mencabar mahupun perjalanan jarak jauh, BMW R 1300 GS Adventure Serba Baharu menawarkan tahap keupayaan pengembaraan yang lebih unggul berbanding model terdahulu, menjamin pengalaman menunggang yang luar biasa merentasi pelbagai landskap dan jarak, sambil terus mengekalkan peranannya sebagai teman sejati bagi penunggang yang mencintai pengembaraan. 


BMW R 1300 GS Adventure
BMW R 1300 GS Adventure Serba Baharu di Malaysia Autoshow 2025

BMW R 1300 GS Adventure Serba Baharu: Era Baharu Kembara Jarak Jauh.

Enjin boxer dua silinder lagenda kini kembali menjadi nadi kepada BMW R 1300 GS Adventure Serba Baharu. Reka bentuk baharu ini jauh lebih kompak berbanding model terdahulu, hasil kedudukan transmisi di bawah enjin dan susunan baharu bagi pemacu aci sesondol (camshaft). Ia menjana 107 kW (145 hp) daripada enjin 1,300 cc pada 7,750 rpm, dengan tork maksimum 149 Nm pada 6,500 rpm – menjadikannya enjin boxer BMW paling berkuasa yang pernah dihasilkan secara bersiri setakat ini.


Teknologi BMW ShiftCam melengkapkan enjin boxer ini, memberikan prestasi dan kecekapan bahan api yang optimum serta tork yang cemerlang di seluruh julat putaran enjin. Sistem ekzos yang diperbuat sepenuhnya daripada keluli tahan karat ringan direka berasaskan prinsip 2-dalam-1, bagi memastikan pengeluaran kuasa dan tork yang optimum apabila digabungkan dengan teknologi BMW ShiftCam. Rekaan BMW R 1300 GS Adventure Serba Baharu menyerlahkan keteguhan, dengan roda jejari silang serta rim aluminium untuk prestasi di laluan mencabar (off-road) yang mantap. Tangki bahan api aluminium baharu berkapasiti 30 liter pula memberikan jarak perjalanan yang jauh untuk kembara jarak jauh.         

 

Sebagai sebahagian daripada Pakej Dynamik standard, BMW R 1300 GS Adventure Serba Baharu dilengkapi dengan Riding Modes Pro, sebagai tambahan kepada mod “Rain” dan “Road” untuk penyesuaian kepada keadaan jalan, “Eco” untuk kecekapan bahan api dan “Enduro” untuk pengembaraan di laluan mencabar. Ia turut menampilkan mod tambahan seperti “Dynamic”, “Dynamic Pro” dan “Enduro Pro”. Sistem brek sukan juga disertakan sebagai ciri standard pada model ini.


Turut menjadi sebahagian daripada Pakej Dynamic ialah Bantuan Penukaran Gear Automatik, yang membolehkan automasi klac dan penukaran gear bagi memberikan penunggangan yang lebih lancar dan responsif, tanpa menjejaskan sensasi yang hadir dalam setiap penukaran gear. Bantuan Penukaran Gear Automatik ditawarkan sebagai ciri standard untuk BMW R 1300 GS Adventure Serba Baharu dalam varian Style GS Trophy, Triple Black dan Option 719 Karakorum, manakala varian Racing Red dilengkapi Bantuan Penukaran Gear Pro sebagai standard. Sementara itu, Pakej Touring turut didatangkan secara standard untuk semua varian, merangkumi tongkat tengah, pancarongga bersalut krom, penyediaan peranti navigasi, cermin penghadang angin boleh laras secara elektrik, pemegang kotak atas dan kotak sisi aluminium, bertujuan mempertingkatkan pengalaman pengembaraan jarak jauh.   



Casis motosikal BMW R 1300 GS Adventure Serba Baharu juga telah direka bentuk semula sepenuhnya untuk meningkatkan kestabilan dan ketepatan pengendalian. Rangka utamanya kini menggunakan logam kepingan keluli yang dipadankan dengan rangka belakang tiub kekisi aluminium, memberikan struktur yang lebih kukuh. Tambahan lagi, sistem panduan roda hadapan EVO Telelever dan sistem panduan roda belakang EVO Paralever yang dipertingkatkan memastikan ketepatan stereng serta kestabilan penunggangan yang luar biasa, baik di atas jalan raya mahupun di laluan mencabar. Pelarasan dinamik bagi redaman hadapan dan belakang kini ditawarkan melalui Pelarasan Suspensi Dinamik yang baharu, memastikan tahap keselesaan, prestasi dan keselamatan BMW R 1300 GS Adventure Serba Baharu berada pada tahap optimum, sama ada apabila menunggang secara solo, bersama penumpang belakang, atau dengan muatan. Menerusi sistem kawalan ketinggian kenderaan adaptif sebagai ciri standard, BMW R 1300 GS Adventure Serba Baharu turut menawarkan pelarasan ketinggian motosikal secara automatik mengikut keadaan operasi, memastikan keselesaan tanpa menjejaskan dinamik penunggangan dan keupayaan mengambil selekoh dengan bebas. Tempat duduk yang direka untuk keselesaan penunggang dan penumpang belakang juga disediakan sebagai ciri standard bagi BMW R 1300 GS Adventure Serba Baharu.


Bagi meningkatkan keterlihatan di jalan raya, BMW R 1300 GS Adventure Serba Baharu dilengkapi lampu utama LED Matrix yang menawarkan pencahayaan optimum dalam semua keadaan. Lampu utama ini terdiri daripada satu unit LED tunggal untuk lampu tinggi dan rendah, bersama empat unit LED tambahan untuk lampu siang dan lampu sisi. Dengan Lampu Hadapan Pro sebagai ciri standard, lampu utama ini melaras pencahayaan secara dinamik, memastikan keselamatan tambahan ketika menunggang di jalan berliku mahupun laluan lasak. Melengkapkan sistem pencahayaan ini adalah dua lampu tambahan LED ultra-rendah yang direka agar bersatu sempurna dengan rekaan badan motosikal. Sementara itu, lampu isyarat LED yang direka semula kini turut diintegrasikan ke dalam pelindung tangan di bahagian hadapan dan berfungsi penuh di bahagian belakang.


Keselamatan dan Ketersambungan Canggih untuk Setiap Pengembaraan.

Bagi memastikan aspek keselamatan sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap pengembaraan, BMW R 1300 GS Adventure Serba Baharu didatangkan dengan pelbagai ciri keselamatan canggih sebagai standard. Antaranya termasuklah Kawalan Cengkaman Dinamik, Kawalan Tork Seretan Enjin, Kawalan Brek Dinamik serta Kawalan Permulaan Curam. Sistem ABS Pro Integral Penuh turut disediakan sebagai ciri standard, menawarkan prestasi membrek yang responsif dan lancar dalam semua situasi penunggangan. Sebagai pelengkap, sistem Bantuan Penunggangan turut menampilkan ciri Kawalan Penunggangan Aktif, Amaran Perlanggaran Hadapan, Amaran Pertukaran Lorong, serta Amaran Perlanggaran Belakang.


Daripada segi ketersambungan, BMW R 1300 GS Adventure Serba Baharu dilengkapi paparan TFT berwarna penuh bersaiz 6.5 inci, yang memaparkan dengan jelas maklumat masa nyata seperti kelajuan, tahap bahan api, mod tunggangan dan banyak lagi. Turut ditawarkan adalah paparan tambahan “Sport” yang memaparkan maklumat seperti sudut condongan, daya cengkaman, kelakuan membrek, serta takometer sport dengan penunjuk gear, untuk membolehkan penunggang menilai dinamik tunggangan mereka secara visual. Ciri ini menterjemahkan pengalaman menunggang secara fizikal kepada bentuk visual yang meningkatkan hubungan antara penunggang dengan prestasi motosikal.


Selain itu, aplikasi BMW Motorrad Connected boleh diintegrasikan secara terus dengan paparan ini, membolehkan penunggang mengakses status motorsikal, navigasi dan data prestasi daripada telefon pintar sekaligus menjadikan setiap perjalanan lebih pintar dan sentiasa terhubung. Paparan intuitif ini boleh dikendalikan dengan mudah melalui pengawal pelbagai fungsi BMW Motorrad, memberikan akses pantas kepada semua fungsi penting. Ciri standard lain yang turut melengkapi BMW R 1300 GS Adventure Serba Baharu termasuklah Kawalan Tekanan Tayar, pemanas pada pemegang, sistem Tunggangan Tanpa Kunci, serta ruang pengecasan telefon pintar dengan soket USB dan soket kuasa atas papan 12V.



Ekspresi Gaya Terunggul: Varian Warna Premium untuk Setiap Penunggang Pengembaraan.

BMW R 1300 GS Adventure Serba Baharu tampil dengan empat varian warna menarik: Racing Red, Triple Black, GS Trophy, dan Option 719 Karakorum.


Disaluti kemasan warna Racing Red, BMW R 1300 GS Adventure Serba Baharu memperlihatkan gaya atletik dan dinamik menerusi tangki berwarna perak, tempat duduk dua tona hitam dan merah, serta pelindung tangan yang dilengkapi sambungan berwarna merah. Palang hendal hitam dan rim jejari silang berwarna emas menyerlahkan kontra, membangkitkan semangat penunggang untuk menjalani pengembaraan seterusnya dengan gaya yang berani dan estetik.


Sementara itu, varian Triple Black mengetengahkan sentuhan yang lebih elegan dengan rim jejari silang berwarna hitam serta tangki bahan api dalam kemasan aluminium berus yang disaluti lapisan jernih gelap. Panel sisi atas, penutup tengah tangki, dan penutup ruang simpanan pula hadir dalam warna Blackstorm metalik, diserikan lagi dengan palang hendal anod hitam. Tempat duduk penunggang dan penumpang belakang pula tampil dalam gabungan warna hitam dan kelabu.


Untuk mereka yang menginginkan penampilan yang lebih sporty dan lasak, varian Style GS Trophy hadir dalam warna Racing Blue metalik, dihiasi jalur Light White dan Racing Red. Beberapa komponen motosikal ini dikemaskan dengan salutan serbuk bertekstur dalam warna Avus Black metalik matte, manakala sambungan pelindung tangan berwarna merah dipadankan dengan palang pelindung enjin keluli tahan karat dan rim jejari silang berwarna emas, memberikan penampilan yang memukau. Ciri seperti cermin angin sport, pemegang penumpang belakang sport, dan rak tangki aluminium menyerlahkan karakter lasak motosikal ini. Penutup radiator bersaiz besar serta rak tangki aluminium yang kukuh menyediakan tempat pemasangan yang kuat, menjadikan varian ini ideal bagi penunggang yang ingin membawa pengembaraan mereka ke tahap yang lebih mencabar.


Sementara itu, varian Option 719 Karakorum menyerlah dengan warna eksklusif Aurelius Green metalik matte. Palang hendal dan rim roda anod emas, bersama logo “Opt. 719” pada penutup tangki, memberikan sentuhan kemewahan. Manakala, tempat duduk selesa berwarna hitam/kelabu dengan aksen emas menambah ciri premium pada motosikal ini. Garisan emas pada reka bentuk meningkatkan keanggunan penampilan, dengan logo "Opt. 719" yang tersemat pada penutup tangki. Komponen anod emas seperti rim dan palang hendal menjadi elemen utama dalam reka bentuk yang menarik perhatian. Palang pelindung enjin pula disalut dengan warna hitam, manakala sambungan pelindung tangan hadir dalam warna kelabu. Varian ini turut dilengkapi dengan penutup radiator aluminium bersaiz kecil, serta jeriji pelindung pada lampu tambahan. Dua tempat duduk selesa berwarna hitam/kelabu yang boleh dipanaskan, rak bagasi, serta cermin angin sport bersaiz kecil melengkapkan gaya dan fungsinya. Tempat duduk penunggang yang selesa dan fungsi pemanas tempat duduk disediakan sebagai ciri standard untuk semua varian, memberikan keselesaan maksimum dalam perjalanan jauh dan tunggangan harian.




Comments


KERETA TERKINI

ADVERTISEMENT

ADVERTISEMENT

bottom of page