Honda Malaysia Mengalu-alukan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Baru, Encik Narushi Yazaki
- Panduman

- 7 Apr 2025
- 1 min membaca

Honda Malaysia Sdn. Bhd. (atau Syarikat) hari ini mengumumkan pelantikan Encik Narushi Yazaki sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif yang baru, berkuat kuasa mulai 1 April 2025. Encik Narushi Yazaki menggantikan Encik Hironobu Yoshimura, yang telah menerajui syarikat ini dengan cemerlang sepanjang tiga tahun lalu.
Encik Yazaki mempunyai lebih 25 tahun pengalaman luas bersama Honda, dengan memegang pelbagai jawatan kepimpinan penting di beberapa negara termasuk Jepun, Thailand dan Amerika Syarikat. Sebelum menyandang jawatan baharunya di Honda Malaysia, beliau berkhidmat dalam Operasi Pentadbiran Korporat di Honda Motor Co., Ltd., Tokyo, Jepun.
Meluahkan keterujaannya terhadap peranan baharu ini, Encik Yazaki berkata,“Saya berasa amat berbesar hati diberi tanggungjawab ini di Honda Malaysia, sebuah pasaran yang terkenal dengan pertumbuhan dinamik serta sumbangan besar kepada jenama Honda di rantau Asia dan Oceania. Saya berhasrat untuk meneruskan asas kukuh yang telah dibina oleh pendahulu saya dan terus memacu pertumbuhan serta kejayaan Honda Malaysia di pasaran yang pesat membangun ini.”
Encik Yoshimura, bekas Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, kini menyandang peranan baharu di ibu pejabat Honda, Honda Motor Co., Ltd., Tokyo, berkuat kuasa mulai 1 April 2025. Beliau memainkan peranan penting dalam mengekalkan kedudukan peneraju Honda Malaysia dalam segmen Kenderaan Penumpang Bukan Nasional selama 11 tahun berturut-turut, dan berjaya mengemudi syarikat ini melalui fasa pasca pandemik yang mencabar.
Honda Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Encik Yoshimura atas dedikasi dan kepimpinannya yang telah menjadi asas kepada kejayaan berterusan syarikat.




















Komen