Hab Pemasangan Tempatan Dan Pembuatan Di Malaysia Bagi Memperkukuhkan Kedudukan Jetour Di Asean
- Anna Chong

- 28 Jul
- 3 min membaca

JETOUR Auto Malaysia secara rasminya telah memulakan operasi pemasangan tempatan untuk model SUV, JETOUR Dashing dan VT9, di fasiliti pemasangan Berjaya Assembly Sdn. Bhd. (B-Assembly) di Tampoi, Johor Bahru. Pencapaian ini menandakan langkah penting dalam strategi pengeluaran tempatan JETOUR sambil mengukuhkan komitmen jangka panjang jenama ini untuk pasaran automotif Malaysia.

Operasi pemasangan tempatan ini dijalankan di fasiliti sedia ada B-Assembly seluas 640,000 kaki persegi, disokong oleh seramai lebih 100 orang tenaga kerja yang berdedikasi menjadikan Malaysia sebagai hab strategik untuk pembuatan dan pengedaran bagi rantau ASEAN. Inisiatif ini turut menyokong aspirasi negara dalam sektor automotif dengan meningkatkan pemerolehan tempatan, mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran,serta memperkukuhkan integrasi dalam rantaian bekalan tempatan.
“Pencapaian penting ini mencerminkan keyakinan kukuh kami terhadap Malaysia sebagai pasaran strategik untuk JETOUR. Pemasangan tempatan bagi model Dashing dan VT9 bukan sahaja hanya satu kemajuan dari segi pengeluaran, malah merupakan pelaburan besar dalam bakat, inovasi, dan potensi mobiliti di rantau ini pada masa akan datang,” ujar Encik Wen Qiangkang, Naib Presiden JETOUR International.

Menurut Encik Fu Yong, Ketua Pegawai Eksekutif JETOUR Malaysia, “Dengan pelancaran pembuatan tempatan, kami berbangga dapat menawarkan kenderaan berkualiti tinggi yang dipasang di Malaysia, sejajar dengan komitmen berterusan kami terhadap kualiti, inovasi, dan kepuasan pelanggan. Kerjasama dengan B-Assembly ini turut membina asas kukuh bagi strategi peluasan JETOUR ke seluruh rantau ASEAN.”
Sejak pelancaran rasmi barisan produk pertama di Malaysia pada tahun 2025, JETOUR telah berkembang pesat dengan lebih daripada 20 cawangan di seluruh negara. Pemasangan tempatan ini menandakan detik penting dalam usaha mempercepatkan usaha pemerolehan tempatan untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat, mempercepatkan masa penghantaran, serta meningkatkan kepuasan pelanggan menerusi penawaran nilai tambah kepada pengguna di Malaysia.

B-Assembly, anak syarikat milik penuh Berjaya Assets Berhad, berperanan sebagai rakan pemasangan tempatan JETOUR. Fasiliti yang sedia ada ini dilengkapi dengan sistem berkeupayaan Industri 4.0, mencerminkan komitmen bersama kedua-dua syarikat terhadap piawaian pembuatan bertaraf tinggi, kecekapan operasi, serta penyelesaian mobiliti yang mampan.
“Kami berbangga menjadi rakan pemasangan tempatan untuk JETOUR di Malaysia. Kerjasama ini menunjukkan keyakinan bersama kami terhadap masa depan sektor automotif negara serta komitmen kami untuk menyumbang kepada pembangunan industri nasional,” kata Dato’ Tony Khor, Penasihat B-Assembly.

Pada masa ini, fasiliti tersebut memberi tumpuan kepada pemasangan model JETOUR Dashing dan VT9 — dua model utama yang telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengguna di Malaysia. Model Dashing direka untuk gaya hidup urban dengan rekaan fastback dan ciri pintar, manakala VT9 pula disasarkan untuk kegunaan seisi keluarga dan perjalanan jarak jauh dengan susun atur 7-tempat duduk yang luas serta teknologi kemudahan pintar. Setakat ini, lebih 1,000 unit telah dihasilkan di fasiliti tersebut, dengan penghantaran JETOUR Dashing pemasangan tempatan bermula pada Jun 2025, diikuti oleh model VT9 tidak lama kemudian.
Pada masa hadapan, JETOUR kini dalam perancangan untuk melabur sekitar RM1.4 bilion di Malaysia bagi menyokong pelancaran lebih banyak model pemasangan tempatan, dan turut merancang pengeluaran eksport ke negara-negara jiran di rantau ASEAN. Di samping itu, JETOUR turut bakal memperkenalkan beberapa lagi model Baharu yang akan dipasang di Malaysia dan mempercepatkan usahanya untuk menembusi pasaran ASEAN dalam masa terdekat ini.




















Komen