Perodua perkenal QV-E, kenderaan elektrik buatan pertama Malaysia
- Anna Chong

- 1 Dis
- 3 min membaca

Perodua memperkenalkan kenderaan elektrik (EV) pertamanya yang dikenali sebagai QV-E pada harga RM80,000 (harga runcit tidak termasuk insurans dan bateri) sebagai sebahagian daripada agenda nasional negara dalam membangunkan ekosistem EV yang mampan.

QV-E, yang bermaksud ‘Quest for Visionary-Electric’ menelan kos pembangunan sebanyak RM800 juta dan dikeluarkan di kemudahan pengilangan terbaharu Perodua iaitu Smart Mobility Plant.
“Pada masa ini, kami boleh mengeluarkan 500 unit kenderaan sebulan, tetapi kami akan menawarkan 3,000 unit kenderaan sebulan menjelang suku ketiga tahun 2026,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.


QV-E menggunakan bateri Lithium Iron Phosphate (52.5kW) dan mempunyai kapasiti julat sehingga 445 kilometer (NEDC), bergantung kepada cara pemanduan, suhu dan keadaan jalan.
Model ini juga dilengkapi dengan ciri keselamatan terkini termasuklah sistem pengesanan dan amaran kanak-kanak (Child Presence Detection).
Sistem ini akan mengingatkan pemandu sekiranya ada kanak-kanak ataupun binatang peliharaan yang tertinggal di dalam kereta kerana ia boleh mengesan pergerakan serta tanda vital (seperti bunyi nafas) di bahagian tempat duduk belakang.
Sistem itu juga boleh mengesan pergerakan walaupun dilitupi oleh selimut atau fabrik lain.
(Gambaran bagaimana sistem ini berfungsi dilampirkan bersama-sama dengan siaran media ini).

“Kesemua ciri yang terdapat pada QV-E dicipta dengan mengambil kira fungsi terkini, aspek keselamatan yang lebih canggih serta keselesaan pengguna berdasarkan kajian terperinci yang dijalankan oleh Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan kami.
“Makanya, terhasillah model QV-E ini yang menjadi bukti kerjasama rakyat Malaysia dalam mencipta sesuatu yang unik, daripada reka bentuk hinggalah kepada aspek kejuruteraan, QV-E menawarkan manfaat buat semua,” kata Dato’ Sri Zainal.

Di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 1 September 2023, Perodua dilantik sebagai juara dan peneraju pengeluar automotif tempatan untuk membangunkan ekosistem EV.
Perodua menjalin kerjasama secara agresif dengan vendor tempatan untuk membekalkan 50% komponen menjelang awal tahun 2026 dan meningkatkannya kepada 70% menjelang 2030.

Sehingga kini, sejumlah 52 syarikat tempatan menjadi pembekal komponen auto untuk QV-E dan syarikat kenderaan kompak itu merancang untuk meningkatkan jumlah berkenaan kepada 70 vendor dalam tempoh 5 tahun (menjelang 2030).
Menerusi sokongan penuh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta disokong oleh pelbagai kementerian dan agensi kerajaan berkaitan, Perodua berjaya mengeluarkan kenderaan elektriknya dalam tempoh 28 bulan.
“Sokongan yang diberikan oleh pihak kerajaan amat penting dalam merevolusikan ekosistem EV di negara ini yang turut mengambil kira aspek kualiti, ketahanan dan pembaharuan dalam teknologi digital,” kata Dato’ Sri Zainal.

Sasaran pembeli utama untuk QV-E adalah golongan pertengahan serta mereka yang mencari kereta kedua atau kereta gantian untuk kegunaan harian ataupun kegunaan santai pada hujung minggu.
Perodua turut memperkenalkan konsep pajakan bateri yang dikenali sebagai ‘Battery as a Service’ yang mana ia dijual secara berasingan dengan kereta.
“Konsep ini menawarkan penyelesaian terhadap kebimbangan pemilik EV. Dengan adanya perkhidmatan ini, kami mampu menawarkan jaminan bateri sepanjang hayat kepada pelanggan kami demi ketenangan minda mereka,” kata Dato’ Sri Zainal.
QV-E didatangkan dalam dua warna iaitu ‘Ice Blue’ dan ‘Caviar Grey’ dan hanya boleh didapati di cawangan Perodua terpilih sahaja. (Senarai cawangan dilampirkan bersama-sama dengan siaran media ini).
Senarai penuh mengenai spesifikasi kenderaan dan penjelasan lanjut berhubung pajakan bateri boleh didapati bersama-sama dengan siaran media ini.




















Komen