Prestasi kukuh Honda Malaysia pada 2025 menandakan pencapaian luar biasa sebagai jenama nombor satu dalam Non-National Passenger Vehicle Segment 12 tahun berturut-turut
- Anna Chong

- 5 jam lalu
- 4 min membaca

Honda Malaysia (atau Syarikat) hari ini mengumumkan prestasi jualan bagi tahun 2025 dengan jumlah sebanyak 72,301 unit terjual, mewakili pegangan pasaran sebanyak 8.8%. Syarikat turut mengekalkan kedudukan sebagai jenama nombor satu dalam Non-National Passenger Vehicle Segment untuk tahun ke-12 berturut-turut. Prestasi jualan yang memberangsangkan ini didorong oleh portfolio produk yang seimbang, permintaan kukuh terhadap teknologi hibrid, serta kepercayaan berterusan daripada para pelanggan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Encik Narushi Yazaki berkata, “Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para pelanggan atas keyakinan berterusan dan kepercayaan tidak berbelah bahagi mereka terhadap jenama Honda, yang menjadi inspirasi kepada kami untuk terus meningkatkan penanda aras. Kami juga merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak berkepentingan atas sokongan padu yang diberikan selama ini, serta kepada Kerajaan Malaysia atas sokongan berterusan terhadap inisiatif kelestarian dan elektrifikasi kami. Prestasi kukuh pada tahun 2025 telah mengukuhkan lagi keyakinan kami terhadap hala tuju produk Honda serta memperteguh komitmen kami dalam menyediakan penyelesaian elektrifikasi yang praktikal.”
Beliau menambah, “Sempena memperingati 21 tahun (2004–2025) sejak pengenalan teknologi hibrid kami, usaha untuk memperkukuh kehadiran model hibrid Honda merentasi segmen utama kekal sebagai keutamaan. Melalui pengintegrasian teknologi hibrid termaju, kami berhasrat untuk menawarkan pengalaman pemanduan yang menyeronokkan dan memuaskan kepada setiap pelanggan. Kami kekal komited untuk memacu pertumbuhan jangka panjang serta menyokong masa depan yang lebih lestari bagi jenama Honda.”

Honda Malaysia terus kekal sebagai pilihan yang diyakini dan dipercayai oleh rakyat Malaysia di tengah-tengah persaingan pasaran yang semakin sengit serta jangkaan pelanggan yang kian berkembang. Keyakinan ini dizahirkan melalui permintaan yang konsisten merentasi segmen sedan dan SUV utama. Menerajui prestasi jualan syarikat ialah model HR-V, City dan CR-V, yang masing-masing menyumbang 25%, 24% dan 15% daripada jumlah keseluruhan jualan.
Syarikat juga mencatatkan sumbangan yang signifikan daripada varian e:HEV, dengan model HR-V dan CR-V masing-masing menyumbang lebih daripada 30% daripada jumlah jualan hibrid, menjadikannya pilihan popular dalam kalangan pelanggan merentasi rangkaian model Honda. Populariti berterusan model-model Honda ini seterusnya mengukuhkan kedudukan unik Syarikat dalam pasaran.

Hubungan kukuh ini dengan pelanggan merupakan bukti komitmen Honda Malaysia untuk berkhidmat kepada rakyat melalui produk dan perkhidmatan berkualiti tinggi, satu janji jangka panjang yang telah dipertahankan oleh Syarikat sepanjang 25 tahun perjalanannya bersama rakyat Malaysia. Pada Oktober 2025, Honda Malaysia meraikan ulang tahun ke-25 dengan pelancaran kempen “Because of You”, yang menampilkan cabutan bertuah selama tiga bulan untuk menghargai pelanggan atas sokongan mereka sepanjang perjalanan suku abad ini. Empat pemenang bertuah pertama telah diumumkan tahun lalu, dan hari ini, Syarikat mendedahkan dua pemenang terakhir bagi Disember 2025, yang membawa pulang sebuah City 1.5L RS dan sebuah HR-V 1.5L T V.

Encik Cheah Wei Kong dari Selangor menyertai cabutan bertuah selepas membeli e:N1. Beliau begitu gembira apabila mengetahui bahawa beliau merupakan salah seorang pemenang kempen “Because of You” Honda Malaysia. Beliau berkata, “Apabila kenderaan elektrik mula mendapat perhatian, saya tidak pasti sama ada ia dapat memenuhi keperluan saya dari segi praktikaliti, keselamatan dan kemudahan pemanduan. Tetapi saya memutuskan untuk mencuba e:N1 kerana Honda telah membuktikan dirinya sebagai jenama yang boleh dipercayai dan kukuh, sentiasa menunjukkan kestabilan sejak penubuhannya di Malaysia. Selepas pandu uji, saya terus jatuh cinta dengan EV Honda ini. Saya kagum dengan betapa mesra dan mudahnya ia dikendalikan. Peralihan ke kenderaan elektrik adalah lancar dan semula jadi, sama seperti memandu kereta petrol. Saya menggalakkan sesiapa yang masih ragu-ragu untuk mencuba pandu uji, dan mereka akan memahami betapa praktikal dan menyeronokkannya EV ini. Yang lebih membahagiakan, ia juga menjadi tuah saya, membantu saya memenangi sebuah City RS! Ini benar-benar merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan bersama Honda.”

Mencerminkan rasa kepercayaan dan kepuasan yang serupa, pemenang bertuah yang lain, Encik Muhammad Syabilbin Muzafar dari Perak, berkongsi bagaimana beliau memulakan perjalanannya dengan jenama Honda. Beliau menyertai pertandingan ini selepas membeli sebuah Civic 1.5L V. Beliau berkata,
“Saya sedang mencari kereta yang dinamik dan sporty, yang dapat memenuhi keperluan harian saya sambil mencerminkan personaliti saya. Civic terus menarik perhatian saya dengan reka bentuknya yang menonjol, dan pengalaman prestasi padu serta pengendalian lancarnya mengesahkan bahawa ia adalah kereta yang sempurna untuk saya. Honda telah berada di negara ini lebih lama daripada yang saya ingat, dan reputasi jenama yang kukuh dari segi kebolehpercayaan serta sokongan pelanggan memberi saya keyakinan untuk memilih Honda. Memenangi HR-V di atas itu semua terasa sungguh luar biasa. Dengan kedua-dua model Honda ini, saya kini mempunyai gabungan yang sempurna untuk kegunaan harian serta pengembaraan hujung minggu bersama rakan dan keluarga.”

Honda Malaysia menutup tahun 2025 dengan prestasi perniagaan yang kukuh, permintaan yang tinggi bagi barisan model semasa, serta hubungan yang diperkukuh bersama pelanggannya. Ini mewakili asas yang mantap, dibina atas kepercayaan, keyakinan terhadap teknologi Honda, dan kecemerlangan yang konsisten. Dipandu oleh Challenging Spirit, Syarikat yakin dan bersedia sepenuhnya untuk melangkah ke fasa pertumbuhan seterusnya.




















Komen