PRO-NET Raih Anugerah CMO Malaysia 2024
- Anna Chong
- 27 Mei
- 3 min membaca

Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET) dengan bangganya mengumumkan bahawa Ketua Pegawai Penjenamaan kami, Puan Salawati Mohd Yusoff, telah menerima pengiktirafan menerusi Anugerah CMO Malaysia 2024 yang dianjurkan oleh MARKETING Magazine Asia. Anugerah berprestij ini diberikan kepada pemimpin pemasaran yang bukan sahaja membina jenama, tetapi turut memainkan peranan penting dalam pertumbuhan, transformasi, dan hala tuju strategik jangka panjang sesebuah organisasi.

“Saya dengan rasa rendah hati menerima pengiktirafan ini,” kongsi Puan Salawati. “Penjenamaan bukan sekadar logo atau slogan. Ia tentang membina hubungan yang erat dan bermakna kepada orang ramai. Saya berterima kasih kerana diberi peluang dalam membentuk pengalaman rakyat Malaysia terhadap jenama kami, dan saya juga amat bertuah kerana dikelilingi oleh pasukan yang penuh semangat dan komited terhadap visi yang sama.”
Dari Visi ke Realiti: Menggerakkan Perjalanan Jenama PRO-NET
Kejayaan PRO-NET datang daripada hala tuju yang jelas dengan cara berkomunikasi dengan rakyat Malaysia mengenai masa depan mobiliti. PRO-NET sentiasa konsisten dalam menyampaikan mesej, meletakkan pelanggan sebagai keutamaan dan membina kepercayaan melalui inovasi. Hasilnya, rakyat semakin mengenali dan merasai pengalaman bersama dua jenama utama kami iaitu smart Malaysia dan Proton e.MAS dengan lebih dekat dan meyakinkan.

smart Malaysia semakin dikenali dalam segmen kenderaan elektrik premium. Model smart #1 tersenarai antara tiga teratas SUV elektrik dengan harga melebihi RM180,000, manakala smart #3 mendapat pujian pengiktirafan dalam industri. Antara anugerah yang diterima termasuk EV Kompak Premium Terbaik di Car of the Year (COTY) 2024, Crossover atau SUV Elektrik Mewah Pacuan Empat Roda Kompak Terbaik oleh Anugerah Editor's Choice Star Carsifu, serta dua pengiktirafan daripada MARii iaitu Kereta Terbaik dan Crossover Terbaik (Bawah RM200,000).
Selain pengiktirafan di peringkat tempatan, pencapaian PRO-NET turut mendapat perhatian di pentas antarabangsa. PRO-NET telah dianugerahkan Best Overseas Pioneer Partner oleh smart Automobile, satu pencapaian yang membanggakan dan mencerminkan komitmen PRO-NET dalam membina kehadiran jenama smart di Asia Tenggara sambil mengekalkan standard tinggi dalam prestasi, kerjasama dan kemahiran profesional.

Model EV No. 1 Malaysia!
Proton e.MAS dengan pantas menjadi simbol kebanggaan rakyat dan kemajuan negara dalam era kenderaan elektrik. Sejak dilancarkan secara rasmi oleh YAB Perdana Menteri Malaysia pada 16 Disember 2024, Proton e.MAS 7 berjaya menambat hati rakyat dan terus mencatat kejayaan sebagai model kenderaan elektrik paling laris di Malaysia dalam masa yang singkat.
Dalam tempoh hanya 75 hari selepas pelancarannya, lebih 1,000 unit telah berjaya dihantar kepada pelanggan. Sehingga hari ini, lebih 2,700 unit e.MAS 7 telah diserahkan kepada pelanggan di seluruh negara. Dengan penguasaan 26% daripada keseluruhan pasaran EV di Malaysia, Proton e.MAS 7 terus mengekalkan kedudukannya sebagai kenderaan elektrik nombor satu di negara ini selama empat bulan berturut-turut.

Mengulas mengenai pengiktirafan tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Encik Zhang Qiang berkata, "Pengiktirafan ini merupakan detik yang membanggakan buat kami di PRO-NET. Dedikasi dan kepimpinan beliau telah memainkan peranan penting dalam membentuk cara rakyat Malaysia melihat dan menerima jenama kami hari ini. Dalam usaha kami untuk terus berkembang dan menerajui industri EV, pencapaian ini mengingatkan kami bahawa membina jenama yang kukuh adalah satu perjalanan yang melibatkan seluruh pasukan."
Pencapaian ini terus mengukuhkan PRO-NET sebagai peneraju yang komited dalam memacu perkembangan kenderaan elektrik di Malaysia. Ia menunjukkan bagaimana PRO-NET terus berusaha menghubungkan rakyat dan mempercepatkan langkah negara menuju masa depan automotif yang lebih mesra alam dan lestari.
Anugerah CMO Malaysia adalah platform yang mengiktiraf para pemasar yang bukan sahaja sebagai penjaga jenama, tetapi juga sebagai pemacu kejayaan perniagaan.
Comentarios