top of page

Proton e.MAS 7 Menjelajah Sejauh 10,432km Merentasi 9 Buah Negara ASEAN, Membuktikan Ketahanan EV dan Keselamatan Bateri

  • Writer: Anna Chong
    Anna Chong
  • 29 Mei
  • 4 min membaca

Updated: 7 hari lalu

Proton e.MAS 7

Proton e.MAS 7 telah berjaya menamatkan perjalanan bersejarah sejauh 10,432km merentasi sembilan buah negara ASEAN sebagai sebahagian daripada perjalanan ASEAN Unity Drive 2025, satu inisiatif jelajah serantau yang dianjurkan oleh Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii). Misi selama 22 hari ini bukan sahaja tamat tanpa sebarang insiden, tetapi turut membawa pulang semua pemandu dengan selamat, membuktikan ketahanan dan kebolehpercayaan kenderaan elektrik kebanggaan negara di pelbagai kondisi jalan dan cuaca negara serantau.


Proton e.MAS 7, model EV nombor satu di Malaysia, telah membuktikan prestasinya merentasi sempadan dengan memandu melalui Vietnam, Laos, Kemboja, Thailand, Filipina, Malaysia Timur (Sarawak & Sabah), Brunei, Indonesia dan Singapura sebelum kembali ke tanah air.


Proton e.MAS 7

Proton e.MAS 7 melepasi sasaran awal yang ditetapkan pada 9,000 kilometer dan berjaya menambah lebih 1,400 kilometer lagi dalam perjalanan kali ini. Sepanjang cabaran merentas pelbagai negara ini, ia membuktikan ketahanan yang hebat, prestasi yang boleh dipercayai, dan keselamatan bateri yang terjamin. Kejayaan ini mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai model EV pilihan utama Malaysia serta menjadi contoh terbaik bagi mobiliti elektrik di rantau ini.


“Memandu lebih 10,000 kilometer merentasi sembilan buah negara tanpa sebarang masalah bateri memang satu pencapaian yang sangat membanggakan,” kata Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET. “Saya ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua yang terlibat dalam projek Proton e.MAS 7. Kejayaan ini adalah hasil usaha bersama kita semua.”


Proton e.MAS 7

Meneroka Sempadan dan Mengharungi Cabaran, Proton e.MAS 7 Terus Melangkah Maju Kehadapan

Menerjah panas terik dan kelembapan tinggi yang tidak asing di Asia Tenggara, Proton e.MAS 7 mengharungi pelbagai jenis jalan dan cuaca yang melanda rantau ini. Sistem bateri yang cekap tinggi mampu menempuh perjalanan jauh setiap hari tanpa sebarang penurunan prestasi atau keselamatan, memberi keyakinan besar kepada bakal pengguna EV di seluruh kawasan ini. Perjalanan ini memang mencabar, itu sememangnya pasti.


“Semasa dalam perjalanan, ada beberapa laluan yang mencabar disebabkan keadaan jalan yang teruk, dan ada juga laluan yang jauh dari tempat pengecasan,” kenang Mohd Adib bin Mohd Azam mengenai pengalamannya. “Kami pernah sampai ke satu situasi di mana jarak ke stesen pengecas lebih jauh daripada baki jarak perjalanan kereta. Jadi kami berhenti di sebuah kedai kopi dan menggunakan pengecas mudah alih untuk tambah bateri supaya boleh sampai ke stesen pengecas tersebut.”


Proton e.MAS 7

Muhammad Taufiq bin Mohd. Zin turut berkongsi pengalamannya ketika memandu: “Kami memang menjangkakan perjalanan dari Laos ke Kemboja akan menjadi mencabar kerana stesen pengecas seterusnya dari Pakse ke Krong Kracheh berjarak sejauh 356 kilometer. Walaupun jarak itu masih dalam kemampuan kenderaan, tetap ada rasa risau jika tidak cukup bateri. Keadaan jalan dan pemanduan pula sentiasa berubah, itu yang buatkan perjalanan ini lebih mencabar.”


Sepanjang perjalanan merentasi sembilan buah negara, mencari stesen pengecas bukanlah sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi di kawasan luar bandar seperti di Laos. Pasukan terpaksa bergantung kepada aplikasi tempatan dan mencari lokasi pengecas terdekat. Wan Kok Chai berkongsi pengalamannya: “Memang ada masa kami terpaksa bergantung pada sumber tenaga rumah penduduk. Di Laos contohnya, apabila stesen pengecasan sukar untuk dicari atau tak beroperasi pada waktu yang diperlukan, kami menggunakan pengecas mudah alih yang disambungkan terus ke soket rumah. Mujur penduduk setempat sangat membantu.”


Proton e.MAS 7

“Bila perjalanan jauh, kami perlu rancang dengan teliti, berhenti semalaman dan cas penuh untuk sambung pemanduan hari esoknya. Situasi ini berlaku agak kerap, disebabkan hampir setiap hari kami pandu jarak jauh tanpa henti selama berminggu-minggu,” kata Peter Hugh Davis, pelakon dan atlet seni mempertahankan diri campuran yang turut serta dalam pemanduan ini.


Wartawan automotif berpengalaman Yamin Vong berkongsi pengalamannya bersama Proton e.MAS 7. “Sebagai sebuah EV, saya sangat teruja bila e.MAS benar-benar mencapai jarak 430km seperti yang dijanjikan ketika kami memulakan pemanduan dari Kota Kinabalu ke Bandar Seri Begawan di Brunei. Laluan ini termasuk jalan mencabar dari Papar ke sempadan Sipitang, sebahagian daripada Lebuhraya Pan Borneo yang masih dalam pembinaan. Keadaannya seperti zon perang, penuh dengan lubang besar dan jalan berbatu. Tetapi e.MAS 7 mengharungi semuanya dengan lancar. Ketika hujan lebat melanda kawasan Beaufort yang terkenal dengan banjir, kenderaan ini masih stabil dan selamat. Sebagai seseorang yang kurang yakin untuk beralih kepada EV, pengalaman ini benar-benar membuka mata saya. e.MAS bukan sekadar EV, ia benar-benar meyakinkan dan beri keyakinan untuk saya mempertimbangkannya sebagai pilihan EV masa depan.”


Proton e.MAS 7

Satu Perjalanan yang Menyatukan ASEAN

Setiap kilometer, setiap cas, Proton e.MAS 7 membawa semangat Malaysia merentasi sempadan, menghubungkan jalan dengan jalan, bandar dengan bandar, dan yang paling penting menyatukan insan serta budaya. Kini, perjalanannya membawa makna yang lebih besar apabila ia dipilih sebagai kenderaan rasmi Sidang Kemuncak ASEAN 2025, sekali lagi membuktikan peranan Malaysia dalam menggerakkan rantau ini ke hadapan.

 

Sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN 2025 yang baru sahaja melabuhkan tirai, Malaysia telah menyambut kehadiran para pemimpin dan delegasi dari seluruh Asia Tenggara, dan Proton e.MAS 7 memainkan peranan penting dalam urusan pengangkutan rasmi. Kehadirannya sepanjang sidang kemuncak menjadi lambang kukuh kepada kemajuan mobiliti elektriknegara serta komitmen kita terhadap mobiliti masa depan yang lestari dan berpandangan jauh.


Dari Pakse hingga ke Putrajaya, Proton e.MAS 7 bukan sekadar sebuah kenderaan EV Nasional, malah ia mencerminkan semangat, daya tahan dan aspirasi Malaysia untuk memimpin ke arah baharu mobiliti lestari masa depan.


Saksikan video menarik sepanjang perjalanan ASEAN Unity Drive di sini:



Comments


KERETA TERKINI

ADVERTISEMENT

ADVERTISEMENT

bottom of page