Aveta Elite Centre Dibuka di Shah Alam, Nova 250 G Elite Edition Terhad Kepada 128 Unit

Aveta Malaysia terus memperkukuh kehadirannya dalam industri motosikal tempatan dengan merasmikan pembukaan G Elite Motor – Aveta Elite Centre di Shah Alam, Selangor. Pembukaan ini menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha memperluas rangkaian pengedar Aveta, sekali gus meningkatkan akses pelanggan kepada produk serta perkhidmatan jenama tersebut di seluruh Malaysia.

Aveta Elite Centre yang baharu ini menawarkan kemudahan lengkap merangkumi ruang pameran motosikal, pusat servis dan bekalan alat ganti di satu lokasi. Melalui kemudahan bersepadu ini, pelanggan dapat melihat dengan lebih dekat barisan motosikal Aveta, selain menikmati akses yang lebih mudah kepada perkhidmatan selepas jualan dan sokongan sepanjang tempoh pemilikan.
Majlis perasmian tersebut turut menjadi platform pelancaran Aveta Nova 250 G Elite Edition, sebuah model edisi khas yang hanya boleh didapati melalui G Elite dengan pengeluaran terhad sebanyak 128 unit. Edisi ini hadir dengan pilihan warna eksklusif, grafik tersendiri serta nombor siri individu yang memberikan identiti unik kepada setiap unit. Ditawarkan pada harga RM14,888, tidak termasuk cukai jalan dan insurans, model ini menjadi pilihan alternatif kepada penunggang yang mahukan sesuatu yang berbeza daripada Nova 250 standard.
Kehadiran Nova 250 G Elite Edition sempena pembukaan pusat ini turut memperlihatkan kerjasama erat antara Aveta Malaysia dan G Elite dalam menawarkan produk eksklusif kepada pelanggan, di samping memperluas pengaruh jenama dalam pasaran motosikal tempatan.
“Pembukaan setiap Aveta Elite Centre merupakan satu pencapaian penting dalam usaha kami mendekatkan jenama Aveta kepada pelanggan. Rakan pengedar bukan sahaja membantu memudahkan proses mendapatkan motosikal Aveta, malah turut memainkan peranan penting dalam memastikan penunggang mendapat perkhidmatan serta sokongan yang diperlukan sepanjang tempoh pemilikan. Kami amat berbesar hati dengan pembukaan G Elite Motor – Aveta Elite Centre di Shah Alam dan pengenalan Nova 250 G Elite Edition yang eksklusif bagi meraikan pencapaian ini,” kata Steven Lim, Pengarah Urusan Kumpulan Aveta Malaysia.
Selain memperluas rangkaian pusat jualan, Aveta Malaysia turut meneruskan usaha memperkukuh sokongan selepas jualan menerusi rangkaian pengedar sah, pusat servis dan stokis yang terus berkembang di seluruh negara. Inisiatif seperti Aveta Care on Wheels juga menjadi sebahagian daripada usaha jenama ini untuk memudahkan urusan pemilik motosikal serta memberikan keyakinan terhadap perkhidmatan yang disediakan.
Pembukaan G Elite Motor – Aveta Elite Centre mencerminkan komitmen berterusan Aveta Malaysia untuk menawarkan penyelesaian mobiliti yang mudah diakses, boleh dipercayai dan berpatutan kepada lebih ramai rakyat Malaysia. Usaha ini juga bertujuan mengeratkan hubungan jangka panjang dengan pelanggan serta rakan pengedar di seluruh negara.
Selaras dengan perkembangan tersebut, Aveta terus membawa semangat “Redefining Boundaries” melalui pembangunan produk, kerjasama strategik dan komitmen terhadap kepuasan pelanggan.
Tunggang dengan Selamat. Tunggang dengan Bangga. Aveta Terus Kekal Bersama Anda.




















Komen