Chery Meningkatkan Penanda Aras Keselamatan Bateri melalui Cabaran Ujian Api Terkawal di Malaysia
- Anna Chong

- 2 hari lalu
- 3 min membaca

Chery Malaysia telah berjaya melaksanakan Cabaran Keselamatan Bateri Chery Super Hybrid yang pertama di Malaysia, sekaligus mengukuhkan komitmen berterusan jenama automotive ini terhadap keselamatan bateri melalui ujian dunia sebenar yang telus dan berfokuskan keselamatan.
Majlis ini disaksikan oleh lebih daripada 100 hadirin, terdiri daripada pegawai agensi kerajaan dan wakil media, bagi memastikan proses ujian serta keputusannya dipantau secara bebas dan telus.
“Keselamatan merupakan teras kepada proses pembangunan kami. Selain mematuhi keperluan peraturan, kami menjalankan ujian pengesahan yang ketat dan bersifat ekstrem, dan kami mendemonstrasikan ujian ini secara terbuka bagi membantu orang ramai memahami teknologi, piawaian yang diguna pakai, serta sebab kami yakin terhadap tahap keselamatan produk kami,” kata Men Lin Bo, Naib Presiden Eksekutif Chery Corporate Malaysia.

Beliau menambah bahawa setiap Cabaran Keselamatan yang dijalankan oleh Chery bukan sahaja memperkukuh keyakinan pengguna, malah membantu mempertingkatkan proses kejuruteraan serta menetapkan penanda aras yang lebih tinggi untuk industri automotif.
Sesi ujian bateri secara langsung telah dijalankan selepas sesi perkongsian bersama Pakar Bateri Chery, Zhang Wei Bo, yang membolehkan pihak media memahami konteks teknikal sebelum menyaksikan demonstrasi tersebut.

Semasa Cabaran Keselamatan, bateri yang digunakan pada Chery TIGGO 7 PHEV dan Chery TIGGO 8 PHEV telah menjalani ujian kebakaran bersuhu tinggi, yang merangkumi fasa pra-pemanasan serta pendedahan terus kepada api selama 1 minit 20 saat.
Sepanjang ujian tersebut, bateri kekal stabil tanpa sebarang peningkatan kebakaran, kegagalan elektrik, atau deformasi yang tidak terkawal, dan berjaya menyempurnakan cabaran di bawah keadaan haba yang ekstrem.
Majlis dijalankan dengan tahap ketelusan sepenuhnya, membolehkan pihak media memerhati keadaan bateri sebelum, semasa, dan selepas pendedahan kepada api.

Pendekatan ini mencerminkan kepercayaan Chery bahawa prestasi keselamatan boleh dibuktikan dengan selamat di kawasan terbuka, bukan hanya terhad kepada persekitaran makmal.
Cabaran Keselamatan Bateri di Malaysia ini merupakan kesinambungan kepada program keselamatan bateri global Chery, di mana sistem baterinya telah diuji di bawah pelbagai senario ekstrem dan dunia sebenar merentasi beberapa pasaran antarabangsa.
Sebelum ini, Chery telah menjalankan pelbagai cabaran keselamatan yang ketat di peringkat global, termasuk ujian perlanggaran hadapan dan ujian guling spiral di China, bagi mengesahkan kestabilan bateri di bawah impak struktur yang serius.

Di Indonesia, pek bateri telah direndam di dalam air laut selama 53 jam, bagi menguji ketahanan terhadap kakisan serta pengasingan elektrik dalam keadaan lembap dan masin yang tinggi.
Di Afrika Selatan, Chery turut melengkapkan ujian perlanggaran hadapan beralih (offset frontal collision) pada kelajuan 50 km/j, sekali gus meningkatkan perlindungan terhadap senario kemalangan dunia sebenar.
Di Ecuador, ujian kebakaran langsung pelbagai sudut telah dijalankan, di mana pek bateri ditembusi dengan enam das tembakan, membuktikan kekuatan struktur dan integriti bateri di bawah tekanan ekstrem dan luar jangkaan.
Di Timur Tengah, bateri Chery telah direndam di dalam air laut bersuhu 60 darjah Celsius di Qatar selama 48 jam, serta ditanam di bawah pasir gurun Kuwait yang terik selama 48 jam, bagi menunjukkan prestasi bateri di bawah pendedahan haba, kelembapan dan tekanan persekitaran yang berpanjangan.
Sementara itu, di Mexico, Chery telah menjalankan ujian geseran bawah kenderaan (battery scraping test) untuk menilai ketahanan bateri terhadap risiko lelasan dan kerosakan bahagian bawah kenderaan.

Prestasi Keselamatan Terbukti dan Jaminan Bateri Jangka Panjang
Selain Cabaran Keselamatan, Chery Malaysia turut menonjolkan pencapaian keselamatan kukuh bagi rangkaian kenderaan elektrik hibridnya. Chery TIGGO 7 PHEV telah memperoleh penarafan 5-Bintang ASEAN NCAP dengan skor tertinggi 94.68 sepanjang masa, sekali gus menggariskan komitmen jenama ini terhadap perlindungan penumpang dan keselamatan struktur kenderaan.
Chery Malaysia turut menawarkan jaminan bateri lanjutan sehingga 10 tahun atau 200,000 kilometer, yang merangkumi pek bateri, motor pemacu, dan unit kawalan kenderaan. Perlindungan menyeluruh ini direka untuk memberi ketenangan minda kepada pelanggan, menyokong keyakinan pemilikan jangka panjang dan mengukuhkan fokus Chery terhadap teknologi hibrid yang boleh dipercayai.

“Apabila kami menilai penawaran Kenderaan Elektrik Hibrid Plug-in (PHEV) kami hari ini, ia benar-benar mencerminkan pendekatan yang menyeluruh dan bertimbang rasa terhadap aspek keselamatan serta keyakinan pemilikan. Daripada menjalankan ujian keselamatan yang ketat dan ekstrem, kepada menyediakan sokongan jaminan bateri jangka panjang, serta mencapai penarafan 5-Bintang ASEAN NCAP dengan skor tertinggi sepanjang masa bagi TIGGO 7 PHEV, setiap pencapaian ini dibina atas komitmen berterusan kami dalam melindungi pelanggan,
“Pencapaian ini adalah tentang menyediakan sebuah Kenderaan Elektrik Hibrid Plug-in (PHEV) yang seimbang dan boleh dipercayai oleh pelanggan — menggabungkan prestasi keselamatan yang terbukti, teknologi yang boleh diharap, serta jaminan sepanjang perjalanan pemilikan mereka.” kata Lee Wen Hsiang, Naib Presiden Chery Malaysia.




















Komen