GWM Malaysia Merangka Laluan Strategi Menuju 2028 dengan Pembangunan Berasaskan Teknologi dan Memperluaskan Rangkaian SUVnya
- Anna Chong
- 19 minit lalu
- 3 min membaca

GWM Malaysia telah menyusun rangka fasa pembangunan seterusnya dengan langkah strategik untuk tahun 2026-2028, membuktikan komitmen jangka panjangnya dalam mengukuhkan pasaran automatifnya dalam negara. Hala tuju ini dikongsi dan dinyatakan semasa Malam Penghargaan Tahunan Bersama Media di Kuala Lumpur.
Sejak memasuki pasaran Malaysia, GWM teguh mengorak langkah luas dengan membangunkan rangkaian produknya, memperkukuhkan kerjasama bersama para pengedar, dan melabur dalam kepakaran tempatan. Dalam tahun 2025, jenama ini telah direkodkan dalam hampir 5,900 jualan kenderaan, sekali gus mewakili 177% kadar pertumbuhan dari tahun ke tahun. Ini menggambarkan penerimaan yang padu terhadap rangkaian produknya dan pendekatan yang diterima di dalam pasaran Malaysia.

Dalam wawasannya menuju 2028, GWM Malaysia mensasarkan 6% pegangan pasaran, 60,000 jualan tahunan, dan berusaha untuk tersenarai dalam 10 Teratas untuk jenama automotif di Malaysia, termasuk 3 Teratas untuk jenama dari China. Dorongan ini disokong oleh strategi berasaskan teknologi yang merentasi persaingan jangka pendek yang turut didorong oleh harga. Strategi ini turut disokong oleh pelaburan secara berterusan terhadap produk, infrastruktur, dan tenaga kerja.
“Di GWM Malaysia, perkara yang sentiasa menjadi fokus kami adalah untuk membina jenama automotif yang mampu bertahan lama di dalam pasaran. Kami bersaing menggunakan kepakaran jurutera, platform pintar, teknologi keselamatan yang dipertingkatkan, dan produk yang kukuh dalam usaha memberi nilai jangka panjang. Kesemua ini dipacu oleh rangkaian pasaran yang semakin berkembang di seluruh negara. Pendekatan berteraskan disiplin ini juga memberi asas yang kukuh terhadap pertumbuhan yang mampan di samping mengekalkan kepercayaan pelanggan,” kata Encik Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia.

“Pertumbuhan yang kami capai pada tahun 2025 menunjukkan bahawa kami sedang membangunkan sesuatu yang bermakna dan kami berada di landasan yang betul. Ia memberi gambaran terdapat peningkatan dalam keyakinan terhadap produk kami, tenaga kerja, dan kecekapan para pengedar kami, serta perkhidmatan selepas jualan yang cekap dan ekosistem. Di masa hadapan, fokus kami menjurus kepada meneruskan momentum ini untuk memberi nilai jangka panjang dengan meletakkan asas yang tepat, sesuai pada tempatnya, supaya pertumbuhan kami bukan sahaja mampan malah jenama ini terus berdiri kukuh untuk tahun-tahun yang mendatang,” tambah beliau lagi.

Bagi memberi sokongan kepada peralihan Malaysia ke arah elektrifikasi dan terhadap strategi ASEAN untuk New Energy Vehicle, GWM Malaysia mengulangi pendekatan rangkaian kuasa pelbagai (multi powertrain), dengan menawarkan pilihan ICE, HEV, PHEV dan BEV dalam senarai portfolionya. Jenama ini tetap mengekalkan kedudukannya dalam keluaran utamanya iaitu HAVAL, TANK, ORA, dan WEY, di mana setiap satunya direka untuk memenuhi keperluan dan gaya hidup pelanggan-pelanggan yang berbeza.
Barisan produk GWM yang semakin berkembang merangkumi pelancaran tidak lama lagi model Tank 300 HEV, serta model yang akan membuat kemunculannya iaitu B-SUV dan C-SUV yang telah dirancang untuk tahun 2026-2027, di samping C-SUV yang mewah. Teknologi tetap menjadi fokus utama, dipacu oleh sistem hibrid pintar GWM Hi4, yang mula-mula diperkenalkan di dalam WEY G9 Hi4 PHEV pada tahun ini. Teknologi ini akan diguna pakai oleh kesemua model di masa hadapan.

Selain pembangunan produk, jenama ini juga gigih memajukan dan menaik taraf rangkaian pengedar dan perkhidmatan selepas jualannya. GWM Malaysia meletakkan sasaran operasinya bersama 60 pengedar di seluruh negara, dengan fokus untuk mengembangkan pertumbuhannya secara berstruktur dalam pasaran utama. Bermula dari 2026, piawaian identiti korporatnya yang dipertingkatkan akan menetapkan standard yang jelas untuk memberikan pengalaman jualan yang lebih konsisten dan premium di seluruh rangkaiannya.
Perkhidmatan selepas jualan tetap menjadi kunci utama untuk memperolehi kepercayaan pelanggan. Ia disokong oleh program latihan teknikal yang intensif, 95% ketersediaan pemasangan alat ganti di seluruh negara, dan usaha berterusan sistem GWM Care untuk memperkasakan kepuasan para pelanggan sepanjang mereka menjadi pemilik kenderaan tersebut.
GWM Malaysia turut berpegang teguh dengan komitmen jangka panjangnya terhadap pemasangan tempatan dan operasi CKD, di samping berhasrat meletakkan Malaysia sebagai hab pertumbuhan dan pusat eksport penting di ASEAN. Strategi ini amat menyokong pembangunan New Energy Vehicle dengan membolehkan berlakunya pemindahan tenaga, memperluaskan eksport kenderaan bernilai tinggi, dan mengukuhkan keupayaan tenaga tempatan menerusi penyetempatan (localisation) yang lebih menyeluruh, kepakaran teknikal yang lebih canggih, dan pembangunan bakat kebolehan yang berterusan.



















