top of page

GWM Melancarkan WEY G9 Hi4 PHEV pada harga RM269,800 Di Atas Jalan Kemewahan MPV Pintar untuk Semua Keadaan

  • Writer: Anna Chong
    Anna Chong
  • 5 hari lalu
  • 5 min membaca

GWM WEY G9 Hi4 PHEV

Great Wall Motor (GWM) Malaysia hari ini secara rasminya telah melancarkan GWM WEY G9 Hi4 PHEV, sebuah lagi pencapaian penting dalam perkembangan jenama New Energy di Malaysia. Sebagai kenderaan mewah MPV New Energy dengan kuasa elektrik hibrid (PHEV) pertama dari China yang dipasang secara lokal, WEY G9 Hi4 PHEV mencerminkan komitmen jangka panjang GWM terhadap Malaysia sebagai hab pembuatan strategik dan pusat eksport serantau untuk pasaran ASEAN.


GWM WEY G9 Hi4 PHEV

Pelancaran rasmi ini telah dihadiri oleh Yang Berhormat Tuan Sim Tze Tzin, Timbalan Menteri di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), ditemani oleh Encik James Yang, Naib Presiden GWM International, dan Dr. Hu Xin, Ketua Jurutera Sistem Bervoltan Tinggi, GWM, telah menggariskan kepentingan WEY G9 Hi4 PHEV dalam pengukuhan strategi serantau GWM. 


GWM WEY G9 Hi4 PHEV

WEY: JENAMA YANG DIBINA DENGAN TANGGUNGJAWAB

Jenama WEY dipilih sempena nama Encik Jack Wey, Pengasas dan Pengerusi Great Wall Motor, dan ia mencerminkan komitmen tertinggi GWM terhadap keselamatan, kualiti, dan kepintaran mobiliti New Energy. 



Sebagai MPV New Energy mewah GWM, WEY G9 Hi4 PHEV direka berasaskan kepercayaan bahawa mobiliti kelas pertama mestilah mudah untuk diakses, praktikal dan relevan untuk kegunaan harian.


“WEY G9 Hi4 PHEV adalah gambaran hala tuju global GWM dalam mobiliti pintar New Energy,” menurut Cui Anqi, Pengarah Urusan GWM Malaysia. “Ia menggambarkan kekuatan kami dalam teknologi hibrid, keselamatan dan reka bentuk yang memfokuskan pengguna, di samping mengetengahkan peranan Malaysia sebagai hab pengeluaran dan eksport utama untuk ASEAN.”


GWM WEY G9 Hi4 PHEV

Prestasi Pintar dengan Teknologi Hibrid Hi4

Teras WEY G9 Hi4 PHEV adalah merupakan sistem pintar hibrid Hi4 GWM yang menggabungkan enjin caj turbo dengan motor dwi-elektrik yang bertujuan untuk memberikan pemanduan elektrik kepada kedua-dua gandar roda hadapan dan belakang.


Sistem ini menghasilkan kombinasi output tork (torque) 442 PS dan 642 Nm, yang mencapai kelajuan 0–100 km/h dalam 5.7 saat, manakala Intelligent Torque Vectoring Control (iTVC) secara berterusan mengendalikan penyelarasan tork bagi menyokong pemanduan yang stabil dan meyakinkan untuk menghadapi pelbagai jenis jalan raya dan keadaan cuaca di Malaysia. 


GWM WEY G9 Hi4 PHEV

Pemanduan yang Seimbang dan Cekap Setiap Hari

Sistem Hi4 PHEV di dalam WEY G9 direka untuk menyingkirkan kompromi yang biasanya berlaku di antara kecekapan elektrik dan kebolehgunaan jarak jauh. Ia memberikan pemanduan elektrik yang sepenuhnya sehingga 170 kilometer, dengan perjalanan harian yang senyap dan cekap, di samping jarak pemanduan keseluruhan melebihi 1,000 kilometer bagi membolehkan perjalanan yang lebih panjang.


Walaupun ketika tahap bateri adalah rendah, penggunaan bahan api tetap cekap pada 6.2 liter bagi setiap 100 kilometer, dengan sokongan pengurusan tenaga pintar dan peralihan lancar di antara mod Hibrid Series dan Parallel. Ini dapat memastikan kecekapan yang boleh dijangka dalam keadaan pemanduan sebenar di Malaysia.



Binaan Tempat Duduk yang Selesa dan Luas

Dibina di atas kepercayaan menyediakan suasana Kelas Pertama untuk Semua (First Class for All), WEY G9 Hi4 PHEV mengutamakan keselesaan untuk ketiga-tiga baris tempat duduk. Dengan ukuran panjang 5,050 mm dan jarak roda 3,085 mm, ciri lantai kabin dibina rata di samping laluan tengah yang luas bagi memudahkan pergerakan dan akses.


Tempat duduk hadapan dilengkapi dengan jahitan kulit Nappa, pengudaraan dan fungsi urutan, manakala baris kedua menampilkan tempat duduk kapten yang Zero Gravity beserta fungsi boleh laras dengan satu sentuhan. Baris ketiga pula direka untuk menempatkan penumpang dewasa dengan selesa, menjadikan WEY G9 Hi4 PHEV sesuai untuk kegunaan harian seluruh keluarga dan perjalanan jarak jauh.



Suasana Kabin yang Senyap dan Selesa

WEY G9 Hi4 PHEV memberikan suasana seperti di dalam kabin yang tenang dan senyap, memberikan keselesaan di sepanjang perjalanan. Dengan kelajuan 120 kilometer sejam di atas lebuh raya, bunyi kabin diukur hanya pada kadar 63.4 desibel, terhasil melalui kombinasi kaca akustik dengan dua lapisan tebal, penebat berstruktur, dan teknologi pembatalan bunyi aktif HALOSonic. 


Ia juga didatangkan dengan sistem audio 21-pembesar suara (speaker), 2,440-watt yang premium, direka khusus untuk suasana akustik kabin, membolehkan perbualan dilakukan dengan lancar sambil ditemani dengan alunan muzik yang mendamailan, menjadikan keseluruhan perjalanan terasa begitu menyeronokkan.



Keselesaan Premium yang Sebenar

Bukan sahaja amat selesa dan berprestasi tinggi, WEY G9 Hi4 PHEV direka untuk memudahkan keluarga dan golongan profesional menggunakannya. Pintunya yang boleh dibuka luas dan laluan tengah di dalamnya yang lebar, membolehkan pergerakan yang lebih bebas di samping terdapat 11 poin untuk mengecas bagi memastikan setiap penumpang tiada masalah untuk berhubung. 


Output 3.3-kilowatt kuasa luaran disediakan untuk kegunaan dalam perjalanan, sementara kotak peti sejuk & panas berukuran 12.5 liter, yang boleh berfungsi selama sehingga 24 jam walaupun enjin kenderaan dimatikan, menjadikan setiap rutin dan perjalanan jarak jauh terasa begitu mudah dan bermakna.   


GWM WEY G9 Hi4 PHEV

Kedua-dua ciri yang disediakan ini dipertingkatkan dengan sambungan aplikasi, yang membolehkan pengguna memantau dan mengawal output kuasa serta suhu peti sejuk dari jarak jauh melalui aplikasi mudah alih kenderaan untuk memastikan segalanya berjalan lancar, fleksibel, dan menjamin ketenangan fikiran pada setiap masa. 


GWM WEY G9 Hi4 PHEV

Keselamatan Komprehensif Tanpa Kompromi

Ciri-ciri keselamatan dibina dalam setiap aspek WEY G9 Hi4 PHEV, dengan perlindungan yang dipertingkatkan secara sama rata di ketiga-tiga baris tempat duduk. Struktur binaan badan kenderaan diperbuat daripada  lebih 83.01 peratus keluli berkualiti tinggi, dengan tiang-tiang kukuh yang menggunakan kekuatan bahan berukuran antara 1,500 hingga 2,000 MPa, dan struktur bumbungnya pula mampu menahan tekanan sehingga 12 tan.


GWM WEY G9 Hi4 PHEV

Beg udara dipasang secara menyeluruh melengkapi kesemua barisan tempat duduk, manakala sistem baterinya hanya akan diperakui setelah menjalani 89 ujian keselamatan yang ketat. Kenderaan ini juga dilengkapi dengan Level 2 Advanced Driver Assistance Systems yang memberikan lebih daripada 20 ciri keselamatan pintar yang direka untuk menjaga pemandu serta melindungi penumpang dalam setiap keadaan pemanduan harian.


GWM WEY G9 Hi4 PHEV

PAKEJ HARGA DAN PEMILIKAN 

GWM WEY G9 Hi4 PHEV boleh didapati dengan pilihan reka bentuk yang dibina secara terperinci dan pakej pemilikan yang komprehensif, untuk memberikan keyakinan dan ganjaran bagi mereka yang ingin memilikinya.


Warna luar 

  • Aurora White: Bersih, elegan, dan abadi

  • Wisdom Grey: Moden, yakin, dan anggun

  • Nebula Black: Berani, sofistikated, dan berkuasa


Tema binaan dalam 

  • Dalaman hitam dengan bumbung kelabu: Bergaya dan kontemporari 

  • Dalaman coklat dengan bumbung kelabu: Mewah dan mesra


Setiap warna, material, dan perincian dipilih dengan teliti untuk menghasilkan suasana kabin yang tenang, mesra, membuatkan setiap baris tempat duduk terasa seperti berada di kelas pertama.


GWM WEY G9 Hi4 PHEV

Harga

*RM 269,800 atas jalan. Harga yang ditetapkan ini bukan sahaja kompetitif di dalam lingkungan pasarannya, malah ia menggambarkan keyakinan GWM terhadap nilai, perincian kejuruteraan, dan pengalaman pemilikan secara keseluruhan bagi WEY G9 Hi4 PHEV.


Pakej pemilikan awal 

Percuma skrin hiburan di barisan kedua untuk 1,000 pelanggan pertama WEY G9 Hi4 PHEV.


GWM WEY G9 Hi4 PHEV

Manfaat pemilikan standard 

  • 5 tahun perkhidmatan data sambungan percuma 

  • 5 tahun penyelenggaraan percuma

  • Pengecas dinding rumah percuma


Perlindungan Waranti

  • 6 tahun waranti mileage kenderaan tanpa had

  • 8 tahun atau 180,000 km waranti untuk sistem hibrid, termasuklah perlindungan untuk  pek bateri, motor kuasa, dan unit kawalan


PEMASANGAN LOKAL DAN MELUASKAN PASARAN DI ASEAN

WEY G9 Hi4 PHEV dipasang secara lokal di Malaysia dan bertindak sebagai pusat eksport serantau untuk ASEAN dengan aktiviti mengeksport ke Thailand telah pun dijalankan dan beberapa pasaran lagi yang sedang di dalam perancangan.


GWM WEY G9 Hi4 PHEV

“Pemasangan WEY G9 Hi4 PHEV secara lokal menunjukkan keyakinan kami terhadap kemampuan sektor pemasangan di Malaysia dan potensi jangka panjangnya,” tegas Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia. “Ia menyokong pemindahan teknologi, mengukuhkan rantaian bekalan tempatan, dan selaras dengan keutamaan negara untuk memajukan pasaran New Energy,” tambah beliau lagi.


MENETAPKAN PENANDA ARAS BAHARU

Dengan gabungan prestasi Hi4 PHEV, binaan yang sesuai untuk jarak pemanduan yang jauh, keselamatan yang komprehensif, keselesaan yang optimum, dan pemasangan secara lokal, GWM WEY G9 Hi4 PHEV telah meletakkan satu penanda aras baharu untuk rangkaian MPV mewah di Malaysia.




Komen


KERETA TERKINI

ADVERTISEMENT

ADVERTISEMENT

PP-Icon-Light-Blue-Rounded-1200px.png
Pandu Pandu ialah platform automotif & gaya hidup yang lebih daripada sekadar info kereta dan acara automotif.
PP-Tagline.png
  • Facebook
  • Instagram
  • TikTok
  • Youtube

Maklumat di laman ini disediakan untuk tujuan maklumat dan umum sahaja. Pandu Pandu tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian yang timbul daripada penggunaan kandungan ini. Lihat Penafian Penuh untuk maklumat lanjut.

© 2026 Pandu Pandu, Spacerae Sdn. Bhd. 202001029234 (1385554-M). All rights reserved.

bottom of page